Harta Gadaian: Adakah Milik Ahli-Ahli Waris?
Soalan: Dengan segala hormat dan takzimnya kaola sukacita memohon fatwa daripada Pehin mengenai masalah yang kaola hadapi berhubung dengan hak pemilikan dua bidang tanah yang seluruh keluasannya lebih kurang sebelas ekar.
Untuk makluman Pehin, Allahyarham ayah kaola telah menggadaikan tanah tersebut kepada seorang mendiang Pehin Kapitan China. Tarikh penggadaian tersebut serta sebab penggadaian tidaklah kaola maklum, tetapi harus ianya berlaku antara lima puluh atau enam puluh tahun yang lalu, sewaktu kaola masih lagi kecil.
Allahyarham saudara-saudara seperadian kaola sewaktu hayat mereka tidak pernah berfikir atau berura-ura hendak menebus balik tanah tersebut, mungkin saudara-saudara seperadian kaola itu berfikir tanah berkenaan tidak mungkin lagi dapat ditebus kerana penggadaian tanah tersebut telah berlaku pada waktu yang begitu lama. Bagaimanapun kaola dengan hidayat dan ilham daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berusaha dan berunding dengan waris mendiang tersebut, dan Alhamdulillah kira-kira tiga bulan yang lalu, kaola telah berhasil menebus semula tanah tersebut dengan bayaran sebanyak $10.000.00 (Sepuluh Ribu Ringgit sahaja).
Untuk makluman Pehin selanjutnya, Allahyarham ayah kaola mempunyai enam orang anak.
Mengenai masalah di atas, kaola sukacita memohonkan fatwa dan seterusnya nasihat daripada Pehin akan perkara berikut:
- Adakah tanah tersebut dianggap dari segi syara‘ sebagai telah hilang hak milik waris-waris kerana ia telah tergadai sekian lama?
- Adakah kaola berhak memiliki keseluruhan tanah tersebut disebabkan kaola hanya satu-satunya anak Allahyarham yang masih ada dan berhasil pula menebus gadaian tanah itu semula?
- Bagaimana kedudukan isteri dan anak-anak saudara seperadian kaola yang masih ada? Adakah mereka juga berhak terhadap tanah itu, padahal mereka tidak pernah berusaha untuk menebus tanah yang tergadai itu?
- Bagaimana kedudukan wang penebus tanah tersebut sejumlah $10.000.00 yang telah kaola keluarkan sendiri, jika waris-waris yang lain juga berhak ke atasnya?
Oleh yang demikian, kaola hadapkan masalah di atas bagi memohonkan fatwa dan nasihat Pehin sesuai dengan kehendak hukum syara‘. Fatwa dan nasihat Pehin akan kaola jadikan asas dan sandaran bagi menyelesaikan masalah tersebut kepada pihak-pihak yang berkenaan.
Jawapan: Gadaian adalah salah satu mu‘amalah yang dibenarkan oleh hukum syara‘. Firman Allah Ta’ala:
Tafsirnya: “Maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang oleh orang yang memberi hutang.” (Surah al-Baqarah: 283)
Telah diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menggadaikan baju besi Baginda kepada seorang Yahudi yang bernama Abu asy-Syahm ketika berada di Madinah dan Baginda mengambil daripada Abu asy-Syahm, gandum untuk keluarga Baginda.
Hadis Anas Radhiallahu ‘anhu di atas telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Imam Ahmad, an-Nasa’i dan Ibnu Majah.
Gadaian itu ialah menetapkan sesuatu yang bernilai yang harus dijual belikan sebagai jaminan pelunasan hutang jika tidak mampu melunaskannya. Maka apa jua benda berharga yang diharuskan berjual beli dengannya adalah harus dijadikan gadaian, tetapi sesuatu yang tidak boleh dijualbelikan seperti harta waqaf, tidak boleh dijadikan gadaian.
Gadaian itu tidak sah jika ada syarat yang membawa kepada kemudharatan orang yang menggadai, begitu juga orang yang menerima gadaian.
Dalam urusan gadaian ini adalah diperlukan îjâb dan qabûl. Pada kebiasaannya barang gadaian itu adalah dipegang oleh pihak yang menerima gadaian.
Imam an-Nawawi telah menjelaskan dalam al-Majmû‘ (13/186) bahawa jika telah diakadkan gadaian itu terhadap sesuatu benda yang masih di tangan penggadai tidaklah boleh diambil alih (al-qabdh) oleh penerima gadai kecuali dengan izin penggadai kerana penggadai mempunyai hak untuk membatalkan gadaiannya. Jika barang gadaian telah diserahkan kepada penerima gadaian, tidak pula bererti gadaian itu dimiliki oleh penerima gadai. Yang dimiliki itu hanyalah kuasa pada menjual sahaja. Berkata Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm (3/142):
Ertinya: “Maka apabila gadaian itu telah diterima oleh akal, adalah gadaian itu bukan dimiliki seperti memiliki hamba, hak penerima gadai itu ialah memiliki kuasa pada menjualnya dan gadaian itu tidak pula dimiliki manfaatnya oleh penerima gadai, dia memiliki hak pada menyewakan barang gadaian itu.”
Dalam Raudhah ath-Thâlibîn Imam an-Nawawi berkata:
Ertinya: “Penerima gadai itu berhak menjual gadaian ketika perlu (ada hajat) dan menyerahkan harga jualan itu kepada semua yang berhutang. Manakala penggadai pula jika dia atau wakilnya hendak menjualnya hendaklah dengan izin penerima gadaian.”
Daripada apa yang disebutkan di atas dapatlah difahami bahawa gadaian itu tidak sama sekali akan menjadi milik penerima gadaian, bahkan dia hanya memiliki kuasa pada menjual gadaian tersebut.
Maka dalam hal ini jika pemohon menebus semula tanah itu (yang keluasannya lebih kurang sebelas ekar) dengan mengeluarkan wang sebanyak $10,000.00 itu atas dasar membeli tanah tersebut daripada waris mendiang Pehin Kapitan China berkenaan, maka tanah tersebut adalah menjadi milik pemohon sendiri. Ini bererti tanah itu dimiliki dengan cara jual beli.
Jika sekiranya wang $10,000.00 itu diniatkan sebagai penebus hutang Allahyarham ayah pemohon, maka tanah yang dikembalikan oleh waris mendiang itu adalah diwarisi oleh semua ahli waris. Maka dalam hal ini pemohon berhak menuntut balik wang yang pemohon keluarkan sebagai penebus hutang Allahyarham ayah pemohon daripada ahli-ahli waris yang lain kecuali bahagian pemohon sendiri, dan jika ada ahli waris yang enggan membayarnya, maka bolehlah diambil daripada nilaian tanah bahagian ahli yang enggan itu.
Setelah wang yang wajib dibayar oleh ahli-ahli waris itu diserahkan kepada pemohon, maka tanah itu hendaklah dibahagikan kepada ahli-ahli waris berdasarkan hukum pusaka. Bagi tujuan itu, pemohon bolehlah merujukkan kepada pihak yang mengendalikan hal ehwal waris (Pegawai Waris, Jabatan Kehakiman) untuk menentukan kadar bahagian masing-masing.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7737
