Hukum Berkahwin Dengan Jin
Soalan: Kemusykilan kaola ialah baru-baru ini kaola telah mendengar pengakuan seorang perempuan yang menyatakan dirinya mempunyai hubungan sulit dengan makhluk lain (jin) lelaki beragama Islam, sedangkan perempuan ini mempunyai suami yang sah dan beberapa orang anak. Dalam masa yang sama perempuan ini memberi layanan yang lebih kepada makhluk ini sedangkan suaminya diabaikan.
Dalam hal ini apakah benar seorang manusia boleh berhubung dengan makhluk lain sama seperti seorang manusia sebagai suami isteri? Bagaimana kedudukan pernikahan perempuan berkenaan dengan makhluk tersebut? Jika benar pengakuannya, bagaimana pula perkara-perkara berikut:
(i) Siapakah wali bagi perempuan berkenaan jika benar sebagaimana pengakuan yang dinyatakan oleh perempuan tersebut?
(ii) Siapa pula jurunikah yang menikahkan perempuan berkenaan dengan makhluk tersebut?
Apakah hukumnya hubungan perempuan ini dengan makhluk tersebut, dan bagaimana pula kedudukan perempuan ini dengan suaminya yang sah tadi dan telah lama tidak diberikan perhatian itu?
Patutkah kita sebagai manusia mempercayai semua apa yang diperkatakan oleh makhluk (jin) ini terutama ia memberitahu kepada perempuan berkenaan lalu membuat tuduhan kepada rakan sekerjanya memiliki ilmu hitam seterusnya melakukan penganiayaan terhadap dirinya (perempuan berkenaan) dan suaminya, yang sejak akhir-akhir ini kebetulan seringkali sakit sedangkan orang yang dituduh tidak mengetahui atau memiliki ilmu sedemikian?
Patutkah orang yang tertuduh mendiamkan diri? Apakah hukumnya sekiranya pihak tertuduh berterus terang bagi menyelesaikan masalah ini dengan perempuan berkenaan?
Apakah hukumnya terhadap perempuan berkenaan yang menyatakan segala rahsia perhubungan sulitnya (sebagai suami isteri) dengan makhluk berkenaan kepada rakan-rakannya?
Apa hukumnya tindakan perempuan berkenaan yang menolak segala keinginan suaminya terhadap dirinya, kononnya makhluk berkenaan cemburu kepada suami perempuan berkenaan dan terpaksa menolak segala keinginan suaminya atas dorongan makhluk berkenaan?
Sekian kemusykilan yang kaola kemukakan bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak Pehin. Semoga penjelasan yang bakal Pehin berikan itu nanti akan dapat menambahkan pengetahuan yang lebih luas lagi kepada diri kaola sendiri, keluarga kaola dan umat Islam umumnya.
Di atas kesudian Pehin memberikan penjelasan secara bertulis itu nanti, tidak lupa kaola ucapkan setinggi-tinggi ribuan terima kasih.
Jawapan: Kewujudan jin dalam dunia ini adalah sabit sebagai makhluk ciptaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Banyak ayat al-Qur’an yang menyebut tentang jin. Antara ayat-ayat itu firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Surah adz-Dzâriyât: 56)
Jin itu dijadikan daripada api, firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan jin pula Kami jadikan dia sebelum itu daripada angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.” (Surah al-Hijr: 27)
Adapun perhubungan manusia dengan jin adalah perkara yang boleh terjadi (harus berlaku). Walau bagaimanapun perkara ini bergantung kepada kejadian yang sebenar seperti dakwaan di atas, kerana hal yang demikian boleh dipercayai dan boleh tidak. Percaya atau tidak, itu juga tidak menjejaskan atau tidak memudharatkan iman seseorang.
Menyentuh persoalan Awang mengenai hubungan seorang perempuan yang masih sah bersuami yang membuat hubungan dengan jin lelaki Islam sebagai suami isteri itu tertakluk kepada keadaan di bawah ini:
(i) Jika hubungan tersebut dibuat tidak dengan jalan pernikahan, maka perhubungan tersebut adalah haram dan mestilah memberhentikan dengan segera dan bertaubat.
(ii) Jika hubungan tersebut dengan jalan pernikahan, maka mengikut pendapat Ibnu Hajar yang disebutkan dalam Tuhfah: “Antara perkara-perkara yang menghalang pernikahan itu ialah berlainan jenis (manusia dengan jin), maka katanya tidak sah bagi manusia bernikah dengan jin.” Pendapat ini disokong oleh kebanyakan ulama fiqh mutakhir. Sandaran pendapat ini ialah kerana Allah telah mengurniakan kepada kita pasangan daripada jenis kita (manusia). Ini dijelaskan dalam firmanNya:
Tafsirnya: “Dialah (Allah) yang menciptakan kamu semua daripada hakikat diri yang satu, dan Dia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (daripada suami isteri) untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain.” (Surah al-A‘râf: 189)
Disebut juga dalam kitab Tuhfah oleh Ibnu Hajar bahawa telah dinyatakan dalam sebuah hadis yang hasan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang bernikah dengan jin. Demikian juga yang difatwakan oleh Ibnu Abdul Salam.
Tetapi mengikut pendapat Qamuli bahawa pernikahan tersebut adalah makruh sahaja. Dalam pada itu Qamuli mensyaratkan jika terjadi pernikahan tersebut, maka semua hukum-hukum yang bersangkutan dengan nikah seperti syarat-syarat sah nikah, rukun nikah, kewajipan suami/isteri dan lain-lain mestilah berjalan seperti biasa ke atas manusia sahaja (tidak ke atas jin berkenaan).
Dari itu semua perkara yang berkaitan dengan pernikahan seperti wali dan sebagainya, maka mestilah mengikut yang ditentukan oleh hukum syara‘. Jika tidak, pernikahan tersebut adalah tidak sah.
Walau bagaimanapun daripada apa yang diterangkan di atas, jika betul-betul terjadi pernikahan antara perempuan yang masih bersuami dengan makhluk lain (jin) itu, maka pernikahan tersebut adalah tidak sah walaupun mengikut pendapat Qamuli, kerana tidak memenuhi kehendak hukum-hukum nikah, dan lebih-lebih lagi dia adalah masih isteri yang sah bagi seseorang. Dengan keterangan ini, maka terjawab perkara pertama dan kedua yang dipersoalkan.
Sewajarnya perempuan itu tidak menerima dengan mudah cerita-cerita atau tuduhan-tuduhan yang disampaikan kepadanya oleh jin itu, bahkan dia mendapatkan bukti dengan sendiri atau pertolongan orang-orang yang boleh dipercayai terlebih dahulu sebelum bertindak seperti yang dilakukannya itu. Tindakan yang diambil sebelum memastikan kebenaran, adalah merupakan tindakan berdasarkan semata-mata sangkaan yang sangat bertentangan dengan hukum syara‘ dan hasil tindakan mengikut sangkaan ini boleh memecah-belahkan sesama kita, sedangkan Allah menyuruh kita bersatu padu, tolong menolong dan melarang daripada mengikut sangkaan seperti dalam ayat-ayat dan hadis-hadis berikut:
Firman Allah:
Tafsirnya: “Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan jangan kamu berpecah belah.” (Surah Âli ‘Imran: 103)
Begitu juga Allah menyuruh kita menjauhi sifat menyangka-nyangka, firman Allah:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah perbuatan menyangka-nyangka kerana sebahagian daripada sangkaan-sangkaan itu adalah membawa kepada dosa.” (Surah al-Hujurât: 12)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Jauhilah oleh kamu akan perbuatan menyangka-yangka sesungguhnya sangkaan itu merupakan pembohongan besar dalam percakapan.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Sementara itu, orang yang tertuduh itu tidak sepatutnya berdiam diri, jika yang demikian itu akan menyebabkan dirinya teraniaya dan mendapat fitnah, bahkan perlu menpertahankan dirinya dengan apa jua hujah atau bukti yang menunjukkan kebenarannya.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Sejahat-jahat manusia di sisi Allah ialah lelaki bersetubuh dengan isterinya dan isterinya bersetubuh dengan suaminya, kemudian dia membuka rahsia peribadi isterinya.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)
Dikatakan (sejahat-jahat manusia di sisi Allah) ialah kerana menyimpan rahsia suami isteri itu merupakan amanah Allah yang besar. Ini dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam riwayat lain:
Maksudnya: “Sesungguhnya sebesar-besar amanah di sisi Allah di Hari Kiamat itu ialah lelaki yang bersetubuh dengan isterinya dan isterinya yang bersetubuh dengan suaminya kemudian dia menyebarkan rahsia isterinya.” (Hadis riwayat Muslim)
Maka daripada hadis di atas, haram menceritakan hubungan sulit suami isteri kepada orang lain, apatah lagi menceritakan hubungan sulit dengan orang lain atau makhluk lain dalam keadaan dia masih seorang isteri yang sah bersuami.
Haram seorang isteri itu menolak keinginan suaminya untuk menggaulinya tanpa sebab-sebab yang dibolehkan oleh syara‘ apatah lagi disengajakan kerana tujuan-tujuan yang jelas derhaka kepada suaminya. Balasan buruk akibat derhaka kepada suami itu adalah laknat iaitu tidak mendapat rahmat daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Demikian dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Jika seorang suami itu mengajak isterinya untuk tidur bersamanya dan isterinya tidak memperdulikannya, lalu dia tidur dalam keadaan marah kepada isterinya, malaikat akan melaknat (isteri) sehingga ke pagi hari (sepanjang malam).” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan an-Nasa’i)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7742
