Hukum Menahan Hak Orang Lain
Soalan: Dengan hormat dan takzimnya sukacita kaola ingin mendapatkan fatwa daripada Yang Dimuliakan Pehin mengenai hukum salah seorang ahli waris tidak mahu menandatangani surat pendaftaran nama dalam geran tanah. Secara ringkas perihal perkara ini ialah:
Abis kaola ada seramai tujuh orang adik beradik, tiga lelaki dan empat perempuan. Arwah ibu abis kaola semasa meninggal dunia pada 31/12/92 meninggalkan sekeping tanah seluas 0.38 ekar. Surat kuasa telah dikeluarkan kepada abang yang tertua sekali dan pada masa ini geran tanah adalah didaftarkan atas nama abang abis kaola sebagai pentadbir tanah berkenaan. Abis kaola baru-baru ini telah memohon ke Pejabat Tanah supaya semua nama waris didaftarkan mengikut hak masing-masing berdasarkan surat daripada Mahkamah Qadhi Besar. Enam orang daripada kaola telahpun menandatangani borang transmission sebelum nama abis kaola dapat didaftarkan dalam geran berkenaan tapi salah seorang daripada kakak abis kaola enggan menandatangani borang berkenaan. Oleh yang demikian proses pendaftaran nama abis kaola tidak dapat dilakukan sehinggalah ke tujuh-tujuh abis kaola menandatangani borang ini. Kaola berpendapat dengan demikian kakak yang berkenaan telah dengan sengaja menahan hak abis kaola adik beradik itu. Dari itu kaola pohonkan di segi hukum syara‘ mengenai dengan seseorang yang menahan hak waris daripada si mati.
Kaola pohonkan fatwa daripada Yang Dimuliakan Pehin dengan sekadar segera yang boleh kerana perkara ini sudah berlanjutan hampir empat tahun.
Jawapan: Berdasarkan keterangan pemohon fatwa bahawa ahli waris telah mengetahui bahagian masing-masing, termasuk salah seorang ahli waris yang enggan menandatangani borang transmission. Keengganan ini menyulitkan proses pendaftaran tersebut.
Apabila telah ditetapkan pembahagian harta waris menurut hak masing-masing berdasarkan ilmu farâ’idh, maka bahagian yang menjadi hak masing-masing itu adalah wajib diberikan kepada tiap-tiap ahli waris yang berkenaan.
Tiada siapa pun boleh menghalang daripada mendapatkan hak yang telah ditetapkan oleh hukum syara‘ itu.
Seseorang yang menahan atau menghalang orang lain untuk mendapatkan haknya adalah merupakan suatu kezaliman atau suatu penganiayaan. Keengganan salah seorang ahli waris menandatangani borang transmission untuk proses pendaftaran tanah tersebut, dianggap menzalimi ahli-ahli waris yang lain. Jelasnya menahan hak orang lain itu boleh memudharatkannnya. Mudharat itu wajib dicegah berdasarkan batas-batas yang telah dipandu oleh syara‘.
Asas atau sandaran menghilangkan mudharat itu ialah berdasarkan kaedah fiqh:
Ertinya: “Dharar (mudharat) itu dihilangkan (dihindarkan).”
Kaedah fiqh di atas berasal daripada sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Tidak memudharatkan dan tidak dimudharatkan.” (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
Kaedah ini memberi maklumat hukum. Contohnya sesiapa atau mana-mana orang yang membina sesuatu bangunan di tengah jalan raya menyebabkan terhalang atau terganggu lalu-lalang, atau menanam pokok dan dahan pokok kayu itu menjuntai atau masuk ke dalam kawasan milik orang lain yang boleh mendatangkan bahaya kepadanya, maka hendaklah disuruh runtuhkan binaan di tengah jalan raya itu dan dipotong dahan pokok yang mendatangkan bahaya itu.
Berdasarkan kaedah ini juga, adalah haram ke atas seseorang memudharatkan seseorang yang lain sama ada diri (jiwa) atau harta orang itu, kerana perbuatan memudharatkan itu suatu kezaliman. Kezaliman diharamkan oleh syara‘, bahkan oleh seluruh perundangan.
Jika ternyata dengan tindakan salah seorang daripada ahli waris itu mendatangkan kemudharatan atau kesusahan kepada ahli-ahli waris yang lain dalam proses mengenai tanah yang dimaksudkan maka haram perbuatan ahli waris yang menyebabkan kesusahan atau kemudharatan itu.
Andainya bertembung kepentingan ahli waris yang enggan itu dengan kepentingan ahli-ahli waris yang ramai, maka kepentingan yang seorang sahaja itu hendaklah diketepikan atau dikesampingkan demi menjaga kepentingan atau kemashlahatan ahli-ahli waris yang ramai. Hal ini juga dijelaskan dalam kaedah fiqh:
Ertinya: “Ditanggung kemudharatan khas untuk menolak kemudharatan yang umum.”
Ertinya: “Tindakan yang merangkumi kepentingan orang ramai lebih utama daripada yang hanya terhad untuk kepentingan sendiri.”
Berdasarkan kaedah-kaedah fiqh di atas, mana-mana rintangan yang didatangkan oleh mashlahat peribadi atau kumpulan yang kecil yang menghalang tercapainya kepentingan atau mashlahat orang ramai (umum), hendaklah diketepikan mashlahat peribadi atau kumpulan yang kecil itu, termasuklah seumpama di dalam kes ini iaitu supaya proses penandatanganan borang yang dimaksudkan itu terus dilaksanakan tanpa ahli waris yang enggan itu menggendalakannya. Tetapi bahagian yang menjadi miliknya tetap pula menjadi haknya. Bagaimana cara mengendalikan proses transmission yang demikian itu terserahlah kepada budi bicara pihak-pihak berkenaan yang bijaksana.
Salah satu daripada tuntutan-tuntutan Islam itu ialah perpaduan dan persatuan. al- Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam banyak memperkatakan tentang kepentingan perpaduan itu. Perpaduan itu kekuatan.
Tuntutan perpaduan itu dalam semua peringkat, dalam keluarga, dalam masyarakat dan umat Islam keseluruhannya. Sebaliknya perpecahan itu melemahkan, bahkan merugikan sesama sendiri. Lebih-lebih lagi jika yang menyebabkan perpecahan itu ialah sesuatu yang tidak wajar. Harta boleh menjadi fitnah. Inilah peringatan Allah:
Tafsirnya: “Dan ketahuilah oleh kamu bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian.” (Surah al-Anfâl: 28)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga memberi peringatan yang sama:
Maksudnya: “Sesungguhnya tiap-tiap umat itu ada fitnahnya, dan fitnah bagi umatku ialah harta.” (Hadis riwayat Ahmad)
Mementingkan diri sendiri adalah dicela. Ia merupakan suatu unsur yang boleh melemahkan perpaduan. Para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menunjukkan contoh yang baik tentang prinsip berkorban demi kepentingan umum dan tidak mementingkan diri sendiri. Inilah sifat yang mereka pelajari daripada pendidikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. al-Qur’an telah merakamkan sifat terpuji para sahabat ini:
Tafsirnya: “Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat (apa yang mereka berikan itu).” (Surah al-Hasyr: 9)
Di antara prinsip peribadi Muslim yang baik itu tergambar daripada ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam secara umum iaitu:
Maksudnya: “Orang Islam ialah mereka yang sejahtera sekalian orang Islam daripada (bahaya) lidahnya dan tangannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi)
Menolong atau mempermudahkan urusan orang-orang Islam akan memperolehi ganjaran pahala, sebaliknya menyusahkan itu menyakiti. Menyakiti membawa implikasi yang jauh sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Barang siapa menyakiti orang Islam, sesungguhnya dia telah menyakiti aku, dan barang siapa menyakiti aku dia telah menyakiti Allah.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)
Persoalan di atas mengenai dengan keengganan ahli waris dan kepentingan melapangkan atau meringankan kesusahan orang Islam yang lain dalam konteks persaudaraan dan perpaduan boleh saja dihuraikan dengan luas, tetapi cukuplah beberapa hadis di bawah ini sebagai pimpinan ke arah peribadi Muslim yang mulia, hidup dalam berkasih sayang:
Maksudnya: “Seorang Muslim adalah saudara bagi sesama Muslim. Dia tidak boleh menganiaya saudaranya dan tidak boleh pula membiarkan saudaranya (teraniaya) oleh orang lain. Dan barang siapa yang membantu (mencukupkan) keperluan atau hajat saudaranya, maka Allah Ta‘ala membantunya pula (mencukupkan) keperluan atau hajatnya. Dan barang siapa yang melapangkan kesulitan seorang Muslim, maka Allah Ta‘ala melapangkan kesulitannya kelak di Hari Kiamat. Dan barang siapa yang menutup keburukan orang Muslim, maka Allah menutupi pula keburukannya kelak di Hari Kiamat.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Maksudnya: “Barang siapa yang mudah, tidak menyusahkan dan ramah, Allah haramkan dirinya daripada api neraka.” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7746
