Hukum Meninggalkan Sembahyang
Soalan: Sukacita dipohonkan pertimbangan dan kebenaran Pehin bagi menjawab soalan dan maksud saya yang tersebut di bawah ini:
Apakah hukum qishâsh bagi orang-orang yang tidak bersembahyang. Adakah betul dihukum bunuh?
Kenapakah dihukum bunuh, adakah kerana mereka itu dianggap murtad?
Apakah pendapat ulama asy-Syafi‘e dan lain-lain ulama tentang hukum bunuh ini? Sebab sesetengah ulama berpendapat, tidak boleh menghukumkan seseorang itu kafir (murtad) kerana tidak bersembahyang. Jadi, kenapakah dihukum bunuh seseorang yang dianggap murtad kerana tidak bersembahyang itu?
Jawapan: Apakah pandangan kita mengenai seseorang yang mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan tugas atau pekerjaan yang ditentukan dengan diberikan ganjaran atau upah yang berpatutan dan dia bertanggungjawab terhadap tugas itu, akan tetapi dia tidak menunaikan tanggungjawab dan tugasnya itu, maka dia telah menyalahgunakan tugasnya sepanjang hari atau berjam-jam lamanya pada hari itu, padahal dia berkuasa mengerjakan tugas itu dan dia tidak sakit serta tidak dipaksa.
Keadaan ini melahirkan pendapat yang berbeza-beza di kalangan kita terhadap pekerja tadi. Ada di antara kita berpendapat bahawa dia tidak akan diberikan kerja itu lagi kecuali diberhentikan sahaja daripada pekerjaannya, dan ada pula yang berpendapat dia tidak perlu diberhentikan selagi dia berusaha memperbaikinya.
Contoh ini dapat dilihat seperti pendapat ulama Islam mengenai kedudukan seorang Islam yang meninggalkan apa jua ibadat dengan sengaja terutamanya ibadat sembahyang fardhu lima waktu.
Umat Islam sekaliannya telah ijmâ‘ bahawa pekerjaan yang utama bagi seorang Islam itu ialah beribadat (menyembah dan mengabdikan diri) semata-mata hanya kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Hal ini telah dijelaskan di dalam firman Allah:
Tafsirnya: “Dan (ingatlah) Aku (Allah) tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Surah Adz-Dzâriyât: 56)
Ada berbagai ibadat mesti dilakukan oleh manusia sebagai pengabdian dan tanda bersyukur kepada Allah Yang Maha Agung, istimewanya ibadat sembahyang. Sembahyang itu wajib bagi setiap orang Islam, kerana ia juga merupakan salah satu daripada rukun Islam dan merupakan amalan yang pertama sekali akan dihisab pada Hari Kiamat nanti.
Sembahyang lima waktu sehari semalam telah diwajibkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala ke atas orang mukallaf melalui Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.” (Surah an-Nisâ’: 103)
FirmanNya lagi:
Tafsirnya: “Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.” (Surah al-Hajj: 78)
Hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pula, Baginda bersabda kepada Mu‘adz bin Jabal ketika Baginda hendak mengutusnya ke Negeri Yaman, daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: “Khabarkanlah kepada mereka (penduduk Yaman) sesungguhnya Allah Ta‘ala telah memfardhukan ke atas mereka sembahyang lima waktu pada tiap-tiap siang dan malam.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hikmat di sebalik suruhan mendirikan sembahyang itu, ianya akan menghindarkan seseorang daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Ini telah dijelaskan dalam firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.” (Surah al-‘Ankabût: 45)
Sembahyang merupakan tiang agama dan kesempurnaannya ialah khusyû‘ hati orang yang sembahyang itu. Ia boleh memberi sebesar-besar pertolongan dan semangat bagi menghadapi sebarang halangan dan dugaan atau perkara yang menyulitkan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah: 153)
Dengan mendirikan sembahyang dan bersabar dalam menghadapi sebarang kesulitan, insyâ’ Allah kita akan berjaya menjalankan apa jua usaha dan pekerjaan, walau bagaimanapun susahnya.
Adapun orang yang sembahyang, tetapi masih sahaja melakukan kemungkaran, maka besar kemungkinan sembahyangnya itu belum sempurna sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dalam perintahNya, melalui firmanNya:
Tafsirnya: “Peliharalah oleh kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wustha, dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyû‘.” (Surah al-Baqarah: 238)
Sembahyang fardhu lima waktu sehari semalam itu wajib dikerjakan menurut syarat-syarat yang tertentu. Ganjaran dan fadhilatnya adalah amat besar sekali. Demikian juga sebaliknya meninggalkan sembahyang itu akan dibalas dan dihukum dengan hukuman yang sangat berat.
Hukuman bagi orang yang meninggalkan sembahyang akan bergantung kepada keadaan, sama ada dia meninggalkannya dengan sengaja atau dengan tidak sengaja.
Meninggalkan sembahyang dengan sengaja ada dua cara:
(i) Meninggalkan sembahyang kerana ingkar tentang kewajipannya (tidak mengaku akan wajibnya hukum sembahyang itu).
Dalam keadaan ini hukum orang yang ingkar itu ialah kafir murtad dengan ijmâ‘ ulama, kerana hukum wajib sembahyang itu telah nyata dan dimaklumi dalam agama Islam. Dengan mengingkarinya menunjukkan orang itu telah mendustakan Allah dan RasulNya Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dia adalah sama dengan orang-orang kafir yang disifatkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya:
Tafsirnya: “Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal.” (Surah al-Mâ’idah: 58)
Berkata asy-Syirazi bahawa mana-mana orang yang wajib ke atasnya mengerjakan sembahyang dan dia enggan mengerjakannya serta mengingkari (tidak mengakui) bahawa sembahyang itu wajib sedangkan dia tahu bahawa sembahyang itu wajib, maka jadilah dia kafir murtad, kerana dia mendustakan Allah Ta‘ala, dan jika dia tidak mengerjakan sembahyang sedangkan dia tahu dan beri‘tiqâd bahawa sembahyang itu wajib, maka wajib dia dibunuh. (Al- Majmû‘: 3/13)
Imam an-Nawawi menyebut: “Jika mana-mana orang meninggalkan sembahyang dalam keadaan mengingkari akan wajibnya sembahyang itu atau mengingkari hukum wajib sembahyang itu, maka dihukumkan ke atasnya kafir murtad dengan ijmâ‘ ulama dan wajib dijalankan ke atasnya hukum murtad iaitu dihukum bunuh dengan perintah raja, kecuali jika dia Islam semula. Jika dia tidak tahu akan wajibnya sembahyang itu dengan sebab baharu masuk Islam atau tinggal di suatu tempat yang jauh daripada orang Islam yang boleh menyebabkan tidak sampainya hukum wajib sembahyang itu, maka tidaklah dia menjadi kafir kerana keingkarannya itu, bahkan perlu kita ajarkan dia. Jika setelah diajarkan hukum tersebut dan dia mengingkarinya, maka dia menjadi murtad. (Al-Majmû‘: 3/14)
(ii) Meninggalkan sembahyang kerana malas, sibuk dengan urusan-urusan dunia dan mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan. Maka yang demikian ulama-ulama berselisih pendapat sama ada dia kafir atau fâsiq; adakah dia berhak dibunuh atau cukup dengan hukuman ta‘zîr (disebat dan dipenjara).
Imam an-Nawawi telah menjelaskan bahawa jika dia tinggalkan sembahyang dengan tiada uzur, malas dan mempermudah-mudahkannya, maka hukumnya berdosa dan wajib dibunuh dan tidak dihukumkan kafir pada qaul al-ashah.
Berkata ulama asy-Syafi‘e bahawa perkara meninggalkan sembahyang yang dijelaskan di atas dihukumkan tidak dibunuh sebelum dia disuruh bertaubat ketika itu juga.
Pendapat al-Buwaithi, dihukumkan bunuh ke atas orang yang meninggalkan sembahyang itu dengan cara memancung tengkoknya dengan pedang sebagaimana di jalankan ke atas orang murtad. Sementara pendapat Ibnu Suraij, dicucuk punggungnya dengan besi atau dipukul dengan kayu sambil berkata kepadanya: “Sembahyanglah kamu, jika tidak, kami akan membunuh kamu”, dengan berulang-ulang sehingga dia mengerjakan sembahyang atau mati. (Al- Majmû‘: 3/14-15)
Mengenai hukum orang yang meninggalkan sembahyang dengan sebab malas padahal dengan i‘tiqâd dia tahu akan wajibnya sembahyang itu, pendapat yang masyhur dalam mazhab asy-Syafi‘e ialah dia dihukum bunuh secara hadd dan tidak dihukumkan kafir.
Pendapat ini juga dipegang oleh Malik dan kebanyakan daripada ulama salaf dan khalaf, dan berkata sebahagian mereka, dihukumkan ke atas mereka itu kafir dan berjalan ke atas mereka hukum murtad.
Pendapat mengenai kekufuran orang-orang yang meninggalkan sembahyang dengan sebab malas sehingga habis waktunya itu adalah berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Di antara ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah:
(i) Al-Qur’an menunjukkan bahawa meninggalkan sembahyang itu adalah ciri-ciri orang kafir, firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): “Taatlah dan kerjakanlah sembahyang”, mereka enggan mengerjakannya.” (Surah al-Mursalât: 48)
(ii) Al-Qur’an menyifatkan mereka pada Hari Kiamat nanti daripada golongan orang-orang kafir dan munâfiq, sekalipun mereka hidup bersama dengan orang-orang Islam di mana mereka diperintahkan sujud (bersembahyang) tetapi tidak dikerjakan atau ditunaikan, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “(Ingatlah orang-orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (Hari Kiamat), dan mereka diseru supaya sujud, maka mereka tidak dapat melakukannya. Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan; dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan), sedang mereka dalam keadaan sihat.” (Surah al-Qalam: 42-43)
(iii) Al-Qur’an juga menceritakan gambaran orang-orang yang tidak mengerjakan sembahyang di mana mereka dimasukkan ke dalam neraka Saqar. Firman Allah:
Tafsirnya: (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka (Saqar)?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.” (Surah al-Muddatstsir: 42-43)
(iv) Firman Allah lagi:
Tafsirnya: “(Kalau orang yang demikian dikira daripada bilangan orang-orang yang mendustakan agama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang, (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.” (Surah al-Mâ‘ûn: 4-5)
(v) Dalam ayat 59 surah Maryam, Allah menunjukkan kesesatan orang-orang yang meringan-ringankan sembahyang:
Tafsirnya: “Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat) maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka).” (Surah Maryam: 59)
Sementara itu banyak hadis-hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menyifatkan orang-orang yang meninggalkan sembahyang itu sebagai tanda kekufuran.
(i) Daripada Jabir, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Perbezaan antara seseorang itu dengan kekufuran ialah meninggalkan sembahyang.” (Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi, dan Ibnu Majah)
(ii) Hadis daripada Buraidah bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya perjanjian yang dibuat di antara kami dan mereka (orang kafir) ialah sembahyang, maka barang siapa yang meninggalkan sembahyang maka sesungguhnya dia kafir.”
(Hadis riwayat an-Nasa’i dan at-Tirmidzi)
(iii) Hadis daripada Mu‘adz bin Jabal, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadanya:
Maksudnya: “Jangan engkau tinggalkan sembahyang dengan sengaja, kerana sesungguhnya orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja itu nescaya terlepaslah dia daripada perlindungan Allah Ta’ala.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)
(iv) Hadis daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallah ‘anhuma, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan sembahyang, dia akan menemui Allah Subhanahu wa Ta ‘ala dalam keadaan dia dimurkai.” (Hadis riwayat al-Bazzar dan ath-Thabarani)
(v) Hadis daripada Abdullah Ibnu ‘Amr Radhiallahu ‘anhu bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pada suatu hari telah menyebut mengenai sembahyang dengan sabdanya:
Maksudnya: “Barang siapa yang menjaga/memelihara sembahyang diberikan kepadanya cahaya, petunjuk dan pertolongan pada Hari Kiamat, maka barang siapa yang tidak menjaga/memelihara sembahyangnya tidak diberikan kepadanya cahaya, petunjuk dan pertolongan, dan pada Hari Kiamat nanti dia bersama-sama dengan Qarun, Fir‘aun, Haman dan Ubaiy bin Khalaf.” (Hadis riwayat Ahmad, ath-Thabarani dan Ibnu Hibban)
(vi) Hadis daripada Naufal bin Mu‘awiyah Radhiallahu ‘anhu, sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Barang siapa yang meluputkan satu sembahyang, maka seolah-olah dia mengecilkan (menyempitkan) ahlinya dan hartanya.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban, al-Bukhari dan Muslim)
Berkata al-Hafiz al-Mundziri: “Segolongan para sahabat Nabi dan orang-orang (generasi) selepas mereka berpendapat adalah kufur orang-orang yang meninggalkan sembahyang sehingga habis waktunya dengan sengaja. Antara mereka yang berpendapat demikian ialah, di kalangan sahabat; ‘Umar bin al-Khaththab, Abdullah bin Mas‘ud, Abdullah bin ‘Abbas, Muadz bin Jabal, Jabir bin Abdullah dan Abu Darda’. Di kalangan bukan sahabat; Ahmad bin Hanbal, Ishak bin Rahawaih, Abdullah bin al-Mubarak, an-Nakha‘i, Hakam bin ‘Utaibah, Ayyub as-Sakhtayaniy, Abu Daud, Abu Bakar bin Abi Syaibah dan Zuhair bin Harb.” (At-Targhîb wa at-Tarhîb)
Begitulah yang telah dinukil oleh para sahabat dan generasi selepas mereka (tâbi‘în), mengenai kufurnya orang yang meninggalkan satu sembahyang dengan sengaja hingga luput waktu mengerjakannya.
Mengapakah Orang Tidak Sembahyang?
Apa pun sebabnya, kecuali kerana terlupa atau tertidur, maka meninggalkan sembahyang itu hukumnya berdosa. Tetapi hal ini dapat dielakkan jika perintah sembahyang itu dilaksanakan di peringkat yang lebih awal, kerana kesannya secara jangka panjang dapat dirasakan. Oleh itu perlaksanaan sembahyang hendaklah dimulai dari sejak kanak-kanak masih kecil. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Perintahlah anak-anak kamu supaya mengerjakan sembahyang ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika enggan mengerjakannya ketika berumur sepuluh tahun.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim)
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Thâhâ: 132)
Sebenarnya corak pendidikan itu mempengaruhi arah yang hendak dituju. Islam telah meletakkan ibu bapa sebagai penentu pendidikan anak-anak. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Setiap anak dilahirkan atas fitrah (sifat semula jadi yang suci murni), maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nashrani atau Majusi.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Peranan ibu bapa ini dapat menyelamatkan mereka dan ahli-ahli keluarga daripada api neraka sebagaimana syara‘ menghendaki:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.” (Surah at-Tahrîm: 6)
Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Setiap kamu adalah pemimpin (penjaga) dan bertanggungjawab ke atas orang di bawahnya, dan seorang lelaki (suami) pemimpin atau penjaga keluarganya dan bertanggungjawab ke atas orang-orang di bawah tanggungannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jika semua program pendidikan terarah dan terlaksana menurut sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam, suasana rumah tangga subur dengan hal ehwal keislaman dan suasana persekitaran pula tidak menunjukkan keadaan-keadaan yang negatif, sehingga Islam berkembang dengan subur. Yang demikian itu insyâ’ Allah, hukum Allah pun akan berjalan dengan baik, termasuk orang-orang Islam akan melaksanakan sembahyang mereka dengan sempurna.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7750
