Huraian Wajib, Sunat, Haram, Makruh Dan Harus
Soalan: Dipohonkan kehadapan Pehin agar dapat memberikan huraian mengenai wajib, sunat, haram, makruh dan harus.
Jawapan: Kata ‘hukum’ berasal daripada bahasa Arab yang bermakna undang-undang, peraturan atau perlembagaan. ‘Hukum’ mengikut bahasa ialah ‘tertegah’ atau ‘menetapkan sesuatu ke atas sesuatu yang lain’. ‘Hukum’ mengikut syara‘: “Firman Pembuat syara‘ yang berhubungan dengan perbuatan orang dewasa (mukallaf), yang mana firman itu mengandungi tuntutan, membolehkan sesuatu, atau meletak dan menjadikan sesuatu sebagai tanda adanya yang lain.” (a) Contoh tuntutan:
Tafsirnya: “Dan dirikanlah oleh kamu sembahyang.” (Surah al-Baqarah: 43) (b) Contoh membolehkan:
Tafsirnya: “Setelah selesai pertempuran itu, maka (terserahlah kepada kamu) sama ada hendak memberi kebebasan (kepada orang-orang tawanan itu dengan tiada sebarang penebusan) atau membebaskan mereka dengan mengambil penebusannya.” (Surah Muhammad: 4)
(c) Contoh meletak/menjadikan sesuatu sebagai tanda adanya yang lain:
Tafsirnya: “Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam.” (Surah al-Isrâ’: 78)
(Condong atau gelincir matahari menjadi tanda adanya kewajipan untuk melakukan sembahyang).
Hukum yang disebutkan di atas, adalah semata-mata firman Allah tanpa memasukkan dalil-dalil syara‘ yang lain yang bukan firman (nash), seperti ijmâ‘, qiyâs dan lain-lain. Walau bagaimanapun dalil-dalil syara‘ ini adalah juga berasal/bersumber daripada firman juga.
Berkata Imam Ghazali dalam al-Mustashfa:
Hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh syara‘ dalam perkara-perkara yang berhubungkait dengan perbuatan orang-orang mukallaf ada lima perkara iaitu:
i. Wajib ii. Haram iii. Harus iv. Mandûb v. Makruh.
Timbulnya pembahagian yang lima ini adalah kerana khithâb (atau makluman firman) yang datang dari syara‘ terkadang bertujuan menuntut perbuatan (supaya dilakukan), terkadang menuntut supaya ditinggalkan (jangan dilakukan) dan terkadang memberi pilihan sama ada melakukan atau meninggalkannya.
Jikalau khithâb itu datang dalam bentuk menuntut perbuatan (supaya dilakukan), ianya dinamakan amr atau perintah.
(i) Sekiranya amr (perintah) ini disertai oleh (tanda-tanda adanya) amaran seksa apabila ianya tidak dilakukan, maka amr ini dinamakan wajib hukumnya.
(ii) Sekiranya amr ini tidak disertai oleh (tanda-tanda adanya) amaran seksa apabila tidak dilakukan, maka ianya dinamakan mandûb hukumnya.
(iii) Sekiranya amr itu datang menyuruh meninggalkan (jangan melakukan) dan disertai pula oleh (tanda-tanda adanya) amaran seksa apabila dilakukan, maka ianya dinamakan haram hukumnya.
(iv) Sekiranya amr yang menyuruh meninggalkan (jangan melakukan) ini tidak disertai oleh (tanda-tanda adanya) amaran seksa apabila dilakukan, maka ianya dinamakan makruh hukumnya.
(v) Dan jikalau khithâb itu datang dalam bentuk memberi pilihan (di antara melakukan dan meninggalkan), maka ianya dinamakan mubâh hukumnya.
1. WAJIB
Kata ‘wajib’ berasal daripada bahasa Arab, maknanya yang paling hampir ialah ‘mesti’, seperti dikatakan: “Wajib sembahyang” (mesti sembahyang), “wajib ditinggalkan” (mesti ditinggalkan).
Istilah wajib dan fardhu adalah semakna mengikut jumhûr ulama, terkecuali dalam perkara-perkara haji dalam mazhab Hanafi.
Definisi ‘perbuatan wajib’: “Sesuatu perbuatan yang diberi pahala bila dikerjakan, dan ditimpakan seksa bila ditinggalkan,” atau “sesuatu yang dituntut oleh syara‘ supaya dilakukan oleh mukallaf dengan cara tuntutan yang pasti”.
Pembahagian Wajib
Jika dipandang dari berbagai segi, maka wajib itu terbahagi kepada beberapa kategori dan yang penting disebut di sini ialah:
(i) Dari segi waktu pelaksanaan yang mana ianya terbahagi kepada dua:
(a) Wajib mudhayyaq
Wajib mudhayyaq (yang disempitkan). Ertinya waktu untuk melakukan kewajipan itu sama dengan banyaknya waktu yang diperlukan, seperti bulan Ramadhan ditentukan untuk melakukan puasa selama mana bulan Ramadhan masih ada, dan seperti waktu akhir sembahyang.
(b) Wajib muwassa‘
Wajib muwassa‘ (yang diluaskan waktunya) atau zharf. Ertinya waktu wajib ini lebih banyak jika dibandingkan dengan waktu yang diperlukan melakukan pekerjaan wajibnya, seperti waktu sembahyang fardhu yang lima. Dalam wajib muwassa‘ ini, perbuatan yang wajib itu boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam batas waktu yang sudah ditentukan.
(ii) Kategori kedua jika dilihat dari segi perbuatan yang disuruh itu mu‘ayyan (tertentu) ataupun tidak, ada dua: Wajib mu‘ayyan dan wajib mukhayyar.
Wajib mu‘ayyan ialah: Yang sudah ditentukan jenis perbuatannya, seperti wajib membaca surah al-Fâtihah dalam sembahyang.
Wajib mukhayyar ialah: Yang boleh dipilih daripada beberapa jenis wajib yang ditentukan, seperti membayar kaffârah (denda) sumpah, iaitu memberi makan sepuluh orang miskin, memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin atau membebaskan seorang hamba sahaya. Dalam kewajipan menunaikan denda ini, maka boleh dipilih salah satu daripada yang tiga itu.
(iii) Kategori ketiga jika dilihat dari segi kadar atau banyak, ada dua: Wajib muhaddad dan wajib ghair muhaddad.
Wajib muhaddad ialah: Kewajipan yang telah ditetapkan oleh syara‘ akan batas kadar atau banyak jumlahnya, seperti sembahyang fardhu, ukuran kaffârah, harga pembelian dan sebagainya. Kewajipan jenis ini apabila tidak ditunaikan pada waktunya, maka ianya akan tetap menjadi tanggungan sehinggalah diganti.
Wajib ghair muhaddad ialah: Kewajipan yang tidak ditentukan oleh syara‘ akan batasan jumlah atau kadarnya, seperti membelanjakan harta di jalan Allah, memberikan makanan kepada orang kelaparan dan lain-lain. Adanya kewajipan dalam hal ini adalah kerana adanya perintah daripada syara‘, akan tetapi berapa jumlahnya bergantung kepada keadaan. Kemudian kewajipan jenis ini jikalau kita tidak menunaikan secukupnya pada saat itu, maka tidaklah menjadi tanggungan atau hutang kita bagi memenuhi kekurangannya pada masa berikutnya. Dalam masa berikutnya pula kita sudah dikira menghadapi kewajipan yang lain, walaupun daripada jenis yang sama.
(iv) Kategori keempat jika dilihat dari segi siapa pelaku atau siapa orang yang akan melakukannya, ada dua: Wajib ‘aini dan wajib kifâ’i. (Fardhu ‘ain dan fardhu kifayah).
Wajib ‘aini ialah: Perbuatan yang wajib (mesti) dilakukan oleh setiap orang mukallaf, seperti sembahyang lima waktu, puasa, haji dan lain-lain.
Wajib kifâ’i ialah: Perbuatan yang wajib (mesti) ditunaikan oleh siapa saja daripada kalangan masyarakat Islam tertentu. Apabila ianya sudah ditunaikan/diperbuat oleh salah seorang daripada mereka itu, maka hilanglah tuntutan wajib itu. Akan tetapi sekiranya tidak seorang pun daripada kalangan mereka yang melakukannya, maka kesemua mereka dikira berdosa. Contoh wajib kifâ’i ini adalah banyak dan pada umumnya ia ada hubungkait dengan mashlahat orang ramai, terutamanya dalam kawasan-kawasan tertentu, seperti:
(a) Adanya mufti atau tempat bertanya masalah agama dalam satu-satu kawasan (dua marhalah). (b) Adanya orang yang mempelajari kesemua hukum-hukum syara‘. (c) Mengadakan institusi tinggi Islam. (d) Mengadakan sembahyang berjemaah setiap waktu bagi setiap kampung. (e) Mendirikan tempat peribadatan. (f) Mendirikan tempat berubat (rumah sakit). (g) Menyembahyangkan jenazah. (h) Ada orang yang hafaz al-Qur’an. (i) Ada doktor perubatan lelaki dan perempuan dan lain-lain.
Risiko/Akibat
Sesuatu perkara agama yang hukumnya wajib dilakukan, seperti sembahyang, zakat, puasa dan haji, apabila dilakukan akan mendapat ganjaran pahala dan apabila tidak dilakukan akan menerima akibat seksa, bahkan jika dianggap tidak wajib melakukannya atau perkara yang wajib itu dikatakannya tidak wajib, sedangkan wajibnya sudah disepakati ulama, maka dia boleh menjadi kufur.
2. MANDÛB
Mandûb ialah sesuatu perbuatan yang apabila dilakukan mendapat pahala, tetapi apabila tidak dilakukan tidak dikenakan seksa.
Pengertian mandûb, mustahabb, tathawwu‘ dan sunat adalah sama dalam mazhab asy- Syafi‘e, kecuali mengikut pendapat Qadhi Husain dan lain-lain.
Bagi golongan ini, pengertiannya adalah seperti berikut:
Sunat ialah: Perbuatan yang terus dilakukan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Mustahabb ialah: Perbuatan itu tidak terus-menerus dilakukan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, satu ketika dilakukan dan pada ketika yang lain tidak dikerjakan Baginda.
Tathawwu‘ ialah: Perbuatan yang tidak dilakukan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan ianya hanya dipilih orang ramai (daripada ucapan atau perbuatan) yang dibuat sebagai wirid.
Mandûb juga sama pengertiannya dengan al-muraghghab fîh (yang digalakkan), al-ihsân (kebajikan), al-awlâ (yang utama), an-Nafl (sunat) dan al-mustahsan (yang dianggap baik).
Mandûb ada dua bahagian:
Bahagian pertama ianya terbahagi dua:
(i) Mandûb ‘aini ialah: Perbuatan yang dianjurkan supaya dikerjakan oleh setiap orang, seperti sembahyang sunat Rawâtib (sembahyang-sembahyang sunat sebelum atau selepas sembahyang fardhu).
(ii) Mandûb kifâ’i ialah: Perbuatan yang dianjurkan supaya diperbuat dan sudah cukup dilakukan oleh seorang saja daripada kumpulan tertentu, seperti memberi salam, mendoakan orang bersin, membaca basmalah ketika memulai makan.
Bahagian kedua juga terbahagi dua:
(i) Sunat mu’akkadah iaitu perbuatan yang tetap dikerjakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam atau lebih banyak dikerjakan Nabi daripada tidak, seperti sembahyang hari raya.
(ii) Sunat ghair mu’akkadah iaitu segala perbuatan yang disunatkan yang tidak selalu dikerjakan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Disebutkan oleh ulama bahawa orang yang melakukan sunat muakkadah akan mendapat pahala dan yang tidak melakukannya tidak akan dapat seksa. Akan tetapi orang yang tidak melakukannya adalah layak untuk mendapat teguran dan celaan.
Selain daripada pembahagian yang di atas, ada lagi pembahagian ketiga yang disebut oleh Dr. Wahbah az-Zuhaili sebagai mandûb zâ’id (sunat tambahan) yang berfungsi sebagai amalan kesempurnaan mukallaf, seperti perkara-perkara adat kebiasaan yang dilakukan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, misalnya mencontohi cara makan minum Rasulullah, cara berjalan, tidur, pakaiannya dan sebagainya. Bahagian ini dinamakan sunat tambahan, disukai, sopan santun dan keutamaan, kerana ianya bukan berbentuk hukum syara‘.
3. HARAM Haram ialah sesuatu perbuatan yang dilarang, apabila dikerjakan akan diberi seksa dan apabila tidak dikerjakan akan diberi pahala, seperti mencuri, berjudi, minum arak, makan riba dan lain-lain.
Perbuatan terlarang ini juga dinamakan haram, maksiat, dosa dan larangan.
Haram terbahagi dua iaitu:
(i) Haram kerana zat perbuatan itu sendiri, kerana hukumnya dari awal-awal lagi sudah terlarang (haram) seperti mencuri, berjudi, minum arak, makan riba, memakan daging babi, menikahi mahram dan lain-lain.
(ii) Haram kerana ada pertalian dengan perkara lain, yang pada asalnya halal, akan tetapi kerana adanya perkara lain itu maka ianya jadi haram (dilarang), seperti larangan jual beli sesudah adanya azan Jumaat. Jual beli itu sendiri tidak haram, tetapi kerana dilakukan dalam waktu tersebut, maka ianya menjadi haram (hanya pada ketika itu saja).
Jikalau disebut “diharamkan oleh Islam” atau “haram mengikut hukum agama”, maka perkara yang diharamkan itu tidak boleh dilakukan. Apabila dilakukan maka pelakunya akan mendapat seksa dan apabila tidak dilakukannya, maka dia akan mendapat pahala.
Jikalau disebut: “Diharamkan kerajaan”, maksudnya perkara yang berkenaan telah ditegah atau dilarang kerajaan. Apabila dilakukan, maka pelakunya berhak menerima hukuman kerajaan dan apabila tidak dilakukan, maka tidak ada apa-apa hukuman yang diterima.
4. MAKRUH
Makruh ertinya yang tidak disukai, kurang baik dan yang patut dijauhi.
Erti sebenar makruh ialah sesuatu perbuatan yang digalakkan supaya dijauhi. Apabila dilakukan tidak mendapat seksa dan apabila tidak dilakukan akan mendapat pahala.
Berkata al-Ghazali: “Makruh ialah sesuatu yang dituntut syara‘ meninggalkannya, tetapi tuntutan ini tidak dalam bentuk wajib dan pasti.”
Makruh terbahagi tiga, iaitu:
(i) Makruh tanzîh, iaitu sesuatu perbuatan yang dirasakan bahawa meninggalkannya lebih baik daripada melakukannya.
(ii) Makruh tark al-awlâ, iaitu meninggalkan yang lebih utama, seperti (adalah makruh) meninggalkan sembahyang sunat Dhuha.
(iii) Makruh tahrîm, iaitu sesuatu perbuatan yang dilarang tetapi dalilnya tidak pasti (qath‘i atau yakin). Makruh tahrîm ini lebih hampir kepada haram.
5. MUBÂH
Mubâh ertinya boleh, harus atau biasa dan halal.
Pengertian mubâh ialah sesuatu perbuatan yang apabila dilakukan tidak menerima apa-apa seksa atau pahala dan apabila tidak dilakukan juga tidak menerima seksa atau pahala, seperti makan, minum, berjalan dan berburu.
Pembahagian mubâh:
(i) Yang diterangkan oleh syara‘ boleh memilih di antara melakukan atau meninggalkannya. Apabila suka, boleh dilakukan dan apabila tidak suka, boleh ditinggalkan.
(ii) Tidak ada dalil daripada syara‘ yang menunjukkan boleh memilih melakukan atau meninggalkannya, akan tetapi syara‘ menyatakan tidak ada halangan (dosa) untuk melakukannya.
(iii) Yang tidak ada apa-apa keterangan syara‘ mengenainya. Hukumnya dikembalikan kepada “barâ’ah al-ashliyyah” (hukum asalnya tidak ada).
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7754
