Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Istilah Ahli Jemaah Masjid

Soalan: Dengan penuh hormat dan takzim abis kaola memohon penjelasan lanjut berhubung dengan perkara berikut atau fatwa baru mengenainya jika berbeza dengan apa yang telah difatwakan:

“Di dalam buku “Mimbar Fatwa 6” m.s. 33 di bawah tajuk Derma Orang Ramai Kepada Masjid, ada pertanyaan yang berbunyi: “Adakah boleh wang derma orang ramai di masjid-masjid digunakan untuk didermakan sebagai saguhati kepada membuat jamuan bagi majlis keagamaan yang diadakan di masjid-masjid berkenaan”. Jawapan yang difatwakan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja ialah: “Boleh dibelanjakan pada jamuan ahli masjid itu, kerana ia mashlahat ahli jemaah masjid.”

Persoalan abis kaola ialah istilah Ahli Jemaah Masjid dalam jawapan tersebut apakah ia bermaksud ahli jemaah tetap yang terdiri daripada anak-anak kampung yang tinggal di sekitar masjid berkenaan dan sentiasa hadir di masjid berjemaah atau boleh juga dianggap sebagai ahli jemaah orang yang datang sekali sekala atau orang luar yang datang berjemaah sekali sekala jua sebagaimana keadaan berikut:

“Masjid menganjurkan majlis ta‘lîm bagi belia-belia yang datang daripada lain-lain tempat di sebuah masjid dengan maksud menta‘mîrkan masjid berkenaan. Kemudian memberi jamuan kepada belia-belia ini dengan menggunakan wang tabung derma masjid.”

Demikianlah sahaja dan dipohonkan penjelasan lanjut atau apa-apa fatwa mengenainya.

Jawapan: Ibnu Majah dalam kitab Sunannya meriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy‘ari bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Dua orang ke atas adalah jemaah.”

Jemaah ertinya himpunan, kumpulan, kelompok atau sekawan.

Sementara dalam kitab Shahîh Bukhâri, dalam bab Azan dalam ceraian bab ketiga puluh lima ada menyebutkan bab:

Maksudnya: “Ini bab: Dua orang ke atas adalah jemaah.”

Dengan yang demikian maka makna jemaah masjid itu ialah kumpulan yang lebih daripada dua orang. Jika kumpulan yang terdiri lebih daripada dua orang ini disandarkan kepada masjid, maka disebutlah mereka sebagai kumpulan orang-orang masjid atau jemaah masjid.

Kumpulan ini dapat disandarkan kepada masjid, jika sekiranya mereka ini mempunyai hubungan dengan masjid, dalam perkara meng‘imârahkan masjid, sama ada dengan harta, sembahyang berjemaah di dalamnya, beri‘tikâf, atau sama ada kehadiran mereka ke masjid untuk mendengar ceramah dan lain-lain yang mashlahat atau kepentingan dengan masjid.

Maka setiap kumpulan yang turut meng‘imârahkan masjid melalui mana-mana cara yang disebutkan, termasuklah masjid menganjurkan majlis ta‘lîm bagi belia-belia yang datang dari lain-lain tempat kawasan masjid berkenaan kerana tujuan menta‘mîrkan masjid, layaklah dia dikira sebagai kumpulan orang-orang masjid atau ahli jemaah masjid, maka bolehlah mereka itu diberi jamuan dengan menggunakan wang tabung masjid.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7758