Jarak Perkuburan Islam Dengan Bukan Islam
Soalan: Dengan penuh hormat sukacita dihadapkan cadangan tapak perkuburan Islam yang pada masa ini sangat diperlukan bagi kemudahan penduduk-penduduk kampung yang beragama Islam khasnya di sekitar kampung tersebut.
Penghulu Mukim Sukang, Kuala Belait telah mencadangkan satu tapak yang mempunyai keluasan 1.5 ekar di atas tanah kerajaan di mukim tersebut dan inilah saja satu-satunya kawasan yang sesuai untuk dijadikan tapak perkuburan Islam, kerana kebanyakan kawasan mukim tersebut berkeadaan rendah yang selalu ditenggelami air. Tetapi cadangan tapak tersebut berdekatan dengan tanah perkuburan bukan Islam (perkuburan orang dusun) iaitu lebih kurang 150 kaki jarak di antara kedua-dua tapak yang dimaksudkan.
Menurut fatwa Allahyarham Yang Dimuliakan Pehin Datu Seri Maharaja (Mufti Kerajaan) yang pernah dikeluarkan bertarikh 20 Rejab, 1312 bersamaan 30hb. Ogos, 1972 mengenai tanah perkuburan orang Tionghua yang antara lain menyatakan bahawa jarak 99 kaki antara dua tanah perkuburan itu tidaklah memadai dan tidak dapat menyelamatkan mayat-mayat Islam daripada berjiran dengan mayat-mayat yang bukan Islam.
Dalam hubungan ini sukacita akan dapat nasihat Pehin bahawa dengan jarak kawasan tanah perkuburan Islam dengan bukan Islam lebih kurang 150 kaki itu boleh memadai akan terselamatnya mayat-mayat Islam daripada berjiran dengan mayat-mayat yang bukan Islam.
Jawapan: Setelah meneliti kedudukan permasalahan yang diminta fatwakan dan setelah mengambil kira bahawa pemilihan tapak yang dipohonkan itulah sahaja satu-satunya kawasan yang sesuai untuk dijadikan tapak perkuburan orang-orang Islam, kerana dikatakan kebanyakan kawasan lain di mukim tersebut berkeadaan rendah yang selalu ditenggelami oleh air.
Adapun antara tujuan mengkebumikan mayat orang Islam di perkuburan mereka yang khas, supaya mayat-mayat orang Islam mendapat rahmat dengan sebab doa orang-orang Islam yang berziarah ke tanah perkuburan dan lain-lain pahala bacaan al-Qur’an atau yang seumpamanya yang dibacakan kepada ahli-ahli kubur Islam itu.
Lebih-lebih lagi sunat dikebumikan dekat dengan kubur orang-orang salih atau wali-wali supaya mendatangkan rahmat kepada mayat yang berjiran dengan orang salih atau wali-wali itu.
Sejauh ini saya belum jumpa kitab yang membicarakan tentang jarak yang tepat menentukan letak antara perkuburan orang Islam dengan perkuburan orang bukan Islam itu. Walau bagaimanapun perkara yang diambil kira oleh para ulama fiqh ialah tidak harus (haram) menanam mayat orang Islam, di tanah perkuburan orang bukan Islam begitu juga sebaliknya. (Al-Majmû‘: 5/285 dan Mughni al-Muhtâj: 1/362)
Melihat kepada kes yang ditanyakan serta tidak atau belum ditemui jarak yang tepat, maka bolehlah tempat yang dicadangkan itu dijadikan tempat perkuburan orang Islam dengan menentukan kawasan-kawasan berkenaan dengan meletakkan tanda-tanda yang boleh dikenali antara keduanya bagi mengelakkan percampuran mayat, seperti membina pagar atau jalan yang boleh memisahkan antara keduanya. Sebagai langkah ke arah pemisahan tersebut, adalah elok penggunaan perkuburan itu dimulakan pada kawasan yang lebih jauh daripada sempadan yang berhampiran dengan perkuburan orang bukan Islam itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7762
