Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Jual Beli Saham I.B.B

Soalan: Jual beli saham I.B.B tidak zahir îjâb dan qabûlnya. Saham tidak diterima oleh pembeli dan tuan punya saham tidak menerima wang pembayaran. Untung rugi membabit individu sahaja. Kaola difahamkan, itu bukan judi, kerana umat Islam lemah di segi kewangan perlu bersaing.

Jawapan: Menurut mazhab asy-Syafi‘e memang perlu îjâb qabûl pada setiap jual beli. Tetapi sebahagian ulama dalam mazhab asy-Syafi‘e sendiri dan lain-lain mazhab berpendapat tidak wajib îjâb qabûl dengan lisan itu, bahkan cukup dengan perbuatan serah menyerah sahaja. Perbuatan ini sudah menunjukkan adanya kerelaaan di antara dua pihak, penjual dan pembeli. (Al-Majmû‘: 9/162-163)

Tidak Terima Barangan Yang Dibeli Dan Tidak Terima Bayarannya

Dalam Islam jual beli boleh dibuat secara bertangguh salah satu (bayaran atau barang). Yang pertama dikatakan bai‘ bi tsaman âjil iaitu jual beli dengan bayaran bertangguh.

Yang kedua dikatakan salam iaitu bayaran wajib tunai sepenuhnya. Manakala barangnya bertangguh sehingga ke suatu masa yang ditetapkan dan dimaklumi kedua pihak.

Kedua-dua bentuk tersebut adalah harus dan sah. Tetapi jika kedua-dua (barang dan bayaran) bertangguh dan tidak diserahkan di dalam majlis akad, maka dinamakan bai‘ al-kâli’ bi al-kâli’. Ini adalah tidak harus (haram) lagi tidak sah dengan ijmâ‘ semua mazhab dalam Islam, kerana ditegah oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, seperti dalam hadis daripada Ibnu ‘Umar:

Maksudnya: “Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah daripada jual hutang dengan hutang.” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Hadis ini bermaksud kedua-dua tukaran itu (barang dan bayarannya) bertangguh (hutang). (Al-Mahalli ma‘a al-Qalyubi wa ‘Umairah: 2/215 dan al-Majmû‘: 9/273-275)

Dari segi yang lain, penjual saham atau apa-apa barangan (komoditi) yang dibeli sebelum diterima daripada pihak penjualnya, adalah juga tidak sah lagi tidak harus (haram) kerana ditegah juga oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:

Maksudnya: “Jangan engkau jual barang yang engkau beli sebelum daripada engkau menerimanya.”

Hadis Hakim bin Hazam dan beberapa orang sahabat yang lain dengan makna yang sama. (Al-Muhadzdzab dan al-Majmû‘: 9/264, 270 dan 271)

Dalam pasaran saham pada masa kini terdapat beberapa bentuk kegiatan jual beli saham dan juga komoditi barangan utama sesuatu negara seperti bijih timah, getah, minyak petrol dan sebagainya, yang bercanggah dengan syara‘ iaitu di antaranya: Kegiatan jual beli atas angin dan kontra. Kedua-duanya terlibat dengan kegiatan “menjual barang yang dibeli sebelum menerima”. Apabila sahaja harganya naik dan menguntungkan pembeli, teruslah dijual kepada pembeli baru (pihak kedua/pihak ketiga dan seterusnya), sedangkan pembeli yang pertama tadi belum lagi menerima barangan atau saham itu daripada penjualnya. Apa yang berlaku ialah jualan ke atas kontrak, kerana ini dikatakan bai‘ al-‘uqûd. Oleh kerana tidak berlaku serahan atau penerimaan barangan dikatakan “jualan atas angin” (bai‘ ‘alâ al-maksyûf). (Al- Mausû‘ah al-‘Ilmiyyah al-‘Amaliyyah li al-Mabnûk al-Islâmiyyah terbitan al-Ma‘had ad-Dauli li al-Mabnûk al-Islamiyyah al-Qâhirah: 5/393-394, 412, 414 dan 416)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah urus niaga seperti ini kerana untuk memelihara kepentingan kedua-dua pihak yang berurus niaga, supaya tidak berlaku apa-apa risiko yang tidak diingini. Mainan saham seperti ini (atas angin dan kontra) didapati atau terlibat dengan perjudian kerana didasarkan kepada ramalan spekulasi yang keterlaluan.

Kerana ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah daripada menjual barang yang dibeli sebelum daripada diterima.

Dan kerana inilah, pada setakat ini ulama Islam dan pakar-pakar ekonomi dan kewangan Islam, pusat-pusat penyelidikan Islam seperti Majma‘ al-Fiqh al-Islâmi di bawah Râbithah al-‘Âlam al-Islâmi dan di bawah O.I.C. dan lainnya memutuskan kegiatan tersebut adalah tidak sah dan menggesa pasaran-pasaran saham dan komoditi di dalam negara-negara Islam supaya mematuhi syarat-syarat dan peraturan-peraturan Islam yang adil bagi menjaga kepentingan semua pihak itu.

Di antara kegiatan yang bercanggah juga dengan syara‘ dalam kegiatan jual beli saham ialah opsyen (option) dan waran panggilan (call warrant). Kedua-dua kegiatan ini bukan sebenarnya membeli saham tetapi membeli hak memilih sama ada hendak atau tidak membeli saham yang tercatit dalam sijil opsyen atau waran panggilan itu, kerana ini dita‘rîfkan sebagai membeli hak pegangan yang memberi hak kepada pemegangnya untuk membeli atau menjual, atau tidak membeli atau tidak menjual saham yang tertentu dengan harga yang tertentu dalam tempoh atau pada tempoh yang tertentu. Hak ini bererti hak memilih kerana dengan hak tersebut pemegang sijil opsyen atau waran panggilan diberi hak untuk memilih di antara membeli atau tidak, atau di antara menjual atau tidak saham yang tertentu dalam sijil pembelian opsyen atau waran panggilan itu.

Kedua-duanya juga pada setakat ini telah diputuskan oleh Majma‘ al-Fiqh al-Islâmi dan pusat-pusat penyelidikan Islam dan majlis pengawasan syariat bank-bank Islam sebagai tidak sah dari segi syara‘ kerana hak memilih tersebut tidak dapat diterima sebagai harta atau manfaat atau hak yang boleh diniagakan. (Resolusi Majma‘ al-Fiqh al-Islâmi: 7/1/65)

Untung Rugi Hanya Melibatkan Individu Sahaja

Ini adalah benar, kerana individu yang berlanggan dengan broker saham sahaja yang terdedah kepada risiko, oleh sebab mereka yang berjual beli. Manakala broker hanya wakil yang berurus niaga bagi pihak pelanggan mereka dengan bayaran-bayaran yang tertentu pada ketika membeli dan juga pada ketika pelanggan hendak menjual.

Broker tetap mendapat bayarannya. Tetapi pelanggan yang membeli saham boleh terdedah kepada kerugian jika saham yang dibelinya itu jatuh harga dan dia terpaksa menjual.

Dikatakan Bukan judi

Ya, bukan judi jika jual beli saham itu menurut syarat-syarat jual beli dalam Islam seperti yang dijelaskan di dalam fiqh Islam yang bersumbarkan kepada al-Qur’an, hadis, ijmâ‘ dan qiyâs.

Tetapi mainan saham seperti yang dimainkan oleh golongan spekulasi yang keterlaluan seperti menjual beli saham atas angin atau kontra atau melalui opsyen atau waran panggilan dan sebagainya, maka kegiatan ini adalah terlibat dengan perjudian.

Umat Islam Lemah Perlu Bersaing

Persaingan dalam kegiatan dunia dan akhirat adalah dituntut dan digalakkan dalam Islam seperti firman Allah:

Tafsirnya: “Maka berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kegiatan.” (Surah al-Baqarah: 148 dan surah al-Mâ’idah: 48)

Dalam ayat yang lain Allah memuji para mukminin yang mempunyai sifat-sifat taqwa, beriman, tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu dan menunaikan tanggungjawab dalam keadaan penuh keyakinan akan menemui Allah untuk mendapat balasan baik atau jahat, sebagaimana firmanNya:

Tafsirnya: “Mereka itulah (yang disebut sifat-sifat mereka dalam ayat 57 hingga 60) orang-orang yang segera (berlumba-lumba atau bersaing) mengerjakan kebaikan dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya.” (Surah al-Mu’minûn: 61)

Walau bagaimanapun janganlah persaingan itu sehingga melupakan atau mengenepikan syara‘ dan aqidah.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7766