Kedudukan Mas‘â
Soalan: Adakah mas‘â itu termasuk dalam atau sebahagian daripada Masjid al-Haram di Makkah al-Mukarramah?
Jawapan: Al-Mas‘â (tempat sa‘i) pada masa kini dari segi lahir adalah termasuk dalam Masjid al-Haram tetapi bukan sebahagian daripadanya, kerana:
1. Hukum-hukum yang berkaitan dengan tawaf dan sa‘i yang sedia ada dalam Islam terutama mazhab asy-Syafi‘e adalah seperti berikut:
(i) Tidak disyaratkan bagi sah sa‘i: Suci daripada hadas (kecil atau besar), haidh, nifas dan menutup aurat bahkan disunatkan sahaja melakukan setiap yang disyaratkan atau disunatkan pada tawaf, tetapi hanya membuka aurat itu adalah haram. Ini berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Sayyidatina ‘Aisyah yang sedang berada di dalam haidh semasa menunaikan haji bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, sabdanya:
Maksudnya: “Kerjakanlah apa sahaja yang dikerjakan oleh orang yang mengerjakan haji, kecuali jangan engkau tawaf di Baitullah.”
Daripada hadis ini jelas menunjukkan bahawa larangan adalah khusus dengan tawaf sahaja. Oleh itu sa‘i tidak termasuk di dalam larangan (daripada melakukannya semasa dalam haidh).
Dari segi yang lain, sa‘i merupakan satu amalan haji yang tidak berkaitan dengan Baitullah, maka tidaklah disyaratkan suci daripada perkara itu semua (hadas-hadas tersebut), menurut fatwa Ibnu ar-Rif‘ah di dalam kitab al-Kifâyah (Al-Mahalli ma‘a Qalyubi wa ‘Umairah: 2/110-112).
Oleh yang demikian, mas‘â adalah bukan sebahagian daripada Masjid al- Haram walaupun mungkin sekarang ini mas‘â sudah dimasukkan di dalam Masjid al-Haram ekoran daripada perluasan oleh pemerintahan kerajaan Arab Saudi. Tetapi apabila kita teliti, kita akan dapati dinding yang lama bagi Masjid al-Haram dengan segala pintu di sebelah mas‘â itu masih kekal sehingga ke hari ini walaupun dibina dinding baru di sebelah luar mas‘â itu dengan pintu-pintu baru yang bertentangan dengan pintu-pintu lama yang masih kekal itu.
Dengan ini Bâb ash-Shafâ yang lama masih kekal yang mana dari segi hukumya adalah sunat kepada para jemaah haji atau umrah supaya keluar daripada masjid melalui Bâb ash-Shafâ pada ketika hendak melakukan sa‘i. (Al-Mahalli: 2/110)
Dan sa‘i sendiri tidak sah jika seseorang itu melencong masuk ke dalam masjid.
Manakala tawaf pula disyaratkan di dalam masjid, dan tidak sah di luar masjid, kecuali jika diperluaskan masjid, maka sahlah tawaf di dalam masjid yang diperluaskan itu, selama mana tidak terkeluar daripada tanah haram ke tanah halal. (Al-Mahalli: 2/105)
(ii) Walaupun begitu tidak semestinya mas‘â menjadi sebahagian daripada masjid, kerana mas‘â merupakan salah satu sya‘â’ir (syiar) yang tersendiri seperti firman Allah:
Tafsirnya: “Sesungguhnya Shafâ dan Marwah adalah sebahagian daripada syiar Allah.” (Surah al-Baqarah: 158) Menurut zahir ayat ini, kedudukan mas‘â kekal sampai ke Hari Kiamat seperti mana yang ditetapkan Allah sebagai satu syiar itu.
(iii) Maqam dan rumah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berada di dalam Masjid Nabawi di Madinah al-Munawwarah setelah masjid itu diperluaskan, tetapi tidak dijadikan sebahagian daripada masjid sekalipun kedua-duanya berada di dalam masjid.
(iv) Jemaah haji dan umrah apabila tiba ke tanah suci Makkah, mereka disunatkan masuk ke dalam Masjid al-Haram melalui Bâb Banî Syaibah (Bâb as-Salâm) yang berada di dinding yang lama yang masih kekal sehingga hari ini dan para muthawwif dan syeikh haji pula masih membawa para jemaah mereka masuk melalui pintu ini dan berhenti di hadapannya memimpin para jemaah membaca doa masuk masjid di sini, tidak di hadapan pintu baru di dinding baru sebelah luar mas‘â walaupun terdapat pintu baru di sini yang bertentangan dengan Bâb as- Salâm itu.
Ini menunjukkan bahawa mas‘â masih belum dijadikan sebahagian daripada masjid.
Lebih jelas lagi hal ini ialah mas‘â itu diadakan tanda sempadan baginya di sepanjang kawasan daripada Shafa sehingga ke Marwah iaitu dinding atau tembok dari sebelah dalam (ke sebelah masjid) dan dinding dari sebelah luar.
Di tembok itu terdapat lorong-lorong untuk keluar masuk ke mas‘â ketika keluar masjid melalui mana-mana pintu lama yang masih kekal di dinding yang lama itu iaitu Bâb as-Salâm, Bâb al-‘Abbâs, Bâb an-Nabi, Bâb ‘Ali dan Bâb ash-Shafâ dan pada ketika menyeberangi mas‘â untuk masuk ke dalam masjid.
(v) Sehingga sekarang tidak disebut: “Orang yang masuk sehingga ke mas‘â sebagai telah masuk ke dalam masjid kecuali apabila seseorang itu melangkah mas‘â dan masuk ke dalam masjid melalui mana-mana pintu itu.” (Bagi orang yang masuk dari sebelah mas‘â).
2. Dengan ini semua, jelas bahawa mas‘â bukan sebahagian daripada Masjid al- Haram sekalipun telah diperluaskan dan diadakan dinding baru di sebelah luar mas‘â.
3. Keputusan ini sama dengan fatwa pihak Tabung Haji melalui siaran soal jawabnya dalam siri penerangan berkenaan dengan kerja-kerja haji dan umrah.
4. Bagaimanapun tidaklah mengapa bersetuju dan memakai fatwa yang mengharuskan i‘tikâf dan sembahyang tahiyyatulmasjid padanya berdasarkan keadaan dan kedudukan yang zahir begitu. Di antara fatwa itu ialah fatwa-fatwa bekas Mufti Kerajaan, Yang Dimuliakan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Doktor Haji Awang Ismail bin Umar Abdul Aziz Rahimahullah, berbunyi:
“Tempat sa‘i itu sekarang telah dimasukkan dalam bahagian Masjid al-Haram walaupun dahulunya tempat sa‘i itu ialah satu jalan lalu lalang orang bagaimana yang saya lihat tahun 1927. Dari itu sah i‘tikâf padanya dan sah sembahyang (tahiyyatulmasjid) padanya.” Demikian juga pendapat dalam al-Fiqh al-Wâdhih: 2/637 yang berbunyi:
Ertinya: “Dan haram sekarang ke atas perempuan yang berada dalam haidh dan orang yang berada dalam junub melakukan sa‘i di antara Shafâ dan Marwah, kerana Mas‘â telah dimasukkan ke dalam masjid. Tetapi jika orang yang berjunub atau perempuan yang dalam haidh melakukan sa‘i, sah sa‘i mereka.”
5. Tetapi yang lebih tepat adalah tidak haram melakukan sa‘i bagi orang yang berjunub dan yang haidh atau yang berada dalam nifas seperti mana hadis ‘Aisyah di atas. Hukum yang diambil daripada itu adalah kekal seperti kekalnya Shafa dan Marwah (merangkumi mas‘â) sebagai syiar Allah walaupun dikatakan telah dimasukkan ke dalam masjid.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7770
