Kedudukan Saksi Perempuan
Soalan: Bagaimana cara pensabitan Islam bagi seorang yang telah meninggal dunia tetapi dikatakan oleh seseorang yang lain yang dia telah memeluk agama Islam sebelum kematiannya. Bolehkah diterima keterangan seorang perempuan yang telah disaksikan oleh seorang perempuan dalam pensabitan hal Islamnya (sebelum kematiannya). Adakah disyaratkan saksi dalam pensabitan keislaman dan apa syarat-syarat saksi tersebut?
Jawapan: Islam itu ertinya patuh mengikut ajaran-ajaran yang telah dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Adapun kepatuhan itu bermaksud pengakuan dengan lidah (ucapan) membenarkan tentang ajaran-ajaran yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam terutama pengakuan tentang keesaan Allah Ta‘ala dan kerasulan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Begitu juga mengakui betulnya ajaran-ajaran yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Sebagai tanda yang menzahirkan seseorang itu menerima dan membenarkan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu ialah mengucap dua kalimat syahadat. Adapun amalan-amalan yang zahir seperti mengerjakan sembahyang itu adalah sebagai kesempurnaan Islam dan iman. (Syarh Jawharah at-Tauhîd: 1/253)
Islamnya seorang itu khasnya seorang yang asalnya bukan Islam kemudian memeluk Islam, tidaklah semestinya bergantung kepada adanya pengesahan daripada pihak yang tertentu. Namun demikian, kebaikan membuat pengesahan itu akan menolong memudahkan segala urusan dunianya.
Dari itu tidak harus menolak keislaman seseorang itu semata-mata kerana tiada pengesahan mengenainya.
Berlainan halnya dengan pensabitan mahkamah kerana sudah menjadi peraturan dalam mahkamah setiap dakwaan mestilah dibuktikan.
Apabila seseorang atau sesuatu pihak mengemukakan pendakwaan untuk menuntut hak atau kepentingan ke atas pihak yang lain, maka hendaklah orang yang mendakwa itu membuktikan kebenaran dakwaannya.
Hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Keterangan atas pihak yang mendakwa dan sumpah pula atas pihak yang didakwa.” (Hadis riwayat al-Baihaqi dan at-Tirmidzi)
Jelas daripada hadis di atas bahawa beban membukti adalah tertanggung ke atas orang yang mendakwa dengan mengemukakan keterangan dan memberikan bukti.
Salah satu cara pembuktian dalam Islam ialah melalui syahâdah. Pengertian syahâdah dari segi bahasa ialah: Penerangan atau khabar yang putus (pasti).
Dari segi istilah pula ialah: Pemberitahuan tentang sesuatu hak bagi orang lain ke atas orang lain dengan menggunakan lafaz ‘aku naik saksi’.
Berkata setengah ulama, bahawa syahâdah dari segi istilah ialah: Pemberitahuan tentang sesuatu dengan menggunakan lafaz yang khusus. (Qalyûbi wa ‘Umairah: 4/318)
Antara dalil-dalil yang mensyariatkan syahâdah, firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki daripada kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah seorang lelaki dan dua orang perempuan daripada orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi.” (Surah al-Baqarah: 282)
Di dalam ayat yang lain Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Dan adakanlah dua orang saksi yang ‘âdil di antara kamu.” (Surah ath-Thalâq: 2)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Tidak ada jalan bagimu (untuk membuktikan dakwaan) melainkan engkau mengadakan dua orang saksi atau sumpah orang yang didakwa.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jelas daripada dalil-dalil tersebut di atas bahawa syahâdah itu ada disyariatkan di dalam Islam.
Syarat Syahâdah
Tidak diterima syahâdah seseorang itu melainkan jika memenuhi syarat-syarat berikut:
i. Islam: Tidak diterima syahâdah orang kafir atas orang Islam atau syahâdah orang kafir atas orang kafir. ii. Bâligh: Tidak diterima syahâdah kanak-kanak.
iii. Berakal: Tidak diterima syahâdah orang yang gila.
iv. Merdeka: Tidak diterima syahâdah seorang hamba.
v. ‘Âdil: Yang dikatakan orang yang ‘âdil itu mengikut mazhab asy-Syafi‘e ialah orang yang menjauhi setiap dosa besar, tidak terus melakukan dosa-dosa kecil, mempunyai aqidah yang benar (tidak kufur atau fâsiq) berjiwa tenang walaupun ketika marah dan sentiasa menjaga maruah. (Al-Iqnâ‘ li al-Khâtib asy-Syarbini: 5/114)
vi. Bermaruah: Hendaklah saksi itu orang yang berakhlak mulia dan mempunyai maruah. Contoh tidak berakhlak mulia ialah makan di khalayak ramai, berjalan tanpa menutup kepala, berpelukan dengan isteri di hadapan orang ramai, suka berlawak dan lain-lain.
vii. Boleh berkata-kata: Tidak diterima syahâdah orang bisu sekalipun jika dapat difahami isyaratnya itu.
viii. Kuat ingatan: Tidak diterima syahâdah orang yang lemah ingatan, pelupa atau sering tersalah.
ix. Tiada tohmah: Yang dimaksudkan tohmah itu ialah keraguan atas seseorang kerana hubungan baik atau mempunyai kepentingan dengan pihak yang berkaitan, atau keraguan ke atas seseorang kerana hubungan buruk dengan pihak yang berkaitan.
Maka tidak diterima syahâdah seseorang yang ada tohmah padanya, seperti syahâdah seorang anak bagi ayahnya atau syahâdah seorang ayah bagi anaknya.
x. Hendaklah saksi itu seorang yang rasyîd: Tidak diterima kesaksian seorang yang tidak mempunyai kuasa bercakap ke atas hartanya kerana bodoh (mahjûr ‘alaih bi safah).
Hukum Syahâdah
Syahâdah yang telah memenuhi syarat-syaratnya wajib diterima oleh hakim dan ianya mengikat hakim. Hakim tidak mempunyai budi bicara atau kuasa menolak malahan wajib baginya menjatuhkan hukuman berdasarkan syahâdah tersebut.
Bilangan Saksi
Selain daripada syarat-syarat saksi yang disebutkan terdahulu, saksi-saksi yang memberi kesaksian (syahâdah) itu menepati syarat dari segi bilangannya. Maka hendaklah saksi-saksi tersebut mempunyai bilangan yang cukup bagi membuktikan sesuatu dakwaan ataupun tuntutan.
Apa yang dimaksudkan dengan bilangan saksi itu ialah bilangan minimum saksi yang diperlukan untuk mensabitkan sesuatu kes.
Pada kes-kes selain daripada hudûd, qishâsh dan mâl di mana salah satu daripadanya mengenai dengan pensabitan keislaman seseorang, maka yang menjadi pegangan mazhab asy-Syafi‘e ialah dimestikan mengadakan dua orang saksi lelaki dan tidak diterima kesaksian wanita.
Akan tetapi berhubung dalam perkara ini ada juga beberapa masalah yang dikecualikan daripada syarat tersebut (mengadakan dua orang saksi lelaki), antaranya:
i. Adalah diterima kesaksian seorang lelaki dan dua orang perempuan, ataupun kesaksian seorang lelaki dan sumpah ahli waris sama ada pewarisnya (mawrits) itu mati di dalam Islam ataupun dalam kafir, kerana apa yang dimaksudkan di sini adalah untuk mensabitkan dalam masalah waris. (Mughni al-Muhtâj: 4/442)
ii. Jika mati seorang kafir dzimmi kemudian tampil seorang lelaki yang ‘âdil memberi kesaksian bahawa orang tersebut mati dalam Islam, maka yang demikian itu tidak memadai untuk mensabitkan dalam masalah waris akan tetapi memadailah dengan seorang saksi itu untuk menguruskan mayat si mati dengan cara pengurusan mayat orang Islam. (Mughni al-Muhtâj: 4/441)
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, jelas bahawa kesaksian dua orang perempuan itu belumlah dapat untuk mensabitkan dalam perkara pengislaman seseorang.
Demikian pendapat ulama asy-Syafi‘e dalam perkara ini.
Walau bagaimanapun ada ulama seperti Ibnu Qayyim berpendapat bahawa, boleh diterima kesaksian perempuan jika ianya boleh dipercayai dan tidak terdapat lelaki untuk dijadikan sebagai saksi di dalam kes tersebut.
Ini berdasarkan bahawa Mu‘awiyah telah memutuskan hukuman di dalam kes yang berkenaan dengan rumah dengan hanya berdasarkan kepada kesaksian Ummu Salamah:
Ertinya: “Diriwayatkan daripada Mu‘awiyah bahawa dia pernah memutuskan suatu kes berkenaan dengan rumah dengan kesaksian Ummu Salamah Umm al-Mukminîn dan tidak ada orang lain yang menjadi saksi di dalam kes tersebut melainkan dia seorang.”
Kenyataan tersebut dipetik daripada kitab ath-Thuruq al-Hukmiyyah, li Ibn al-Qayyim.
Satu perkara lagi bahawa, jika pun keterangan perempuan itu tidak boleh diterima pada tahap syahâdah disebabkan tidak menepati syarat yang telah ditentukan, maka bolehlah digunakan keterangannya itu sebagai bahan pembuktian dengan cara yang lain. Kerana memang tidak syak lagi keterangan yang ada pada perempuan itu mempunyai nilai-nilai tertentu dan berguna bagi membantu menegakkan keadilan serta memelihara hak-hak pihak tertentu. Sebagaimana yang dimaklumi juga bahawa cara pembuktian itu tidaklah hanya terbatas kepada syahâdah sahaja.
Sehubungan dengan itu Ibnu al-Qayyim al-Hanbali menta‘rîfkan “al-bayyinah” iaitu keterangan sebagai ‘nama bagi setiap sesuatu yang menjelas dan menyatakan kebenaran’.
Melalui ta‘rîf di atas dapat difahami bahawa pembuktian dengan cara bayyinah itu adalah luas dan mencakupi apa sahaja yang menjelaskan hak dan kebenaran.
Berdasarkan ini maka al-bayyinah itu termasuklah kesaksian yang diterima, juga yamîn (sumpah), nukûl ‘an al-yamîn (enggan bersumpah), qarînah atau syawâhid al-hâl iaitu suasana dan keadaan yang mempunyai hubungan dengan fakta kes dan lain-lain. Ibnu al-Qayyim di dalam kitabnya ath-Thuruq al-Hukmiyyah telah membincangkan dua puluh enam cara bayyinah itu.
Ibnu al-Qayyim menegaskan, tidak diragukan lagi bahawa jenis-jenis keterangan (al-bayyinah) yang lain selain daripada syahâdah adakalanya lebih kuat, kerana adanya tanda-tanda dan keadaan yang menyokong akan kebenaran dakwaan orang yang mendakwa.
Menurut beliau lagi, adapun maksud hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam “keterangan atas pihak yang mendakwa” bererti orang yang mendakwa hendaklah menerangkan apa sahaja yang boleh membenarkan dan menyokong dakwaannya. Kemudian apabila nyata kebenarannya dengan mana-mana cara pembuktian maka hendaklah diberikan hukuman baginya.
Oleh itu, apa yang dapat diambil kesimpulan di sini bahawa keterangan perempuan itu boleh juga diambil kira sebagai bahan pembuktian dengan cara yang lain selain daripada syahâdah.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7774
