Masjid Setia Ali: Madrasah Dan Sembahyang Berjemaah
Soalan: Dengan penuh hormat dan sukacitanya dihadapkan perkara mengenai madrasah Masjid Setia Ali Muara.
Untuk makluman pihak Tuan bahawa madrasah tersebut telah dibangunkan beberapa tahun selepas terdirinya bangunan Masjid Setia Ali. Memandangkan keramaian jemaah, satu tambahan (extension) telahpun dibangunkan antara madrasah berkenaan dengan masjid yang ada ini dan menjadi penghubung di antara kedua bangunan tersebut (bangunan masjid asal dan bangunan madrasah menjadi satu). Madrasah tersebut mengandungi bilik untuk pejabat perpustakaan, dapur, pentas, stor dan tandas.
Sehubungan dengan itu dipohonkan pandangan dan apa-apa juga fatwa daripada pihak Tuan mengenai kedudukan perkara di atas sama ada madrasah tersebut diiktiraf sebagai masjid tentang kegunaannya untuk sembahyang berjemaah dan yang sehubungan dengannya.
Jawapan: Apabila suatu bangunan itu dibangunkan bukan kerana masjid seperti madrasah, dewan atau lain-lain seumpamanya, sekalipun berhampiran dengan masjid seperti kedudukannya di sebelah masjid, maka bangunan itu bukanlah masjid. Bangunan bukan masjid seperti madrasah itu tidak ada padanya apa yang dihukumkan kepada masjid seperti tiada sunat beri‘tikâf di dalamnya.
Walau bagaimanapun jemaah yang bersembahyang Jumaat di dalam bangunan madrasah yang berhampiran atau bersebelahan dengan masjid itu adalah sah sembahyang Jumaatnya, kerana masih lagi memenuhi syarat-syarat berjemaah yakni masih bersambung saf jemaah yang berada di madrasah dengan yang berada di dalam masjid.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7778
