Menangguhkan Pemergian Menunaikan Fardhu Haji
Soalan: Dengan hormatnya kaola pohonkan fatwa bagi kemusykilan yang dihadapi oleh Syarikat Minyak Shell Brunei Sendirian Berhad seperti berikut:
“Dalam satu Jabatan ada beberapa orang pekerja hendak menunaikan fardhu haji tetapi jabatan tidak dapat membenarkan semua daripada pekerja-pekerja itu untuk menunaikan fardhu haji disebabkan kehendak operasi.”
Jawapan: Haji ialah syariat yang dibawa oleh junjungan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai menyambung syariat yang diturunkan kepada Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihissalam. Haji juga merupakan salah satu rukun Islam. Haji wajib dikerjakan (ditunaikan) oleh orang Islam yang mukallaf setelah memenuhi syarat-syaratnya. Dalil tentang kefardhuannya boleh didapati dalam al-Qur’an dan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.” (Surah al-Baqarah: 196)
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala lagi:
Tafsirnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk menunaikan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya daripada berbagai jalan (dari ceruk rantau) yang jauh.” (Surah al-Hajj: 27)
Dan telah diriwayatkan oleh imam-imam (ahli-ahli hadis), daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berkhutbah kepada kami, sabdanya: “Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah mewajibkan haji ke atas kamu, oleh sebab itu kerjakanlah haji itu”. Seorang lelaki bertanya: “Adakah tiap-tiap tahun wahai Rasulullah?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam diam tidak menjawab, sehingga lelaki itu mengulang-ulang pertanyaannya sebanyak tiga kali. Selepas itu barulah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Jikalau aku jawab: “Ya”, nescaya wajiblah ianya (setiap tahun) dan kamu tidak akan berupaya melakukannya”. Seterusnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda lagi: “Biarkanlah aku (jangan kamu tanya) tentang apa yang aku tinggalkan (yang tidak aku sebutkan) kepada kamu. Sesungguhnya telah binasa orang-orang yang sebelum kamu adalah dengan sebab banyaknya pertanyaan-pertanyaan dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka. Maka apabila aku menyuruh kamu dengan satu-satu perintah itu, kamu laksanakanlah sesuai dengan keupayaan kamu dan apabila aku melarang kamu daripada (mengerjakan) sesuatu, kamu tinggalkanlah ianya.” (Hadis riwayat Muslim)
Tersebut di dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn bahawa wajib haji dan umrah itu sekali dalam seumur hidup, boleh ditangguhkan atau dikemudiankan dan tidak dengan segera.
Sesungguhnya harus ditangguhkan (dikemudiankan) mengerjakan haji itu dengan syarat mestilah ada azam hendak menunaikan haji atau umrah itu pada masa akan datang, dan tidak berlaku kesuntukan (sempit) masa haji atau umrah itu dengan adanya nazar haji, atau qadha haji atau takut lemah badan untuk pergi berhaji atau binasa harta untuk haji dengan ada tanda-tanda sedemikian itu sekalipun tanda-tanda itu lemah tidak kuat. (2/321-322)
Berdasarkan dalil-dalil daripada ayat al-Qur’an dan sunnah Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, bahawa menangguhkan haji itu adalah dibolehkan. Inilah juga pendapat Imam asy-Syafi‘e, Muhammad bin al-Hasan dan Abu Yusuf (kedua-duanya daripada mazhab Abu Hanifah) dan pengikut mazhab Malik - Ibnu Khuwaiz Mandad. (Tafsîr al-Qurthubi: 4/144)
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Tafsirnya: “Dan Allah mewajibkan kepada manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kafir (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.” (Surah Âli ‘Imran: 97)
Ayat ini diturunkan ketika tahun berlakunya peperangan Uhud di Madinah pada tahun ketiga hijrah. Walau bagaimanapun Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak mengerjakan haji pada tahun ketiga (ketika diwajibkan ibadat haji) melainkan pada tahun kesepuluh daripada tahun hijrah.
Manakala dalil as-Sunnah ialah berdasarkan hadis Dhimam bin Tsa‘labah as-Sa‘di daripada Bani Sa‘ad bin Bakar yang datang kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya mengenai Islam, lalu Nabi menjawab dengan menyebut syahâdah, sembahyang, puasa, zakat dan haji. Begitu juga riwayat Ibnu ‘Abbas, Abu Hurairah dan Anas, semuanya menyatakan mengenai kewajipan haji. Berbeza pendapat ulama mengenai masa berlakunya pertanyaan Dhimam itu (sebelum Baginda mengerjakan haji) sama ada tahun kelima, ketujuh dan dikatakan juga tahun kesembilan.
Berkata Ibnu Abdul Barr: “Dan daripada dalil menunjukkan bahawa ibadat haji boleh dikemudiankan dan dengan ijmâ‘ ulama tidak menjadi fâsiq orang yang berdaya mengerjakannya tetapi melewat atau menangguhkan hajinya pada tahun itu kepada tahun berikutnya dan seterusnya, dan dia mengerjakan haji itu setelah beberapa tahun dan jika ditunaikan haji itu jadilah dia haji wajib. Bukan seperti orang yang meninggalkan sembahyang sehingga habis waktunya maka ke atasnya mengqadha sembahyang yang luput itu, dan begitu juga bagi orang yang luput puasa Ramadhan kerana sakit atau musafir.”
Berkata Imam Qurthubi di dalam tafsirnya: “Dan telah menceritakan Ibnu Khuwaiz Mandad daripada Ibnu al-Qasim, telah berkata Ibnu al-Qasim dan lain-lain: “Jika ditangguhkan haji sehingga umur enam puluh tahun, maka tidaklah menjadi dosa ke atasnya. Tetapi jika ditangguh atau dilewatkan haji itu sehingga melebihi umur enam puluh tahun, maka dihukumkan berdosa atasnya, kerana umur umat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam lingkungan enam puluh hingga ke tujuh puluh tahun”, seperti sabda Baginda:
Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah berkata: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Umur-umur umatku itu di antara enam puluh ke tujuh puluh tahun dan sedikit daripada mereka itu yang melimpasinya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Berdasarkan pendapat sebahagian ulama termasuk Imam asy-Syafi‘e sendiri, maka harus bagi sebahagian pegawai Syarikat Shell Brunei menangguhkan pemergian mereka menunaikan haji, kerana mereka itu dikehendaki untuk bertugas menjalankan operasi syarikat.
Dalam pada itu kedua-dua pihak, syarikat dan pegawai-pegawai itu sendiri hendaklah sentiasa sama-sama mencari jalan bagi mengatasi halangan-halangan tersebut, di mana dengan cara yang demikian, ibadat wajib yang juga salah satu rukun Islam ini akan dapat dilakukan tanpa bertangguh lama-lama. Sebab pertangguhan itu juga mempunyai batas-batasnya sebagaimana penerangan yang awal di atas.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7782
