Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Mengembiri Binatang (Kucing)

Soalan: Dengan penuh hormat kaola ingin mengemukakan masalah tentang perkara mengembiri binatang kesayangan. Buat pengetahuan Pehin abis kaola terlibat dalam membuat perkara berkenaan atas permintaan tuan punya binatang berkenaan. Mengembiri ini dibuat kepada ternakan kucing jantan dengan dibuang buah kemaluannya dan yang betina dipotong dibahagian saluran peranakannya. Kesemua ini dibuat agar si jantan tidak lagi mencari kucing betina dan bagi kucing betina tidak lagi dapat melahirkan anak.

Sudilah kiranya pihak Pehin dapat menerangkan kedudukan perkara ini dari segi hukumnya adakah perbuatan ini berdosa terhadap ternakan tersebut.

Jawapan: Agama Islam adalah agama yang sempurna dan agama yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Dasar rahmat itu ialah firman Allah:

Tafsirnya: “Dan tidaklah kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiyâ’: 107)

Berkata al-‘Allâmah Shihabuddin Mahmud al-Alusi al-Baghdadi: “Dan dikatakan maksudْي العامل ialah semua makhluk (kejadian), maka sesungguhnya alam ini tidak dapat menandingi Allah Ta‘ala dan kebesaran sifat-sifatNya. Dan semua (keseluruhannya) makhluk-makhluk yang berakal itu diberikan keistimewaan daripada makhluk-makhluk yang lain.” (Kitab Rûh al-Ma‘âni fî Tafsîr al-Qur’ân wa as-Sab‘u al-Matsâni: 17/105)

Manusia dan makhluk-makhluk yang lain seperti binatang juga akan mendapat rahmat dengan sebab diutus Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Maka makhluk-makhluk lain (binatang) akan dihimpun dan dibangkitkan di Hari Kiamat nanti untuk dihisab dan menerima balasan. Hal ini telah dijelaskan di dalam al-Qur’an di mana Allah Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tidak Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab al-Qur’an ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).” (Surah al-An‘âm: 38)

Imam Fakhiruddin ar-Razi menyatakan di dalam kitabnya bahawa munasabah ayat ini dan ayat sebelumnya diturunkan adalah bagi menyampaikan kelebihan, perlindungan, rahmat dan ihsan Allah Ta‘ala kepada semua makhlukNya (manusia, jin, malaikat, binatang sama ada binatang melata, burung-burung, binatang di laut dan lain-lain). (Kitab at-Tafsîr al-Kabîr: 12/174)

Berkata Imam Ibnu Hajar al-Haitami: “Dan membunuh itu bukanlah sebagai syarat bahkan memadai penyeksaan yang bersangatan seperti memukul dengan pukulan yang menyakiti, kemudian saya melihat di antara mereka terang-terangan menyeksa binatang tanpa keperluan (tiada sebab) dan mengembiri hamba dan menyeksanya dengan kezaliman adalah dosa besar dan diqiyâskan hamba itu juga kepada yang selainnya. Binatang-binatang yang harus dikembiri sewaktu kecil itu adalah bertujuan supaya binatang tersebut akan gemuk dan bagi keenakan dagingnya. Sesungguhnya pemilik yang berlaku zalim kepada hamba dan binatang adalah perbuatan dosa besar.” (Az-Zawâjir: 2/140)

Kata beliau lagi: “Dan daripada kezaliman yang besar terhadap jiran, hamba atau binatang ialah tidak memberikan makanan kepada mereka, sebagaimana hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Memadai seseorang itu berdosa jika dia menahan (makanan, upah dan sebagainya) orang-orang yang di bawah tanggungannya.”

Daripada kezaliman terhadap binatang itu termasuk memukul dengan pukulan yang menyakiti atau mengurung atau tidak memeliharanya dengan sempurna atau menyeksanya dengan seksaan yang melampaui batas. Tersebut di dalam hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Di Hari Kiamat nanti, setiap hak akan diberikan kepada ahlinya (orang-orang yang di bawah tanggungannya), hinggakan hak seekor binatang yang tidak bertanduk akan diambil daripada kambing yang bertanduk.”

Maka (ayat dan hadis di atas) adalah dalil (berlakunya) qishâsh di antara binatang dengan binatang dan di antara binatang dengan manusia. Sehinggakan jika seseorang itu memukul binatang tanpa hak (sebab) atau binatang itu lapar dan tidak diberikan makanan atau menyeksa mereka berlebih-lebihan, dia akan menerima balasan di Hari Kiamat nanti sebagaimana dia menzalimi binatang itu di dunia.” (Az-Zawâjir: 2/141)

Beliau juga menyatakan akan larangan berlaku zalim (kasar) terhadap binatang sebagaimana hadis daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang melagakan di antara binatang-binatang.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga ada menjelaskan mengenai rahmat dan belas kasihan sebagaimana apa yang dianjurkan oleh Baginda sendiri, sabdanya:

Maksudnya: “Orang-orang yang mempunyai hati yang pengasih itu, mereka akan dirahmati oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang bersifat ar-Rahman, hendaklah kamu mengasihani sesiapa jua di atas muka bumi ini, supaya kamu juga akan dikasihani oleh orang-orang yang berada di atas langit.”

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: “Sesungguhnya sesiapa yang tiada belas kasihan dan rahmat di hatinya, nescaya tidaklah dia diberi rahmat dan kasihan.”

Di dalam hadis yang lain:

Maksudnya: “Barang siapa tidak ada kasihan ke atas orang lain, maka Allah tidak kasihankan dia.”

Berdasarkan kepada dalil-dalil daripada al-Qur’an, hadis dan penjelasan ulama di atas, belas kasihan dan larangan berlaku zalim terhadap binatang adalah di antara dosa-dosa besar yang sewajibnya dielakkan dan dibanteras. Begitu juga halnya mengembiri binatang adalah termasuk dalam larangan-larangan tersebut kerana perbuatan itu menyakiti dan tiada belas kasihan, kecuali bagi binatang yang halal di makan sebagaimana perbahasan ulama mengenainya.

Berkata asy-Syeikh Sulaiman al-Bujairimi: “Ketahuilah bahawa mengembiri itu adalah diharuskan dengan tiga syarat: Hendaklah binatang itu halal dimakan, hendaklah dilakukan (mengembiri) itu pada masa binatang itu masih kecil dan hendaklah dilakukan (mengembiri) itu pada musim sederhana (tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk). Jika tidak dilakukan (mengembiri) itu dengan tiga syarat tadi, maka mengembiri binatang itu adalah haram.” (Kitab Bujairimi al-Khatib: 4/336)

Keharusan pada mengembiri binatang yang halal dimakan itu berdasarkan perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika melakukan kurban (udhhiyyah):

Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah berkorban (udhhiyyah) dengan dua ekor kambing kibash yang telah dikembiri.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Dalil larangan (haram) melakukan kembiri pada binatang yang sudah dewasa ialah berdasarkan hadis daripada Ibnu ‘Umar, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang (menegah) daripada mengembiri binatang kuda dan binatang-binatang lain.” (Hadis riwayat Ahmad)

Berkata asy-Syeikh Ibrahim al-Baijuri: “Telah sepakat ulama asy-Syafi‘e melainkan Imam Ibnu Munzir bahawa harus mengembiri binatang yang halal dimakan pada waktu dia masih kecil dengan tujuan mengenakkan dagingnya, pada masa musim sederhana (tidak sangat sejuk atau sangat panas), lain halnya dengan binatang yang tidak halal dimakan maka haram dikembirikan ia. (Kitab Hasyiah asy-Syeikh Ibrahim al-Baijuri: 2/447)

Tersebut di dalam Kitab al-Iqna‘, telah sepakat ulama asy-Syafi‘e melainkan Imam Ibnu Munzir bahawa harus mengembiri binatang yang halal dimakan pada waktu dia masih kecil dan haram mengembirinya ketika binatang itu sudah besar, dan haram mengembiri binatang yang tidak halal dimakan sebagaimana telah disebutkan di dalam Syarah al-Minhâj dan lain-lain. (Kitab al-Iqna‘: 2/280)

Berdasarkan hadis dan penjelasan ulama mengenai mengembiri binatang yang halal dimakan pada masa kecilnya, adalah diharuskan dengan tujuan supaya binatang itu gemuk dan banyak daging serta enak rasanya. Manakala mengembiri binatang yang telah tua atau binatang yang tidak halal dimakan adalah perbuatan tiada rahmat, semata-mata menyakiti binatang dan perbuatan sia-sia, maka perbuatan sedemikian adalah dilarang oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana hadis yang terdahulu.

Adapun mengembiri binatang kucing bagi menegah kucing jantan tidak lagi mencari kucing betina dan kucing betina tidak dapat melahirkan anak samalah hukumnya dengan mengembiri binatang yang tidak halal dimakan atau binatang halal dimakan ketika ia telah tua, tidak mendatangkan suatu faedah dan mashlahat hanya menyakiti kucing itu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7786