Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳العقيدة

Menghadirkan Roh

Soalan: Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa telah wujud satu ajaran yang bernama ‘Ajaran Abdul Razak bin Haji Muhammad’ di Negara Brunei Darussalam.

Bersabit dengan ajarannya itu, beberapa buah kaset telah dirakamkan dan rakaman-rakaman tersebut telah dibuat salinan berupa transkripsi.

Antara kandungan ajaran tersebut menyentuh tentang menghadirkan arwah. Masalah ini telah tersebar luas di kalangan setengah mereka yang dibabitkan dengan tariqat-tariqat sufi di kawasan Asia Tenggara sekarang ini. Untuk makluman, dakwaan-dakwaan sebegini berlaku di kalangan mereka yang mendakwa diri mereka sebagai wali. Umpamanya kata mereka bahawa roh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, arwah nabi-nabi yang lain, arwah wali-wali Allah ataupun roh setengah-setengah orang-orang awam yang telah mati, telah menjelma masuk ke dalam tubuh badan orang-orang yang mendakwa sedemikian dan roh-roh itu bercakap-cakap atas nama pendakwa-pendakwa tersebut mengenai perkara itu dan ini, ataupun Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam mengeluarkan arahan kepada orang-orang yang mendakwa dengan itu dan ini. Pernah dikatakan bahawa perkara-perkara sebegini berlaku pada masa ramai di kalangan pengikut-pengikut tariqat tersebut hadir di dalam majlis zikir yang diadakan.

Oleh yang demikian kaola bagi pihak Jawatankuasa Mengkaji Amalan-Amalan Beragama, Negara Brunei Darussalam, memohonkan fatwa Pehin mengenai perkara di atas dan apakah hukumnya orang-orang yang percaya dan beramal kepada ajaran tersebut?

Jawapan: Apa yang dinamakan perbuatan memanggil roh atau menghadirkan roh telah turut membebankan Negara Brunei Darussalam melalui orang luar.

Cara roh itu dipanggil atau dihadirkan oleh orang (tukang yang menghadirkannya) ialah melalui pembantunya yang telah dipukau sehingga pembantu itu tidak sedarkan dirinya. Pembantu itu akan bercakap-cakap atau menjawab soalan-soalan daripada tukang memanggil roh. Kononnya apa yang dicakapkan oleh pembantu itu ialah suara orang mati yang dipanggil rohnya. Suara yang dikeluarkan oleh pembantu ketika dalam keadaan terpukau itu adalah tidak sama dengan keadaannya waktu dia sedarkan dirinya. Ini membuktikan kononnya suara itu benar-benar suara orang mati yang dipanggil rohnya.

Kemudian selepas memanggil roh, roh itu akan ditanya berdasarkan apa yang kita hajati, termasuk perkara seksa dan nikmat kubur bagi seseorang yang telah mati. Benarkah dakwaan bahawa seseorang itu boleh memanggil atau menghadirkan roh orang yang telah mati? Tidak syak lagi perkara ini telah menyentuh perkara ghaib.

Adapun perkara yang berkaitan dengan perkara-perkara ghaib atau perkara-perkara aqidah adalah sama dengan perkara-perkara lain juga yang berkaitan dengan hukum-hakam dalam syariat yang kesemuanya itu sama-sama wajib dirujukkan kepada Kitâbullâh dan sunnah RasulNya untuk mendapatkan keterangan dan penjelasan. Apabila ianya sabit disabitkan oleh keduanya atau salah satu daripada keduanya, maka sabitlah perkara itu, dan apabila ianya dinafikan oleh keduanya atau oleh salah satunya, maka ternafilah perkara itu, sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada uli al-amr (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al- Qur’an) dan (sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah an-Nisâ’: 59)

Roh adalah termasuk perkara yang ghaib yang ditentukan oleh Allah Ta‘ala dalam ilmuNya jua. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, melainkan kepada mana-mana rasul yang diredhaiNya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).” (Surah al-Jinn: 26-27)

Firman Allah:

Tafsirnya: “Katakanlah lagi: “Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah”. Dan tidaklah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).” (Surah an-Naml: 65)

Mengenai roh, iaitu salah satu perkara ghaib, maka para ulama berbeza-beza pendapat tentang apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan roh sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu daripada urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” (Surah al-Isrâ’: 85)

Setengah mereka berpendapat bahawa yang dimaksudkan roh dalam ayat ini ialah roh yang ada dalam tubuh badan. Berdasarkan pendapat ini, maka ayat ini adalah bukti bahawa roh itu adalah urusan Allah, manusia tidak tahu menahu mengenainya kecuali sekadar apa yang diajarkan oleh Allah kepada mereka, kerana perkara roh adalah salah satu perkara yang dikhaskan Allah dengan ilmuNya dan ianya tertutup daripada pengetahuan makhluk.

Al-Qu’ran dan beberapa hadis shahîh yang diriwayatkan daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menunjukkan bahawa roh-roh orang mati akan terus berkekalan selepas matinya jasad. Firman Allah:

Tafsirnya: “Allah (yang Menguasai segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa daripada badannya, - jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.” (Surah az-Zumar: 42)

Telah sabit dalam hadis bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika dalam peperangan Badar mengarahkan para sahabat mencampakkan dua puluh empat mayat-mayat perwira Quraisy ke dalam salah satu lembah bumi Badar. Apabila puak Quraisy telah dapat dikalahkan, mereka pun berkhemah di kawasan lapang selama tiga malam.

Apabila Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersama para sahabat berada di Badar pada hari ketiga, Baginda pun mengarahkan menyiapkan kenderaan Baginda, seterusnya Baginda berjalan dengan diikuti oleh para sahabat.

Pada ketika itu sahabat berkata: “Kami tidak menyangka Baginda akan berangkat, melainkan kerana sesuatu keperluan, sehinggalah Baginda berdiri di tepi lembah (lobang mayat-mayat tersebut dicampakkan), sambil memanggil nama-nama mereka dan nama bapa mereka masing-masing”, katanya: “Hai polan bin polan, hai polan bin polan, adakah kamu merasa gembira bahawa kamu mentaati Allah dan RasulNya? Kami sudahpun mendapati apa yang telah dijanjikan Tuhan kami adalah benar, dan kamu pula, adakah kamu mendapati apa yang telah dijanjikan kepada kamu itu benar?”

Kemudian ‘Umar bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah jasad-jasad yang tidak bernyawa boleh bercakap?” Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Demi Tuhan yang diri Muhammad di tanganNya, bukan kamu sahaja yang paling mendengar apa yang aku ucapkan, mereka juga dapat mendengarnya, akan tetapi mereka tidak berupaya menjawabnya.” (Ibnu Katsir, al-Bidâyah wa an-Nihâyah: 3/292)

Telah sabit juga daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa mayat dapat mendengar bunyi terompah (alas kaki) orang-orang yang menghantarnya ke kubur apabila mereka pulang.

Berkata Ibnu Qayyim Rahimahullah: “Perkara ini telah disepakati oleh ulama salaf, dan mengenainya telah mutawâtir mengatakan bahawa si mati mengetahui orang hidup yang menziarahinya dan merasa gembira dengan ziarah itu.”

Ibnu Qayyim menyebutkan riwayat yang mengatakan bahawa Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata tentang ayat 42, surah az-Zumar: “Telah sampai berita kepadaku bahawa roh orang-orang hidup dan roh orang yang sudah mati akan bertemu ketika tidur. Mereka akan saling bertanya. Kemudian Allah Ta‘ala menahan roh-roh orang yang mati dan melepaskan semula roh-roh orang yang hidup ke badan masing-masing.”

Seterusnya Ibnu Qayyim berkata: “Bertemunya roh orang-orang hidup dengan roh orang-orang mati, telah dapat dibuktikan bahawa orang hidup boleh melihat orang mati dalam tidur (mimpi), maka roh orang hidup bertanya berita kepada roh orang mati, kemudian roh orang mati akan menceritakan berbagai perkara yang tidak diketahui oleh orang hidup, dan kebetulan apa yang diceritakan roh orang mati itu adalah bertepatan dengan kenyataan.”

Ini pendapat ulama salaf, di mana roh-roh orang mati tetap kekal sebagaimana yang dikehendaki Allah dan dia juga boleh mendengar, akan tetapi tidaklah roh orang mati itu boleh berhubung dengan orang hidup di luar daripada waktu tidur (mimpi). Juga tidak dapat disahkan kebenaran dakwaan orang tertentu yang mendakwa berupaya memanggil atau menghadirkan mana-mana roh orang mati yang mereka kehendaki, kemudian berdialog dan bercakap dengannya dan bertanya sesuatu kepadanya.

Dakwaan seperti ini adalah dakwaan bâthil yang tidak mempunyai asas penyokong sama ada daripada nash atau logik, bahkan Allah Ta‘ala sahajalah yang mengetahui dan menguasai roh-roh itu dan Dia sahaja pula yang berupaya mengendalikannya sebagaimana yang dikehendakiNya. Allah pula yang hanya berupaya mengembalikan roh-roh itu ke badan masing-masing apabila Dia menghendakinya.

Adapun dakwaan lain daripada itu adalah dakwaan yang tidak berdasarkan ilmu dan suatu pembohongan yang nyata.

Roh adalah perkara yang ghaib. Tidak siapa yang pernah melihat dan mengetahui roh itu. Ia adalah urusan-urusan Allah. Setiap yang ghaib itu asasnya ialah keajaiban dan kehebatan seperti syurga, neraka, alam kubur yakni barzakh dan termasuklah roh sendiri dan lain-lain lagi. Jadi roh itu tidak syak lagi adalah hebat dan ajaib.

Apabila ada dakwaan seseorang boleh memanggil roh, boleh bertanya kepada roh, maka gambaran orang itu adalah hebat dan ajaib pula. Apakah ini tujuan di sebalik dakwaan itu?

Di sinilah orang-orang awam mudah terkeliru dan menganggap perkara-perkara seumpama itu adalah umpama orang-orang yang diberi kelebihan oleh Allah. Mereka lalu terikat dan memuja serta percaya kehadiran orang ini adalah selaku wali Allah yang memiliki keramat. Mereka tidak dapat dan tidak tahu membezakan di antara sihir, istidrâj, ahwâl asy-Syaithâniyyah, ma‘ûnah atau keramat.

Dakwaan para dajjal pembohong memanggil roh sebenarnya ialah campur tangan syaitan atau jin yang dipuja dan disembahnya, yang kemudian syaitan atau jin itu membalasnya dengan memberikan khidmat apa-apa yang dikehendakinya dalam bentuk-bentuk pembohongan dan dusta (perkara ini akan dihuraikan lagi kemudian insyâ’ Allah).

Cuba perhatikan dahulu ayat ini:

Tafsirnya: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (daripada perbuatan yang kufur dan dusta) itu. Dan juga supaya hati orang-orang yang tidak beriman kepada Hari Akhirat cenderung kepada bisikan itu, dan supaya disetujui oleh mereka, dan juga supaya mereka (terus) melakukan apa yang mereka lakukan itu.” (Surah al-An‘âm: 112-113)

Firman Allah:

Tafsirnya: “Dan (ingatlah) Hari (Kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): “Wahai sekalian jin (syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut daripada manusia”. Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka daripada golongan manusia: “Wahai Tuhan kami, sebahagian daripada kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (syaitan-syaitan), dan kami telah sampai kepada masa kami (Hari Kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami”. (Allah berfirman): “Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah. Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-An‘âm: 128)

Disebutkan oleh ulama tafsir bahawa jin merasa senang dengan manusia dengan sebab manusia menyembah mereka melalui sembelihan, nazar dan mentera-mentera. Manakala manusia pula akan merasa senang dengan jin apabila jin menunaikan keperluan yang mereka minta daripada jin itu, termasuklah berita-berita yang diketahui dan dicuri-curi oleh jin melalui pendengaran, tetapi kebanyakannya ialah berita-berita dusta.

Perbuatan bekerjasama dengan jin dan syaitan dalam memanggil roh adalah pekerjaan tukang-tukang sihir, tukang-tukang tenung, tukang-tukang tilik dan tukang-tukang ramal yang ditegah oleh syara‘. Dosanya sangat besar dan haram, bahkan boleh membawa kufur sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud: “Sesiapa yang mendatangi tukang tenung, kemudian dia bertanya mengenai sesuatu kepadanya, maka tidak akan diterima sembahyangnya empat puluh malam.”

Dalam Musnad Ahmad dan kitab sunan yang lain, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang mendatangi tukang tilik, kemudian dia membenarkan apa yang dikatakan tukang tilik itu, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.”

Kita terpaksa dari mula memperkatakan makhluk-makhluk yang berkaitan dengan masalah-masalah ini. Yang pertama ialah makhluk manusia yang terdiri daripada dua unsur, iaitu mâddah (benda) dan roh. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia daripada tanah. Maka apabila telah Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan roh daripada (ciptaan)Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.” (Surah Shâd: 71-72)

Yang kedua ialah makhluk selain daripada manusia, iaitu dua lagi jenis alam yang juga diberi tanggungjawab untuk menyembah Allah, iaitulah malaikat dan jin. Kedua-dua jenis alam ini juga masing-masing memiliki unsur-unsur mâddah dan roh.

Bagi ketiga-tiga jenis alam ini; manusia, malaikat dan jin walaupun sama-sama memiliki unsur mâddah, tetapi tidak sama di antara satu sama lain. Unsur mâddah manusia ialah tanah, unsur mâddah malaikat ialah nûr atau cahaya dan unsur mâddah jin pula ialah api.

Adapun roh satu kejadian yang lain, rahsianya lebih aneh dan unik. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai hakikat roh. Katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhanku. Dan tidaklah kamu diberikan ilmu pengetahuan melainkan hanya sedikit.” (Surah al-Isrâ’: 85)

Para ulama Islam ada memberikan perhatian tentang soal roh ini. Mereka menerangkan kesan-kesannya dalam kehidupan, dalam pemikiran dan tingkah laku manusia. Juga tentang kesudahannya selepas ia keluar dari jasad kerana kematian. Di antara buku atau kitab yang dikarang khas memperkatakan masalah roh ini ialah kitab ar-Rûh karangan al-‘Allâmah Ibnu al-Qayyim.

Menurut asy-Syeikh ‘Athiyyah Shaqar, Ketua Lujnah Fatwa di al-Azhar asy-Syarif, bahawa di barat sendiri, walaupun mereka menumpukan perhatian kepada soal-soal kebendaan, namun pada akhir-akhir ini muncul aktiviti-aktiviti mengkaji roh. Ia berlangsung, baik di pengajian-pengajian tinggi mahupun di ma‘had-ma‘had khas. Selain itu, beberapa badan tertentu juga terus melakukan kegiatan-kegiatan yang berkaitan, sebagaimana kegiatan-kegiatan yang sama dilakukan oleh sebahagian daripada orang-orang Islam dan bukan Islam, iaitu kegiatan yang dinamakan sihir dan memanggil roh atau seumpamanya. (Ahsan al-Kalâm fî Fatâwâ wa al-Ahkâm: 276)

Berbalik kepada alam-alam tadi iaitu alam malaikat, alam manusia (termasuk binatang-binatang, burung-burung dan yang melata) dan alam jin:

1. Malaikat: Adalah alam yang halus, jernih dan dijadikan daripada cahaya. Mereka diperkenankan oleh Allah untuk menyerupai berbagai bentuk. Mereka juga diberi tugas sebagai wakil Allah untuk kemashlahatan manusia, seperti menyampaikan wahyu, mencatat amalan-amalan manusia, membantu orang-orang beriman di dalam peperangan dan lain-lain lagi. Namun semua itu bukanlah dilakukan oleh mereka sesuka hati, tetapi melalui perintah dan izin Allah jua. Sesiapapun daripada kalangan manusia dan lain-lain makhluk tidak boleh menguasai mereka, atau secara langsung meminta pertolongan mereka kecuali dengan perintah dan izin Allah Ta‘ala sahaja.

Sebagai satu bukti yang jelas, ialah ketika wahyu terhenti turun kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam buat sementara waktu, padahal Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam amat rindu dan ternanti-nanti akan kedatangan Malaikat Jibril ‘Alaihissalam, namun Malaikat Jibril tidak turun-turun juga. Mengapa? Kerana belum mendapat izin dan perintah daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ini ada disebut oleh Imam al-Bukhari, bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bertanya kepada Jibril, sabdanya:

Maksudnya: “Apakah yang menghalangi engkau (wahai Jibril) untuk menemui saya lebih banyak lagi daripada biasa?” Jibril Menjawab:

Tafsirnya: “Kami tidaklah akan dapat turun melainkan dengan perintah daripada Tuhanmu jua.” (Surah Maryam: 64)

Daripada dasar ini, dapatlah difahamkan bahawa tidaklah mungkin bagi manusia itu menghadirkan atau memanggil mana-mana malaikat atau roh malaikat. Jika perkara ini boleh berlaku maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah lebih awlâ berbuat demikian itu.

2. Manusia: Makhluk kasar sesuai dengan fitrah kejadiannya daripada tanah, dia juga seperti malaikat mempunyai roh. Roh manusia itu apabila bercerai daripada jasadnya, tidaklah dapat diketahui dengan pasti di mana roh itu berada, melainkan Allah jua Yang Maha Mengetahuinya. Hanya Allah sahaja yang tahu dengan tepatnya. Adapun kita tidak banyak tahu, walaupun ada hadis-hadis yang menyebutkan bahawa roh itu masih mempunyai hubungan dengan si mati, tetapi hanyalah sekadar untuk mendengar dan menjawab pertanyaan-pertanyaan daripada Malaikat Munkar dan Nakir, untuk merasai nikmat ataupun azab daripada Allah Ta‘ala dan untuk menjawab salam daripada orang-orang yang memberi salam ketika ziarah kubur, ataupun bagi kadar yang lebih tinggi dan lebih besar lagi daripada itu, seperti keadaan nabi-nabi di dalam kubur-kubur mereka dan orang-orang yang mati syahid sepertimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan jangan sekali-kali engkau menyangka bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah (yang gugur syahid) itu mati, (mereka tidak mati) bahkan hidup di sisi Tuhan mereka dengan diberi rezeki.” (Surah Âli ‘Imran: 169)

Imam Muslim dan lain-lain telah meriwayatkan daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa Baginda itu pernah ditanya mengenai perkara tersebut dan Baginda menjelaskan:

Maksudnya: “Roh-roh mereka (para syuhadâ’) itu berada dalam rongga burung-burung hijau, mempunyai dian-dian yang tergantung di ‘Arasy, terbang daripada syurga sesuka hati mereka, kemudian hinggap di lampu-lampu dian itu. Allah lebih mengetahui rahsia-rahsia hati mereka, lalu Allah bertanya: “Adakah lagi yang kamu idamkan?” Mereka menjawab: “Apa lagi yang kami idamkan, sedangkan kami terbang bebas daripada syurga sesuka hati kami”. Allah mengulang pertanyaan itu tiga kali kepada mereka. Setelah mendapati diri mereka ditanya, mereka pun berkata: “Wahai Tuhan kami, kami ingin supaya roh-roh kami dikembalikan semula kepada jasad kami, agar kami terbunuh pula sekali lagi di jalanMu. Setelah Allah mendapati mereka itu tidak berhajat apa-apa lagi mereka pun dibiarkanlah dalam keadaan bersuka ria.” (An-Nawawi, Syarh Shahîh Muslim: 13/30-31)

Seperti keadaan roh-roh orang biasa, roh orang-orang yang mati syahid juga adalah sama akan terus tertahan di sisi Allah dengan keadaan dan caranya yang tersendiri, namun untuk kembali semula kepada jasad masing-masing seperti sebelum syahid, tidaklah akan berlaku. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Sehinggalah apabila datang kematian kepada seseorang daripada mereka, dia berkata: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia), supaya aku berbuat amal salih dalam perkara-perkara yang aku telah tinggalkan dahulu”. Sekali-kali tidak. Sesungguhnya itu hanyalah perkataan yang diucapkan sahaja, sedangkan di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mendinding) sampai hari mereka dibangkitkan semula kelak (Hari Kiamat).” (Surah al-Mu’minûn: 99-100)

Berdasarkan ini, tidak siapapun daripada kalangan manusia yang dapat menguasai roh-roh orang yang telah mati, menghadirkan roh-roh itu dan bercakap-cakap dengannya atau roh-roh itu sendiri memberitahu tentang kesenangan atau seksa yang sedang dirasainya atau memberitahu tentang kejadian-kejadian dan perkara-perkara ghaib.

Roh-roh itu hanyalah dapat berhubung dalam mimpi sahaja. Seperti kata ahli ilmu; bahawa keadaan si mati dan apa-apa yang diceritakan (di dalam mimpi) itu adalah benar, kerana keadaan telah berpindah, dari negeri yang penuh dengan kebâthilan (alam dunia) ke negeri yang penuh dengan kebenaran (alam barzakh).

Ibnu al-Qayyim telah menyebutkan sebuah riwayat yang menyatakan bahawa Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma telah berkata tentang ayat 42, surah az- Zumar: “Telah sampai berita kepadaku bahawa roh orang hidup dan roh orang yang telah mati itu bertemu ketika tidur. Mereka akan saling bertanya. Kemudian Allah Ta‘ala menahan roh-roh orang yang mati dan melepaskan roh-roh orang yang hidup ke badan masing-masing.”

Ibnu al-Qayyim berkata seterusnya: “Bertemu roh orang hidup dengan roh orang mati, dapat dibuktikan, bahawa orang hidup boleh melihat orang mati di dalam tidur (mimpi) lalu roh orang hidup bertanya kepada roh orang mati, kemudian roh orang mati itu menceritakan berbagai perkara yang tidak diketahui oleh orang hidup, dan kebetulan apa yang diceritakan oleh roh orang mati itu adalah bertepatan dengan kenyataan.”

‘Bertemu dan melihat’ di sini, bukanlah dengan jalan ikhtiar atau usaha dan tidak juga atas dasar penguasaan terhadap roh-roh itu.

Inilah pendapat ulama salaf, bahawa roh orang mati tetap kekal sebagaimana dikehendaki oleh Allah dan boleh mendengar. Cuma ia tidak boleh berhubung dengan orang hidup di luar daripada waktu tidur (mimpi).

Batal Dan Tidak Berlandaskan Ilmu Jadi dakwaan memanggil roh atau menghadirkan roh orang mati kemudian bercakap-cakap dan bertanyakan sesuatu kepada orang mati itu, adalah dakwaan yang batal yang tidak mempunyai penyokong sama ada daripada nash ataupun logik dan tidak berlandaskan ilmu.

Adapun dakwaan memanggil roh terjadi daripada campur tangan syaitan atau jin yang dipuja dan disembah oleh seseorang, yang kemudian syaitan atau jin itu membalasnya dengan khidmat yang dikehendaki oleh orang itu dalam bentuk-bentuk pembohongan dan dusta (akan dihuraikan lagi kemudian insyâ’ Allah).

Cuba kita perhatikan ayat ini:

Tafsirnya: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh daripada syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah susunannya memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (daripada perbuatan yang kufur dan dusta) itu. Dan juga supaya hati orang-orang yang tidak beriman pada Hari Kiamat cenderung kepada bisikan itu, dan supaya disetujui oleh mereka dan juga supaya mereka (terus) melakukan apa yang mereka lakukan itu.” (Surah al-An‘âm: 112-113)

Dalam Shahîh al-Bukhâri dan Muslim disebutkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah memerintahkan supaya orang-orang musyrik yang mati dalam peperangan Badar dicampakkan ke dalam perigi. Setelah itu Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memanggil nama-nama mereka satu persatu: “Wahai polan bin polan, wahai polan bin polan... adakah kamu telah menemui apa yang dijanjikan oleh Tuhan kamu itu betul? Sesungguhnya aku telahpun menemui apa yang dijanjikan Tuhanku itu adalah betul.” Kemudian Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab pula pertanyaan sahabat: “Demi Tuhan yang membangkitkan aku dengan sebenarnya, bukan kamu sahaja yang mendengar apa yang aku katakan kepada mereka, mereka juga adalah mendengarnya, cuma mereka itu tidak dapat menjawabnya.”

Cubalah perhatikan, jika roh-roh yang ditanya oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam itu telah tidak berupaya memberikan jawapan kepada Baginda, sedangkan Baginda adalah orang yang paling halus perasaan rohaninya, maka betapakah pula dengan orang biasa?

Ada setengah kalangan menjadikan surah ar-Ra‘d, ayat 31, sebagai dalil bahawa memanggil orang mati dengan membaca al-Qur’an itu adalah harus dan boleh. Ayat tersebut ialah:

Tafsirnya: “Dan kalaulah ada mana-mana kitab suci yang dengan sebabnya gunung-ganang terbongkar bergerak daripada tempatnya atau dengan sebabnya bumi terpecah belah mengeluarkan isi kandungannya atau dengan sebabnya orang-orang yang telah mati dapat menjawab kata-kata yang dihadapkan kepadanya, maka al-Qur’an adalah Kitab Suci yang mengandungi mu‘jizat. (Tetapi lahirnya sesuatu mu‘jizat itu adalah menurut kehendak Allah), bahkan segala urusan adalah tertentu bagi Allah. Maka tidakkah orang-orang yang beriman itu mengetahui bahawa kalaulah Allah menghedaki tentulah Dia memberi petunjuk kepada umat manusia seluruhnya. Dan orang-orang kafir itu (dengan sebab kekufuran mereka) senantiasa ditimpa bala bencana ataupun bala bencana itu turun menimpa tempat-tempat yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka sehinggalah datang janji Allah, sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.” (Surah ar-Ra‘d: 31)

Ayat ini sebenarnya bukan dalil yang mengharuskan memanggil roh orang mati itu, tetapi sebaliknya ia mengandungi petunjuk bahawa memanggil orang mati dengan al-Qur’an adalah dilarang dan sesat.

Dalam hadis disebutkan mengenai sebab-sebab turun ayat ini, iaitu orang-orang musyrik Makkah pada suatu ketika telah mencadangkan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, bagi maksud untuk menyusahkan Baginda, supaya Baginda dapat memindahkan gunung-ganang yang ada di Makkah dengan al- Qur’an agar bumi Makkah menjadi luas untuk mereka dapat berkebun. Mereka juga menuntut supaya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dapat memancarkan mata air dan sungai-sungai dengan al-Qur’an, serta membacakan al-Qur’an kepada kaum keluarga mereka yang telah mati, supaya dengan cara itu dapatlah mereka bercakap-cakap dengan si mati dan si mati akan memberitahu mereka tentang kebenaran Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Selepas itu Allah pun menurunkan ayat ini.

Dalam ayat ini ada perkataan لَـو (ertinya kalau) yang merujuk kepada perkara-perkara berkenaan sebagai tidak akan terjadi.

Apabila dikatakan memanggil roh orang mati, sebenarnya roh itu bukanlah roh orang mati, bukan juga malaikat. Adapun yang datang, yang dipanggil itu, yang bercakap-cakap dengan dusta, banyak bertentangan, banyak menyebut-yebut perkara-perkara ghaib dan menamakan namanya dengan nama-nama manusia itu adalah semuanya itu bukan roh si mati dan bukan juga roh malaikat.

Jadi yang terjadi seperti dakwaan kehadiran roh orang mati dan lain-lain perkara pelik yang merujuk kepada kuasa dan kelebihan luar biasa orang-orang tertentu yang menyebabkan jinak dan tunduk roh kepadanya itu, adalah itu pembohongan yang terang lagi sesat. Ia tidak lain daripada benda yang direka-reka, atau jika benar ada berlaku sesuatu, hasil daripada yang disebut sebagai memuja dan memanggil roh tadi, maka itu adalah daripada alam jin dan syaitan.

3. Jin: Dalam aqidah Islam alam jin dan syaitan itu diperkatakan dengan luasnya. Kewujudan jin dan syaitan adalah suatu hakikat yang telah sabit.

Menurut al-Mawardi dalam A‘lâm an-Nubuwwah, bahawa jin itu jenis alam yang berkata-kata. Mereka makan dan minum, berkahwin dan mati. Keadaan mereka terlindung daripada dapat melihat mereka. Di antara mereka itu ada juga yang baik di samping yang jahat, sebagaimana disebutkan oleh al-Qur’an:

Tafsirnya: “Dan sesungguhnya ada di antara kami golongan yang baik dan ada pula di antara kami yang lain daripada itu. Kami masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.” (Surah al-Jinn: 11)

Nabi kita Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menemui sebahagian daripada para jin. Mereka itu mendengarkan bacaan al-Qur’an daripada Baginda, sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Dan semasa kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar al-Qur’an, setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah setengah kepada yang lain: “Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya”. Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran al-Qur’an itu dengan) memberi peringatan dan amaran.” (Surah al-Ahqâf: 29)

Yang jahat di kalangan mereka pula akan senantiasa berusaha untuk menyesatkan manusia, seperti firman Allah menceritakan kata-kata iblis:

Tafsirnya: “Iblis berkata: “Demi kuatkuasaMu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu yang mukhlish (yang bersih daripada sebarang kederhakaan dan penyelewengan).” (Surah Shâd: 82-83)

Selain menggoda dan mendorong kepada waswas, golongan jin penderhaka juga boleh memudharatkan manusia dengan berbagai-bagai kemudharatan. Manusia Mempunyai Qarîn

Telah sah dan sabit dalam hadis, bahawa setiap manusia itu ada qarîn atau teman yang senantiasa bersamanya semenjak dia dilahirkan lagi sampailah dia meninggal dunia. Imam Muslim telah meriwayatkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tiada seorang kanak-kanak yang dilahirkan melainkan tidak sunyi daripada tusukan (gangguan) syaitan, maka kanak-kanak itu pun menangis akibat gangguan syaitan itu, kecuali anak Maryam (Nabi Isa ‘Alaihissalam) dan ibunya (Maryam sendiri).”

(Hadis riwayat Muslim)

Untuk lebih jelas lagi dipetik pula riwayat Imam Muslim selanjutnya bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tiada seorang pun daripada kamu, melainkan diwakilkan dengannya qarîn daripada kalangan jin”. Sahabat bertanya: “Apakah Tuan juga, wahai Rasulullah?” Nabi menjawab: “Ya, aku pun begitu juga, akan tetapi Allah telah menolongku menguasainya, maka dia pun Islam dan tidak menyuruh aku melainkan dengan kebajikan sahaja”. (Erti فأسلم: Qarîn itu masuk Islam, atau aku (Rasulullah) terselamat daripada gangguan qarîn itu, kerana Allah menolongku menguasainya).” (Hadis riwayat Muslim)

Daripada maksud hadis-hadis ini menunjukkan qarîn-qarîn manusia itu kecuali qarîn Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah bersifat mengganggu dan perosak serta menyesatkan.

Walaupun manusia itu tidak berupaya menguasai dan mengatasi jin, kecuali bagi orang yang diberikan izin oleh Allah seperti Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam, namun tidaklah terhalang daripada berlakunya kejadian di mana manusia itu dapat berhubung dan bekerjasama dengan jin pada mencapai setengah-setengah maksud manusia itu. Hubungan dan kerjasama ini boleh tercapai dengan berbagai cara dan keadaan. Perkara ini berlaku kepada sebahagian orang pada zaman lampau mahupun zaman sekarang.

Perkara bekerjasama dengan jin ini biasanya berlaku kepada dukun-dukun, tukang-tukang ramal dan tukang-tukang sihir. Adapun hubungan atau kerjasama itu pada masa sekarang disebut sebagai menghadirkan atau memanggil roh.

Qarîn daripada kalangan jin mempunyai kemampuan untuk berbohong dan mengada-adakan yang karut-marut, hatta meniru tuannya dalam berbagai keadaan seperti suara dan kadang-kadang juga rupa tuannya itu sendiri.

Qarîn mempunyai pengetahuan tentang tuannya, sama ada yang zahir mahupun yang sulit-sulit.

Qarîn-qarîn boleh berhubung sesama mereka sendiri. Qarîn juga ada kalanya menjadi pembantu kepada tuannya dalam kerja-kerja tertentu, sehingga kerja-kerja itu menjadi senang, ataupun sebaliknya kerja-kerja itu menjadi susah kerana qarîn meletakkan halangan-halangan dan gangguan-gangguan. Selain daripada itu boleh juga terjadi perkara-perkara yang lain lagi, berdasarkan alam jin itu mempunyai keanehan-keanehan yang tersendiri.

Maka apabila seseorang manusia itu berusaha dengan cara tertentu atau dengan berbagai jalan untuk menghadir atau mendatangkan roh, qarîn orang itu akan berupaya menerima suara-suara, kemudian akan memberitahukan berbagai hal dan berbagai perkara ghaib yang telah disepakati oleh para qarîn melalui pertukaran maklumat sesama mereka. Selepas itu orang pun menyangka bahawa yang bercakap itu ialah roh orang mati yang telah dipanggil itu. Padahal yang bercakap itu ialah qarîn-qarîn sendiri yang membawa berita dan cerita yang bercampur-campur, yang direka-reka dan dusta. Adalah semata-mata bohong cerita-cerita yang disuarakan oleh qarîn-qarîn itu yang berupa perkara-perkara ghaib seperti alam kubur, nikmat kubur, azab kubur dan kejadian-kejadian yang akan berlaku seperti bila terjadi Kiamat, kerana qarîn-qarîn itu juga sama sekali tidak mengetahui perkara-perkara ghaib. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Katakanlah (wahai Muhammad), tiada sesiapa pun di langit dan di bumi ini mengetahui perkara ghaib melainkan Allah.” (Surah an-Naml: 65)

Al-Qur’an al-Karim telah menceritakan dengan jelasnya berkenaan jin Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam. Ketika Nabi Sulaiman wafat, tiada sesiapa pun yang tahu bahawa Baginda itu telah wafat, termasuklah juga jin-jin yang senantiasa berkhidmat kepada Baginda. Mereka melihat Nabi Sulaiman seperti biasa di atas tongkatnya, sehingga mereka menyangka bahawa Nabi itu masih hidup, padahal Baginda sebenarnya sudahpun wafat. Perkara ini berjalan sekian lamanya, sehinggalah dengan takdir Allah, anai-anai telah memakan tongkat Baginda itu lalu tongkat itupun patah dan Baginda tumbang tersungkur, barulah jin-jin itu tahu rupanya Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam telah wafat. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Setelah kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menjelaskan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila dia tumbang tersungkur, barulah jelas kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia mengetahui perkara ghaib nescaya tidaklah mereka itu tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghinakan.” (Surah Saba’: 14)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7790