Nishâb Zakat Wang Simpanan
Soalan: Dengan penuh hormat, kaola ingin memaklumkan bahawa Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei telah membuat tiga kali potongan zakat bagi wang penyimpan-penyimpannya bermula 1991 sehingga 1994. Potongan zakat yang dikenakan pada penyimpan ialah bagi yang mencapai B$86.28 akan dikenakan zakat bagi wang simpanan mereka. Pihak kaola ingin mendapat pengesahan adakah kadar B$86.28 yang digunakan oleh Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei selama ini betul? Abis kaola difahamkan nishâb bagi zakat wang simpanan ialah 85 gram emas. Jika 1 gram emas pada masa ini bernilai lebih kurang B$21.00 x 85 gram, jadinya wang simpanan yang mencapai nishâb tersebut patut abis kaola keluarkan iaitu B$1,785.00.
Sukacita dipohonkan daripada Pehin ketetapan dalam menentukan nishâb zakat harta simpanan yang bersesuaian dengan keadaan sekarang memandangkan banyaknya pertanyaan orang ramai mengenai nishâb zakat simpanan yang dijalankan oleh Perbadanan T.A.I.B. ini.
Jawapan: Jumhûr ulama fiqh telah mengatakan wajib zakat pada mata wang (banknote). Banknote tersebut telah menggantikan mata wang emas dan perak yang digunakan oleh orang-orang Arab terdahulu dalam berurus niaga sebelum kedatangan Islam. Mata wang emas dikenal sebagai dinar dan mata wang perak sebagai dirham. Orang-orang Makkah ketika itu menggunakan mata wang dinar (emas) dan dirham (perak) secara kaedah timbangan, kerana dinar dan dirham itu diperbuat dengan berbagai ukuran yang berbeza pada besarnya, kecilnya, beratnya dan ringannya.
Setelah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam diutus menjadi Rasul, maka emas dan perak telah dii‘tibârkan sebagai mata wang yang sah bagi orang-orang Islam untuk berurus niaga.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga memilih timbangan orang Makkah untuk dipakai oleh orang Islam, Sebagaimana sabda Baginda daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: “Sukatan (yang terpakai ialah) sukatan penduduk Madinah dan timbangan (yang terpakai ialah) timbangan penduduk Makkah.” (Hadis riwayat an-Nasa’i)
Adapun nishâb yang sabit pada perak itu ialah dua ratus dirham dan kadar yang perlu dikeluarkan zakatnya ialah 1/40 atau 2.5%.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Tidak ada pada harta yang kurang daripada lima awqiyah daripada wang perak itu sebarang zakat dan (lima awqiyah) itu ialah dua ratus dirham.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Satu awqiyah bersamaan dengan 40 dirham. Ini bermakna lima awqiyah itu bersamaan dua ratus dirham. Adapun mengikut timbangan sekarang 200 dirham itu bersamaan dengan 595 gram perak.
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lagi:
Maksudnya: “Dan pada wang perak itu (zakatnya) sesuku daripada sepersepuluh (1/40 atau 2.5%).” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Telah ijmâ‘ ulama pada mengatakan nishâb emas itu ialah 20 dinar (mitsqâl) mengikut timbangan Makkah.
Mengenai zakat emas Baginda bersabda:
Maksudnya: “Tidaklah dikenakan apa-apa (zakat) pada yang kurang daripada dua puluh dinar. Adapun pada dua puluh dinar itu (zakatnya) setengah dinar.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam hadis yang lain Baginda bersabda:
Maksudnya: “Tidak dikenakan ke atasmu apa-apa (zakat) sehingga sampai dua puluh dinar. Jika kamu memiliki dan sampai haulnya, maka padanya (zakat) setengah dinar.” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi)
1/2 dinar itu adalah 1/40 (2.5%) daripada 20 dinar. Berdasarkan kiraan sekarang 20 dinar (mitsqâl) emas itu bersamaan dengan 85 gram emas.
Mengikut jumhûr ulama fiqh, kadar zakat pada harta yang melebihi nishâb juga adalah sama iaitu 1/40 (2.5%) sama ada lebihnya itu sedikit atau banyak.
Memandangkan kepada nilai nishâb perak 595 gram jauh berbeza dengan nilai nishâb emas 85 gram, maka sekarang timbul perbezaan pendapat dalam menetapkan kadar zakat mata wang itu iaitu sama ada disandarkan kepada kadar nishâb perak iaitu 595 gram atau kadar nishâb emas iaitu 85 gram.
Setengah ulama berpendapat bahawa kadar nishâb mata wang itu disandarkan kepada nishâb perak, yang demikian itu adalah kerana:
(i) Sesungguhnya nishâb perak itu disepakati dan sabit dengan sunnah yang masyhur lagi shahîh.
(ii) Sesungguhnya pengukuran dengan nishâb perak itu lebih bermanfaat bagi orang-orang fakir, kerana dengan yang demikian itu kewajipan berzakat akan lebih meliputi sebahagian besar bilangan orang-orang Islam. (Fiqh az-Zakâh: 1/263)
Manakala para ulama masa kini dan para pengkaji berpendapat bahawa kadar nishâb mata wang itu adalah mengikut kadar nishâb emas iaitu 85 gram. Perkara ini telah sabit dengan dalil-dalil yang banyak bahawa nishâb emas dan perak itu sama sahaja nilainya pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan zaman al-Khulafa ar-Rasyidin. Satu dinar sama juga nilainya dengan 10 dirham dan sepakat para ulama bahawa nishâb emas berbentuk dinar ialah 20 dinar dan nishâb perak berbentuk dirham ialah 200 dirham.
Ulama asy-Syafi‘iyyah menjadikan emas sebagai sandaran dalam menilai benda yang dicuri bukannya perak, yang mana jika benda yang dicuri itu sampai nilai 1/4 (satu perempat) dinar, maka wajib ke atas pencuri itu dikenakan hukuman potong tangan. (Al-Mufashshal fî Ahkâm al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim: 1/366-367)
Dalam nash Minhâj ath-Thâlibîn ada disebutkan:
Ertinya: “Disyaratkan benda yang dicuri itu bagi mewajibkan dikenakan hukuman potong tangan beberapa perkara: Pertama: Hendaklah benda yang dicuri itu 1/4 dinar tulen atau yang sama nilainya.”
Berkata asy-Syeikh Muhammad al-Khathib asy-Syarbini dalam kitabnya Mughni al- Muhtâj: 4/196:
Ertinya: “Sesungguhnya hukum asal dalam penilaian ialah nilai emas tulen hingga jika seseorang itu mencuri dalam bentuk dirham atau yang lain, maka dinilai dengan emas.”
Ini juga bertepatan dengan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha:
Maksudnya: “Tidak dipotong tangan seorang pencuri itu melainkan (apabila mencapai nilai barang yang dicurinya) 1/4 dinar atau lebih.”
Maka dengan hal yang demikian nishâb zakat mata wang yang disandarkan kepada emas itu lebih munasabah, ini mengambil kira lagi kepada bandingan dengan kadar nishâb zakat yang lain seperti zakat pada unta, lembu atau kambing.
Selain itu kadar mata wang yang disandarkan kepada emas itu juga berpatutan dengan meningkatnya taraf hidup dan tingginya harga barang-barang keperluan zaman sekarang. Kadar ini juga yang difatwakan oleh mufti-mufti Mesir sebagaimana yang disebutkan dalam al-Fatâwâ al-Islâmiyyah keluaran Dâr al-Iftâ’, Mesir. Kadar tersebut juga menjadi pilihan beberapa buah negeri di rantau ini seperti Selangor, Wilayah Persekutuan dan Johor, Malaysia.
Jika mengikut harga pasaran sekarang harga satu gram emas (21 karat ) ialah $21.00, maka kadar 85 gram ialah $21.00 x 85 = $1,785.00 (Satu Ribu Tujuh Ratus Lapan Puluh Lima Ringgit Brunei). Demikianlah nishâb zakat mata wang yang wajib zakat padanya yang didasarkan pada nilai emas.
Walau bagaimanapun, mestilah diambil perhatian bahawa nilai emas akan berubah dari semasa ke semasa dengan sebab perubahan turun naik harga emas di pasaran. Oleh yang demikian Majlis Ugama Islam sebagai pihak yang menetapkan kadar zakat akan sentiasa mengikuti harga pasaran emas dan memaklumkan kepada orang ramai yang hendak mengeluarkan zakat wang simpanan mereka dari semasa ke semasa.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7819
