Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Orang Yang Mati Hidup Semula

Soalan: Beberapa ketika dahulu, masyarakat telah heboh berhubung dengan orang yang telah mati hidup semula. Bagaimana pandangan Pehin berhubung perkara tersebut iaitu mati hidup semula? Apakah perkara tersebut boleh berlaku di zaman kita ini?

Berhubung dengan perkara tersebut, berbagai pendapat dan teori telah dikemukakan antaranya, ada yang menyatakan orang yang mati itu sebenarnya tidak mati tetapi koma. Pendapat lain pula menyatakan bahawa orang yang mati itu dihidupkan semula kerana Allah memberi peluang kepadanya untuk bertaubat, dihidupkan semula kerana amalnya teramat baik dan berbagai-bagai pendapat lagi. Bagaimana pendapat Pehin mengenai perkara ini?

Di samping itu, orang yang dikatakan mati hidup semula itu pula menceritakan pengalaman-pengalaman mereka semasa mereka (dikatakan) mati itu sehingga cerita-cerita mereka itu ditulis menjadi sebuah buku. Apakah kita boleh mempercayai cerita-cerita mereka itu?

Jawapan: Mati itu menurut al-Qur’an dua kali, demikian jua hidup itu dua kali. Ini dijelaskan dalam firman Allah:

Tafsirnya: “Wahai Tuhan kami! Engkau telah menjadikan kami berkeadaan mati dua kali, dan telah menjadikan kami bersifat hidup dua kali.” (Surah al-Mu’min: 11)

Mati yang pertama ialah apabila mani lelaki terpisah daripada jasadnya masuk ke dalam rahim perempuan. Keadaannya dalam rahim itu sehingga ditiupkan roh, maka itu dikatakan mati.

Allah hidupkan air mani (yang telah bersenyawa dengan mani perempuan) itu dengan meniupkan roh sehingga ia menjadi manusia yang sempurna selepas melalui proses kejadiannya. Pada peringkat ini ia dikatakan hidup yang pertama (di dunia).

Kemudian Allah matikan untuk kali keduanya dengan mencabut atau mengambil roh (orang hidup tadi). Pada waktu ini dia mati dan berada di alam barzakh sehingga suatu ketika, suatu hari ditiupkan sangkakala, maka kembalilah roh itu semula ke dalam jasad. Maka hiduplah ia semula untuk kebangkitan Hari Kiamat. Inilah dia dikatakan mati dua kali dan hidup dua kali. (Tafsîr al-Qurthubi: 15/297, 1/248)

Berkata ulama tafsir, bahawa yang dimaksudkan dengan dua kali mati dalam ayat di atas adalah seperti berikut:

Mati pertama ialah semasa masih dalam perut sebagai air mani, kemudian segumpal darah dan sepotong daging sebelum ditiupkan roh. Sebelum ditiupkan roh pada peringkat ini dikira belum hidup dan oleh sebab itulah ia disebut sebagai mati.

Mati kedua ialah mati yang sudah lumrah dikenali iaitu tibanya ajal di dunia dan kembalinya tubuh badan ke dalam tanah (kubur).

Adapun yang dimaksudkan dengan dua kali hidup ialah: Pertama, hidup di dunia dan kedua, hidup yang terjadi selepas bangkit dari kubur sehinggalah ke Hari Perhitungan dan Pembalasan iaitu alam abadi yang tidak ada lagi kematian padanya. Hidup di sini sama ada di syurga atau di neraka.

Sebagai dalil dan alasan pendapat ini ialah firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Mengapa kamu kufur kepada Allah, padahal kamu sebelumnya mati sebagai air mani di dalam tulang shulbi bapa kamu, lalu Allah menghidupkan kamu di dalam rahim dan di dunia, kemudian kamu dimatikan ketika ajal kamu tiba, selepas itu kamu dihidupkan, lalu kamu dikembalikan di akhirat dan Allah pun membalas amal kamu.” (Surah al-Baqarah: 28)

Ketika mentafsirkan ayat 11, surah al-Mu’min yang di atas, Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma berkata: “Kamu dikira dalam keadaan mati sebelum kamu dijadikan, dan inilah yang dinamakan kematian (pertama). Kemudian kamu dihidupkan (di dunia) dan inilah yang dinamakan kehidupan (pertama). Selepas itu kamu dimatikan, lalu kamu dikembalikan ke dalam kubur, dan inilah yang disebut kematian (kedua). Selepas itu pula kamu dibangkitkan pada Hari Kiamat, dan inilah yang disebut sebagai kehidupan (kedua). Inilah dia dua kali kematian dan dua kali kehidupan.” (Ad-Durr al-Mantsûr fî at-Tafsîr al-Ma’tsûr li as-Suyûthi: 7/87)

Bertolak daripada keterangan di atas, maka proses yang dialami manusia itu bermula daripada mati, kemudian hidup, selepas itu mati dan akhirnya hidup dan tidak mati-mati lagi, sama ada dia hidup di syurga atau di neraka.

Jika ada orang yang mendakwa bahawa ada seorang mati (sekarang) hidup semula, maka dakwaannya itu hendaklah diperiksa dan diteliti kebenarannya supaya tidak bercanggah dengan maksud mati dan hidup hanya dua kali. Ertinya siapa pun yang mati sekarang hanya akan bangkit semula setelah ditiupkan sangkakala untuk sekalian manusia dihisab pada Hari Kiamat (Hari Kebangkitan).

Sebenarnya keinginan orang-orang yang telah mati untuk kembali ke dunia sekali lagi sangat-sangatlah mereka harapkan. Ini jelas sebagaimana disebutkan di dalam al- Qur’an.

Tafsirnya: “Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang salih dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakan, sedangkan di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) sehingga hari mereka dibangkitkan semula (pada Hari Kiamat).” (Surah al-Mu’minûn: 99-100)

Tafsirnya: “Mereka menjawab: “Ya Tuhan kami, Engkau telah mematikan kami dua kali dan telah menghidupkan kami dua kali (pula), lalu kami mengakui dosa-dosa kami. Maka adakah sesuatu jalan (bagi kami) untuk keluar (dari neraka)?” (Surah al-Mu’min: 11)

Maknanya bahawa orang-orang kafir itu mengakui bahawa semasa mereka di dunia, mereka telah melakukan perkara-perkara fâsid dan bâthil, mereka berharap dan bercita-cita supaya kembali ke dunia semula supaya ketika di dunia nanti, mereka tidak akan melakukan derhaka, sebaliknya akan membuat amal-amal salih. Tetapi dikatakan kepada mereka bahawa tidak ada jalan dan harapan untuk mereka itu kembali semula ke dunia.

Ayat-ayat yang sama tentang keinginan orang kafir untuk kembali ke dunia ialah:

Tafsirnya: “Dan engkau akan melihat orang-orang yang zalim semasa mereka menyaksikan azab (pada Hari Kiamat) berkata: “Adakah sebarang jalan untuk kami kembali ke dunia?” (Surah asy-Syûra: 44)

Tafsirnya: “Maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin.” (Surah as-Sajdah: 12)

Tafsirnya: “Wahai kiranya kami dikembalikan ke dunia, dan kami tidak akan mendustakan lagi ayat-ayat keterangan Tuhan kami, dan jadilah kami daripada golongan orang-orang yang beriman.” (Surah al-An‘âm: 27)

Bolehkah manusia hidup kembali seperti dahulu, keluar lagi ke alam dunia ini, supaya mereka berpeluang membuat amal-amal salih? Tentunya permohonan untuk itu tidak akan diperkenankan. Cuba perhatikan riwayat ini, menurut hadis yang dikeluarkan oleh at-Tirmidzi dan dihasankannya, dan oleh Ibnu Majah serta Ibnu Abu ‘Ashim dalam as- Sunnah, dan Ibnu Khuzaimah, ath-Thabarani, al-Hakim dan dishahîhkannya, Ibnu Marduwaih, dan al-Baihaqi dalam ad-Dalâ’il:

Maksudnya: “Daripada Jabir bin Abdullah, (bahawa pada waktu dia duduk termenung bersedih hati, kerana ayahnya baru saja mencapai syahidnya dalam peperangan Uhud itu, antara tujuh puluh syuhada), Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam datang menghampiri, lalu beliau bersabda: “Jabir! Apa yang menyebabkan engkau termenung demikian rupa?” Lalu Jabir menjawab terus-terang tentang kesedihannya dengan berkata: “Ya Rasulullah, bapaku mati syahid dalam peperangan Uhud dengan meninggalkan keluarga serta hutang.” Maka bersabdalah Rasulullah: “Inginkah engkau aku berikan khabar gembira tentang bagaimana ayahmu disambut oleh Allah Ta‘ala?” Jabir menjawab: “Tentu aku ingin, ya Rasulullah”. Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda lagi: “Kalau Allah hendak berbicara dengan salah seorang hambaNya hanyalah dari balik hijâb. Tetapi ayahmu dihidupkan dan Allah bercakap dengannya berhadapan!” Lalu Allah berfirman: “Wahai hambaKu, sebutlah apa yang engkau ingini, nescaya Aku beri!” Maka dia menjawab: “Permohonanku hanya satu, ya Tuhanku. Hidupkan aku sekali lagi supaya aku mati terbunuh kedua kali, pada jalanMu!” Lalu Allah menjawab: “Telah tertulis, bahawa orang yang telah mati, tidak akan kembali lagi!” Maka turunlah ayat ini:

Bagaimanapun jika Allah berkehendak, tidaklah mustahil bagiNya melakukan apa sahaja dengan kekuasaan yang ada padaNya dengan hikmah dan tujuan-tujuan tertentu, bukan dengan sia-sia, kerana adalah mustahil bagi Allah melakukan perkara yang sia-sia. Ini termasuklah menghidupkan orang mati atau benda mati umpamanya. Semua ini amat mudah bagi Allah sebagai tanda kebesaran dan kekuasaanNya yang tidak terbatas. Ia dilakukan dengan hikmah atau rahsia bagi menyokong lagi kebenaran agamaNya, untuk menegakkan keadilan serta juga mu‘jizat bagi setengah rasul-rasulNya.

Ia juga menjadi bukti betapa besarnya kekuasaan Allah itu. Bukanlah ia terjadi kerana semata-mata harus atau biasa terjadi selaku sunnatullâh. Adapun hidup sesudah mati sebelum tiba hari kebangkitan itu, bukanlah ia sunnah (yang biasa dan lumrah terjadi), malahan ianya suatu kekhususan yang hanya terjadi dan berlaku dengan izinNya jua.

Untuk lebih jelas, maka kita sebutkan perkara itu dengan dalil-dalil daripada al-Qur’an dan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri.

Dalam al-Qur’an terdapat dalil menunjukkan roh sebahagian makhluk Allah kembali ke jasadnya dengan kehendak dan izinNya jua, seperti kisah pembunuhan seorang Bani Isra’il yang diceritakan dalam al-Qur’an:

Tafsirnya: “Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia lalu kamu saling tuduh menuduh tentang itu. Dan Allah hendak menyingkapkan apa yang selama ini kamu sembunyikan. Lalu Kami berfirman: “Pukullah mayat itu dengan sebahagian anggota sapi betina itu”. Demikianlah Allah menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya agar kamu mengerti.” (Surah al-Baqarah: 72-73)

Ringkasan ceritanya menurut ahli tafsir: Kedapatan orang mati terbunuh di kalangan Bani Isra’il, tetapi tidak terang siapakah pembunuhnya. Timbullah tolak-menolak dan tuduh menuduh, maka disembelih lembu betina yang akan digunakan mencari siapa pembunuhnya. Lalu dipukulkan bahagian badan lembu betina itu ke kubur orang yang mati di bunuh itu. Orang mati itu lalu bangkit dari kuburnya, terus bercakap: “Yang membunuh aku ialah anak saudaraku, kerana mengharapkan harta pusakaku, sebab aku tidak beranak, maka dialah yang akan berhak menerima pusaka, sebab itulah aku dibunuhnya.” Selepas bercakap itu dia pun jatuh (dalam keadaan semula iaitu mayat) lalu dikubur kembali.

Sesudah mendengar keterangan yang jelas itu, maka anak saudaranya ditangkap dan dijalankan hukuman qishâsh.

Apa yang hendak diambil daripada cerita ini ialah perkara yang menunjukkan bahawa orang yang telah mati dapat hidup kembali dengan kekuasaan Allah semata-mata.

Dalam ayat lain, Allah mengembalikan roh ‘Uzair dan keldainya setelah mereka mati seratus tahun lamanya. Firman Allah:

Tafsirnya: “Apakah (kamu tidak memperhatikan) orang yang melalui suatu negeri yang (temboknya) telah roboh menutupi atapnya?” Dia berkata: “Bagaimana Allah menghidupkan kembali negeri ini setelah hancur?” Maka Allah mematikan orang itu seratus tahun, kemudian menghidupkannya kembali. Allah bertanya: “Berapa lama kamu tinggal di sini?” Dia menjawab: “Saya telah tinggal di sini sehari atau setengah hari.” Allah berfirman: “Sebenarnya kamu telah tinggal di sini seratus tahun lamanya; lihatlah kepada makanan dan minumanmu yang belum lagi berubah; dan lihatlah kepada keldai kamu (yang telah menjadi tulang belulang); Kami akan menjadikan kamu tanda kekuasaan Kami bagi manusia; dan lihatlah kepada tulang belulang keldai itu, kemudian Kami menyusunnya kembali, kemudian Kami membalutnya dengan daging.” Maka tatkala telah nyata kepadanya (bagaimana Allah menghidupkan yang telah mati) diapun berkata: “Saya yakin bahawa Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah: 259)

Yang hendak diambil pengajaran daripada ayat ini ialah bahawa membangkitkan orang yang mati hidup semula pada Hari Kebangkitan (Hari Kiamat) itu, bukanlah suatu yang sukar bagi Allah, di samping juga menjelaskan keharusan orang mati boleh hidup itu adalah semata-mata dengan izin dan kekuasaanNya jua. Dan apabila seseorang itu dibangkitkan (dihidupkan) dari alam barzakhnya, adalah ia dengan tujuan-tujuan tertentu sebagaimana yang ditunjukkan oleh ayat berkenaan dan ayat-ayat seumpamanya.

Selain daripada makhluk manusia, makhluk binatang juga boleh hidup semula dengan izin Allah, sebagaimana kejadian yang diceritakan berikut ini, dalam firman Allah:

Tafsirnya: “Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, perlihatkanlah padaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati.” Allah berfirman: “Belum yakinkah kamu?” Ibrahim menjawab: “Aku telah meyakininya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku)”. Allah berfirman: “(Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya olehmu, lalu letakkan di atas tiap-tiap satu bukit satu bahagian daripada bahagian-bahagian itu, kemudian panggillah mereka, nescaya mereka datang kepadamu dengan segera”. Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Baqarah: 260)

Kesimpulannya, berdasarkan kisah-kisah yang dinukil daripada Kitab Suci al-Qur’an ini, maka adalah harus bagi roh yang sudah mati itu kembali kepada jasadnya dengan kudrat Allah jua yang khusus dalam kehidupan mereka. Cerita-cerita di bawah ini juga turut menjelaskan gambaran orang-orang yang mati hidup dalam bentuknya yang khusus itu:

(i) Disebutkan oleh al-Hafizh as-Suhaili akan kisah Abdullah bin Attamir yang dijumpai pada zaman Sayyidina ‘Umar bin al-Khaththab pada suatu tempat yang lapang di tanah Najran di negeri Yaman Utara, didapati dia duduk dalam kuburnya dia letakkan tangannya di atas luka di kepalanya. Apabila diangkat tangannya di atas luka kepalanya, maka darah lukanya berhenti dan di jarinya sebentuk cincin bertulis ‘ ِب ا ّلِله ر’ dan khalifah Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu perintahkan biarkan Abdullah bin Attamir di tempat itu dan ditanam semula.

Berkata al-‘Allâmah Ibnu Ishak dalam as-Sîrah an-Nabawiyyah kisah Abdullah bin Attamir itu membenarkan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Jangan sekali-kali kamu sangka akan orang-orang yang dibunuh di dalam peperangan sabilillah dan dalam bertempur pada jalan Allah itu, bahawa mereka mati, bahkan mereka hidup di sisi Allah Tuhan mereka.”

(ii) Orang-orang salaf yang dahulu seperti orang-orang mati syahid peperangan Uhud dan lain-lain orang mati yang tiada luluh dan tiada hancur batang tubuh setelah mereka ditanam di sana beberapa lama seperti Sayyidina Hamzah bin Abdul Muththalib Radhiallahu ‘anhu, ketika Khalifah Mu‘awiyah menggali suatu kolam air di situ didapati bahawa Sayyidina Hamzah baik batang tubuhnya dan tiada berubah dan cangkul telah kena di anak jarinya, maka berdarah anak jarinya. Begitu juga sahabat-sahabat Abu Jabir Abdullah bin Haram dan ‘Amru bin Jamuoh dan Thalhah bin ‘Ubaidillah Radhiallahu ‘anhum. Anaknya ‘Aisyah binti Thalhah telah mimpi bahawa bapanya Thalhah menyuruh pindahkan dia dari tempat asal itu di tanah Uhud, maka ‘Aisyah keluarkan mayat bapanya dan didapati dia tiada berubah. Ini disebutkan oleh al-‘Allâmah Ibnu Qutaibah dan lain-lain riwayat yang sah.

(iii) Di dalam al-Musnad daripada jalan sahabat, Anas Radhiallahu ‘anhu telah berkata: “Telah bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Nabi-nabi itu hidup dan mereka sembahyang di dalam kubur mereka.”

Diriwayatkan hadis ini daripada at-tâbi‘i Tsabit al-Bunani daripada sahabat, Anas.

(iv) At-tâbi‘i Tsabit al-Bunani, orang-orang mencarinya di dalam kuburnya, maka orang-orang itu tidak mendapatinya dalam kuburnya, maka orang-orang bertanya kepada anak perempuannya, katanya: “Bapa saya sembahyang di rumahnya dan orang-orang tidak melihatnya, kerana saya dengar dia apabila sembahyang Tahajjud dia berkata:

Ertinya: “Ya Allah, mohon jadikan hamba daripada golongan yang sembahyang di dalam kuburnya lepas mati.”

(v) Al-‘Ârif Billâh Sayyid Ibrahim al-Matbuli suka mengambil tahu hal orang-orang ahli tashawwuf, maka dia lihat seorang yang banyak ibadat dan banyak amal salih dan orang-orang menyangka dia itu orang yang ada kelebihan, lalu Sayyid Ibrahim al-Matbuli berkata kepadanya: “Hai anakku kenapa saya lihat kamu banyak ibadat tetapi rendah darjatmu? Barangkali bapa kamu tidak redhakan kamu”. Pemuda itu menjawab: “Ya”. Berkata Sayyid al-Matbuli: “Cari kuburnya”. Kata pemuda itu: “Ya”. Kemudian asy-Syeikh al-Matbuli berkata: “Mari kita pergi ke kuburnya supaya dia redhakan kamu”. Berkata asy-Syeikh Yusuf al-Kurdi: “Demi Allah saya lihat bapanya keluar dari kuburnya, menyapu-nyapu badannya daripada debu tanah”. Ketika Sayyid al-Matbuli itu memanggil mayat itu, dan mayat itu berdiri tegak, berkata Sayyid al-Matbuli: “Ahli-ahli tashawwuf ini datang minta syafaat daripada kamu supaya kamu redha dan baik hati kepada anak kamu ini”. Berkata mayat itu: “Saya saksikan kamu bahawa saya telah redha dan baik hati kepadanya”. Kemudian kata Sayyid al-Matbuli: “Sekarang baliklah kamu ke dalam kubur kamu”. Dan kuburnya ada dekat di tempat bernama Ra’s al-Husainiyyah di Mesir.

Adapun dakwaan orang yang mati hidup semula seperti yang ditanyakan itu memerlukan dalil, jika tidak, ia akan bercanggah dengan sunnatullâh iaitu seorang itu akan menempuh lebih dari dua kali mati atau lebih dua kali hidup sedangkan orang-orang yang diceritakan oleh Allah hidup semula sebagaimana yang tersebut di dalam al-Qur’an hanyalah dalam waktu sebentar bagi tujuan-tujuan tertentu.

Jikalah orang itu dihidupkan semula oleh Allah bagi tujuan bertaubat, maka hal ini akan bertentangan dengan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa orang yang mati terputus amalannya melainkan tiga perkara:

Maksudnya: “Jika mati seorang insan itu terputuslah amalannya, melainkan tiga perkara: Sedekah jâriah (waqaf), ilmunya yang memberi manfaat kepada orang lain, anak salih yang mendoakan kedua ibu bapanya.” (Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan an-Nasa’i)

Sebenarnya pintu taubat akan tertutup jika seorang itu sudah dalam keadaan naza‘ (sakratulmaut). Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanya akan menerima taubat seseorang selama rohnya belum sampai ke kepala kerongkongnya (saat sakratulmaut).” (Hadis riwayat at-Tirmidzi dan Ahmad bin Hanbal)

Jikalau seseorang yang telah mati itu boleh kembali hidup semula, lebih-lebih lagi kerana tujuan hendak bertaubat maka ianya akan bercanggah dengan dasar taubat itu sendiri dan dengan dasar bahawa hidup itu hanya dua kali; kali pertama setelah seseorang dilahirkan dari rahim ibunya dan kali kedua apabila seseorang itu dibangkitkan pada Hari Pembalasan. Melainkan jika seorang itu dihidupkan semula kerana sebab-sebab yang diizinkan oleh Allah, seperti yang dikisahkan oleh al-Qur’an atau bagi menunjukkan mu‘jizat Nabi, seperti yang berlaku kepada Nabi Isa yang boleh menghidupkan orang yang telah mati, sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu dengan membawa satu tanda (mu‘jizat) daripada Tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu daripada tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu jadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah, dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah.” (Surah Âli ‘Imran: 49)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7823