Pendaftaran Perkahwinan Di Mahkamah Sivil
Soalan 2:
Dengan hormat sukacita dimaklumkan bahawa akhir-akhir ini telah terdapat pasangan-pasangan Islam atau salah seorang beragama Islam telah berkahwin mengikut perkahwinan yang didaftar di mahkamah sivil (bukan akad nikah secara Islam)/didaftar menurut undang-undang perkahwinan negara luar.
Pasangan-pasangan seperti ini sukar untuk diambil tindakan undang-undang mengikut Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Qadhi Penggal 77.
Oleh yang demikian untuk menangani masalah ini maka sukacita dipohonkan fatwa mengenai perkara tersebut khususnya mengenai kedudukan sah atau tidak sah sesuatu perkahwinan yang dilangsungkan dengan cara yang disebutkan itu.
Mudah-mudahan dengan adanya fatwa itu akan dapat membantu pegawai-pegawai berkenaan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan lebih licin dan teratur, insyâ’ Allah.
Jawapan:
Pernikahan yang betul dan sah bagi seorang Islam itu adalah pernikahan yang memenuhi segala syarat dan kehendak hukum syara‘. Keshahîhan suatu pernikahan itu hendaklah memenuhi rukun-rukun nikah. Rukun nikah itu ada lima perkara:
(i) Suami. (ii) Isteri. (iii) Wali. (iv) Dua orang saksi. (v) Shîghah (îjâb dan qabûl)
Kesemua perkara yang menjadi rukun di atas mestilah sempurna dalam mana-mana akad nikah dilakukan. Jika tidak, pernikahan tersebut adalah tidak sah menurut hukum syara‘.
Tujuan asal akad nikah itu ialah menghalalkan hubungan suami isteri dan menjaga kemurnian nasab zuriat manusia. Tanpa adanya akad nikah yang sah, hubungan suami isteri itu adalah haram pada hukum syara‘. Sebab itulah akad nikah yang mengikut kehendak hukum syara‘ sahaja yang dikira sah.
Sehubungan dengan itu, merujuk kepada permasalahan mengenai “Perkahwinan yang didaftar di mahkamah sivil/didaftar menurut undang-undang perkahwinan negara luar” yang bukan menurut akad nikah Islam itu sedangkan yang bernikah itu adalah orang Islam, maka pernikahan tersebut adalah tidak sah pada hukum syara‘, walaupun pernikahan tersebut diakui sah oleh undang-undang di mana pernikahan itu dilakukan, kerana yang bernikah itu adalah orang Islam yang wajib mengikut kehendak agamanya tanpa membezakan masa dan tempat dia berada. Hukum atau syariat yang telah ditetapkan oleh Allah itu tidak sekali-kali boleh diubah oleh undang-undang atau peraturan yang diadakan oleh manusia.
Dari itu dalam kejadian seumpama ini, orang Islam yang berakad nikah tidak secara Islam itu mesti disiasat oleh qadhi tentang agama dan mazhabnya. Jika didapati sabit pernikahan itu tidak sah pada hukum syara‘ hendaklah qadhi mengisytiharkan bahawa pernikahan tersebut tidak sah mengikut hukum syara‘ dan hendaklah dipisahkan keduanya.
Jika mereka telah mengetahui bahawa pernikahan secara sivil itu tidak sah pada hukum syara‘, tetapi sengaja memilih cara itu dengan apa jua alasannya, perbuatan mereka ini adalah berdosa dan haram bagi mereka melakukan hubungan suami isteri. Apatah lagi jika perbuatan tersebut diteruskan setelah diisytiharkan oleh qadhi bahawa pernikahan mereka tidak sah pada hukum syara‘. Melakukan persetubuhan dalam keadaan nikah yang tidak sah adalah perbuatan zina. Zina itu termasuk dosa besar.
Adapun untuk mendakwa mereka di mahkamah kerana melakukan kesalahan khalwat atau persetubuhan haram seperti mana kehendak Akta Majlis Ugama dan Mahkamah- Mahkamah Qadhi adalah bergantung kepada keadaan, sama ada orang yang bernikah itu mengetahui apa yang dilakukannya itu bersalahan dengan kehendak hukum syara‘ atau benar-benar dia jahil mengenainya. Jahil di sini ialah jahil yang boleh melepaskan dirinya daripada dihukum mengikut kehendak hukum syara‘.
Dalam keadaan dunia pendidikan Islam yang sangat mudah didapati di negara ini (Brunei Darussalam) melalui persekolahan agama, syarahan-syarahan, kuliah-kuliah agama dan lain-lain seumpamanya bahkan melalui adat istiadat perkahwinan yang termasuk juga pernikahan, adalah susah untuk mempercayai bahawa ada orang Islam yang mendakwa bahawa mereka tidak tahu walaupun secara dasar mengenai hukum pernikahan atau tidak tahu tentang keperluan nikah secara Islam. Walaupun disedari memang ada orang Islam yang kurang pengetahuan mengenai rukun-rukun nikah secara detil.
Selain itu kejahilan mengenai suatu undang-undang bukanlah alasan untuk melepaskan seseorang itu daripada undang-undang.
Berbangkit daripada permasalahan ini, pihak yang berkuasa hendaklah memikirkan jalan-jalan melalui undang-undang bagi menyelesaikan kes-kes seumpama ini terutamanya kesesuaian peraturan atau undang-undang pernikahan di mahkamah sivil dengan hukum syara‘. Termasuk kesesuaian itu ialah melihat percanggahan yang wujud (jika ada) di antara kedua-dua undang-undang sivil dan undang-undang syara‘ dengan memperluaskan bidang kuasa mahkamah qadhi mengenai perkahwinan Islam atau pasangan Islam yang bersekedudukan sekalipun sah menurut undang-undang sivil.
Adalah tidak wajar sebuah negara yang mendaulatkan Islam dan kuasa pemerintahannya dikuasai oleh orang Islam meletakkan kes-kes seumpama ini di bawah kuasa mahkamah yang tidak mematuhi kehendak hukum syara‘. Sebab kes ini tidak terhenti setakat pernikahan sahaja, bahkan akan berterusan seperti masalah waris, wali nikah dan sebagainya. Boleh dibayangkan jika kes ini ditangani oleh mahkamah yang tidak berasaskan kepada perundangan Islam akan banyak lagi perkara-perkara haram akan timbul. Sebab daripada pengiktirafan nikah yang tidak sah pada hukum syara‘ (seperti kes ini) akan membolehkan anaknya mewarisi harta yang haram ke atasnya dan mewalikan anak yang tidak bersambung nasab kepadanya.
Berdasarkan perkara di atas adalah menjadi kewajipan orang-orang Islam terutama pihak-pihak yang memegang kuasa memikir dan merancang agar orang Islam itu sentiasa mematuhi hukum syara‘, di samping itu perlu ada kuasa melaksana supaya pernikahan orang Islam yang menurut syara‘ sahaja yang diiktiraf sah di negara ini. Sebarang pernikahan orang Islam di hadapan Pendaftar Mahkamah Sivil atau didaftar menurut undang-undang perkahwinan negeri luar, selama mana tidak memenuhi rukun-rukun pernikahan Islam adalah tidak diakui sah.
Di samping itu, perlu diwujudkan peruntukan undang-undang yang menegah pendaftaran nikah mana-mana orang Islam di mahkamah sivil di negara ini, dan hendaklah dikaji dengan segera segala peruntukan undang-undang yang ada yang berkaitan dengan pernikahan orang Islam, supaya orang-orang Islam selamat daripada melakukan perkara-perkara yang membawa kepada tidak sah atau fâsid pernikahan mereka. Dengan adanya peruntukan undang-undang tersebut akan mendukung sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Islam itu tinggi dan tidaklah ada yang mengatasinya.” (Hadis riwayat Ahmad dan ad-Daraquthni)
Kita perlu sedar bahawa sebutan agama Islam itu bukanlah terbatas kepada aqidah dan ibadatnya sahaja bahkan ia adalah menyeluruh termasuk sistem kuasa perundangannya. Sebagai langkah segera ke arah penyelarasannya maka perlu diwujudkan pendaftar nikah kahwin di mahkamah sivil yang terdiri daripada orang-orang Islam atau diberi portfolio yang mengawasi perkara berkaitan dengan pendaftaran nikah di negara ini. Pegawai tersebut mestilah mengetahui hukum-hukum mengenai pernikahan mengikut hukum syara‘ kerana di samping tugasnya mengawasi pendaftaran nikah, adalah juga menjadi tanggungjawabnya memberi penerangan dan nasihat kepada mana-mana orang Islam yang hendak bernikah secara sivil bahawa pernikahan mereka tidak sah menurut syara‘ sekalipun sah menurut undang-undang sivil (andainya ada percanggahan demikian).
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7827
