Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Penetapan Kadar ‘Iwadh Khulu‘ (Tebus Talak) Oleh Qadhi

Soalan: Bolehkah qadhi menetapkan nilai, jumlah barang atau wang pertukaran (‘iwadh) dalam tebus talak (khulu‘) jika berlaku pertelingkahan antara suami isteri atau suami tidak mahu menceraikan isteri walaupun dengan tebus talak, sedangkan dia sendiri tidak memperdulikan isterinya yang menjadi mangsa dalam keadaan ini? Jika boleh, apakah dasarnya?

Jawapan: Khulu‘ itu ialah perceraian suami isteri dengan pertukaran yang dimaksudkan untuk mengambil manfaat untuk dirinya (suami) dengan lafaz talak atau khulu‘, seperti katanya: “Aku talak engkau dengan seribu ringgit” atau “aku lepaskan engkau dengan seribu ringgit”, maka isteri menerimanya.

Menurut kitab al-Majmû‘ (17/6): Bahawa khulu‘ itu terbahagi kepada tiga bahagian. Dua daripadanya yang diharuskan iaitu:

i. Jika seorang itu tidak menyukai suaminya kerana hodoh rupanya, buruk akhlaknya atau amalan agamanya dan isteri tersebut khuatir tidak dapat menunaikan hak suaminya, telah sepakat para ulama mengatakan bahawa harus bagi isteri memberikan kepada suaminya bayaran ganti supaya suaminya menceraikannya. Adalah harus bagi suami mengambil bayaran ganti tersebut berdasarkan firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh suami untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).” (Surah al-Baqarah: 229)

Telah disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam asy-Syafi‘e daripada Malik mengenai Habibah binti Sahl, bekas isteri Tsabit bin Qais bin Syammas, bahawa ketika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam hendak pergi menunaikan sembahyang Subuh, Baginda mendapati Habibah di pintu rumah Baginda, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Siapa engkau ini?” Dia menjawab: “Aku Habibah binti Sahl wahai Rasulullah”. Sabda Baginda: “Apakah hajatmu?” Dia menjawab: “Tiadalah aku, tiadalah Tsabit (menandakan kehendaknya untuk berpisah)”. Setelah Tsabit bin Qais datang, Baginda bersabda kepadanya: “Habibah binti Sahl ini telah menceritakan hal yang diharuskan oleh Allah menceritakannya”. Habibah berkata: “Ya Rasulullah, apa-apa yang diberinya kepadaku masih ada padaku”. Maka sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Ambillah olehmu (yang telah engkau beri itu) daripadanya”. Lalu Tsabit mengambilnya dan tinggallah Habibah di rumah keluarganya.” (Tartîb Musnad al-Imâm asy- Syafi‘e: 2/51)

ii. Pasangan suami isteri itu dalam keadaan baik dan tiada perasaan benci-membenci antara keduanya, maka mereka bersetuju untuk bercerai dengan khulu‘, maka sah khulu‘ itu dan halal bagi suami mengambil tukaran tersebut. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Kemudian jika mereka dengan sukacita hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwinnya, maka makanlah (gunalah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (Surah an-Nisâ’: 4) Keadaan yang demikian itu adalah memutuskan hubungan dengan redha meredhai dan khulu‘ itu diharuskan kerana menjauhkan mudharat, maka harus juga ketika tiada mudharat seperti dalam hal jual beli. (Mughni al-Muhtâj: 3/262)

iii. Hal yang dilarang oleh syara‘ iaitu apabila suami hendak memukul isterinya atau menakutkannya dengan ugutan bunuh atau menahan (tidak mahu memberi) nafkah dan pakaiannya supaya isterinya menuntut cerai dengan khulu‘, maka yang demikian itu dilarang oleh hukum syara‘. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Janganlah engkau menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian daripada apa yang telah kamu berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.” (Surah an-Nisâ’: 19)

Jika isteri menuntut cerai dengan khulu‘ dalam keadaan yang demikian ini, maka jatuh talak dan suami tidak berhak memiliki tukaran dan jika khulu‘ itu setelah dukhûl (isteri disetubuhi), maka jatuh talak raj‘i. (Al-Majmû‘: 17/3-6 dan Qalyûbi wa ‘Umairah: 3/307)

Jika suami memukul isterinya untuk memberi pengajaran kerana nusyûz, maka isteri menuntut khulu‘ selepas suami memukulnya, maka sah khulu‘ itu. Telah diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi daripada Sa‘id al-Khudri, dia berkata: “Pernah saudara perempuanku menjadi isteri seorang Anshar, maka mereka menghadapkan masalah mereka suami isteri kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam maka sabda Baginda kepada saudara perempuanku itu:

Maksudnya: “Adakah engkau setuju mengembalikan kebunnya?” Maka katanya: “Bahkan aku tambah lagi (selain daripada kebun)”, maka dia mengembalikan kebun suaminya dan menambahnya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Maka daripada hadis di atas jelas menggambarkan ‘iwadh atau bayaran ganti itu tidak ditentukan kadarnya.

Menyentuh tentang bayaran ganti dalam khulu‘ itu, agama Islam telah mensyaratkan bahawa bayaran ganti itu mestilah tertentu dan berguna (ada manfaat) serta berharga dan bayaran ganti itu sah sama ada kadarnya banyak atau sedikit. Ini adalah berdasarkan umumnya firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).” (Surah al-Baqarah: 229)

Ayat di atas menunjukkan tentang muthlaq manfaat itu, namun tidak termasuk dalam manfaat itu dua perkara:

i. Khulu‘ dengan melepaskan diri daripada menanggung tempat tinggal isteri. Telah disebut dalam kitab al-Bahr bahawa dengan demikian jatuh talak dan tidak boleh diterima bayaran ganti, kerana mengeluarkan isteri daripada tempat tinggal itu adalah haram hukumnya.

ii. Khulu‘ dengan mengajar sesuatu ayat daripada al-Qur’an. Maka tidak sah khulu‘ dengan cara ini.

Perceraian dengan tebus talak itu hampir seperti cerai dengan cara ta‘lîq. Namun dalam tebus talak ini suami boleh menarik balik ucapannya sebelum ada qabûl (ucapan penerimaan) daripada isteri. Disyaratkan qabûl isteri itu dengan ucapan yang tidak diselangi dengan sesuatu, ertinya îjâb dan qabûl itu bersambung dengan tidak diputuskan oleh sesuatu ucapan yang lain atau dipisahkan oleh masa yang panjang. Tidak sah qabûl itu dengan perbuatan sahaja tanpa ucapan seperti menyerahkan kadar yang dikehendaki dalam ucapan suami. Selain itu disyaratkan juga qabûl daripada isteri itu menepati îjâb suami, kerana jika bersalahan antara îjâb dan qabûl, maka tidaklah sah tebus talak berkenaan. (Mughni al-Muhtâj: 3/265 dan 269)

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan di atas, mengenai dengan bayaran ganti itu, bolehlah qadhi menetapkan kadar tertentu sebagai cadangan kepada suami isteri sahaja, tetapi tidak ada kuasa bagi qadhi memaksa mereka setuju. Walau bagaimanapun jika terjadi kezaliman, kerana suami yang sengaja tidak mahu menceraikan isterinya dengan cara cerai biasa atau tebus talak dan nyata kezaliman itu dilakukan ke atas isterinya, maka ketika itu qadhi boleh memisahkan mereka berdua dengan cara fasakh setelah ada bukti atau keterangan yang nyata daripada semua pihak yang dapat menampakkan bahawa isteri dizalimi seperti isteri tidak diberi nafkah sedangkan isteri tidak nusyûz dan berhak menerimanya atau yang seumpamanya. Untuk melaksanakan cerai dengan fasakh ini, bolehlah qadhi merujuk mana-mana kitab yang mu‘tabar dalam mazhab asy-Syafi‘e.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7831