Penggunaan Tangkal Ayat Al-Kursiy
Soalan: Sukacita dipohonkan pandangan Pehin berhubung perkara penggunaan tangkal/azimat ayat al-Kursiy untuk rujukan di Bahagian Unit Kawalan Aqidah, dan Syara‘iah, Jabatan Hal Ehwal Syara‘iah Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei.
Jawapan: Ayat al-Kursiy sangat besar kelebihannya kerana mengandungi dasar tauhid dan menggambarkan dengan indahnya kebesaran, kekuasaan dan keluasan ilmu Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam, seperti firmanNya:
Tafsirnya: “Luasnya Kursiy Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tidaklah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya (alam langit dan bumi).” (Surah al-Baqarah: 255)
Dengan ini, seseorang muslim adalah digalakkan supaya sentiasa beramal dengan ayat Kursiy. Maksudnya di samping membaca dan menjadikannya wirid harian seseorang itu perlu menghayati isi kandungannya iaitu mentauhidkan Allah yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan kebesaran seperti yang terkandung di dalam ayat ini dan lainnya daripada al-Qur’an dan hadis, serta mengabdikan diri kepada Allah dengan cara menyerah diri kepadaNya, mematuhi segala titah perintahNya dengan sebenar-benar patuh, ikhlas dan berkeyakinan penuh terhadap kekuasaan, kebesaranNya dan keluasan ilmuNya dan berkeyakinan penuh bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala jua yang memelihara kita di setiap masa daripada segala keburukan, kejahatan dan bencana, ke atas diri, keluarga dan harta kita.
Mengikut hukum syara‘, para ulama telah ijmâ‘ mengatakan bahawa harus dan boleh berbuat tangkal itu ketika ada tiga syarat:
(i) Hendaklah tangkal itu dengan Kalâmullâh Ta‘ala atau dengan nama Allah dan sifat-sifat Allah Ta‘ala.
(ii) Hendaklah tangkal itu dengan bahasa Arab atau dengan bahasa yang diketahui ertinya selain daripada bahasa Arab.
(iii) Hendaklah orang yang memakai tangkal itu beri‘tiqâd bahawa tangkal itu tidak ada sesuatu kesan padanya, hanya melainkan dengan takdir Allah Ta‘ala dan kuasaNya yakni Allah Ta‘ala sahaja memberi kesan dengan sebab tangkal itu tiada yang lain, ertinya Allah sahaja yang memberi manfaat dan mudharat.
Imam Muslim telah meriwayatkan daripada hadis sahabat ‘Auf bin Malik Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Kami membuat tangkal pada zaman kami masa jahiliah, maka kami berkata: “Ya Rasulullah bagaimana Tuan hamba dapati yang demikian itu?” Sabda Baginda: “Lihatkan kepada saya tangkal kamu itu, tidak mengapa berbuat tangkal dengannya apabila tiada padanya sesuatu syirik (menduakan Allah).”
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada ‘Amru bin Syu‘aib daripada bapanya daripada datuknya, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengajarkan kepada mereka beberapa perkataan untuk menghindarkan diri daripada ketakutan, iaitu:
Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada kemurkaanNya, daripada kejahatan hamba-hambaNya, daripada godaan syaitan-syaitan dan daripada mereka mendekati (diriku).”
Sementara Abdullah bin ‘Amru telah mengajarkan ayat ini kepada anak-anak lelakinya yang sudah bâligh dan bagi yang belum bâligh dengan menulis ayat tersebut lalu digantungkan kepada mereka. (Sunan Abu Daud; juz 2 dan kitab ath-Thibb: 339)
Jelas daripada apa yang tersebut di atas, memakai tangkal atau azimat daripada ayat al- Qur’an itu adalah harus asalkan tidak ada perkara-perkara lain yang menyebabkan ia bercanggah dengan hukum syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7835
