Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Pertandingan Zikir Dan Al-Qur’an

Soalan: Dengan penuh hormatnya sukacita dipohonkan fatwa Pehin berhubung dengan perkara yang kaola nyatakan di bawah ini.

Sebagaimana yang dimaklumi Kementerian ini buat beberapa tahun mengadakan pertandingan yang berunsurkan keagamaan seperti zikir, al-Qur’an dan yang berkaitan, melibatkan penyertaan pelajar-pelajar perempuan yang sebilangannya sudah ‘âqil bâligh. Pertandingan ini pada kebiasaannya akan dihadiri oleh ibu bapa, guru-guru dan pelajar-pelajar lelaki dan perempuan. Dalam hubungan ini apakah hukumnya mengadakan pertandingan dalam keadaan seperti ini dan adakah ianya mempunyai hukum yang sama jika pertandingan sedemikian disiarkan dalam televisyen sama ada secara langsung atau sebaliknya, yang penonton-penontonnya terdiri daripada segenap lapisan masyarakat lelaki dan perempuan?

Semoga fatwa yang Pehin berikan itu nanti akan dijadikan satu panduan bagi mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Jawapan: Pertandingan membaca al-Qur’an atau tilâwah al-Qur’an tidaklah mengapa, harus dan bagus, kerana ia adalah suatu amal yang baik yang tujuannya untuk memperelok dan membaguskan bacaan al-Qur’an, lebih-lebih lagi di kalangan penuntut-penuntut supaya dapat mereka itu mempelajari dan membaiki bacaan al-Qur’an itu di peringkat awal-awal lagi.

Pertandingan membaca al-Qur’an oleh perempuan di hadapan lelaki asing melibatkan hukum suara perempuan dan hukum menyaringkan suara perempuan.

Pada dasarnya perempuan tidak ditegah atau dilarang berkata-kata atau bercakap dengan lelaki asing ketika ada hajat atau ada keperluan seperti urusan jual beli, urusan muamalat kewangan atau perniagaan. Semua muamalat ini menghendaki pada kebiasaannya percakapan di antara dua pihak lelaki dan perempuan.

Selain daripada urusan jual beli, perempuan kadang-kadang bertanya dan belajar daripada lelaki yang alim atau berbincang mengenai dengan hukum-hukum fiqh, atau lelaki pula bertanya kepada perempuan yang alim atau berbincang mengenai masalah-masalah agama dan lain-lain urusan yang tidak bertentangan dengan hukum syara‘.

Hukum harus mendengar suara perempuan oleh lelaki asing di antara lain berdasarkan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “‘Urwah bin Zubair memberitahu bahawa ‘Aisyah, isteri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, pernah berkata: “Apabila perempuan-perempuan mukmin berserah (hijrah) kepada Rasulullah, mereka akan diuji oleh Rasulullah dengan firman Allah Ta‘ala yang tafsirnya: “(Wahai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan beriman untuk mengadakan janji setia, bahawa mereka tidak akan mempersekutukan sesuatupun dengan Allah, tidak mencuri, tidak berzina), sehingga akhir ayat (surah al-Mumtahanah: 12) ‘Aisyah berkata: “Sesiapa daripada perempuan-perempuan mukmin itu menyetujui ayat ini, maka bermakna dia telah menyetujui uji cuba itu. Dan adalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, apabila mereka itu sudah mengikrarkannya dengan ucapan, berkata kepada mereka: “Kamu pergilah, sesungguhnya kamu telah mengikat janji setia denganku”. Dan demi Allah tidak pernah tangan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menyentuh tangan perempuan, mereka mengikat janji setia dengan Baginda hanyalah melalui ucapan”. ‘Aisyah berkata lagi: “Demi Allah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak sekali-kali mengambil perempuan melainkan dengan apa yang disuruh Allah, dan tidak pernah sekali-kali telapak tangan Rasulullah menyentuh telapak tangan mana-mana perempuan, Baginda hanya berkata kepada mereka apabila mereka mengikat janji setia dengan Baginda: “Sesungguhnya aku hanya mengikat janji setia bersama kamu dengan ucapan saja.” (Hadis riwayat Muslim)

Berkata an-Nawawi: “Hadis di atas mengandungi pengertian bahawa perkataan (suara) perempuan asing adalah diharuskan mendengarnya ketika diperlukan dan suara perempuan itu bukan aurat.” (Shahîh Muslim: 13/10)

Berdasarkan inilah ulama mazhab asy-Syafi‘e berpendapat bahawa suara perempuan itu bukanlah aurat, harus mendengar suara perempuan ketika aman daripada fitnah. (Mughni al-Muhtâj: 3/129)

Apa yang disebutkan ulama asy-Syafi‘e: “Maka tidak haram mendengarnya”, ertinya mendengar suara perempuan, dan apa yang mereka sebutkan: “Melainkan jika takutkan fitnah atau berlazat-lazat (berseronok-seronok) dengan suara itu”, membawa maksud: “Sesungguhnya adalah haram mendengar suara mereka, yakni walaupun seperti bacaan al-Qur’an dan yang seumpamanya daripada suara itu az-zaghârîd.” Dalam kitab al- Bujairimi dan I‘ânah ath-Thâlibîn disebutkan pula, bahawa suara perempuan bukanlah aurat menurut qaul paling ashah, akan tetapi tetap haram mendengarnya ketika ditakuti timbul fitnah. (I‘ânah ath-Thalibîn: 3/260 dan Bujairimi: 3/315)

Berkata ulama asy-Syafi‘e:

Ertinya: “Haram mendengar suara perempuan walaupun misalnya membaca al- Qur’an ketika takutkan fitnah atau berlazat-lazat (berseronok-seronok) dengan suara itu, jika tidak (tiada fitnah dan berlazat-lazat), maka tidaklah haram.” (Qalyûbi wa ‘Umairah: 3/208)

Oleh kerana itu menurut ulama-ulama mazhab asy-Syafi‘e jikalau perempuan itu bercakap kepada lelaki asing, jangan perempuan itu bercakap dengan suara lembut, memerdu atau melunakkan suaranya tetapi hendaklah dengan suara garau atau suara kasar.

Hukum Menyaringkan Suara Perempuan

Islam melarang perempuan menyaringkan suara di antara lain dalam perkara-perkara berikut:

(i) Ketika membaca di dalam sembahyang, sekiranya didengar oleh lelaki asing. Jika berlaku sesuatu kesilapan dalam sembahyang jemaah, maka lelaki disuruh membaca subhânallah, dan perempuan disuruh bertepuk dengan perut tapak tangan kanan di atas belakang tangan kiri.

(ii) Perempuan dilarang azan (bang).

(iii) Perempuan tidak disuruh angkat suara sewaktu talbiyah dalam haji di hadapan lelaki.

Oleh kerana pertandingan membaca al-Qur’an itu menghendaki suara yang nyaring, maka ia akan tertakluk kepada tuntutan al-Qur’an sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (Surah al-Ahzâb: 32)

Oleh itu pertandingan membaca al-Qur’an di kalangan perempuan, jika ia dihadiri oleh lelaki, maka mustahak ada cara-cara khas atau tersendiri berdasarkan hukum larangan perempuan bersuara nyaring di hadapan lelaki, seperti pertandingan itu diadakan dalam keadaan khas bagi perempuan sahaja. Cara yang sedemikian lebih baik diikuti atau ada batas-batas pemisah antara hadirin lelaki dan perempuan supaya benar-benar terselamat daripada fitnah dan terhindar percampuran yang tidak diizinkan oleh syara‘.

Menurut pendapat yang disalin daripada kitab Taudhîh al-Adillah yang menyebutkan pendapat ar-Ramli adalah seperti berikut:

Ertinya: “Maka dihukumkan makruh bagi perempuan itu jahar (menyaringkan suara) apabila di hadapan lelaki yang helat.”

Al-‘Allâmah asy-Syeikh Abdul Halim Mahmud dalam fatwanya Juz 2 apabila ditanya adakah harus bagi perempuan membaca al-Qur’an dalam pertandingan, beliau menjawab:

Ertinya: “Ya, harus perempuan membaca al-Qur’an dalam musabaqah atau pertandingan di hadapan orang ramai, dan tidak ada nash yang menegah perkara itu, akan tetapi dengan syarat perempuan itu berpegang dalam bacaannya kepada hukum-hukum yang dituntut dalam bacaan (Al-Qur’an).”

Asy-Syeikh Abdul Halim menambah lagi:

Ertinya: “Akan tetapi adalah haram bacaan (Al-Qur’an) oleh perempuan di hadapan lelaki, atau menzahirkan dan meninggikan suaranya, apabila (dengan itu) dia melemah-lembutkan perkataannya atau membawa orang tertarik dan tergoda dengan panjang harakat dan tarkhîm (merdu suaranya) itu, dan lain-lain sebagainya daripada perkara-perkara yang keluar daripada batas-batas pengucapan biasa yang selamat.”

Inilah pendapat yang munasabah dan selamat, iaitu tidak mengapa diadakan dengan cara-cara yang munasabah dan selamat pula, iaitu menurut budi bicara yang bijaksana dengan berpandukan batas-batas syara‘.

Mengadakan pertandingan membaca al-Qur’an di kalangan penuntut-penuntut perempuan itu memang ada baik dan manfaatnya sebagai asuhan dan galakan kepada penuntut-penuntut itu untuk menghayati Kitab Suci tersebut di samping juga menjadi syiar wujudnya Islam dan umat Islam. Cuma cara pertandingan itu sahaja yang mesti diurus dengan baik dan betul. Berbanding dengan mengadakan peraduan-peraduan nyanyian yang lazimnya lebih membawa leka, seronok dan khayal. Peraduan-peraduan seperti ini biasanya bukan hanya setakat menyaring dan melunak-lunakkan suara, malahan juga turut berperanan ialah gaya dan pakaian-pakaian yang beraneka, yang kebanyakan atau keseluruhannya itu menampakkan aurat dan perhiasan wanita. Orang yang membaca al-Qur’an tidaklah melakukan semua itu.

Adapun mengenai dengan pertandingan zikir (mungkin juga dimaksudkan dikir) yang mengandungi puji-pujian dan selawat kepada Nabi, jika tujuannya untuk membaguskan sebutan makhraj huruf supaya fasih, dan dengan itu dapat membantu penyebutan ketika membaca al-Qur’an, maka tujuan itu adalah harus dan baik. Tetapi jika tujuannya semata-mata mementingkan suara atau lagu atau kedua-duanya, maka hukumnya juga akan tergantung kepada tujuan itu. Dalam keadaan yang belum jelas mengenai tujuannya, pertandingan secara berasingan perempuan sahaja adalah lebih elok, selamat dan munasabah kerana ada suruhan untuk membaguskan bacaan al- Qur’an sebagaimana firman Allah:

Tafsirnya: “Dan bacalah al-Qur’an dengan tartîl (dengan bacaan yang terang, jelas dan betul menurut ilmu tajwid).” (Surah al-Muzzammil: 4)

Imam an-Nawawi dalam kitabnya at-Tibyân fî Âdâb Hamlah al-Qur’ân telah menulis mengenai “Sunat Mengelokkan Suara Bacaan” bahawa ulama Radhiallahu ‘anhum yang terdiri daripada salaf dan khalaf, daripada sahabat, tâbi‘în dan orang yang selepas mereka yang terdiri daripada ulama bandar-bandar besar yang merupakan imam-imam bagi Muslimin telah bersepakat (ijmâ‘) tentang sunat mengelokkan suara ketika membaca al-Qur’an. Perkataan dan perbuatan mereka masyhur sekali. Jadi tidak perlulah kami meriwayatkan satu persatu. Begitu juga dalil-dalil daripada hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah masyhur di sisi orang-orang khusus dan orang-orang awam, seperti hadis:

Maksudnya: “Hiaskanlah al-Qur’an dengan suara-suara kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan an-Nasa’i)

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu diberi serunai daripada serunai-serunai keluarga Daud.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Maksudnya: “Jikalau kamu melihat aku sedang mendengar bacaan kamu semalam (nescaya kamu gembira).” (Hadis riwayat Muslim)

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mendengar kepada lelaki yang merdu suaranya dengan al-Qur’an lebih daripada (pendengaran) tuan hamba (penyanyi) kepada hambanya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Begitu juga hadis Sa‘ad bin Abu Waqash dan hadis Abu Lubabah Radhiallahu ‘anhuma bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Barang siapa tidak bernyanyi dengan al-Qur’an (mengelokkan suara membaca al-Qur’an), maka dia bukan daripada kami.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Jumhûr ulama berkata: “Makna lam yataghanna ialah: “Tidak mengelokkan suaranya.”

Dan juga hadis al-Barra’ Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: “Aku dengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam membaca di dalam sembahyang ‘Isya’ والت ْي والزيتون. Aku tidak pernah mendengar suara yang paling merdu lebih daripada suaranya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ulama Rahimahumullah telah berkata: “Sunat memperelok suara bacaan dan menyusunnya selagi tidak terkeluar daripada had bacaan dengan tamdîd (memanjangkan hurufnya). Tetapi jika dia melebihi sehingga menambah satu huruf atau menyembunyikan satu huruf maka itu adalah haram.” Adapun bacaan dengan al-lahn (lagu-lagu) maka Imam asy-Syafi‘e Rahimahullah pernah menyebutkan: “Aku tidak sukakannya.” Beliau juga pernah menyebutkan: “Aku tidak membencinya”. Kata ashhâb (ulama asy-Syafi‘e) kami: “Itu bukanlah bererti ada dua qaul (bagi asy- Syafi‘e), bahkan itu perlu didetilkan, iaitu jika dia melampau di dalam tamdîd sehingga melampau had maka itulah yang dia tidak sukakan. Dan jika tidak melampau maka ia tidak dibenci olehnya.”

Aqdha al-Qudâh al-Mawardi dalam kitabnya al-Hâwi telah berkata: “Bacaan melalui lagu-lagu yang direka sekiranya bacaan itu mengeluarkan lafaz al-Qur’an daripada shîghahnya (sebutan atau bentuk) dengan memasukkan beberapa harakât padanya atau mengeluarkan beberapa harakât daripadanya, atau qashr (pendek) yang mempunyai madd (panjang) atau madd yang mesti diqashrkan atau tamdîd yang boleh membawa kepada tersembunyi setengah lafaz dan membawa kepada kesamaran maknanya, maka itu adalah haram yang boleh menjadi fâsiq pembacanya dan juga berdosa pendengarnya, kerana ia telah terpesong daripada jalan yang lurus kepada yang bengkok, sedangkan Allah Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Iaitu al-Qur’an yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertaqwa.” (Surah az-Zumar: 28)

Katanya lagi, jika lagu itu tidak mengeluarkan al-Qur’an daripada lafaznya, dan daripada bacaannya mengikut tartîl maka itu adalah diharuskan, kerana dia hanya menambahkan kepada lagu-lagunya di dalam lingkungan memperelokkan (tahsîn).” Ini adalah kalâm (perkataan) Aqdha al-Qudâh. (At-Tibyân fî Âdâb Hamlah al-Qur’an: 61-62).

Walau bagaimanapun kita tidak boleh melihat kepada tujuan suatu pertandingan itu semata-mata, kerana betapapun cantik dan indahnya suatu tujuan, maka wasîlah atau cara sampai kepada matlamat itu hendaklah mengambil kira perkara-perkara yang tidak bertentangan dengan kehendak-kehendak syara‘. Dalam erti kata yang lain “tujuan tidak mengharuskan sebarang cara”. Kita hanya boleh mengharuskan cara-cara yang tidak bercanggah dengan syara‘ sahaja.

Hendaklah diingat oleh para peserta pembaca al-Qur’an bahawa maksud membaca dengan suara yang bagus itu adalah semata-mata untuk memenuhi tuntutan atau memenuhi hak membaca al-Qur’an bukan untuk bermegah-megah, apatah lagi jika ianya akan mendatangkan fitnah, sebagaimana huraiannya terdahulu.

Demikian jua kepada para pendengar khasnya yang menghadiri bacaan al-Qur’an itu supaya menanamkan perasaan bahawa kehadiran mereka adalah semata-mata untuk memperolehi pahala, kerana bacaan al-Qur’an itu menjadi ibadat dan dengan mendengarnya akan mendatangkan rahmat. Sebab itu sayugia jika al-Qur’an itu dibaca hendaklah diam mendengarnya dengan penuh perhatian sebagaimana perintah Allah dalam firmanNya:

Tafsirnya: “Dan apabila al-Qur’an itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-A‘râf: 204)

Orang yang menonton suatu pertandingan di dalam dewan adalah tidak sama dengan orang-orang yang menonton di dalam rumah yang disiarkan secara langsung atau setelah dirakam. Lebih-lebih lagi jika yang menghadirinya terdiri daripada lelaki dan perempuan, dengan sendirinya hukum aurat perempuan, campur gaul, kesopanan dan lain-lain perintah syara‘ akan berbangkit. Perkara-perkara ini setengahnya tidak berbangkit bagi penonton-penonton yang berada di rumah. Kalaupun ada, bukan kerana menonton pertandingan tersebut, tetapi kerana sebab-sebab yang lain.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7859