Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳أحكام متنوعة

Pil Perancang Keluarga

Soalan: Dengan segala hormatnya sukacita dan penuh takzim memaklumkan bahawa dalam usaha pihak Jabatan Perubatan meningkatkan pengawalan ke atas penggunaan ubat-ubatan dengan lebih baik lagi demi memastikan keselamatan pengguna, pihak kaola telah bermesyuarat dan seterusnya menghasilkan satu garis pandu khas bagi penggunaan pil-pil perancang. Bersama ini disertakan kesimpulan yang diambil daripada mesyuarat tersebut untuk rujukan Pehin jua.

Seperti yang dimaklumi, setakat ini belum ada ketepatan mengenai pemberian pil-pil perancang ini kepada pengguna-pengguna yang beragama Islam oleh doktor-doktor kerajaan. Sehubungan ini pihak kaola sukacita memohon apa jua pandangan serta nasihat Pehin mengenai perkara ini terutama terhadap perkara (e) @ dalam garis pandu yang disertakan.

Sekian dengan segala hormatnya dihadapkan.

@ Cabutan daripada maksud (e) itu ialah:

Oral Contraceptive Pills (OCP) ini adalah boleh ditentukan oleh doktor-doktor kerajaan yang berkenaan bagi pengguna-pengguna berdasarkan kehendak-kehendak perubatan penjarakan kelahiran anak (child spacing), kesejahteraan ibu (safe motherhood) dan penjagaan anak yang lebih berkualiti (quality care of children).

Jawapan: Kawalan ke atas pil-pil perancang itu adalah wajar supaya jangan ada pihak-pihak tertentu menyalahgunakannya.

Pertumbuhan penduduk memberikan kesan langsung terhadap perjalanan umat. Boleh dilihat daripada berbagai-bagai sudut; agama, ekonomi, sosio-budaya, politik dan lain-lain.

Pengimpotan orang-orang Yahudi dari luar Israel supaya masuk ke Palestin telah merubah imbangan kuasa bangsa Arab dan bangsa Yahudi. Dengan berbagai-bagai bantuan serta sokongan moral dan material oleh kuasa Barat, segala-galanya berpihak kepada bangsa Yahudi, jadilah orang-orang Arab Palestin bertambah lemah dan menderita di tanah airnya sendiri.

Kuasa penduduk majoriti inilah juga merubah aliran politik sesuatu negara itu. Semuanya atas nama demokrasi.

Kalau sebuah negara itu diduduki oleh berbagai-bagai kaum atau bangsa akan bertambah jelas kuasa politik di tangan majoriti itu. Tetapi Alhamdulillah jikalau kuasa itu di tangan orang Islam, orang bukan Islam yang minoriti sepanjang yang dapat dibuktikan oleh sejarah pasti akan terjamin keselamatan hidupnya kerana menurut dasar Islam, kezaliman adalah suatu dosa. Islam itu adalah rahmat bagi sekalian alam. Tetapi belum tentu sebaliknya. Sejarah Bosnia boleh diambil i‘tibâr. Kekejaman puak Serb terhadap orang-orang Islam tidak lagi dapat disembunyikan sehingga media-media dunia memberitakan dan mencap puak Serb itu sebagai ‘pengganas’. Erti pengganas itu cukup jelas.

Pil perancang keluarga rupa dan bunyinya adalah bagus apabila dihubungkan dengan kehendak-kehendak perubatan, kesejahteraan ibu dan penjagaan anak-anak yang lebih berkualiti. Apa yang menjadi kekhuatiran dan kebimbangan ialah kawalan yang bersifat peribadi itu akan ‘melarat’ kepada kawalan-kawalan yang bersifat umum. Maksudnya dikenakan kepada semua ibu-ibu atas nama penghasilan atau ekonomi yang tidak mencukupi jika dibandingkan pertambahan penduduk yang begitu tinggi dan cepat.

Dengan alasan penghasilan yang tidak seimbang itu lalu dikempenkan perancangan keluarga supaya jumlah keluarga hanya mengikut kemampuan kadar pendapatan atau hasil yang diperolehi.

Atas nama kawalan pil perancang keluarga ini juga tanpa disedari ada unsur-unsur perancangan keluarga yang bersifat umum itu. Inilah yang kita bimbangkan. Secara jangka panjangnya, pengambilan pil-pil itu bertujuan mengehadkan pertumbuhan penduduk dengan nama perubatan, kesejahteraan ibu-ibu, penjagaan anak-anak yang lebih berkualiti atau lain-lainnya. Apa akan jadi? Inilah persoalan yang menyangkut persoalan agama dan lain-lain persoalan. Apakah sikap agama terhadap hukum merancang keluarga ini?

Menjawab persoalan ini al-Imam Muhammad Abu Zahrah telah menulis dalam bukunya Tanzhîm al-Usrah wa Tanzhîm an-Nasl. Beberapa buah fikirannya kita nukilkan di sini untuk sama-sama mendapatkan pandangan daripada al-Imam itu (salah seorang ulama besar di Mesir, dikatakan ‘Imam’ pada zamannya):

“Agama Islam menyeru kepada perkahwinan dan menggalakkannya. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri menyebutkannya sebagai sunnah Islam. Sabda Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Maka sesiapa yang tidak menyukai sunnahku, maka dia bukanlah daripada kalanganku.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Para belia disunatkan supaya berkahwin, sabdanya:

Maksudnya: “Wahai golongan pemuda! Barang siapa di antaramu mampu menikah, hendaklah dia nikah, kerana yang demikian itu amat menundukkan pemandangan dan amat memelihara kehormatan, tetapi barang siapa tidak mampu, maka hendaklah dia puasa, kerana (puasa) itu menahan nafsu baginya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Hadis-hadis shahîh yang menyuruh berkahwin adalah banyak termasuk prasyarat bakal calon suami atau isteri dilihat dari berbagai-bagai sudut di antaranya ialah agamanya dan keturunannya yang baik, supaya generasi penyambung akan sihat dan berkualiti. Tidak syak lagi bahawa di antara tujuan daripada perkahwinan itu ialah untuk memperolehi zuriat dan untuk memperbanyak keturunan. Imam Ahmad meriwayatkan hadis Anas, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Kamu kahwinilah keturunan yang ramai anak, kerana sesungguhnya saya akan berbangga dengan kamu kepada nabi-nabi lain pada Hari Kiamat.” (Hadis riwayat Abu Daud dan an-Nasa’i)

Abu Daud dan an-Nasa’i meriwayatkan daripada Ma‘qil bin Yasar bahawa seorang lelaki datang menemui Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kata lelaki itu: “Saya telah mengahwini seorang perempuan bangsawan lagi cantik, tetapi dia tidak beranak”. Katanya: “Tidak mengapa”. Kemudian datang lagi untuk kedua kalinya, tetapi dilarang oleh Nabi. Untuk ketiga kalinya lelaki itu datang lagi, maka Nabi pun bersabda:

Maksudnya: “Berkahwinlah dengan wanita yang penyayang dan peranak, kerana sesungguhnya dengan (banyak bilangan)mu, aku akan mengalahkan (bilangan) umat-umat (yang lain).” (Hadis riwayat Abu Daud)

Kedua-dua hadis ini adalah hadis marfû‘ dan para ulama tidak ada mempersoalkan riwayat keduanya.

Diriwayatkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Tikar di sudut rumah adalah lebih baik daripada seorang perempuan yang tidak beranak.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Di antara ulama ada yang menyebutkan bahawa hadis ini mauqûf kepada Sayyidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu. Sayyidina ‘Umar sendiri adalah seorang yang benar, lurus lagi dipercayai dan benar-benar faham tentang Islam, dan ucapannya tidak mungkin timbul kecuali ucapan yang benar-benar datang daripada sifat-sifat kejujuran dan keramahannya itu.

Diriwayatkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Dan sebaik-baik perempuan kamu ialah yang ramai keturunannya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Berkata ahli hadis, bahawa hadis ini adalah hadis mursal, kerana tidak disebutkan perâwinya daripada sahabat. Hadis mursal mengikut Abu Hanifah dan Imam Malik adalah hujjah. Manakala mengikut Imam asy-Syafi‘e adalah juga hujjah apabila ianya disokong oleh musnad lain daripada segi maknanya dan musnad telah sabit diriwayatkan yang semakna dengan hadis ini, di mana Imam Ahmad Radhiallahu ‘anhu telah meriwayatkan hadis musnad melalui riwayat lain daripada Anas dan juga hadis yang seumpamanya daripada Ibnu ‘Umar.

Seruan untuk memperbanyak keturunan telah wârid dalam hadis-hadis yang banyak. Ahli hadis menyebutkan bahawa sesetengah perâwi hadis-hadis itu adalah lemah, akan tetapi kelemahan ini hilang dengan sebab banyak riwayatnya daripada sahabat dan maknanya terdapat banyak hadis.

Berkata Ibnu Hajar dalam Fath al-Bâri: “Hadis-hadis ini walaupun ada yang lemah, pada keseluruhannya adalah menunjukkan galakan untuk berkahwin, tetapi ianya adalah bagi orang yang boleh menghasilkan keturunan daripada perkahwinan itu.”

Oleh kerana itu, memperbanyak keturunan itu sendiri adalah dituntut dan itulah dia matlamat utama perkahwinan dalam Islam. Memperbanyak keturunan pula adalah fitrah dan tabiat semula jadi manusia, bahkan ia juga adalah tabiat semula jadi binatang.

Tidak syak lagi bahawa menegah atau menghalang adanya keturunan adalah bertentangan dengan fitrah dan Islam itu sendiri adalah agama fitrah, sebagaimana firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah ar-Rûm: 30)

Dalam perkara rezeki anak-anak, Allah Ta‘ala menyuruh supaya tetap menyerahkannnya kepadaNya selepas berusaha secara halal. Firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kemiskinan. Kami akan memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka.” (Surah al-An‘âm: 151)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepada kamu.” (Surah al-Isrâ’: 31)

Sesungguhnya sifat saling bantu membantu yang telah diwajibkan Allah ke atas orang-orang beriman dan jaminan sosial yang diwajibkan kepada mereka merupakan dua perkara yang memastikan supaya orang kaya membantu si miskin dan orang yang senang supaya menolong orang yang memerlukan. Sekiranya ada keluarga yang kesusahan, maka orang yang berupaya hendaklah menghulurkan tangan kepada mereka. Kemudian pihak kerajaan mempunyai peranan yang tersendiri dengan mengambil jaminan yang ada pada orang kaya untuk dibahagikan harta kekayaan mereka, sama ada dalam bentuk zakat, sedekah atau bantuan kepada orang-orang yang lemah, kerana menjaga keturunan itu adalah kekuatan umat Islam.

Inilah pandangan syariat secara umum terhadap zuriat. Syariat menyeru supaya zuriat itu diperbanyak. Hadis-hadis pula menggalakkannya dan al-Qur’an sendiri yang menjadi perlembagaan umat itu telah juga mengisyaratkannya. Banyak zuriat adalah fitrah dan mengehadkan zuriat bermakna menentangnya.

Perancangan keluarga bererti membataskan kelahiran anak atau mengehadkan keturunan. Pada waktu ini banyak cara untuk tujuan tersebut seperti penggunaan pil-pil dan lain-lain seumpamanya.

Pada zaman Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kaedah al-‘azl (mengeluarkan air mani di luar rahim supaya tidak terjadi persenyawaan mani suami isteri) telah wujud di kalangan sebahagian daripada para sahabat. Kekuatan hadis-hadis mengenai ‘azl itu menjadi sandaran kepada penyokong-penyokong perancang keluarga.

Imam Ghazali - ulama besar dalam mazhab asy-Syafi‘e - dalam kitabnya Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn (2/57-59) sewaktu menghuraikan tentang adab bergaul (suami isteri) telah menyentuh tentang hukum ‘azl ini. Para ulama berbeza pendapat mengenai ‘boleh’ dan ‘makruh’nya (‘azl) kepada empat mazhab:

(i) Sebahagian membolehkannya secara mutlak dalam segala hal keadaan.

(ii) Sebahagian mengharamkannya dalam segala hal.

(iii) Sebahagian mengatakan halal dengan seizin isterinya dan tidak halal tanpa keizinannya, dan seakan-akan yang mengatakan ini, mengharamkan (kerana) menyakitkan, bukan pembuangan mani di luar rahim.

(iv) Sebahagian mengatakan dibolehkan pada wanita hamba, tidak dibolehkan pada wanita merdeka (isteri).

Apa yang shahîh (yang benar) pada kami (menurut Imam Ghazali) ialah yang demikian itu diperbolehkan. Adapun makruh, maka itu ditujukan kerana larangan haram dan larangan demi kebersihan nahy at-tanzîh dan kerana meninggalkan keutamaan (fadhîlah). Maka adalah itu dimakruhkan, dengan pengertian yang ketiga. Ertinya: Padanya, itu meninggalkan keutamaan.

Dan yang dimaksudkan dengan makruh di atas, ialah meninggalkan keutamaan dan fadhîlah sahaja.

Kemudian Imam Ghazali bercakap lagi mengenai dorongan-dorongan yang mengharuskan keharusan ‘azl itu ada lima perkara:

Pertama: Pada hamba-hamba wanita yang bertempat tinggal di rumah tuannya. Maka pembuangan mani keluar waktu bersetubuh dengan hamba itu, adalah untuk menjaga hak milik daripada hilangnya dengan berhak kemerdekaan, dan dengan maksud mengekalkan hak milik itu, dan tidak memberi kemerdekaan, dan menolak sebab-sebab kemerdekaan itu, (‘azl di sini) tidaklah dilarang.

Kedua: Untuk tetapnya kecantikan dan kegemukan wanita, supaya terus dapat bersenang-senang dan untuk kekekalan (kerukunan) hidupnya, kerana dikuatiri akan bahaya waktu bersalin. Ini juga, tidaklah termasuk larangan melakukan ‘azl. Ketiga: Takut mendapat banyak kesusahan, dengan sebab ramai anak, dan menjaga supaya jangan terlalu penat bekerja serta menjaga supaya jangan masuk ke tempat-tempat yang tidak baik. ‘Azl dengan sebab ini tidaklah terlarang, kerana kurangnya kesusahan itu boleh menolong melaksanakan perintah agama. Namun begitu yang lebih sempurna dan utama adalah bertawakal dan yakin dengan jaminan Allah dengan firmanNya:

Tafsirnya: “Dan tidak ada yang merangkak-rangkak di bumi ini (makhluk Allah yang bernyawa) melainkan Allah yang menanggung (memberi) rezekinya.” (Surah Hud: 6)

Tidak pelik lagi, bahawa dengan tindakan membuang mani keluar itu, menjatuhkan diri daripada tingkat kesempurnaan dan meninggalkan keutamaan. Tetapi memandang kepada akibat dan menjaga harta serta menyimpannya, walaupun bertentangan dengan tawakal, tidaklah kami akan mengatakan, bahawa tindakan itu termasuk larangan.

Keempat: Takut kepada anak-anak perempuan, kerana berkeyakinan, pada mengahwinkannya terdapat malu, sebagaimana terdapat pada adat orang Arab, di mana mereka membunuh anak perempuan.

Ini adalah niat yang buruk. Jikalau ditinggalkannya kahwin atau bersetubuh disebabkan oleh niat tadi, nescaya berdosalah dia dengan niat itu. Bukan berdosa lantaran meninggalkan kahwin dan bersetubuh.

Maka begitu pulalah tentang membuang mani keluar (al-‘azl) dan kerosakan pada keyakinan akan malu pada sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah lebih berat lagi. Kerosakan itu pula adalah dapat diumpamakan, seumpama wanita yang meninggalkan kahwin kerana mencegah daripada diperintah lelaki. Maka adalah wanita itu menyerupai dengan lelaki. Tidaklah kemakruhan itu tertuju kepada meninggalkan perkahwinan.

Kelima: Bahawa wanita itu menolak kahwin, kerana sangat dipentingkannya kebersihan dan menjaga daripada keguguran, nifas dan penyusuan anak. Adalah yang demikian itu adat kebiasaan wanita kaum Khawarij, kerana bersangatannya mereka memakai air, sehingga mereka menqadhakan sembahyang-sembahyang mereka di hari-hari haidh. Ini adalah bid‘ah yang menyalahi sunnah, dan itu adalah niat yang merosak.

Disimpulkan bahawa ‘azl itu harus hanya sebagai suatu keringanan sementara apabila timbul sebab-sebab tertentu dan tanpa sebab-sebab ini ianya tidak menjadi harus.

Kita wajiblah membuat ketetapan bahawa ‘azl atau perbuatan seseorang menghindari terjadinya benih anak, adalah bertentangan dengan fitrah, bertentangan dengan hadis-hadis Nabi yang menyeru supaya memperbanyak keturunan dan bertentangan dengan hadis-hadis yang jelas menghalang ‘azl sehinggalah di antara ulama ada yang berkata bahawa hadis-hadis ini sebagai membatalkan hadis-hadis yang mengharuskan ‘azl kerana suatu keringanan, khasnya hadis shahîh yang menyebut إنه الوأد اْلفى, maksudnya: “Al-‘azl itu pembunuh yang tersembunyi”. Kemudian ianya juga adalah bertentangan dengan kaedah yang sudah disepakati umat Islam iaitu kaedah ‘supaya menjaga keturunan’. Dalam hal ini para ulama telah sepakat mengatakan bahawa yang mesti dipelihara atau dijaga ada lima perkara iaitu jiwa, agama, akal, keturunan dan harta.

Oleh sebab itu, maka pendapat atau sistem ‘mencegah keturunan’ adalah jelas bertentangan dengan amalan menjaga atau memelihara keturunan yang termasuk daripada perkara-perkara yang mesti dilakukan dalam Islam dengan ijmâ‘ ulama.

Daripada kajian yang telah lalu jelas menunjukkan bahawa ‘pencegahan seseorang kepada keturunannya’ adalah suatu perbuatan meninggalkan yang lebih baik atau makruh. Jikalau terdapat pada seseorang itu sesuatu yang menyebabkannya berbuat demikian, ianya harus mengikut kadar keringanan peribadi ini. Dalam fiqh Islam tidak dijumpai adanya keringanan secara umum bagi satu bangsa atau bagi sesuatu daerah untuk melakukan pencegahan ini. Jadi keringanan ‘azl ini hanyalah berbentuk keringanan secara peribadi.

Kita sudah sampai kepada hukum harus dalam lingkungan keringanan itu yang hanya berbentuk peribadi. Sebagaimana ketetapan hukum syara‘ bahawa hukum harus secara peribadi, atau untuk sebahagian orang sahaja, maka ianya terkadang boleh menjadi tuntutan harus secara umum (untuk semua orang), dan boleh jadi tuntutan terlarang secara umum (larangan untuk semua orang), iaitu tertakluk kepada kesesuaiannya atau pertentangannya dengan dasar-dasar hukum umum dalam syariat Islam.

Sekiranya perkara ini termasuk dan bersesuaian dengan prinsip syariat, adalah ianya dituntut secara umum dan harus secara khusus dan sekiranya perkara itu bertentangan dengan prinsip-prinsip al-kulliyyah al-‘âmmah (kaedah umum) dalam syariat, maka adalah ianya harus secara khusus (sebahagian sahaja dengan sebab-sebab tertentu) dan haram secara umum.

Dengan menerapkan kaedah ini dalam perkara “pencegahan keturunan”, kita menetapkan bahawa hukum syara‘ dalam perkara ini bahawa: “Sekiranya ianya harus, adalah harusnya sebagai satu keringanan” (bukan harus umum). Perkara ini diharuskan bagi seseorang yang hanya terdapat padanya sebab-sebab keringanan itu. Perkara ini tidak dihukumkan harus sebagai suatu kaedah hukum yang meliputi semua orang dalam sesebuah daerah di mana keharusan ini dinikmati oleh orang yang mendapati keringanan itu dan juga orang-orang lain yang tidak mempunyai sebab-sebab keringanan itu.

Selain daripada itu pencegahan keturunan ini adalah termasuk di bawah perkara yang bertentangan dengan prinsip-prinsip yang sudah ditetapkan syara‘, iaitu prinsip menjaga dan memperbanyak keturunan sebagaimana yang telah dijelaskan oleh beberapa hadis yang disepakati oleh ulama.

Kita sudah melihat bahawa syara‘ tidak mengharuskan pencegahan kehamilan (keturunan) secara kulliy (umum) dan tidak diharuskan sebagai suatu hukum keharusan untuk umum, kerana perkara tersebut bertentangan dengan firman Allah dalam surah al-An‘âm, ayat 151 dan surah al-Isrâ’, ayat 31 yang kita sebut terdahulu.

Dengan yang demikian, berdasarkan hujah-hujah di atas kita menentang dan membantah kempen pencegahan keturunan ini, kita tidak mahu putuskan keturunan kita, kita tidak mahu bangsa kita menjadi sedikit, kita tidak mahu derhaka kepada Rasul dan kita tidak mahu mengingkari kekuasaan Tuhan yang berkuasa memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya tanpa dapat dikira dan diperhitungkan. Firman Allah:

Tafsirnya: “Dan tidak ada binatang melata pun di bumi melainkan Allah jualah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfûzh).” (Surah Hud: 6)

FirmanNya lagi:

Tafsirnya: “Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) daripada hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan mencukupkan/memampukan mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui. Dan orang-orang yang tidak mampu berkahwin hendaklah menjaga kesucian (diri)nya, sehinggalah Allah memampukan mereka dengan kurniaNya.” (Surah an-Nûr: 32-33)

FirmanNya seterusnya:

Tafsirnya: “Dan beberapa banyak binatang yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezekinya sendiri. Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-‘Ankabût: 60)

Inilah hukum agama Islam mengenai merancang keluarga dan keturunan. Jika asal tujuan perkahwinan itu demikian, maka soal perancangan keluarga lebih-lebih lagi jika mengehadkan atau mencegah daripada melahirkan anak, adalah bertentangan dengan matlamat perkahwinan itu.

Sebagaimana kita telah perkatakan di awal-awal perbincangan ini bahawa pertumbuhan penduduk yang pesat atau sebaliknya akan mempengaruhi kedudukan politik dan ekonomi sesebuah negara itu. Bagi sesetengah negara di dunia ini pertumbuhan penduduk yang tinggi merupakan suatu mala petaka kepada mereka, namun dari sudut politik dapat dilihat bahawa kekuatan negara berhubung rapat dengan kekuatan penduduknya. Jumlah manusia yang banyak dapat membantu menentukan arah politik sesebuah negara dan bangsa, lebih-lebih lagi jika sesebuah negara itu didiami oleh berbagai-bagai bangsa dan kaum sebagaimana yang dihuraikan terdahulu.

Selain kuasa politik, jumlah penduduk akan mempengaruhi kedudukan ekonomi. Kekuatan ekonomi tidak dapat dipisahkan dengan tenaga manusia, sama ada profesional atau biasa. Pembangunan Negara Brunei Darussalam pada masa ini banyak bergantung kepada tenaga kerja dari luar. Tenaga kerja ini bukan sahaja diperlukan dari sudut profesionalisma kemahirannya, tetapi juga dari sudut tulang empat keratnya.

Pada abad 21 Negara Brunei Darussalam banyak memerlukan pekerja asing untuk membangun negara ini. Sekarang ini pun puluhan ribu pekerja-pekerja asing bekerja di negara ini. Tentu ada positif dan negatifnya pekerja-pekerja asing itu ditinjau daripada berbagai-bagai sudut politik, sosio-ekonomi, budaya dan juga adat resam. Yang penting kesannya kepada agama, yakni kesan langsung kepada Islam dan juga umat Islam. Contohnya, dahulu gereja di Bandar Seri Begawan adalah lengang, tetapi sejak kebelakangan ini gereja-gereja di Bandar Seri Begawan sudah melewati makmur (lebih makmur) dengan adanya pekerja-pekerja asing yang beragama Kristian. Pada setiap pagi Ahad sekarang ini, jalan di mana gereja-gereja itu berhadapan adalah penuh sesak dengan kereta orang-orang yang mengunjunginya kerana upacara agama mereka. Dari dalam sampai melimpah keluar gereja berkenaan, iaitu suatu keadaan dan pemandangan yang tidak pernah wujud di masa-masa dahulu. Selepas daripada gereja, kebanyakan orang-orang ini akan bergerak pula ke Bandar Seri Begawan seperti berpasuk-pasukan layaknya.

Ini adalah pemandangan dan keadaan di siang Ahad. Malahan baru-baru ini, dengan tidak sengaja kita ada melintasi jalan yang disebutkan di atas itu pada malam Ahad (siang Sabtu malam Ahad). Kereta kita tersekat beberapa ketika kerana di sepanjang jalan yang kita lalui itu banyak kereta sedang berhenti dan beberapa banyak lagi sedang mencari tempat letak kereta yang kosong. Kerana kereta kita tersekat itu maka terpaksalah memperlahankan jalan atau berhenti seketika. Pada masa inilah kita ternampak gereja yang sedang dilintasi itu penuh sesak dengan orang ramai sehingga melimpah lagi ke luar. Pemandangan ini sungguh jelas, tidak terdinding atau terselindung, menonjol dan bersemarak di bawah cahaya lampu-lampu yang terang benderang, iaitu tidak syak lagi menjadi lambang atau syiar yang hidup dan hebat kepada agama mereka ini.

Lihatlah betapa mendadaknya perubahan suasana bagi Brunei Darussalam iaitu berpunca daripada pertambahan manusia penghuninya. Cuba pula bayangkan, satu dekad lagi ke hadapan jika kita tidak mempunyai dasar yang tegas, atau kita mengamalkan dasar yang salah, apakah yang akan berlaku kepada Brunei ini? Di manakah pada ketika itu nama Brunei sebagai sebuah negara Islam, negara bersultan atau beraja yang Muslim yang pada masa ini sangat disegani kerana dasar-dasarnya menjadikan Islam sebagai cara hidup yang lengkap lagi syumûl?

Tidakkah ada dalam perkiraan kita betapa pertambahan orang-orang bukan Islam di negara ini, apa pun status mereka akan turut mempengaruhi segala-galanya, termasuklah yang kita khuatiri iaitu cara berfikir dan bertindak orang-orang Brunei sendiri? Tidakkah terbayang kepada kita, akan mungkin ada nanti orang-orang yang meminta supaya gereja dibangunkan lagi yakni ditambah, dibesarkan, diubahsuai atau dipindahkan ke suatu tempat lain dengan alasan-alasan yang tidak syar‘i, semata-mata kerana kononnya hendak memenuhi tuntutan keadaan iaitu gereja yang ada sudah penuh, tidak mencukupi, atau kerana hendak mengusai bandar dan lain-lain lagi?

Semua ini boleh sahaja terjadi berasaskan kepada fakta-fakta yang sedia ada, termasuk juga apa yang sudah kita lihat dan ketahui serta dengar di setengah-tengah tempat di dunia ini.

Kerana itu kita amat menaruh bimbang tentang keadaan umat Islam yang sedikit, ditambah lagi jika sudah tidak produktif yang disebabkan oleh rancangan-rancangan yang merugikan seperti rancangan mencegah beranak dan sebagainya.

Selain daripada penyebaran pil-pil mencegah beranak yang turut berlaku di setengah negara-negara Islam sendiri, di sana ada pula semacam kebimbangan lain yang pernah disuarakan oleh sesetengah pihak iaitu tentang kecenderungan cara-cara melahirkan anak melalui pembedahan yang diamalkan sebagai jalan ringkas atau mudah pada masa ini.

Pembedahan biasanya hanya boleh dilakukan untuk dua atau tiga orang anak sahaja dan selepas itu seorang ibu akan dinasihatkan sebagai tidak boleh mengandung lagi atas sebab-sebab keselamatan.

Perkara seumpama ini adakah ia juga berlaku di negara kita? Kiranya ia dilakukan atas sebab-sebab darurat seperti terpaksa untuk menyelamatkan nyawa ibu atau anak, maka itu adalah perkara khusus yang dipanggil ‘darurat’, tetapi jika ia dijadikan trend semata-mata kerana memilih jalan mudah atau lain-lain yang tiada kena mengena dengan hukum ‘terpaksa’ atau ‘darurat’, maka itu namanya aniaya atau zalim, ahmaq dan khianat serta melanggar fitrah, menyalahi sunnah atau perjalanan yang biasa. Ditambah lagi kiranya ia termasuk suatu rancangan halus musuh Islam dalam jangka panjangnya, dan kita terlibat melaksana atau membenarkannya, maka tidak syak lagi adalah hukumnya haram, dosa atas dosa.

Entah bagaimana pula dengan keadaan jenayah yang dikaitkan dengan pekerja-pekerja asing itu, pihak-pihak yang berkenaan yang menangani hal ini adalah lebih mengetahuinya.

Demikianlah semua kekuatan di bidang-bidang politik, ekonomi dan lain-lain yang tidak disentuh di sini adalah mempunyai hubungan dengan kualiti dan kuantiti manusia. Di sinilah letaknya keperluan pembiakan manusia sebagai memenuhi tujuan perkahwinan di samping lain-lain tujuan.

Perancang keluarga mempunyai dua pendekatan:

(1) Dengan mengadakan undang-undang atau peraturan yang menghendaki semua pasangan suami isteri tidak boleh mempunyai lebih daripada suatu jumlah atau bilangan anak yang tertentu, tidak kira sama ada pasangan itu mampu atau tidak untuk melahirkan lebih banyak anak atau sebaliknya, sama ada kemampuan itu dari segi ekonomi, fizikal tubuh badan atau lain-lain.

Mengehadkan kelahiran seumpama ini dengan kuatkuasa undang-undang atau peraturan tertentu, hatta sekadar laungan-laungan dalam bentuk kempen-kempen bagi pasangan keluarga tertentu, atau ia dikenakan kepada semua pasangan adalah ia menyalahi, kerana jelas melawan dan bertentangan dengan syara‘ yang menghendaki perkembangan dan pertumbuhan zuriat, dan juga bertentangan dengan hikmat Allah menjadikan manusia dan bahkan haiwan untuk beranak-pinak.

Asas pengharaman itu selain daripada hadis-hadis di atas ialah firman Allah:

Tafsirnya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu daripada diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu daripada pasangan kamu; anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu daripada benda-benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (menyembah berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?” (Surah an-Nahl: 72)

Pada zaman jahiliah orang-orang Arab yang membunuh anak-anak mereka kerana takutkan kemiskinan atau kepapaan telahpun disangkal dengan turunnya ayat 151, surah al-An‘âm dan ayat 31, daripada surah al-Isrâ’.

Jadinya mengehadkan kelahiran anak dalam makna yang am di atas, yang dikuatkuasakan kepada semua pasangan suami isteri adalah bertentangan dengan perintah Allah dan RasulNya dan tidak selaras dengan peringatan atau amaran Allah supaya jangan membunuh anak kerana takutkan kelaparan atau kemiskinan.

(2) Rancangan keluarga dalam keadaan-keadaan yang khusus atau tertentu. Rancangan yang sedemikian bermakna menyusunnya disebabkan keadaan-keadaan seperti berikut:

(i) Isteri-isteri yang terlalu cepat mengandung.

(ii) Isteri yang menghidap penyakit berjangkit.

(iii) Kumpulan yang kecil yang lemah urat sarafnya menghadapi tanggungjawab atau tugas berat dan banyak, di mana mereka tidak memperolehi kerajaan atau orang-orang kaya yang dapat membantu menanggung beban mereka.

(iv) Lain-lain sebab seperti yang telah diterangkan terdahulu, khususnya dengan merujuk pendapat dan ulasan Imam al-Ghazali.

Maka sesungguhnya perancangan keluarga di bawah sebab-sebab seperti di atas, adalah ia berbentuk perancangan secara peribadi.

Perancangan keluarga dengan pengertian seperti ini (rancangan keluarga secara peribadi), adalah disebabkan oleh sebab-sebab darurat yang khusus, bukan untuk melawan syariat dan naluri semulajadi.

Al-Qur’an sendiri telahpun mengehadkan tempoh masa menyusu selama dua tahun penuh dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga memberi irsyâd supaya kanak-kanak jangan menyusu daripada susu orang yang sedang mengandung. Ini membawa pengertian bahawa adalah harus menghentikan ‘kehamilan’ semasa masih dalam tempoh menyusukan itu.

Apabila syariat Islam menuntut supaya umatnya ramai lagi kuat tidak lemah loya, maka syariat juga berusaha memelihara supaya keturunan itu jangan lemah dan loya, dan bahkan syariat berusaha menjauhkan kemudharatan yang akan menimpa manusia ketika hidup melalui kaedah syariat yang berbunyi:

Ertinya: “Kemudharatan itu (dihapuskan) sekadar yang perlu sahaja.” Bertolak dari sini, maka para ulama telah memutuskan bahawa adalah harus mencegah kehamilan atas usaha suami isteri secara berjangka atau untuk selamanya jika sekiranya ada pada keduanya atau pada salah seorang daripada keduanya penyakit, yang mana dengan kehamilan mungkin penyakit itu akan berjangkit kepada keturunan dan anak cucu.

Oleh sebab itu, rancangan keluarga dengan sebab-sebab darurat yang tidak meliputi umum, bahkan hanya terjadi pada orang perseorangan adalah harus mengikut kadar kemudharatan bagi yang bersangkutan.

Untuk tujuan ini, telah banyak dicipta atau direka alat-alat untuk mencegah kelahiran itu. Beberapa kaedah, teori atau alat diketengahkan, antaranya yang berupa pil. Penggunaan pil ini bukanlah suatu yang asing.

Soalan yang patut ditimbulkan di sini ialah, apakah sikap, dasar atau polisi pihak berkuasa Jabatan Perkhidmatan dan Kesihatan terhadap perancang keluarga itu?

(i) Jika pemberian pil itu bagi maksud membenar atau menggalakkan pencegahan kelahiran bagi pengguna-penggunanya secara menyeluruh atau secara umum bagi suatu tempoh jangka pendek atau panjang seperti menentukan dasar bahawa satu keluarga itu cukup mempunyai had tertentu bilangan anak, maka mengehadkan yang demikian ini adalah berlawanan dengan kehendak syara‘, kerana dasar perkahwinan itu adalah untuk membiakkan keturunan.

(ii) Jika pemberian dan penggunaan pil-pil itu atas permintaan pengguna yang bersifat peribadi, bukan atas sebab-sebab darurat yang wajar, dan sekiranya penggunaan itu bagi suatu tempoh yang panjang untuk mencegah daripada pembiakan beranak, maka perbuatan ini juga bertentangan dengan maksud al-Qur’an dan hadis-hadis yang menggalakkan keturunan atau zuriat yang banyak.

(iii) Jika penggunaan pil yang bersifat peribadi itu disalahgunakan menjadi penggunaan umum pula, maka pihak berwajib yang berkaitan akan bertanggungjawab dengan menurunnya kadar pertumbuhan penduduk.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7863