Puasa Perempuan Hamil
Soalan: Adakah wanita hamil wajib berpuasa? Ada yang mengatakan tidak wajib puasa, hanya wajib mengqadha sahaja.
Jawapan: Puasa dalam bulan Ramadhan adalah salah satu daripada rukun Islam yang diwajibkan kepada setiap orang Islam yang mencukupi segala syarat-syarat untuk berpuasa iaitu:
(i) Islam (ii) Bâligh (iii) Berakal (iv) Sihat dan berdaya menunaikan puasa (v) Bermuqîm (tidak musafir)
Apabila cukup segala syarat-syarat yang tersebut di atas, maka wajiblah bagi seseorang itu mengerjakan ibadat puasa.
Walau bagaimanapun bagi orang yang hamil, adalah diharuskan baginya berbuka dengan sebab-sebab yang di bawah ini:
(i) Jika dia merasa takut mudharat ke atas dirinya sahaja atau takut mudharat atas dirinya dan juga anaknya, maka dalam hal ini wajib dia mengqadha puasa yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain seperti juga orang yang sakit. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajib dia berpuasa mengqadha sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”
(ii) Jika dia merasa takut akan berlaku mudharat ke atas anaknya sahaja, maka dalam hal ini wajib dia mengqadha puasa dan mengeluarkan fidyah sebanyak satu mudd bagi setiap hari yang ditinggalkannya. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.”
Berkata Ibnu ‘Abbas: “Ayat ini telah dimansûkh dan kekal rukhshah (keringanan) kepada orang tua dan lemah, perempuan hamil dan perempuan yang menyusukan anak damit jika mereka takut akan berlaku mudharat kepada anak mereka. (Kitab al- Majmû‘: 6/273 dan Mughni al-Muhtâj: 1/440)
Hukum bagi perempuan yang hamil ini samalah juga bagi hukum perempuan yang menyusukan anak damit.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7871
