Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Sembahyang Musafir

Soalan: Seperti yang diketahui umum tentang sembahyang jama‘ dan qashar, hanyalah untuk musafir dalam jangka masa seseorang itu berada di satu-satu tempat selama tidak lebih daripada tiga hari dan tidak lagi dikatakan musafir jika seseorang itu berada di satu-satu tempat itu lebih daripada tiga hari. Selagi dia tidak berniat untuk bermustauthîn di satu-satu tempat itu dia masih dianggap musafir dan masih boleh mengerjakan sembahyang jama‘ dan qashar. Benarkah pendapat ini atau adakah pendapat lain daripada lain-lain mazhab mengenainya?

Jawapan: Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mengurniakan kemudahan dan kelonggaran kepada orang yang musafir (belayar) mengqashar (memendekkan) atau menjama‘ (menghimpunkan sembahyang) atau kedua-duanya sekali, dengan syarat-syarat yang telah ditentukan.

Kemudahan dan kelonggaran dalam menunaikan sembahyang fardhu secara qashar ketika safar (pelayaran) itu adalah berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasharkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.” (Surah an-Nisâ’: 101)

Sementara keharusan menjama‘ sembahyang pula berdasarkan hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Biasanya Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam (ketika musafir), apabila Baginda berangkat sebelum gelincir matahari, Baginda menangguhkan sembahyang Zuhur hingga waktu ‘Ashar; kemudian Baginda turun (daripada kenderaan) lalu menjama‘kan kedua-duanya (Zuhur dan ‘Ashar dengan cara jam‘ ta’khîr). Sekiranya gelincir matahari Baginda belum berangkat, maka Baginda sembahyang Zuhur (lebih dulu), dan kemudian terus berangkat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Yang dimaksudkan dengan memendekkan sembahyang ialah memendekkan sembahyang yang empat rakaat kepada dua rakaat sahaja. Sembahyang yang boleh dipendekkan itu ialah sembahyang Zuhur, ‘Ashar dan ‘Isya’. Cara mengerjakan sembahyang tersebut dikenali sebagai sembahyang qashar.

Bagi membolehkan seseorang itu mengerjakan sembahyang qashar hendaklah ada lapan syarat:

(i) Telah dinukil di dalam kitab-kitab al-Minhâj, al-Majmû‘, ar-Raudhah, Mughni al-Muhtâj, dan lain-lainnya bahawa kelonggaran untuk mengqashar dan menjama‘kan sembahyang fardhu lima waktu itu disyaratkan pada perjalanan yang jauhnya dua marhalah (lima puluh enam batu), selama mana dia masih dalam pelayaran.

(ii) Begitu juga disyaratkan perjalanannya itu ialah perjalanan yang diharuskan oleh syara‘ seperti menunaikan fardhu haji, umrah atau ibadat sunnah seperti menziarahi makam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, menziarahi sahabat dan sanak saudara, mengurus perniagaan atau menjalankan tugas dan seumpamanya.

Manakala perjalanan yang haram pada hukum syara‘ seperti perjalanan kerana hendak berseronok-seronok dengan perempuan yang bukan isterinya, hendak melakukan jenayah atau membawa barang perniagaan yang haram dan lain-lain seumpamanya, tidak ada baginya kemudahan sembahyang qashar atau jama‘.

(iii) Adalah disyaratkan juga, pelayaran (musafir) yang diharuskan sembahyang qashar dan jama‘ padanya ialah orang yang musafir itu tidak bermukim atau berniat mukim pada satu tempat melebihi tiga hari penuh (tidak termasuk hari tiba dan hari berangkat balik) sebagaimana hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Adalah bermukim orang-orang musafir itu setelah selesai mengerjakan nusuknya (haji/umrah) tiga hari.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

(iv) Orang yang sembahyang qashar itu tidak boleh mengikut orang sembahyang sempurna (tamâm) sekalipun sebahagian sahaja daripada sembahyangnya. Jika sekiranya dia mengikut orang itu nescaya wajiblah dia menyudahkan sembahyangnya secara sempurna.

(v) Orang yang musafir itu qashad (menentukan) tempat yang akan dituju, maka jika tidak ditentukan tempat yang hendak dimaksudkan, tidaklah harus sembahyang qashar.

(vi) Hendaklah sembahyang yang diqasharkan itu sembahyang yang empat rakaat dikerjakan dengan tunai. Dari itu tidak dibolehkan qashar sembahyang qadha yang ditinggalkan bukan dalam pelayaran bahkan wajib diqadhakan dengan sempurna (empat rakaat). Tetapi sembahyang yang ditinggalkan dalam masa pelayaran harus diqadhakan dengan qashar dalam masa pelayaran dan harus juga diqadhakan dengan sempurna, dan tidak harus diqadhakan dengan qashar bila sudah sampai ke tempat asalnya.

(vii) Berkekalan safarnya sehingga sempurna sembahyang, maka jika dia tengah sembahyang dalam kapal atau seumpamanya tiba-tiba kapal sampai ke pelabuhan tempat tinggalnya nescaya wajib dia laksanakan sembahyang itu dengan sempurna.

(viii) Mengetahui akan keharusan sembahyang qashar Jika tidak tahu mengenainya wajiblah sembahyang sempurna.

(Demikian yang telah dinyatakan di dalam kitab Mughni al-Muhtâj: 1/266-271)

Contoh lafaz niat sembahyang qashar itu seperti berikut:

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu Zuhur dua rakaat qashar kerana Allah Ta‘ala.”

Manakala menghimpunkan dua sembahyang itu pula dikenali sebagai sembahyang jama‘. Sembahyang jama‘ itu ada dua jenis:

1) Jama‘ Taqdîm:

Menghimpunkan dua sembahyang fardhu dan ditunaikan pada waktu sembahyang yang pertama seperti sembahyang Zuhur dengan sembahyang ‘Ashar ditunaikan dalam waktu Zuhur, dan sembahyang Maghrib dengan sembahyang ‘Isya’ ditunaikan dalam waktu Maghrib.

Bagi Jama‘ Taqdîm itu ada mengandungi empat syarat:

(i) Di mulai sembahyang Jama‘ Taqdîm dengan yang empunya waktu iaitu sembahyang Zuhur dikerjakan lebih dahulu, kemudian baharulah sembahyang ‘Ashar, dan sembahyang Maghrib dikerjakan terlebih dahulu kemudian baharulah sembahyang ‘Isya’. Jika sembahyang ‘Ashar dan sembahyang ‘Isya’ didahulukan maka tidaklah sah.

(ii) Niat jama‘ dalam sembahyang yang pertama, pada mula takbîratul ihrâm sebelum memberi salam iaitu berniat dalam sembahyang Zuhur dan dalam sembahyang Maghrib.

(iii) Muwâlât iaitu berturut-turut antara sembahyang yang pertama dengan sembahyang yang kedua jangan ada diselangi masa yang panjang dan tidaklah memutuskan muwâlat itu kerana hajat seperti mengambil air sembahyang atau iqâmah. Jika diselangi oleh masa yang panjang sekira-kira sempat sembahyang dua rakaat tidaklah diharuskan lagi sembahyang jama‘ itu bahkan wajib ditunaikan sembahyang yang kedua (dijama‘) itu pada waktunya.

(iv) Berkekalan pelayarannya hingga takbîr sembahyang yang kedua.

Contoh lafaz niat sembahyang Jama‘ Taqdîm:

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu Zuhur empat rakaat, dijama‘kan kepadanya fardhu ‘Ashar, tunai kerana Allah Ta‘ala.”

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu ‘Ashar empat rakaat, dijama‘kan kepada fardhu Zuhur, tunai kerana Allah Ta‘ala.”

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu Maghrib tiga rakaat, dijama‘kan kepadanya fardhu ‘Isya’, tunai kerana Allah Ta‘ala.”

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu ‘Isya’ empat rakaat, dijama‘kan kepadanya fardhu Maghrib, tunai kerana Allah Ta‘ala.” 2) Jama‘ Ta’khîr: Menghimpunkan dua sembahyang dan ditunaikan pada waktu sembahyang yang kedua seperti menghimpunkan sembahyang Zuhur dengan sembahyang ‘Ashar ditunaikan dalam waktu ‘Ashar, dan menghimpunkan sembahyang Maghrib dengan sembahyang ‘Isya’ ditunaikan dalam waktu ‘Isya’. Adapun Jama‘ Ta’khîr itu ada dua syarat: (i) Niat hendak ta’khîrkan sembahyang Zuhur pada waktu sembahyang ‘Ashar atau sembahyang Maghrib pada waktu sembahyang ‘Isya, dan niat itu ialah dalam waktu sembahyang pertama. (ii) Berkekalan pelayarannya hingga selesai kedua-dua sembahyang. Contoh bagi niat sembahyang Jama‘ Ta’khîr:

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu Zuhur empat rakaat, dijama‘kan kepada fardhu ‘Ashar, tunai kerana Allah Ta‘ala.”

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu ‘Ashar empat rakaat, dijama‘kan kepadanya fardhu Zuhur, tunai kerana Allah Ta‘ala.”

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu Maghrib tiga rakaat, dijama‘kan kepada fardhu ‘Isya’, tunai kerana Allah Ta‘ala.”

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu ‘Isya’ empat rakaat, dijama‘kan kepadanya fardhu Maghrib, tunai kerana Allah Ta‘ala.” (Demikian dinukil dalam kitab Mughni al-Muhtâj: 1/272-275 mengenai syarat-syarat Jama‘ Taqdîm dan Ta’khîr). Adapun sembahyang Subuh tidak boleh diqashar dan dijama‘kan dengan mana-mana sembahyang. Diharuskan juga bagi orang yang musafir itu mengerjakan kedua-duanya sekali iaitu mengqashar (memendekkan) dan menjama‘ (menghimpunkan) dua sembahyang fardhu. Contoh lafaz niat sembahyang Qashar dan Jama‘ Taqdîm:

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu Zuhur dua rakaat qashar, dijama‘kan kepadanya fardhu ‘Ashar, tunai kerana Allah ta‘ala.”

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu ‘Ashar dua rakaat qashar, dijama‘kan kepada fardhu Zuhur, tunai kerana Allah Ta‘ala.” Contoh lafaz niat sembahyang Qashar dan Jama‘ Ta’khîr:

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu Zuhur dua rakaat qashar, dijama‘kan kepada fardhu ‘Ashar, tunai kerana Allah Ta‘ala.”

Ertinya: “Sahaja aku sembahyang fardhu ‘Ashar dua rakaat qashar, dijama‘kan kepadanya fardhu Zuhur, tunai kerana Allah Ta ‘ala.”

Beberapa masalah mengenai sembahyang musafir:

(i) Jika seorang musafir berniat hendak menetap di satu tempat yang ditentukan selama empat hari, maka putuslah safarnya (perjalanan) sebaik sahaja tiba di tempat tersebut, tidak harus baginya sembahyang qashar dan jama‘ lagi.

(ii) Jika seorang musafir dengan niat menuju ke suatu tempat yang perjalanannya melebihi dua marhalah, kemudian dia singgah di pertengahan jalan dan berniat untuk menetap di negeri atau tempat itu, dan jarak negeri atau tempat itu melebihi dua marhalah, maka harus baginya sembahyang qashar dan jama‘. Jika jarak itu kurang daripada dua marhalah, baginya diharuskan sembahyang qashar dan jama‘ dalam perjalanan menuju tempat dia singgah itu, tetapi tidak ada baginya rukhshah lagi sebaik sahaja dia tiba di tempat singgahnya itu dan wajib menunaikan sembahyang sempurna. (Raudhah ath-Thâlibîn 1/386)

(iii) Jika seorang musafir menuju ke suatu negeri, jarak perjalanannya adalah jauh (melebihi dua marhalah) kemudian dia mengubah niatnya untuk kembali ke negerinya ketika dalam perjalanannya itu, maka terputus safar (perjalanannya) dan tidak harus baginya qashar dan jama‘ lagi selama dia berada di tempat tersebut. Jika dia meninggalkan tempat itu dan menyambung perjalanannya dan tempat yang dimaksudkan melebihi dua marhalah, sama ada dia hendak balik ke negerinya, ke tempat yang mula-mula (pertama) hendak ditujunya atau tempat lainnya, pada ketika itu dia dianggap dalam perjalanan yang baru, harus baginya mengqashar dan menjama‘ sembahyangnya. (Raudhah ath-Thâlibîn: 1/387)

(iv) Bagi orang yang musafir disyaratkan menentukan tempat yang dituju. Maka tidak harus mengqashar atau menjama‘ sembahyang bagi hâ’im iaitu orang yang tidak tahu ke mana hendak ditujunya atau berhenti di suatu tempat yang tidak ditentukan, begitu juga bagi orang yang mencari si penghutang. Bagi orang yang mencari hamba yang lari yang tidak diketahui di mana berada serta berazam akan balik ke negerinya apabila menemukan mereka yang dicari, maka wajib menunaikan sembahyang sempurna sekalipun perjalanannya lebih dua marhalah. (Mughni Muhtâj: 1/267)

(v) Jika seorang bermusafir kerana mempunyai urusan/tugas di sebuah negeri atau tempat yang jaraknya dua marhalah dan tugas tersebut tidak diketahui berapa lama urusannya itu akan selesai dan sentiasa mengharapkan urusannya selesai dari semasa ke semasa, di samping itu dia berazam akan pulang sebaik sahaja urusannya selesai, maka diharuskan baginya sembahyang qashar dan jama‘ dalam tempoh empat hari.

Jika tugasnya itu tidak selesai dalam tempoh empat hari mengikut qaul al-azhhar, harus baginya mengqashar dan menjama‘kan sembahyang fardhu sehingga 18 hari sahaja. (Raudhah ath-Thâlibîn: 1/384)

Manakala jika seseorang itu pasti yang tugasnya tidak akan selesai dalam tempoh tiga hari selain hari ketibaannya dan hari dia balik, seperti orang yang berniaga dan seumpamanya, maka tidak ada baginya kelonggaran untuk menunaikan sembahyang qashar dan jama‘ sebaik sahaja dia tiba di tempat tugas/kerjanya itu. (Raudhah ath-Thâlibîn 1/384)

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7875