Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المواريث

Surat Wasiat Syeikh Ahmad

Soalan: Dengan hormat sukacita Jabatan ini ingin mendapatkan pandangan dan pendapat daripada pihak Tuan berhubung surat wasiat Syeikh Ahmad yang telah ditujukan kepada Pegawai Turus Tadbir daripada pengirim yang tidak diketahui, sebelum tindakan diambil mengenainya.

Jawapan: Wasiat ini telah menjadi persoalan dan mengelirukan sebahagian besar umat Islam, yang mana wasiat ini bukanlah suatu perkara yang baru, malah ia telah berlaku sejak berpuluh tahun yang lalu, yang dinasabkan kepada asy-Syeikh Ahmad, pemegang kunci Masjid Nabawi. Personaliti beliau menjadi suatu tanda tanya kepada penduduk-penduduk Islam di Madinah dan Hijaz, kerana tiada sebarang maklumat dan perkhabaran mengenainya sebelum ini.

Secara tiba-tiba, tersebar suatu wasiat mengenai umat Islam yang kononnya lahir atau berpunca daripada Syeikh Ahmad ini melalui mimpinya berjumpa Nabi, yang mengkhabarkan Hari Kiamat telah hampir, dan enam puluh ribu umat Islam telah mati dalam keadaan kafir dan sebagainya. Semua ini tidak perlu kepada wasiat, firman Allah Ta‘ala:

Tafsirnya: “Boleh jadi masa datangnya tidak lama lagi.” (Surah al-Ahzâb: 63)

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Masa kebangkitanku dan Hari Kiamat seperti ini - lalu Baginda perlihatkan telunjuk dan jari tengahnya (sangat dekat).”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Firman Allah:

Tafsirnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah al-Mâ’idah: 3)

Oleh yang demikian, risalah-risalah yang mengancam, jika tidak disebarluaskan akan mencelakakan atau boleh menghancurkan seseorang itu hanyalah ciptaan dan bohong semata-mata. Malah mempercayai risalah-risalah ini mempunyai kuasa, boleh merosakkan aqidah seseorang, atau menjadikan orang itu syirik, kerana mempercayai ada kuasa lain yang berkuasa selain Allah.

Hendaklah umat Islam berhati-hati dan sentiasa peka terhadap gejala-gejala yang kurang sihat ini, kerana musuh-musuh anti Islam sentiasa berusaha untuk menghancurkan perpaduan umat Islam sepertimana yang berlaku di mana-mana sekarang ini.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7879