Tanah Perkuburan Sebagai Kawasan Letak Kereta
Soalan: Dengan hormat sukacita dimaklumkan bahawa pada masa ini kerja-kerja awal bagi pembinaan Masjid Kampung Tamoi telah dimulakan.
Untuk makluman, dalam mesyuarat dengan pihak Kementerian Pembangunan, dijangkakan sebahagian kecil tanah kerajaan yang telah digazet bagi Tanah Perkuburan Alangan Damit mungkin akan terlibat di peringkat akhir pembinaan masjid tersebut iaitu sebahagian kawasan tempat letak kereta.
Dengan demikian sukacita dipohonkan pandangan dan apa-apa jua fatwa mengenainya.
Jawapan: Tanah perkuburan yang telah ditentukan khas oleh pemerintah (wali al-amr) untuk dijadikan tempat pengkebumian mayat orang-orang Islam adalah menjadi waqaf. Demikian mengikut yang pernah difatwakan oleh bekas Mufti Mesir, Fadhilah asy-Syeikh Ahmad Huraidi (Fatwâ al-Islâmiyyah: 7/2425).
Mengikut hukum syara‘, disyaratkan pada waqaf itu berkekalan manfaatnya kepada yang diwaqafkan kepadanya dan manfaatnya itu mestilah yang diharuskan dan tidak diharamkan oleh hukum syara‘. Hendaklah waqaf itu juga untuk selamanya (tidak terhad masanya).
Setiap sesuatu yang telah diwaqafkan itu adalah menjadi hak Allah. Manakala manusia tidak ada kuasa padanya, baik orang yang berwaqaf (wâqif) mahupun penerima waqaf atau pihak yang diwaqafkan ke atasnya (al-mauqûf ‘alaih).
Sehubungan dengan itu penggunaan sebahagian tanah perkuburan kepada tempat letak kereta, jika penggunaan tempat itu sementara sahaja, pihak nazir tanah waqaf perkuburan itu boleh membenarkannya kepada pihak lain menggunakannya di bawah konsep pinjaman atau sewa, iaitu dua kontrak yang tidak membawa kepada perpindahan milik, dengan syarat penggunaan sementara itu mestilah tidak akan menjejaskan kawasan tersebut daripada dijadikan tempat perkuburan di masa yang akan datang termasuk tidak akan menjejaskan penggunaan selain kerana tujuan yang berkaitan dengan perkuburan seperti kemudahan laluan masuk ke tanah perkuburan tersebut. Jika terdapat sisa-sisa bahan pembinaan hendaklah dibersihkan seperti sebelumya.
Apa yang tidak diharuskan oleh hukum syara‘ ialah memindah milik harta itu kepada pihak lain, kerana harta waqaf adalah milik Allah, bukan milik orang/pihak yang mewaqaf atau pihak yang diwaqaf ke atasnya. Pihak yang diwaqafkan ke atasnya itu sama ada individu tertentu, khas atau am seperti masjid atau kubur. Begitu juga jika ada syarat pada waqaf itu seperti untuk didirikan masjid, sekolah atau perkuburan, maka mestilah diikut syarat tersebut.
Jadi, jika hendak disewakan, pihak yang bertanggungjawab melakukan kontrak sewa itu ialah pihak yang bertanggungjawab tentang tanah perkuburan.
Hasil daripada sewa itu adalah untuk kepentingan tanah perkuburan tersebut itu sendiri, terutama bagi memelihara dan menjadikannya sesuai dan mudah digunakan mengikut tujuan tanah itu sebagai tanah waqaf perkuburan orang-orang Islam.
Mengambil sebahagian kecil daripada tanah waqaf perkuburan itu untuk dijadikan sebagai kawasan letak kereta masjid adalah tidak harus kerana bercanggah dengan syarat atau tujuan yang ditentukan oleh pewaqaf, kerana perbuatan ini mengubah syarat atau tujuan tanah waqaf itu sebagai tanah waqaf perkuburan orang-orang Islam.
Selain itu adalah haram mendirikan apa jua binaan di atas tanah perkuburan seperti yang dilarang oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Hadis Baginda:
Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegah daripada mengkapurkan kubur dan duduk di atasnya dan mendirikan binaan di atasnya.”
Hal ini diperkuat dengan perbuatan Sayyidina ‘Umar Ibnu al-Khaththab Radhiallahu ‘anhu iaitu selepas Baginda melihat satu kubur dibina kubbah di atasnya, maka Baginda merobohkannya, katanya: “Biar mayat itu dilindungi oleh amal ibadatnya sendiri.” (Bujairimi ‘alâ al-Khatib: 2/272-273)
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7883
