Waktu Berbuka Puasa Dalam Kapal Terbang (Udara)
Soalan: Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa jabatan ini telah menerima laporan mengenai dengan “sungkai” (berbuka puasa) di kapal terbang Syarikat Penerbangan Diraja Brunei. Begini laporannya:
“Seorang hamba Allah telah menunaikan ibadat umrah di bulan Ramadhan dengan menaiki pesawat Syarikat Penerbangan Diraja Brunei. Bertolak dari Brunei kira-kira jam 3.00 petang (waktu Brunei). Tatkala dalam penerbangan pukul lapan malam (waktu Brunei), matahari masih kelihatan terang, sedangkan orang Brunei sudah sungkai. Sehingga pukul 9.00 malam (waktu Brunei) “barutah” (barulah) “sungkai” kerana melihat matahari itu sudah hampir terbenam dan mengikut percakapan pegawai Syarikat Penerbangan Diraja Brunei orang di bawah (New Delhi/Madras) “sungkai” juga. Diagak-agak, hamba Allah ini telah berpuasa tidak kurang 16 jam pada hari penerbangan itu.
Pertanyaannya:
Bagaimana menetapkan jam untuk “sungkai” di dalam pelayaran dengan kapal terbang contoh seperti di atas? Demikianlah yang dapat disampaikan daripada pertanyaan hamba Allah ini bagi memohon fatwa masalah yang tersebut di atas.
Jawapan: Penetapan waktu berbuka bagi orang yang dalam pelayaran adalah mengikut tempat di mana dia sedang berada sama ada di muka bumi atau sedang berada di udara (kapal terbang). Untuk yang jelasnya, waktu berbuka bagi seseorang itu ialah dengan datangnya malam, sebagaimana firman Allah:
Tafsirnya: “Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam (Maghrib).” (Surah al-Baqarah: 187)
Sementara dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim:
Maksudnya: “Daripada Abdullah bin Abu Aufa Radhiallahu ‘anhu, katanya: “Kami bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam satu perjalanan di bulan Ramadhan. Ketika matahari telah terbenam Baginda bersabda: “Hai Polan! Turunlah, dan siapkan makanan kita!” Jawab orang itu: “Hari masih siang, ya Rasulullah!” Sabda Rasulullah, “Turunlah dan siapkan makan kita!” Kata Abdullah: “Orang itu pun segera turun, lalu dia menyiapkan makanan dan menyajikannya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, dan Baginda langsung minum.” Kemudian Baginda bersabda sambil menunjuk dengan tangannya: “Apabila matahari telah terbenam di sana, dan malam telah datang di sini, maka orang puasa sudah boleh berbuka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jelas daripada ayat dan hadis di atas menunjukkan bahawa tidak sah berbuka bagi orang yang berpuasa itu melainkan dengan datangnya waktu malam iaitu dengan terbenammya matahari.
Maka jika orang yang berpuasa itu belayar menaiki kapal terbang dan sedang berada di udara, maka apa yang kita ketahui, matahari akan hilang dari bumi terlebih dahulu sebelum hilangnya daripada penglihatan penumpang-penumpang kapal. Yang demikian itu berdasarkan bulatan bumi. Dengan ini adalah tidak sah berbuka bagi orang yang berpuasa itu selagi matahari masih ternampak olehnya.
Sebagaimana yang berlaku bagi mereka yang menuju ke arah Timur, waktu siangnya adalah pendek berbanding dengan mereka yang menuju ke arah Barat, waktu siangnya adalah panjang. Oleh yang demikian apa yang diambil kira sekarang bagi orang yang berpuasa itu ialah dengan terbenamnya matahari daripada penglihatannya, walau di mana pun dia berada ketika itu, dan bukan dikira dengan waktu tempatan yang dilaluinya atau waktu negerinya sendiri yang ditinggalkannya.
Sekiranya puasa sepanjang hari itu menyusahkannya, maka baginya terdapat kelonggaran yang mengharuskannya berbuka, sebaliknya jika tidak menyusahkan dan dia dapat menyempurnakan puasanya itu, maka afdhal dia teruskan dan sempurnakan puasanya itu.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7887
