Wali Hakim (Perempuan Mu’allaf)
Soalan: Apakah hukumnya pernikahan seorang perempuan mu’allaf yang diwalikan oleh seorang yang tidak berhak atau tidak bertauliah menjadi wali hakim?
Jawapan: Pernikahan yang dianggap sah di sisi syara‘ ialah pernikahan yang cukup rukun-rukun dan syarat-syaratnya. Wali adalah salah satu daripada rukun nikah yang lima iaitu:
i. Pengantin lelaki ii. Pengantin perempuan iii. Wali iv. Dua orang saksi v. Shîghah (îjâb dan qabûl)
Tiap-tiap rukun ini mempunyai syarat-syaratnya yang tertentu. Apabila telah berkumpul segala rukun dan syarat-syaratnya, maka boleh dan harus dijalankan pernikahan. Apabila kurang satu daripada rukun-rukun nikah atau salah satu daripada syarat-syarat rukun nikah, maka pernikahan yang dijalankan dalam keadaan yang demikian itu adalah tidak sah.
Perkara-perkara yang menjadi syarat bagi wali ialah Islam, lelaki, berakal, bâligh, merdeka (bukan hamba sahaya), dengan kemahuannya (tidak dipaksa) pada mengakadkan, ‘âdil (tidak fâsiq), tidak dalam ihram haji atau umrah, tidak cacat (lemah) pemikiran (penelitian) yang disebabkan oleh tua atau disebabkan oleh rosak akal fikiran sama ada semulajadi atau yang mendatang atau penyakit dan tidak mahjûr (ditahan hartanya) kerana bodoh (tidak pandai menguruskan hartanya). (Bujairimi ‘alâ al-Khathîb: 3/394, Nihâyah al-Muhtâj ilâ Syarh al-Minhâj: 6/237, I‘ânah ath-Thâlibîn: 3/352, Kitab al-Fiqh ‘alâ al-Madzâhib al-Arba‘ah: 4/19)
Wali nikah itu ada tiga jenis iaitu wali nasab (keturunan), wali kerana milik (tuan kepada hamba) dan wali hakim.
Wali nasab ada dua sebab:
i. Kebapaan (ubuwwah).
ii. ‘Ashabah dengan ikatan nasab.
Susunan wali nasab bagi perempuan yang merdeka ialah seperti berikut:
1. Bapa sebenar. 2. Datuk (bapa kepada bapa) hingga ke atas. 3. Saudara lelaki seibu sebapa. 4. Saudara lelaki sebapa. 5. Anak lelaki daripada saudara lelaki seibu sebapa hingga ke bawah. 6. Anak lelaki daripada saudara lelaki sebapa hingga ke bawah. 7. Bapa saudara seibu sebapa sebelah bapa. 8. Bapa saudara sebapa sebelah bapa. 9. Anak lelaki daripada bapa saudara seibu sebapa sebelah bapa (sepupu lelaki seibu sebapa) hingga ke bawah. 10. Anak lelaki daripada bapa saudara sebapa sebelah bapa (sepupu lelaki sebapa) hingga ke bawah.
Daripada susunan di atas orang yang utama menikahkan perempuan itu ialah wali yang lebih hampir (aqrab) kepada perempuan. Tidak sah nikah jika perempuan itu dinikahkan oleh wali yang lebih jauh (ab‘ad) sedangkan wali yang lebih hampir masih ada (hidup), sebagai contohnya: Seorang perempuan telah dinikahkan oleh bapa petuannya (bapa saudara) sedangkan perempuan itu mempunyai saudara lelaki seibu sebapa yang telah cukup syarat sebagai wali, maka pernikahan tersebut adalah fâsid (tidak sah).
Walau bagaimanapun kuasa (hak) wali aqrab itu akan berpindah kepada wali ab‘ad dalam keadaan-keadaan berikut:
1. Jika wali aqrab kafir. 2. Jika tidak ada wali aqrab melainkan hanya dia (wali ab‘ad) itu. 3. Jika wali aqrab kanak-kanak (belum bâligh). 4. Jika wali aqrab fâsiq. 5. Jika wali aqrab gila. 6. Jika wali aqrab rosak fikirannya. 7. Jika wali aqrab bisu, tuli dan tidak tahu isyarat.
Jika terdapat persamaan taraf atau darjat pada dua orang wali atau lebih, maka sunat mengutamakan yang tua umurnya daripada mereka, yang lebih pengetahuannya mengenai pernikahan dan yang lebih wara‘nya dalam beragama.
Selain daripada wali yang telah disenaraikan terdahulu, maka tiada siapa pun yang berhak menjadi wali nikah walaupun yang ada hubungan keluarga. Anak lelaki tidak boleh menikahkan ibunya. Begitu juga saudara lelaki seibu, saudara lelaki seibu sebapa kepada ibu (petuan sebelah ibu), bapa angkat, suami kepada ibu susuan dan lain-lain.
Jika perempuan yang hendak bernikah itu tidak mempunyai wali nasab (keturunan), maka ia bergantung kepada dua keadaan:
Pertama: Jika perempuan itu hamba, maka walinya ialah tuannya. Jika tuannya itu perempuan, maka wali tuannya itulah yang menjadi walinya. Jika dia telah dibebaskan, maka orang yang membebaskan itulah wali pernikahannya. Jika yang membebaskan itu perempuan, maka yang berhak menikahkan perempuan berkenaan itulah yang menikahkannya. Jika tuannya itu hilang, maka yang menikahkannya ialah sultan (hakim).
Kedua: Jika perempuan yang tiada wali nasab itu orang yang merdeka seperti anak zina atau perempuan muallaf yang tidak mempunyai wali yang Islam, maka walinya ialah sultan (hakim). Ini dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Baihaqi dalam as-Sunan ash-Shaghîr:
Maksudnya: “Maka sultan itu ialah wali kepada siapa yang tiada wali baginya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi)
Maka jelas di sini bahawa apabila seorang perempuan hendak bernikah, pernikahannya itu hendaklah diwalikan mengikut susunan jenis wali yang disebutkan di atas (dengan tertib) iaitu dengan mendahulukan wali nasab sebelum wali kerana milik, kemudian jika tidak didapati juga wali nasab dan wali kerana milik, maka barulah berpindah hak wali itu kepada wali hakim (sultan).
Walau bagaimanapun dalam keadaan-keadaan yang tertentu ada ketikanya kuasa wali nasab yang aqrab itu berpindah kepada sultan (hakim) dan tidak berpindah kepada wali ab‘ad. Di antara keadaan-keadaan tersebut ialah:
1. Apabila wali aqrab berada jauh daripada mauliyahnya pada kadar dua marhalah atau lebih.
2. Apabila wali aqrab dalam ihram haji atau umrah.
3. Apabila wali aqrab enggan menikahkan perempuan ‘âqil bâligh yang minta dinikahkan dengan lelaki yang kufu’ dengan tiada berulang tiga kali di hadapan qadhi. Jika sampai tiga kali atau lebih, maka berpindahlah hak mewalikan kepada wali ab‘ad.
4. Apabila wali aqrab hilang iaitu tidak diketahui di mana dia berada dan tidak diketahui sama ada masih hidup atau sudah mati dengan syarat belum dihukumkan sabit kematiannya oleh hakim (sultan).
5. Apabila wali aqrab sendiri yang akan bernikah dengan mauliyahnya (umpama sepupunya) dan dalam waktu yang sama tidak ada wali lain yang lebih aqrab atau yang setaraf dengannya untuk menikahkan perempuan tersebut.
6. Wali aqrab sangat sukar didatangi seperti terhalang kerana bahaya dan seumpamanya.
Orang yang berhak menjadi wali hakim itu ialah sultan atau orang yang diberi kuasa (tauliah) pada menikahkan perempuan yang tidak berwali seperti jurunikah, qadhi (yang ada tauliah menikahkan). Ringkasnya tiada seorang pun yang berhak menjadi wali hakim melainkan dia itu diberikan tauliah untuk menikahkan oleh sultan (hakim). Apabila pernikahan diwalikan oleh orang yang tidak berhak menjadi wali sama ada wali nasab atau wali hakim, maka pernikahan itu tidaklah sah.
Sesungguhnya orang yang sengaja mewalikan seorang perempuan yang bukan mauliyahnya (dia tidak berhak menjadi wali kepada perempuan itu) adalah berdosa besar dan dilaknat, sebagaimana yang dijelaskan dalam sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma:
Maksudnya: “Allah melaknat sesiapa yang menyembelih (binatang) bukan kerana Allah, dan Allah melaknat sesiapa yang mengubah batas (sempadan) tanah, dan Allah melaknat sesiapa yang menyimpangkan orang buta dari haluan (tempat yang ditujunya), dan Allah melaknat sesiapa yang mencaci maki kedua ibu bapanya, dan Allah melaknat sesiapa yang menjadi wali kepada orang yang tidak berhak dia menjadi wali, dan Allah melaknat sesiapa yang melakukan perbuatan kaum Luth. (Nabi mengulangnya tiga kali pada (melaknat) perbuatan kaum Luth).” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)
Sehubungan dengan ini, maka nyatalah pernikahan yang dinikahkan secara wali hakim oleh orang yang tidak diberikan tauliah menjadi wali hakim itu adalah tidak sah. Oleh yang demikian, pasangan berkenaan dipisahkan dan dinikahkan semula menurut rukun-rukun dan syarat-syarat pernikahan sebagaimana telah ditetapkan oleh syara‘.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7891
