Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Wali Nikah

Soalan: Seorang lelaki dan perempuan telah bernikah. Setelah pernikahan berlaku, emak kepada perempuan telah memberitahu kepada anak perempuan itu bahawa wali yang menikahkannya tidak betul kerana yang menikahkan itu adalah bapa angkat. Si anak perempuan tadi memberitahu pula kepada suaminya sebagaimana yang diberitahu oleh emaknya. Si suami tidak ambil peduli hal yang sedemikian sehingga mereka beroleh dua orang anak (satu lelaki dan satu perempuan). Setelah hal wali tadi disentuh barulah mereka mengadukan hal mereka ke Pejabat Ugama dan telah diarahkan bernikah semula dengan wali yang betul.

Adakah layak si bapa menjadi wali mujbir kepada anak perempuan itu sedangkan dia mengetahui bahawa isterinya telah bernikah bersamanya dengan wali yang tidak betul, dan adakah nikah mereka itu dalam kategori wath’ syubhah?

Jawapan: Adalah tepat menurut hukum syara‘ mengenai arahan qadhi supaya dinikahkan semula pasangan yang ternyata nikah mereka tidak sah (fâsid), oleh kerana tidak berdasarkan wali yang sebenarnya iaitu bapa angkat kepada perempuan. Wali itu adalah salah satu rukun nikah yang mesti dilaksanakan dengan betul.

Mengenai dengan kedudukan lelaki yang bernikah dengan perempuan dengan wali yang salah itu, jika dia mahu mewalikan nikah anak perempuannya adalah dilihat kepada dua keadaan di bawah ini:

(i) Jika makluman tentang batalnya nikah itu baru diterima oleh suami isteri, sedangkan mereka telah bersekedudukan sehingga isterinya itu hamil, kerana bersekedudukan itu, maka anak yang lahir daripada hasil bersekedudukan itu adalah bersambung nasabnya kepada bapanya yang mewath’ syubhah itu, maka bapanya itu adalah wali kepada anak tersebut.

(ii) Jika suami isteri telah menerima makluman tentang rosaknya (fâsid) nikah mereka lebih awal, tetapi mereka meneruskan juga bersekedudukan (hubungan suami isteri) sehingga dengan hubungan itu menyebabkan lahirnya anak yang diyakini terjadi daripada hasil percantuman benih suami isteri selepas mengetahui rosak nikahnya, maka anak tersebut adalah anak di luar nikah dan tidak sabit nasabnya kepada suami tadi. Dalam hal yang demikian tidaklah suami itu menjadi wali kepada anak yang lahir itu, kerana dia adalah dikira hasil daripada perzinaan. Maka yang menjadi wali kepada anak tersebut ialah sultan atau naibnya seperti qadhi atau juru nikah berdasarkan sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Maka sultan adalah wali bagi orang yang tiada wali baginya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Walau bagaimanapun dalam kedua-dua hal di atas, meneruskan bersekedudukan suami isteri setelah mengetahui tentang rosaknya nikah mereka itu adalah haram dan hubungan suami isteri itu adalah zina selagi mereka tidak membaharui nikah tersebut dengan mengikut syarat-syarat yang dikehendaki oleh hukum syara‘.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7895