‘Oral Sex’ Dari Segi Hukum Syara‘
Soalan: Menurut berita daripada The Straits Times Singapura dan The New Straits Times Malaysia bertarikh 18hb. September, 1996, mahkamah Singapura telah membuat keputusan bahawa ‘oral sex’ di antara kedua-dua belah pihak yang bersetuju tidak dikira bersalah.
Oleh kerana berita seperti ini dibaca secara luas oleh orang-orang muda di Negara Brunei Darussalam termasuklah penuntut-penuntut, maka supaya tidak menimbulkan penyelewengan terhadap perkara ini, dipohonkan pandangan Pehin dari segi hukum syara‘ mengenainya termasuklah pendirian Islam terhadapnya.
Jawapan: Jenayah zina dalam perundangan Islam berbeza dengan jenayah zina dalam perundangan sivil. Perundangan Islam menganggap bahawa setiap persetubuhan haram itu ialah zina dan dikenakan hukuman ke atas yang melakukannya sama ada oleh orang yang sudah kahwin ataupun belum kahwin. Sementara perundangan sivil pula tidak menganggap setiap persetubuhan haram itu zina. Hanya pada kebiasaannya hukuman akan dijalankan dalam bentuk yang khas daripada kalangan mereka yang sudah berkahwin sahaja. Selain itu ia dianggap sebagai pencabulan kehormatan. Apabila persetubuhan itu dilakukan dengan rela hati, maka mengikut perundangan sivil, tiada hukuman dijatuhkan selagi kerelaan itu tidak mengaibkan.
Apa yang dimaksudkan oleh sesetengah negara dengan kerelaan yang mengaibkan itu ialah apabila orang yang disetubuhi itu tidak sampai umur 18 tahun genap. Hukuman bagi persetubuhan dengan kerelaan yang mengaibkan ini adalah ringan sahaja, kerana perlakuan itu hanya dianggap sebagai salah laku.
Undang-undang Islam menyifatkan perbuatan zina sebagai penggugat kehidupan orang ramai dan kesejahteraan mereka serta musuh yang ketat kepada keluarga, sedangkan keluarga adalah asas atau punca terdirinya sesuatu jemaah. Dengan membenarkan atau membebaskan orang-orang melakukan zina itu, boleh menyebarluaskan kejahatan dan keburukan di kalangan masyarakat. Mula-mula ia akan menghancurkan keluarga dan akhir sekali menghancurkan ummah. Inilah yang mahu dicegah oleh Islam sebagai agama rahmat dan penyelamat sejagat.
Adapun menurut undang-undang sivil, zina dianggap urusan individu atau masalah peribadi yang tidak menyentuh individu lain, atau tidak menyentuh urusan masyarakat, kecuali dalam kes yang dinamakan pelacuran, di mana setengah-setengah negara akan mengenakan tindakan undang-undang. Oleh kerana itu, menurut undang-undang sivil tiada hukuman dikenakan kepada orang yang melakukan zina, kecuali jika tiada kerelaan ketika melakukannya.
Masyarakat Eropah dan masyarakat Barat pada umumnya rosak disebabkan zina. Akhlak yang mulia hancur disebabkan pergaulan yang tidak mengenal batasan. Anak-anak gadis di bawah umur lagi sudah sedia mengenali budaya buruk ini. Ketika berumur 15 tahun lagi ataupun lebih awal daripada itu, anak-anak gadis sudah hilang dara. Tegasnya, bersekedudukan sebelum kahwin adalah perkara biasa bagi masyarakat Barat.
Tidak syak lagi, apabila zina telah berleluasa, maka kebajikan pun hancur dan azab seksa Allah Ta‘ala mendekati semua sebagaimana hadits-hadits menjelaskan yang demikian itu.
Maksudnya: Daripada Maimunah Radhiallâhu ‘anhâ beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Umatku (ini) akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka. Apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir sahaja Allah ‘Azza wa Jalla akan menurunkan azab seksa kepada mereka seluruhnya.” (Hadits riwayat Ahmad)
Tersebut dalam kitâb al-qadhâ’, hadits Ibnu Umar berbunyi:
Maksudnya: Apabila nyata (zahir) perzinaan, maka zahir pula kefakiran dan kemiskinan. (Hadits riwayat al-Bazzar)
Orang-orang Barat telah mengharuskan zina dan lain-lain kejahatan yang seumpama zina, sehingga kerananya kita telah menyaksikan berbagai-bagai azab diturunkan seperti AIDS, penyakit HIV dan lain-lain yang sebahagiannya itu masih tiada ubat untuk menyembuhkannya.
Sepatutnya, kita semua perlu peka dengan keburukan-keburukan zina itu sambil memahami bahawa ia bukanlah urusan peribadi tetapi adalah jenayah masyarakat yang amat berbahaya. Ia mestilah dibanteras bersama-sama sehingga ke akar-akar umbinya, berdasarkan ketetapan hukum yang telah ditentukan oleh Allah Ta‘ala mengenainya. Dasar perundangan Islam melihat, bahawa pertemuan pada faraj (iltiqâ’ al-khitânain) di antara dua orang yang halal nikah kecuali suami isteri adalah zina dan hukumnya haram. Maka demikian pula bersentuhan pada yang lain daripada faraj di antara kedua-duanya dihukumkan maksiat serta berdosa. Dasar ini disebut oleh Allah dalam al-Qur’an, firmanNya:
Tafsirnya: Dan mereka yang menjaga kehormatannya (yang menjaga nafsu syahwatnya daripada perbuatan zina), kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain daripada yang demikian, (sesiapa yang mengadakan hubungan dengan yang bukan isterinya atau hambanya) maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. (Surah al-Mu’minûn: 5-7)
Undang-undang Islam juga mengharamkan khalwat dengan perempuan bukan mahram. Ini dijelaskan dalam hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat, maka jangan sekali-kali dia berkhalwat dengan perempuan yang tidak ada bersamanya mahramnya, (kerana) sesungguhnya syaitan adalah yang ketiga bersama kedua-dua mereka itu. (Hadits riwayat Ahmad) Apabila berkhalwat diharamkan, maka bersentuhan lebih-lebih lagi ianya maksiat dan haram.
Di antara beberapa kaedah pokok dalam perundangan Islam, terdapat satu kaedah yang menyatakan:
Ertinya: Dan apa yang membawa kepada haram itu, hukumnya adalah haram.
Jika perbuatan seseorang itu belum sampai kepada tahap zina yang membawa hukuman hadd, maka ia dikenakan ta‘zîr, sama ada perbuatan itu belum mencukupi syarat-syarat seperti memasukkan zakar di celah-celah paha ataupun hanya berkhalwat, berpeluk-peluk, bercium-ciuman dan lain-lain seumpamanya. Semua itu adalah haram dan dikenakan ta‘zîr. Ia tidak syak lagi merupakan pendahuluan zina, maksiat dan dosa besar.
Dasar pengharaman ini antara lain, firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kepada kerosakan). (Surah al-Isrâ’: 32)
Perempuan dan lelaki yang melakukan oral seks padahal mereka itu bukan suami isteri seperti ditanyakan yang berbangkit daripada keputusan sebuah mahkamah membebaskan mereka yang melakukannya, adalah pada segi syara‘ ianya tiada terlepas daripada maksiat dan dosa, suatu perbuatan mendekati zina dan mendekati zina itu hukumnya haram serta dikenakan ta‘zîr, di mana perkara ini tidak difahami oleh orang bukan Islam dan mahkamah bukan Islam.
Atau yang jelas pada masa ini belum terdapat peruntukan hukum ta‘zîr itu bagi perbuatan oral seks. Oleh kerana itulah sesiapa jua yang melakukannya mungkin sahaja tidak boleh didakwa atau dengan kata lain akan terlepas begitu sahaja. Namun hukum Allah tidaklah terikat dengan semua itu, sama ada ia diperuntukkan ataupun tidak. Hukum Allah itu berasaskan al-Qur’an atau hadits atau ijmâ‘ atau apa jua kaedah ushûl yang disepakati oleh ulama mengenai dengan sesuatu kesalahan itu. Apa yang halal dan haram itu sudah jelas, hanya terpulang kepada manusia sama ada mahu mengikutnya ataupun tidak. Bagi orang-orang yang beriman mereka dikehendaki peka dengan ungkapan al-Qur’an ini:
Tafsirnya: Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir. (Surah al-Mâ’idah: 44)
Tafsirnya: Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Surah al-Mâ’idah: 45)
Tafsirnya: Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang fâsiq. (Surah al-Mâ’idah: 47)
Hukum zina adalah jelas daripada al-Qur’an dan hadits, dan juga ulama telahpun sepakat mengenai pengharamannya. Bahkan ijmâ‘ ahli-ahli agama juga, sehingga tidak ada satu agamapun yang menghalalkannya.
Firman Allah dalam surah al-Isrâ’, ayat 32:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kepada kerosakan).
FirmanNya lagi dalam surah al-Furqân, ayat 68:
Tafsirnya: Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan hak (yang dibenarkan oleh syara‘), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian akan mendapat balasan dosanya.
Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pula bersabda daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallâhu ‘anhumâ beliau berkata:
Maksudnya: Aku bertanya kepada Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam: “Apakah dosa yang paling besar di sisi Allah?” Nabi bersabda: “Engkau menjadikan bagi Allah sekutu (sedang) Dia yang menjadikanmu.” Berkata Abdullah: “Aku berkata kepadanya (Nabi): “Sesungguhnya perkara itu amat besar.” Berkata Abdullah: “Aku berkata: “Kemudian apa lagi?” Bersabda Nabi: “Kemudian (selepas itu) engkau membunuh anakmu kerana takut dia akan makan bersamamu (takut kepada kefakiran).” Berkata Abdullah: “Aku berkata: “Kemudian apa?” Bersabda Nabi: “Kemudian (selepas itu) engkau berzina (dengan) isteri jiranmu.” (Hadits riwayat Muslim)
Kejahatan dan keburukan daripada perlakuan zina memang tidak dapat dinafikan dan tidak syak lagi akan mengakibatkan berbagai-bagai kerosakan dalam kehidupan manusia.
Daripada dalil-dalil ini dapatlah kita faham mengapa agama Islam menetapkan hukuman yang berat terhadap orang-orang yang berzina itu. Bagi lelaki atau perempuan yang berzina yang muhshan hukumannya ialah direjam sampai mati. Manakala bagi lelaki atau perempuan yang berzina yang tidak muhshan, hukumannya disebat seratus kali dan dibuang negeri selama setahun. Perkara ini tsabit daripada al-Qur’an dan hadits-hadits. Firman Allah:
Tafsirnya: Perempuan dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benarlah kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka oleh sekumpulan daripada orang-orang yang beriman. (Surah an-Nûr: 2)
Daripada Abu Hurairah dan Zaid bin Khalid al-Juhani berkata:
Maksudnya: Seorang lelaki desa datang menghadap Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam seraya berkata: “Wahai Rasulullah! Atas nama Allah, saya minta kepada Tuan supaya Tuan menjatuhkan hukuman kepada saya sesuai dengan Kitabullah.” Kemudian berkata lelaki lawannya dan dia itu lebih pintar daripadanya: “Ya betul! Putuskanlah perkara kami sesuai dengan Kitabullah dan izinkanlah saya lebih dahulu berbicara.” Bersabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam: “Berbicaralah.” Katanya: “Anak lelaki saya bekerja menjadi pekerja orang ini, maka dia berzina dengan isteri orang ini dan sesungguhnya saya telah diberitahu bahawa anak saya itu harus dihukum rejam, maka saya tebus dia dengan seratus ekor kambing dan seorang sahaya perempuan. Kemudian saya bertanya kepada ahli ilmu, maka mereka mengatakan kepada saya bahawa anak saya itu dihukum sebat seratus kali dan dibuang negeri selama satu tahun, sedangkan isteri lelaki ini mendapat hukuman rejam (sampai mati)”. Maka bersabda Rasullullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam: “Demi Allah yang jiwaku di tanganNya, sesungguhnya aku akan menjatuhkan hukuman di antara kedua-dua belah pihak sesuai dengan Kitabullah. (Tebusan) Hamba sahaya dan kambing itu ditolak dan ke atas anakmu sebat seratus kali dan dibuang negeri satu tahun. Wahai Unais! Besok pagi pergilah engkau kepada isteri orang ini (dan periksa apakah dia memang berzina), jika dia mengaku, maka rejamlah dia!” Berkata Abu Hurairah:
“Besok pagi Unais pergi kepada perempuan itu, (ternyata) dia mengaku (berzina).” Rasulullah memerintahkan supaya dihukum rejam, maka direjamlah perempuan itu. (Hadits riwayat Muslim)
Manakala daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas berkata:
Maksudnya: Telah berkata ‘Umar bin al-Khaththab dan ketika itu dia duduk di mimbar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam: “Sesungguhnya Allah Ta‘ala mengutus Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dengan kebenaran dan menurunkan kepadaNya kitab (al-Qur’an). Di antara ayat-ayat yang diturunkan kepadanya yang kita semua telah membaca, mempelajari dan memahamkannya ialah ayat ar-Rajm (ayat ini telah pun dimansûkhkan bacaannya daripada al-Qur’an, tetapi hukumnya tiada mansûkh). (Lihat al-Itqân fî ‘Ulûm al-Qur’ân: 3/72). Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah melaksanakan hukuman rejam, (begitu pula) kami telah melaksanakan hukuman rejam selepas Baginda (wafat). Maka aku takut, jika semakin lama, (masa berlalu) ada orang yang berkata: “Tidak kami dapati hukuman rejam di dalam Kitabullah.” Maka mereka itu sesat kerana meninggalkan satu kefardhuan yang diturunkan oleh Allah Ta‘ala. Sesungguhnya hukuman rejam yang terdapat dalam Kitab Allah ialah hak ke atas orang laki-laki dan perempuan muhshan yang berzina apabila ada saksi atau (ada bukti) seperti hamil atau pengakuan.” (Hadits riwayat Muslim)
Adapun yang dimaksudkan dengan lelaki atau perempuan muhshan yang berzina yang wajib dihukum rejam itu ialah orang yang memenuhi syarat di bawah ini:
(i) Bâligh. (ii) Berakal. (iii) Merdeka. (iv) Telah melakukan persetubuhan haram, sedang dia itu dalam pernikahan yang sah. (Raudhah ath-Thâlibîn: 10/86 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 4/166)
Hukum rejam atau sebat kepada orang yang berzina ini tidak dilakukan kecuali apabila telah mencukupi segala rukun dan syarat-syaratnya serta tsabit di hadapan hakim. Di antara rukunnya itu ialah masuk kemaluan lelaki dalam kemaluan perempuan.
Walaupun perbuatan oral seks itu bukan zina, namun ia telah menghampiri zina dan dalam keadaan seperti ini zina bila-bila masa sahaja boleh berlaku.
Zina selain salah satu dosa besar dan hukumnya juga berat, maka balasannya di akhirat pula amatlah pedih, sebagaimana riwayat hadits ini: Daripada Buraidah Radhiallâhu ‘anhu, daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam katanya:
Maksudnya: Sesungguhnya tujuh petala langit dan tujuh petala bumi bersungguh-sungguh melaknat syaikh (lelaki dewasa) yang berzina, dan sesungguhnya kemaluan orang-orang yang berzina itu akan menyakiti penduduk neraka dengan baunya yang busuk. (Hadits riwayat al-Bazzar)
Bersabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam lagi:
Maksudnya: Tiga golongan pada Hari Kiamat yang Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka dan tidak membersihkan mereka dan tidak akan melihat mereka dan bahkan bagi mereka azab yang amat pedih, (golongan itu) ialah lelaki dewasa yang berzina, raja yang pembohong dan peminta-peminta yang sombong. (Hadits riwayat Muslim)
Balasan kerana zina itu bukan sahaja akan diterima di akhirat, bahkan ketika di dunia lagi. Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Apabila zahir (nyata) zina dan riba dalam sesebuah kampung, maka penduduk kampung itu telah menghalalkan untuk diri mereka sendiri azab dan seksa Allah. (Hadits riwayat al-Hakim dan dia berkata shahîh isnâdnya)
Demikian sedikit gambaran mengenai balasan terhadap orang-orang yang berzina itu, mudah-mudahan ia menjadi i‘tibâr dan peringatan kepada orang-orang Islam, khasnya mereka yang melakukan oral seks kerana di antara zina dan perbuatan oral seks itu tiada jauh batas sempadannya. Adapun mahkamah yang membebaskannya tanpa sebarang hukuman, sama ada kerana tidak menepati tuduhan di bawah seksyen mencabul kehormatan, seks luar biasa atau kerana ketiadaan peruntukan mengenainya, adalah itu semua semata-mata perkara mahkamah, tidak bererti ia menafikan keburukan oral seks itu dan tidak bererti juga ia tidak bersetuju bahawa oral seks itu adalah perbuatan tidak bermoral yang mendatangkan dosa kerana dalam konteks moral, semua agama selain Islam adalah sama sahaja mengagungkan moral itu.
Oleh kerana itulah, seperti juga Islam, maka tidak ada satu agama pun yang merestui zina, menghalalkan minum arak atau berjudi dan lain-lain keburukan yang sedia ditolak dan diharamkan oleh Islam.
Maka di segi Islam, keputusan mahkamah membebaskan pelaku oral seks itu adalah semata-mata perkara keduniaan. Ia tidak akan membawa apa-apa kesan kepada kedudukan hukum. Jika sekiranya sesuatu yang haram pada hukum syara‘ telah diputuskan sebagai harus atau halal oleh mahkamah, maka keputusan itu sama sekali tidak akan mengubah hukum asal yang telah ditetapkan oleh syara‘ itu, walau apapun alasan mengenainya. Jadi berlandaskan hukum syara‘, sesiapa yang terlepas daripada hukuman mahkamah itu, tidak bermakna akan terlepas atau bebas pula daripada hukuman Allah berupa balasan azab di dunia mahupun di akhirat.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7908
