Bahan Lemak Binatang di Dalam Roti
Soalan: Dengan hormat sukacita memaklumkan bahawa Jabatan Hal Ehwal Syara‘iah melalui Unit Kawalan Aqidah dan Syara‘iah telah menerima aduan berhubung masalah kontroversi dan keraguan masyarakat Islam di negara ini mengenai bahan campuran barang makanan keluaran sebuah kedai pembuat roti yang dikatakan mengandungi ‘lemak binatang’ yang masih diragui akan kehalalannya.
Berdasarkan analisa dan uji kaji yang dilakukan oleh Makmal Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan mendapati hasil keputusannya adalah “positif” iaitu sebahagian daripada bahan asal makanan keluaran kedai tersebut diperolehi daripada binatang.
Tetapi Makmal Perkhidmatan Saintifik berkenaan tidak dapat mengenal pasti dalam pekara-perkara berikut:
a. Lemak dari binatang apa, dan
b. Adakah binatang itu disembelih atau tidak.
Bagi mengatasi keraguan orang ramai mengenai masalah ini, maka Jabatan ini sukacita memohonkan kiranya pihak Jabatan Tuan akan dapat memberikan nasihat dan fatwa sebagai panduan Jabatan ini membuat langkah-langkah tertentu kepada pihak-pihak berkenaan dan seterusnya memberi keyakinan kepada orang ramai khususnya masyarakat Islam mengenai kedudukan bahan barang makanan berkenaan dan hukum memakannya.
Jawapan: Kedai pembuat roti itu milik siapa? Jika milik orang Islam, maka kita menaruh baik sangka bahawa orang-orang Islam akan membuat barang-barang makanannya daripada bahan-bahan yang bersih, halal dan tidak najis.
Adapun anggapan zahir atau qarînah-qarînah zahir bahawa lemak binatang itu merupakan yang halal dimakan adalah kerana sifat orang Islam itu tidak menipu, tidak curang dan lain-lain lagi sifat yang terlarang. Khusus dalam perniagaan pula Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyediakan etika yang jelas bagi pedagang-pedagang Islam, antaranya ancaman atau amaran hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengenai penipuan.
Maksudnya: Sesiapa yang menipu bukanlah daripada (golongan) saya.
(Hadits riwayat Muslim)
Namun begitu kerana ada juga pedagang-pedagang Islam yang kurang mengerti tentang hukum-hakam muamalat (jual beli), maka mereka itu juga tidak terlepas atau kadang-kadang terjebak kepada perkara-perkara yang haram, termasuk mencampurkan bahan-bahan tidak halal ke dalam adunan-adunan makanan yang diperniagakan atau seumpamanya.
Oleh kerana itu, dalam hal ini Sayyidina ‘Umar Ibnu al-Khaththab sampai berkata: “Tidak boleh menjual atau membeli di pasar, melainkan orang itu telah terlebih dahulu mengetahui hukum jual beli yang ditentukan oleh ilmu fiqh. Sesiapa yang tidak memenuhi syarat ini, dikhuatiri akan memakan riba sedangkan dia tidak mengetahuinya.”
Tentang peniaga-peniaga atau pedagang-pedagang di akhir zaman yang tidak menghiraukan soal halal haram ini, ada disebut oleh Baginda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Akan datang kepada manusia suatu zaman, bahawa seseorang itu tidak peduli apa yang diambilnya, adakah yang diambilnya itu daripada yang halal atau yang diambilnya itu daripada yang haram. Tidaklah dimakbulkan (diterima) permohonan (do‘a) mereka. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jika kedai pembuat roti itu bukan kepunyaan atau milik orang Islam pula, maka pembeli-pembeli atau pengguna-pengguna Islam hendaklah mengetahui bahawa orang-orang bukan Islam itu tidaklah mengerti dan faham apa itu halal dan haram dan apa itu najis. Kebersihan (hygien) belumlah cukup untuk memberi gambaran bahawa sesuatu makanan itu boleh dimakan oleh orang Islam.
Sementara dalam perkara binatang dan campuran daripada lemak binatang memerlukan kepada kepastian dan keyakinan adakah binatang itu disembelih menurut syara‘ atau sebaliknya. Ini adalah menurut kaedah fiqh:
Ertinya: Asal bangkai itu najis.
Jelasnya bangkai binatang yang halal dimakan seperti burung, ayam, itik dan seumpamanya itu apabila telah nyata dan diyakini disembelih mengikut syara‘, maka barulah ia halal dimakan.
Jika ia atau lain-lain makanan itu masih samar-samar, meragukan atau syubhah, maka pimpinan agama mengatakan supaya dijauhi yang syubhah itu. Antara peringatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ialah:
Maksudnya: Barang siapa memelihara (dirinya daripada) segala yang syubhah (kesamaran), sesungguhnya dia telah memelihara agamanya dan kehormatannya. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sabdanya lagi:
Maksudnya: Tinggalkan apa yang meragukanmu kepada (ambillah) apa yang tidak meragukanmu. (Hadits riwayat Ahmad dan an-Nasa’i)
Jadinya, apabila roti yang diperbuat oleh kedai roti lebih-lebih lagi jika ianya kepunyaan orang bukan Islam dan telah dipastikan bercampur dengan bahan lemak binatang yang tidak diketahui kehalalannya, maka roti itu adalah haram berdasarkan binatang yang halal dimakan pun adalah bangkai sehinggalah ia diyakini disembelih mengikut hukum syara‘.
Hukum memakan yang halal adalah wajib sebagaimana firman Allah:
Tafsirnya: Wahai manusia, makanlah sebahagian makanan yang ada di bumi ini, yang halal dan baik. (Surah al-Baqarah: 168)
Firman Allah lagi:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman makanlah kamu daripada yang baik-baik (halal) apa yang telah Kami kurniakan untuk kamu.
(Surah al-Baqarah: 172)
Memakan lemak daripada binatang yang tidak jelas sembelihannya itu sama dengan memakan bangkai. Sedang memakan bangkai itu haram, sebagaimana firman Allah:
Tafsirnya: Diharamkan ke atas kamu (memakan) bangkai. (Surah al-Mâ’idah: 3)
Sebenarnya persoalan roti apabila telah didapati atau diketahui mengandungi bahan yang tidak halal atau meragukan seperti lemak binatang, maka sebagai langkah awal dan serta merta ialah memberhentikan pemasarannya supaya pengguna-penggunanya yang juga terdiri daripada orang-orang Islam tidak akan membeli atau memakannya. Tindakan ini diambil sehinggalah ada langkah lain bagi pihak-pihak yang menanganinya membetulkan supaya roti keluaran kedai berkenaan atau lain-lain kedai menjadi bersih daripada sebarang bahan yang meragukan itu.
Mengenai makan minum yang halal, telah ramai ulama memperkatakannya dari dahulu hingga sekarang dengan berbagai-bagai pendekatan dan cara. Perkara ini ditekankan peri memandang wajibnya menjaga makan minum yang halal kerana ia ada hubungan dengan ibadat dan akhirat orang Islam. Di bawah ini kita petik sedikit nasihat oleh asy-Syaikh al- Islam al-Hujjah al-Imam as-Sayyid ‘Abdullah bin ‘Alwi al-Haddad al-Hadhrami asy-Syafi‘i dalam bukunya an-Nashâ’ih ad-Dîniyyah wa al-Washâyâ al-Îmâniyyah menyebutkan kepentingan memakan yang halal dan bahaya memakan yang najis, katanya:
“Kemudian, hendaklah kamu mengetahui, moga-moga Allah merahmati kamu, bahawasanya memakan yang halal itu akan menambah cahaya pada hati serta melembutkannya. Selain itu ia akan menimbulkan kegentaran dan kekhusyû‘an terhadap kebesaran Allah Ta‘ala, mencergaskan seluruh anggota badan untuk beribadat dan membuat taat, zuhud terhadap dunia dan suka terhadap hari-hari akhirat. Semua sifat-sifat yang tersebut tadi akan menjadi sebab utama pada terkabulnya amalan salih dan diterimanya do‘a. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pernah berkata kepada Sa‘ad bin Abu Waqqash Radhiallâhu ‘anhu:
Maksudnya: Bersihkan (pastikan halal dan bersih) makananmu, nescaya do‘amu dikabulkan.
Adapun orang yang memakan haram atau yang syubhah, maka ia akan berada jauh daripada segala kebajikan kerana makanan yang haram atau yang syubhah itu akan mengeras dan menggelapkan hati, mengekang seluruh anggota badan daripada beribadat dan bertaat dan menjadikannya sentiasa mencintai dunia. Semua perkara ini adalah menyebabkan tidak terkabulnya amalan dan do‘a.”
Bahaya memakan yang haram itu tertolaknya do‘a, sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: “.... Kemudian Baginda menyebutkan pula tentang seorang yang jauh perjalanannya sedang rambutnya kusut masai, berdebu mukanya (kerana pelayaran yang begitu jauh). Ia mengangkat kedua-dua belah tangannya arah ke langit, seraya berdo‘a: “Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Padahal makanannya daripada yang haram, minumannya daripada yang haram dan pakaiannya juga daripada yang haram, malah (perutnya) telah diisikan dengan makanan yang haram, bagaimanakah akan dikabulkan do‘anya?” (Hadits riwayat Muslim)
Antara bahaya makanan yang haram itu lagi, sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Tidak akan memasuki syurga daging yang tumbuh daripada yang haram, api neraka lebih baik baginya. (Hadits riwayat Ahmad bin Hanbal)
Daripada nasihat ini, hendaklah kiranya orang-orang Islam dan kerajaan Islam tahu apa yang mesti mereka lakukan untuk menyelamatkan orang Islam daripada terkena musibah atau bahaya-bahaya seperti yang diterangkan oleh al-Qur’an sendiri, Nabi kita Sayyidina Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan ulama-ulama Islam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7913
