Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الزكاة والصدقات

Beberapa Persoalan Mengenai Zakat Perak

Soalan: Dengan penuh hormat dan takzim saya pohonkan penjelasan dan hukum mengenai beberapa kemusykilan di bawah ini:

Setiap pegawai di Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang melangsungkan perkahwinan akan menerima cenderamata yang berbentuk perak bernilai kira-kira B$600.00 ke $800.00.

Persoalannya:

1. Apakah ada ketetapan atau ketentuan khusus mengenai kadar nishâb perak di Negara Brunei Darussalam ini? Jika ada, berapakah kadar nishâb perak di Negara Brunei Darussalam?

2. Apakah wajib si penerima hadiah itu mengeluarkan zakat jika kadar (nishâb)nya cukup dan sampai haulnya?

3. Apakah yang perlu dilakukan bagi orang yang tidak pernah mengeluarkan zakat perak itu dalam jangka masa 10 tahun lampau disebabkan tidak faham atau jahil tentang zakat perak ini? Apakah dia perlu mengeluarkan zakat 10 (sepuluh) kali pengeluaran sebagai mengqadha’ yang 10 tahun lampau itu? Bagaimana pula jika sengaja tidak mengeluarkan zakat perak selama 10 tahun itu?

4. Cenderamata perak yang sudah dikeluarkan zakat pada 1 Muharram 1416 Hijriyyah adakah wajib lagi dikeluarkan zakat jika tiba 1 Muharram 1417 (jika masih dalam milik tuan yang sama)? Bagaimana pula tahun seterusnya?

5. Kepada siapakah diserahkan zakat perak itu? Bolehkah zakat itu dimasukkan ke dalam tabung masjid dengan diniatkan membayar zakat perak?

Jawapan: Mata wang emas dan perak telah digunakan oleh orang-orang Arab sebelum Islam dalam urusniaga mereka. Mata wang emas dikenal sebagai dinar dan mata wang perak dikenal sebagai dirham.

Kaedah urusniaga dengan emas (dinar) dan perak (dirham) itu diakui sah dalam Islam dengan menjadikan timbangan Makkah sebagai rujukan atau sandaran.

Adapun nishâb yang tsabit pada perak ialah 200 dirham. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Tidak ada pada harta yang kurang daripada lima auqiyah daripada wang perak itu sebarang zakat dan (lima auqiyah) itu ialah 200 dirham. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mengikut timbangan sekarang, 200 dirham (perak) itu bersamaan dengan 595 gram dan kadar zakatnya ialah 1/40 atau 2.5% berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Dan pada wang perak itu (zakatnya) sesuku daripada sepersepuluh (1/40 atau 2.5% ). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Barang siapa ada memiliki atau menyimpan emas atau perak dalam bentuk hadiah cenderamata atau sebagainya yang bukan untuk tujuan pakaian atau perhiasan perempuan yang telah cukup syarat-syarat wajib zakatnya seperti cukup haul dan sampai nishâb, maka wajib dikeluarkan zakatnya sebanyak 2.5% atau 1/40.

Barang siapa tidak mengeluarkan zakat yang telah memenuhi syarat-syaratnya selama - katakan - 10 tahun, maka hendaklah dikeluarkan zakatnya untuk 10 tahun yang lewat itu kerana adalah wajib membayar atau menunaikan hak-hak Allah yang belum dibayar sebagaimana hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Hutang Allah lebih berhak untuk diqadha’ (dibayar atau ditunaikan). (Hadits riwayat al-Bukhari)

Kewajipan mengeluarkan zakat jelas menurut al-Qur’an, hadits dan ijmâ‘. Sayyidina Abu Bakar Radhiallâhu ‘anhu, Khalifah yang pertama pernah memerangi kaum yang enggan mengeluarkan zakat.

Orang yang tidak mengeluarkan zakat mendapat ancaman daripada Allah dengan seksa yang amat pedih di dunia dan di akhirat, antaranya firman Allah:

Maksudnya: Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakan pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka Jahannam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab daripada) apa yang kamu simpan itu.” (Surah at-Taubah: 34-35)

Antara ancaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam terhadap orang-orang yang tidak mengeluarkan atau tidak menunaikan hak-hak zakat ialah melalui sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Siapa yang dikurniakan oleh Allah kekayaan, tetapi tidak mengeluarkan zakatnya, maka pada Hari Kiamat nanti diumpamakan hartanya itu seekor ular jantan gundul yang sangat berbisa dan sangat menakutkan dengan dua bintik di atas kedua-dua matanya, lalu melilit dan mematuk lehernya (leher orang itu) sambil berteriak. “Saya adalah kekayaanmu, saya adalah kekayaanmu yang kau timbun-timbun dulu.” Nabi kemudian membaca ayat: “Janganlah orang-orang yang kikir sekali dengan kurnia yang diberikan Allah kepada mereka itu mengira bahawa tindakannya itu baik bagi mereka. Tidak, tetapi buruk bagi mereka; segala yang mereka kikirkan itu dikalungkan di leher mereka nanti pada Hari Kiamat.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim pula, bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan kewajibannya, maka emas dan perak itu nanti pada Hari Kiamat dijadikan seterika, lalu dipanaskan dengan api neraka, kemudian digosokkan ke rusuk, muka dan punggungnya selama lima puluh ribu tahun, sampai selesai perhitungannya dengan orang-orang lain, untuk melihat apakah dia masuk syurga atau neraka. Dan pemilik lembu atau kambing yang tidak melaksanakan kewajibannya, maka nanti pada Hari Kiamat binatang-binatang itu akan menginjak-injak dan menandukinya, setelah selesai seekor datang seekor lagi berbuat hal yang sama sampai selesai perhitungannya dengan orang-orang lain, selama lima puluh ribu tahun menurut hitungan kamu, untuk melihat apakah dia masuk syurga atau masuk neraka. (Hadits riwayat Muslim)

Ancaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam terhadap orang yang tidak mahu membayar zakat bukan sahaja akan diseksa di akhirat, tetapi orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat itu diancam juga dengan hukuman di dunia.

Seperti yang disabdakan oleh Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang merupakan hukuman yang langsung datang daripada Yang Maha Kuasa:

Maksudnya: Golongan orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat akan ditimpa kelaparan dan kemarau panjang. (Hadits riwayat ath-Thabarani di dalam al-Ausath)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: Bila mereka tidak mengeluarkan zakat, bererti mereka menghalang hujun turun dari langit. Kalau bukan kerana binatang-binatang pastilah hujan tidak akan diturunkan kepada mereka. (Hadits riwayat al-Baihaqi)

Hadits lain lagi:

Maksudnya: Bila bercampur sedekah (perâwi ragu) atau zakat dengan harta lain, maka harta itu akan binasa. (Hadits riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi)

Hadits ini mengandungi dua pengertian, menurut al-Mundziri:

i. Sedekah, dalam erti zakat, bila masih berada dan belum dikeluarkan daripada kekayaan akan menyebabkan kekayaan itu binasa. Hal itu berlandaskan pula hadits lain:

Maksudnya: Harta kekayaan tidak akan binasa, di darat maupun di laut, kecuali bila zakatnya ditahan (tidak dikeluarkan). (Hadits riwayat ath-Thabarani di dalam al-Ausath)

ii. Seseorang yang mengambil zakat sedangkan dia kaya dan memasukkannya ke dalam kekayaannya, maka kekayaannya itu akan habis. Demikian tafsir Imam Ahmad.

Oleh hal yang demikian jika tidak mengeluarkan zakat hukumnya berdosa sebagaimana ancaman mengenainya adalah cukup jelas dalam al-Qur’an dan hadits-hadits.

Apa jua harta yang wajib dizakat seperti emas, perak, mata wang (banknote), binatang-binatang ternakan (unta, lembu, kerbau dan kambing), barang-barang perniagaan yang telah memenuhi syarat-syarat wajib zakat seperti sampai nishâb, haul dan lain-lain sebagaimana perkaranya dibahas dan dibincangkan dalam bab-babnya yang berkenaan, hendaklah dikeluarkan zakatnya.

Bahkan mengeluarkan zakat bagi perkara-perkara emas, perak dan mata wang akan berulang tiap-tiap tahun selama mana harta yang wajib zakat itu masih memenuhi syarat-syarat wajib zakat, seperti jika sekiranya barang-barang perak atau emas yang bukan perhiasan perempuan walaupun telah dikeluarkan zakatnya pada 1 Muharram 1416H, jika masih wujud syarat wajib zakat padanya seperti nishâb perak tidak kurang 200 dirham atau 595 gram dan bagi nishâb emas tidak kurang 85 gram (20 dinar). Maka apabila sampai haulnya pada 1 Muharram 1417 dan seterusnya, wajib dikeluarkan zakatnya pada tahun itu.

Zakat, termasuk zakat perak yang telah sampai nishâbnya diberikan kepada ashnâf yang berhak menerimanya. Ashnâf yang menerima itu ada lapan golongan. Lapan golongan ashnâf yang menerima zakat itu ialah fakir, miskin, ‘âmil, mu’allaf, orang yang berhutang, hamba sahaya yang hendak menebus dirinya daripada tuannya dengan dibayar beransur, orang berperang sabîlullah dan ibnus-sabîl.

Di Negara Brunei Darussalam pihak yang mengendalikan urusan memunggut dan mengagihkan zakat ialah Baitul-mal, Majlis Ugama Islam. Majlis Ugama Islamlah yang mengagihkan zakat kepada ashnâf-ashnâf yang ada di negara ini.

Bolehkah zakat itu dimasukkan ke dalam tabung masjid dengan diniatkan membayar zakat? Jika dilihat kepada ashnâf yang lapan di atas, tabung masjid bukanlah termasuk ke dalam mana-mana golongan ashnâf yang berhak menerima zakat, dalam ertikata yang lain, tidak sah berzakat kepada tabung masjid sekalipun diniatkan untuk membayar zakat. Tabung masjid yang berjalan di negara ini ialah untuk kepentingan masjid sahaja dan tidaklah menjadi kebiasaan atau teradat bagi orang-orang Islam di negara ini berzakat melalui tabung masjid.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7917