Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳النكاح والطلاق

Cenderamata Daripada Bejana Perak

Soalan: Dengan penuh hormat dipohonkan penjelasan dan hukum mengenai beberapa kemusykilan di bawah ini:

Setiap pegawai di Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang melangsungkan perkahwinan akan menerima cenderamata yang berbentuk perak bernilai kira-kira B$600.00 ke $800.00.

Persoalannya:

1. Apakah hukum menghadiahkan barangan yang diperbuat daripada perak itu sama ada kepada lelaki atau pun perempuan?

2. Apakah hukum menerima hadiah perak itu?

3. Adakah mendapat dosa bagi orang yang memberi dan menyelanggarakan pemberian hadiah perak itu? (Jika si penerima tidak mengeluarkan zakat kerana tidak mengetahui bahawa perak itu wajib dikeluarkan zakatnya jika cukup nishâb dan haulnya).

Jawapan: Belumlah jelas apakah yang dimaksudkan oleh penyoal dengan “barangan” itu, adakah dimaksudkan barang-barang perhiasan perempuan seperti gelang tangan, gelang kaki, rantai leher dan lain-lain seumpamanya, atau barang-barang bejana yang termasuk dalam pengertian bejana itu ialah seperti pinggan, mangkuk, sudu, garpu, perahu, bedil, celapa dan seumpamanya.

Jika yang dimaksudkan barangan itu ialah bahagian yang kedua yakni barang-barang bejana, maka menghadiahkannya kepada lelaki atau perempuan adalah dilarang oleh syara‘ kerana menghadiahkan barang-barang bejana itu boleh membawa kepada penggunaannya, termasuk juga maksud penggunaannya itu, memilikinya sekalipun tidak digunakan atau dijadikan sebagai perhiasan.

Dalil larangan menggunakan bejana perak itu ialah sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Daripada Hudzaifah Radhiallâhu ‘anhu beliau berkata: “Saya mendengar Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Jangan kamu memakai sutera halus dan sutera kasar dan jangan kamu minum dengan menggunakan bejana emas dan perak dan jangan kamu makan dengan menggunakan talam kedua-duanya (emas dan perak) kerana sesungguhnya barang-barang itu untuk mereka (orang-orang kafir) di dunia dan untuk kamu kelak di akhirat.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam suatu riwayat lain menyebutkan:

Maksudnya: Daripada Ummu Salamah Radhiallâhu ‘anhâ: Sesungguhnya Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya orang yang minum dengan menggunakan bejana emas dan perak, nescaya api neraka Jahannam akan menggelegak di dalam perutnya.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam an-Nawawi dalam Syarh Muslim: “Berkata sahabat-sahabat kita, telah ijmâ‘ ulama tentang haram menggunakan bejana emas dan perak untuk makan, minum dan lain-lain kegunaan. Pengharaman itu sama sahaja di antara lelaki dan perempuan dengan tiada perbezaan pendapat ulama mengenainya.

Adapun hukum menerima hadiah perak yakni yang dimaksudkan hadiah barangan bejana yang diperbuat daripada perak itu adalah sama sahaja berdasarkan dalil-dalil di atas, kerana menerimanya akan membawa kepada penggunaannya atau pemilikan atau menjadi perhiasan.

Hukum penggunaan bejana emas dan perak, pemilikan serta menjadikannya hiasan telah dijelaskan oleh ulama sebagaimana berikut:

i. Berkata Ibnu Hajar di dalam az-Zawâjir, dalam kitâb ath-thahârah, bâb al-âniyah:

Ertinya: Dan yang dimaksudkan dengan bejana itu ialah setiap benda yang digunakan untuk menyimpan atau menaruh sesuatu secara ‘urf, maka (termasuklah dalam maksud bejana itu) pencelak mata, bekas (tempat) pencelak mata, pencungkil gigi, pencungkil kotoran telinga dan seumpamanya. (Az-Zawâjir: 1/197)

ii. Berkata al-‘Allâmah as-Sayyid ‘Abdullah al-Jardani penyusun kitab Fath al-‘Allâm (kitab fiqh berdasarkan ulama-ulama mazhab asy-Syafi‘i):

Ertinya: Ketahuilah bahawa termasuk daripada (maksud) bejana itu ialah bekas celak, tempat membakar kemenyan (padupaan), sudu, tempat penaruhan alat tulis, sarung bagi memegang cawan, alat penyangkul, cerek (kendi) dan tempat menghidang makanan. Dan seumpama itu (juga) penutup bekas (kendi) air, pencelak mata, pengorek gigi, jarum dan sikat. Maka haram menggunakan semua itu apabila ia (diperbuat) daripada emas atau perak. (Fath al-‘Allâm: 1/267)

iii. Hukum haram ini bukan hanya terbatas kepada menggunakannya sahaja, bahkan haram juga hukumnya menyimpan atau menaruhnya walaupun tidak digunakan seperti dibuat perhiasan dan seumpamanya. (Hâsyiah al-Bajuri: 1/30)

iv. Sehubungan dengan itu adalah haram hukumnya menghiasi rumah-rumah, majlis-majlis, masjid-masjid dan Ka‘bah dengan bejana yang diperbuat daripada emas dan perak. (Al- Majmû‘: 4/332 dan Hâsyiah al-Bajuri: 1/41)

Berdasarkan kepada ancaman sebagaimana yang disebutkan oleh hadits di atas, maka menggunakan, memiliki atau menjadikan perhiasan barang-barang bejana emas atau perak adalah berdosa, pembaziran dan bermegah-megah mungkin juga timbul. Oleh kerana itu adalah tidak wajar menjadikan barang-barang bejana daripada emas atau perak sebagai cenderamata bagi apa jua tujuan dan upacara.

Memberi barang-barang bejana yang diperbuat daripada perak atau emas dan termasuk menyelanggarakan pemberian itu juga sama hukumnya.

Imam as-Sayuthi menyebutkan satu kaedah:

Ertinya: Sesuatu yang haram mengambilnya, haram (juga) memberikannya. (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir li as-Suyuthi)

Beliau juga berkata:

Ertinya: Apa yang haram menggunakannya, haram (juga) mengambilnya.

Berdasarkan kaedah ini, adalah haram mengambil (untuk digunakan) alat-alat permainan/bunyian, bejana-bejana perak dan emas, anjing bagi sesiapa yang bukan berburu, khinzîr (babi), perbuatan maksiat, khamr (arak), sutera dan barang-barang perhiasan (emas) untuk lelaki. (Al-Asybâh wa an-Nazhâ’ir li as-Sayuthi)

Berdasarkan kaedah-kaedah di atas ini, memberikan bejana perak atau emas atau apa jua benda-benda yang ditegah itu sudah tentu berdosa.

Adalah malang jika perbuatan-perbuatan yang ditegah itu menjadi ikutan kerana pengasas yang pertama tetap akan menerima saham berkongsi dosa dengan orang yang mengikutnya, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:

Maksudnya: Barang siapa membuat sesuatu perkara yang baik dalam Islam, maka dia mendapat pahala daripada perbuatannya itu dan dia juga mendapat pahala orang yang membuat perkara baik yang dibuat kemudian daripadanya, dengan tiada kurang sesuatu pahala yang diuntukkan bagi mereka, dan barang siapa membuat sesuatu perkara yang jahat dalam Islam, maka dia mendapat dosa di atas perbuatan jahatnya dan juga mendapat dosa perbuatan orang yang membuat perbuatan jahatnya itu kemudian daripadanya, dengan tiada kurang sesuatu dosa mereka (orang-orang itu menanggung dosa kufur dan fâsiq kanak-kanak Islam untuk selama-lamanya). (Hadits riwayat Muslim)

Khusus bagi orang-orang yang menerima hadiah bejana perak akan tetap juga menerima risiko kerana dia menerima barang yang haram. Hanyasanya diharapkan mudah-mudahan Allah melepaskannya atau memaafkannya kerana perbuatan yang ‘tidak disengaja’, terpaksa atau jahil kerana hukum jahil itu diampuni.

Namun jika jahil disebabkan taqsîr atau cuai tidak mahu mempelajari hukum halal haram, maka seseorang itu tidaklah dia terlepas daripada persoalan dan tanggungjawab disebabkan ketaqsîran atau kecuaiannya itu kerana mempelajari dan menuntut ilmu-ilmu yang wajib itu adalah wajib.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7921