Gambar Fotograf di Masjid Menghalang Malaikat Masuk?
Soalan: Saya telah beberapa kali mendapati bahawa akhbar ‘Pelita Brunei’ diedarkan kepada orang ramai di masjid sebelum sembahyang fardhu Jumaat. Akibatnya saudara-saudara Islam kita bukan sahaja membaca akhbar berkenaan tetapi juga membawanya masuk ke dalam masjid. Menurut hadits Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, malaikat tidak memasuki rumah yang mempunyai objek seperti gambar-gambar dan sebagainya.
Jadi, dengan adanya beratus-ratus gambar dibawa masuk ke dalam masjid semasa sembahyang Jumaat, adakah malaikat akan masuk ke dalam masjid ataupun tidak?
Jika hadits ini dipercayai betul, maka saya khuatir rahmat Allah tidak akan sampai kepada kita semasa sembahyang Jumaat dan perkara ini sangatlah dikesali. Satu penyelesaian yang mudah ialah dengan menghentikan pengedaran akhbar tersebut di masjid. Satu lagi cara lain ialah mengedarkannya selepas sembahyang dan bukannya sebelum sembahyang supaya orang ramai tidak membawanya masuk ke dalam masjid.
Saya memohon agar Pehin dapat memberikan pandangan ataupun nasihat mengenai persoalan ini.
Jawapan: Mudah-mudahan Allah akan memberi taufiq dan hidayahNya kepada tuan, kerana soalan di atas.
Adakah persoalan gambar fotograf mempunyai persamaan hukum dengan persoalan patung atau lukisan daripada objek yang bernyawa? Oleh kerana itu persoalan patung dan gambar lukisan daripada objek yang bernyawa perlu dihuraikan:
(i) Patung daripada objek yang bernyawa yang lengkap dengan semua anggotanya adalah haram dengan ijmâ‘ dan wajib dimusnahkan, sama ada patung manusia, binatang, malaikat, jin atau binatang yang tiada bandingan baginya seperti kuda bersayap atau berkepak.
(ii) Patung daripada objek yang bernyawa, tetapi dipotong bahagian anggota yang tidak boleh ia hidup tanpa anggota berkenaan itu adalah harus.
(iii) Patung daripada objek yang bernyawa yang lengkap bagi tujuan pendidikan atau pengajaran dan pembelajaran atau patung mainan untuk kanak-kanak perempuan adalah harus.
(iv) Lukisan daripada objek yang bernyawa diletakkan pada tempat-tempat terhormat dan tidak hina adalah haram.
(v) Lukisan daripada objek yang bernyawa diletakkan pada tempat-tempat tidak terhormat dan sekalipun menghinakan seperti yang terdapat pada penyandar-penyandar yang dijadikan tempat sandaran atau tempat duduk adalah masih diingkari oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Ini ditafsirkan oleh setengah ulama sebagai makruh sahaja.
(vi) Lukisan daripada objek yang bernyawa yang diperlukan bagi tujuan-tujuan yang tidak bercanggah dengan syara‘ adalah harus.
(vii) Objek yang bernyawa, berjisim dan sama ada berbayang atau tidak, dibuat dengan tujuan menyerupai Allah dalam menjadikannya atau bagi tujuan penyembahan adalah kufur.
Hadits-hadits yang memperkatakan tentang malaikat tidak akan masuk ke rumah yang ada patung, atau lukisan gambar haiwan adalah hadits-hadits shahîh.
Menurut sebahagian ulama persoalan gambar fotograf yang disiarkan dalam akhbar-akhbar seperti akhbar Pelita Brunei, tidaklah termasuk dalam bidang yang diharamkan, kerana ia bukan dilukis dengan tangan dan tidak juga dalam bentuk lembaga. Gambar negative itu sebagai menyimpan atau menangkap bayang yang diletakkan di atas kertas.
Atau dengan lain perkataan, dikecualikan daripada persoalan patung atau lukisan gambar daripada objek yang bernyawa itu ialah gambar melalui cahaya matahari seperti gambar fotograf, kerana gambar fotograf itu diumpamakan menahan bayang dengan membubuh bahan kimia yang khas.
Malaikat tidak akan masuk ke tempat-tempat yang ada patung dan gambar lukisan yang bernyawa yang diharamkan. Ini tidaklah termasuk gambar fotograf seperti yang diterangkan di atas.
Bagi menyesuaikan suasana masjid, memanglah munasabah akhbar tidak akan dibaca di dalam masjid pada waktu sembahyang Jumaat lebih-lebih lagi sewaktu khutbah disampaikan.
Oleh kerana itu, adalah munasabah dan elok pengedaran akhbar dilakukan selepas menunaikan fardhu Jumaat atau waktu-waktu yang lain yang lebih munasabah. Yang demikian itu tidaklah akan berbangkit adanya sebahagian orang ramai yang membaca akhbar di dalam masjid pada masa dan ketika hendak menunaikan fardhu Jumaat dan juga keraguan tentang malaikat tidak masuk ke dalam masjid kerana adanya gambar-gambar.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7925
