Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Hak Penjagaan Diri dan Harta Anak yang Belum Bâligh

Soalan: Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa Majlis Ugama Islam telah membincangkan draf Perintah Mesyuarat Majlis Ugama Islam Mengenai Penyesuaian Undang-Undang Dengan Kehendak Ugama Islam:

“Orang-orang yang berhak terhadap penjagaan”

iaitu di dalam bab 99 (1) (a) hingga (e)

“(1) Sungguhpun hak terhadap hadhânah atau penjagaan kanak-kanak itu mungkin terletak pada orang lain, bapa adalah penjaga hakiki anaknya yang belum cukup umur dan jika bapa telah mati, maka hak di sisi undang-undang bagi menjaga anaknya turun kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan yang berikut, iaitu:

(a) Datuk lelaki di sebelah bapa. (b) Washi yang dilantik menurut wasiat bapa. (c) Washi kepada washi bapa. (d) Washi datuk lelaki di sebelah bapa. (e) Washi kepada washi datuk di sebelah bapa.

Mengenai perkara yang disebutkan di atas itu, Majlis mencadangkan kepada pihak Jabatan Mufti untuk mengkaji adakah seseorang yang menerima sesuatu wasiat boleh melantik seorang lain sebagai washi.

Jawapan: Adapun orang yang berhak menjadi wali (penjaga harta benda dan hal ehwal kebajikan) bagi kanak-kanak yang belum cukup umur sebagaimana tersebut nashnya di dalam Minhâj ath- Thâlibîn ialah:

Ertinya: Wali kanak-kanak itu ialah bapanya kemudian bapa bapanya (datuk) kemudian washi mereka berdua kemudian qadhi.

Maka ini bermaksud bahawa bapa itu adalah penjaga yang mula-mula sekali berhak untuk menjadi wali kanak-kanak yang belum cukup umur dan seumpama kanak-kanak yang belum cukup umur itu juga ialah orang gila dan safîh. Menurut al-Khathib asy-Syarbini pendapat ini telah ijmâ‘ para ulama mengenainya. (Mughnî al-Muhtâj: 2/236).

Jika bapa kanak-kanak itu tidak ada (meninggal dunia) maka berpindah hak penjagaan itu kepada datuk (bapa kepada bapa) hinggalah ke atas seperti wali nikah.

Kemudian jika kanak-kanak itu tidak juga mempunyai datuk, maka hak penjagaan itu berpindah kepada washi bapa atau washi datuk (bapa kepada bapa) iaitu dilihat siapa yang di antara bapa dan datuk itu yang terkemudian meninggal, maka washi orang yang terkemudian meninggal itulah yang menjadi wali kanak-kanak tersebut.

Berhubung dengan washi ini, adalah tidak boleh seorang washi itu mewasiatkan wasiat yang diterimanya itu kepada orang lain jika wasiat yang diterimanya itu berbentuk wasiat muthlaqah yang tidak memberi izin kepadanya untuk berwasiat kepada orang lain. Tetapi jika orang yang berwasiat itu ada mengizinkan bagi washinya itu berwasiat pula sama ada wasiat untuk diri washi atau wasiat untuk orang yang berwasiat atau wasiat secara muthlaq yang mengizinkannya untuk berwasiat maka harus baginya berbuat sedemikian mengikut pendapat yang azhhar.

Ini jelas di dalam nash Minhâj ath-Thâlibîn yang berbunyi:

Ertinya: Dan tidak boleh bagi washi itu mewasiatkan (apa yang diwasiatkan kepadanya), maka jika diizinkan baginya untuk berbuat begitu, harus baginya (berwasiat) menurut pendapat yang azhhar.

Manakala jika tidak juga didapati washi daripada kedua-duanya (bapa atau datuk) maka hak penjagaan itu tertanggung ke atas qadhi atau sesiapa sahaja yang diamanahkan oleh qadhi untuk menjaganya, bertepatan dengan sebuah hadits yang berbunyi:

Maksudnya: Sultan (pemerintah) adalah wali terhadap sesiapa yang tidak mempunyai wali baginya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi dan al-Hakim)

Maka susunan keutamaan bagi wali (penjaga harta dan hal ehwal kebajikan) kanak-kanak yang belum cukup umur itu adalah seperti berikut:

i. Bapa. ii. Datuk (bapa kepada bapa). iii. Washi bapa atau washi datuk (tertakluk kepada siapa di antara bapa dan datuk yang terkemudian meninggal dunia). iv. Washi bagi washi bapa atau washi bagi washi datuk (jika ada keizinan daripada orang yang berwasiat). v. Qadhi atau orang yang diamanahkan oleh qadhi.

Adapun susunan keutamaan yang terdapat di dalam bab 99 (1) (b) hingga (e) itu adalah kurang tepat.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7929