Hukum Bulu Binatang yang Diambil Semasa Hidupnya
Soalan: Dengan hormat, sukacita dimaklumkan bahawa Kementerian Hal Ehwal Ugama kini sedang dalam usaha untuk menerbitkan “Garis Panduan Mengenai Kawalan Bahan Makanan, Minuman dan Gunaan Orang Islam Negara Brunei Darussalam.”
Sehubungan dengan ini, sukacita dipohonkan fatwa atau irsyad hukum bagi beberapa perkara yang ada kaitan dengan penerbitan “Garis Panduan” tersebut mengenai perkara-perkara tersebut sebagaimana berikut:
Bulu binatang halal yang diambil bulunya seumpama dicukur dengan mesin khas semasa binatang tersebut masih hidup untuk dijadikan pakaian seperti baju panas (fur coat) atau barang gunaan seperti permaidani.
Jawapan: Bulu binatang-binatang yang halal, seperti kambing biri-biri, ayam, arnab dan lain-lain yang diambil daripada badannya semasa ia masih hidup, sama ada dengan cara mencukur, menggunting, mencabut atau tercabut dengan sendirinya adalah suci dan boleh dibawa atau dipakai semasa mengerjakan sembahyang, thawaf dan sebagainya.
Maksud memakai di sini termasuklah jika bulu berkenaan ditenun dan dijadikan pakaian baju panas ataupun dijadikan permaidani.
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam al-Minhâj:
Ertinya: Dan bahagian yang terpisah daripada binatang yang masih hidup, hukumnya adalah sama seperti bangkainya, kecuali bulu binatang yang harus dimakan, maka hukumnya bersih.
Ketika mengulas pendapat Imam an-Nawawi ini, Imam asy-Syarbini menyebutkan bahawa bersih atau sucinya bulu berkenaan adalah dengan ijmâ‘ ulama, sama ada bulu itu dicabut ataupun tercabut dengan sendirinya. Firman Allah:
Tafsirnya: Dan (Dia juga menjadikan bagi kamu) daripada berjenis-jenis bulu binatang ternakan itu, berbagai barang perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa. (Surah an-Nahl: 80)
“Ayat ini mengandaikan bahawa bulu-bulu itu diambil selepas penyembelihan binatang itu atau diambil semasa ia masih hidup sebagaimana yang dapat difahami.”
Adapun yang terpisah (seperti bulu) daripada binatang yang tidak boleh dimakan seperti keldai adalah najis. (Al-Mughnî: 1/115)
Imam asy-Syarbini juga menerangkan bahawa bulu yang masih melekat pada anggota binatang, yang mana anggota itu sudah terpisah daripada binatangnya, bulu itu najis jika anggota yang terpisah itu najis. Manakala bulu yang dicabut daripada binatang hidup yang halal dimakan walaupun turut sama tercabut sedikit kulit pangkal bulu itu, adalah bersih (suci). (Al-Mughnî: 1/115)
Berkata asy-Syaikh Yusuf al-Ardabili dalam al-Anwâr:
“Antara yang suci itu ialah bulu yang terpisah daripada manusia, daripada binatang yang halal dimakan, termasuk bulunya walaupun kasar dan keras.....” (Al-Anwâr: 1/7)
Oleh yang demikian bulu binatang halal dimakan yang diambil semasa binatang itu masih hidup, bulunya boleh dijadikan pakaian dan lain-lain kegunaan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7933
