Jenis Beras Untuk Fidyah Puasa
Soalan: Dengan penuh hormat dipohonkan kepada Pehin mengenai kedudukan fidyah bagi dua jenis beras iaitu beras Siam dan beras wangi. Untuk makluman Pehin bahawa harga-harga beras tersebut seperti berikut:
i) Beras Siam 10kg =$ 8.50 ii) Beras wangi 10kg =$ 12.50
Huraian
i) Satu fidyah bersamaan dengan 1 cupak. ii) Satu Cupak = 15 tahil. iii) Satu Tahil = 37,7994 gram. iv) Lima Belas (15) tahil = 566,991 gram.
Nilaian harga beras Siam dalam satu (1) cupak:
15 tahil = 1 cupak = 566,991 gram X $ 8.50 = $ 0.48 sen. 10,000 gram
Nilaian harga beras wangi dalam satu (1) cupak:
15 tahil = 1 cupak = 566,991 gram X $ 12.50 = $ 0.708 sen. 10,000 gram $ 0.71 sen.
Dipohonkan pandangan dan nasihat Pehin mengenainya.
Jawapan: Sesiapa meninggalkan puasa yang wajib, sama ada puasa Ramadhan, puasa nazar atau puasa kaffârah dengan sebab uzur dan dia tidak sempat mengqadha’ puasanya itu disebabkan sakit yang berkekalan hingga dia meninggal, maka tidaklah dia berdosa dan tidak juga wajib ke atasnya fidyah.
Adapun jika sesiapa yang meninggalkan puasa yang wajib dengan tiada uzur, kemudian dia mati sebelum sempat dia mengqadha’nya, hendaklah dikeluarkan fidyahnya oleh ahli warisnya yang diambil daripada harta pusaka peninggalannya (jika ada harta pusakanya) atau ahli kerabatnya berpuasa untuknya, sekalipun bukan ahli waris si mati atau dipuasakan oleh orang lain yang diwasiatkan oleh si mati atau dengan izin waris.
Sesiapa yang melewatkan atau melambat-lambatkan qadha’ puasa Ramadhan, padahal dia boleh mengqadha’ puasanya itu dengan tiada uzur sehingga masuk Ramadhan yang lain, maka wajib ke atasnya mengqadha’ sebanyak hari-hari Ramadhan yang ditinggalkan itu dan wajib pula mengeluarkan fidyah bagi hari-hari yang ditinggalkannya itu. Kadar fidyah itu satu mudd atau 15 tahil, ataupun 566,991 gram.
Satu mudd ialah bagi satu hari puasa Ramadhan yang ditinggalkan. Walau bagaimanapun jumlah mudd ini akan berganda oleh sebab berulang tahun puasa Ramadhan yang telah tidak diqadha’. Ertinya, sehari puasa Ramadhan yang ditinggalkan ialah satu mudd, kalau dua tahun dua mudd, kalau tiga tahun 3 mudd, demikianlah jumlah mudd itu akan bertambah dengan sebab berulang-ulang tahun yang tidak diqadha’nya.
Sebab-sebab mewajibkan fidyah:
i. Tiada upaya berpuasa: Sesiapa yang wajib berpuasa, tetapi tidak berupaya mengerjakannya disebabkan tua dan lemah. Sekiranya dia berpuasa, maka sangatlah payah dan dia tidak tertanggung akan kepayahannya itu.
ii. Orang sakit yang tiada harapan untuk sembuh dan sangat payah untuknya berpuasa.
iii. Perempuan hamil atau perempuan yang menyusukan anak. Jika sekiranya perempuan-perempuan yang sedemikian berpuasa, mereka takut akan mendatangkan mudharat ke atas anak dalam kandungan atau boleh mengurangkan air susu yang akan memberi kesan kepada anaknya.
iv. Sesiapa yang tidak mengqadha’ Ramadhan, dilewatkan atau ditangguhkan sehingga datang Ramadhan yang lain, wajib fidyah sebanyak hari-hari yang tinggal, kerana menghinakan kemuliaan Ramadhan, di samping fidyah, wajib juga ke atasnya qadha’, tetapi tidak wajib fidyah bagi orang yang didatangi uzur seperti sakit atau dalam safar (perjalanan).
Berapakah kadar fidyah puasa? Menurut an-Nawawi:
Ertinya: Jenis (makanan) fidyah itu ialah jenis (makanan) fitrah. [Mughnî al-Muhtâj 1:595]
Oleh kerana perkara fidyah puasa ini berkaitan dengan zakat fitrah dari segi jenis makanan yang wajib dijadikan zakat fitrah, maka perbincangan ini pun memerlukan penjelasan apakah jenis makanan yang wajib dijadikan zakat fitrah itu.
Dasar hukum wajib mengeluarkan zakat fitrah termasuklah hadits berikut:
Maksudnya: Bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah mewajibkan zakat fitrah dari Ramadhan segantang tamar atau segantang sya‘îr, ke atas setiap orang yang merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan daripada orang-orang Islam. (Hadits riwayat at-Tirmidzi daripada Ibnu ‘Umar)
Bertolak daripada hadits ini dan hadits-hadits lain, para ulama juga telah menetapkan berbagai perkara berhubung dengan kewajipan mengeluarkan zakat fitrah: Antara lain ialah tentang jenis makanan yang wajib dikeluarkan, kadarnya dan sebagainya.
Jenis makanan yang segantang (shâ‘) yang dijadikan sebagai zakat fitrah yang hendak dikeluarkan yang disebutkan dalam hadits di atas, hendaklah diperhatikan terlebih dahulu bahawa ianya termasuk dalam kategori makanan yang boleh mengenyangkan kerana ‘makanan yang mengenyangkan’ menjadi syarat sah zakat fitrah. Selain daripada mengenyangkan, makanan itu pula hendaklah daripada jenis makanan-makanan yang wajib dikeluarkan zakatnya sepersepuluh atau seperlima.
Berkata Imam Nawawi Rahimahullâh:
Ertinya: Disyaratkan zakat fitrah yang dikeluarkan itu hendaklah ia daripadapada makanan yang mengenyangkan yang wajib padanya zakat sepersepuluh. (Al-Majmû‘: 6/91)
Selain daripada kadar satu shâ‘ dan mesti makanan yang mengenyangkan, ia mesti jenis makanan ghâlib (kebiasaan) di tempat orang yang berfitrah.
Berdasarkan Imam an-Nawawi dalam al-Minhâj:
Maksudnya: Wajib zakat fitrah daripada makanan dalam negerinya. Kata qîl: “Jenis makanannya sendiri (yang biasa dimakannya).” Kata qîl: “Dipilih di antara jenis-jenis makanan (yang ada). Memadai (makanan) yang tinggi (paling baik) daripada yang kurang mutunya, tetapi bukan sebaliknya.” Menurut satu wajh: “Dii‘tibârkan (ukuran) kepada harga. Pendapat yang ashahnya: “Makanan yang lebih mengenyangkan.” [Mughnî al- Muhtâj: 1/549]
Berkata Imam an-Nawawi dalam al-Majmû‘ (6/95):
Ertinya: Yang paling ashah di sisi jumhûr ulama, (tidak memadai zakat fitrah itu melainkan dengan barang) makanan yang mengenyangkan pada ghâlib negeri yang mengeluarkan fitrahnya. Antara ulama yang mengesahkannya ialah al-Mahamili, Qadhi Abu ath-Thayyib, al-Jurjani dalam at-Tahrîr, al-Baghawi dan lain-lain.
Sekiranya dalam sebuah negeri terdapat berbagai makanan ghâlib, maka bolehlah dipilih salah satu daripadanya, tetapi yang tertinggi mutunya.
Begitu juga halnya jika yang dikeluarkan itu daripada jenis makanan ghâlib dalam sesebuah negeri atau makanan sendiri, hendaklah juga yang bermutu tinggi.
Imam al-Khathib asy-Syarbini ketika mengulas mengenai maksud ibarat an-Nawawi ini berkata:
“Memadai makanan yang mutunya tinggi (paling baik) daripada makanan yang kurang mutunya kerana itu akan bertambah baik. Namun tidak sebaliknya (jangan mengeluarkan zakat fitrah dengan makanan yang mutunya rendah) kerana ia akan mengurangkan hak, yang demikian akan mendatangkan dharar kepada orang-orang yang berhak (penerima-penerima zakat). Yang dii‘tibârkan tinggi dan rendah (mutu makanan itu) berdasarkan pendapat satu wajh ialah harganya, sebagai tanda ramah (lemah-lembut) terhadap golongan miskin.” (Mughnî al-Muhtâj li al-Khathib asy-Syarbini: 1/549)
Yang dimaksudkan makanan ghâlib atau biasa ini ialah makanan asasi yang paling biasa (selalu) dimakan selama tempoh setahun, yakni yang dimakan lebih daripada enam bulan sepanjang tahun itu dan bukan makanan yang biasa dimakan ketika tiba masa wajib mengeluarkan zakat fitrah. Demikian difahamkan daripada keterangan kitab-kitab asy-Syafi‘i termasuk kitab at-Tuhfah dan Hasyiyahnya (3/321).
Dalam hal ini ulama telah sepakat mengatakan bahawa jika dikeluarkan yang terlebih rendah mutunya, zakatnya tidak sah dan jika dikeluarkan daripada jenis yang lebih tinggi lagi mutunya, adalah sah.
Berkata an-Nawawi:
Ertinya: Kemudian apabila yang kita wajibkan itu makanan sendiri ataupun makananََ ghâlib negeri, lalu dia beralih kepada yang terendah mutunya, adalah tidak harus. Jika dia berpindah kepada yang tinggi lagi mutunya adalah harus dengan sepakat ulama. (Raudhah ath-Thâlibîn: 2/303)
Sebagai perhatian, bahawa maksud mutu terendah dan mutu tertinggi adalah seperti yang disebutkan oleh Imam asy-Syarbini dan ulama-ulama mazhab asy-Syafi‘i yang lain:
Ertinya: Yang diambil kira pada menilai mutu tertinggi dan terendah ialah dengan nilai harga dalam satu wajh, sebagai tanda kasih kepada orang-orang miskin dan makanan yang lebih mengenyangkan menurut pendapat yang ashah, kerana inilah maksud zakat itu dikeluarkan. (Mughnî al-Muhtâj: 1/549)
Difahamkan daripada apa yang disebutkan Imam asy-Syarbini ini, pengertian mutu terendah dan mutu tertinggi, boleh dilihat dari dua sudut. Pertama dari segi nilai harga makanan itu, mana yang lebih mahal dan tinggi harganya, itulah yang dikeluarkan, akan tetapi yang pertama ini hanyalah satu wajh saja.
Kedua ialah dari segi mutu makanan yang mengandungi lebih banyak gizi (khasiat) dan lebih mengenyangkan kerana ini akan lebih menguntungkan si penerima jika dia orang yang memerlukan makanan sempurna. Oleh sebab itu, inilah yang dikeluarkan sebagai zakat fitrah dan inilah yang paling ashah di sisi ulama.
Selain dari segi harga dan lebih mengenyangkan, ukuran penilaian ini juga berdasarkan sudut kumpulan satu-satu jenis makanan dengan membandingkannya kepada kumpulan jenis makanan lain; kumpulan jenis beras dibandingkan dengan kumpulan jenis kurma; gandum dibandingkan dengan jenis jagung, dan lain-lain makanan yang menjadi makanan ghâlib negeri mengikut satu pendapat.
Bertolak daripada yang kedua ini, iaitu menilai dari segi ‘lebih mengenyangkan’ dan ‘lebih baik’ dan berdasarkan penilaian tinggi rendahnya dari sudut kumpulan jenis makanan, maka para ulama fiqh telah membuat senarai nama-nama jenis makanan yang boleh dikeluarkan sebagai zakat mengikut konteks negeri tertentu.
Berikut ialah nama-nama jenis kumpulan berkenaan mengikut urutan mutunya yang terbaik dari atas ke bawah seperti yang dikutip daripada Hawâsyi al-Jamâl:
(1) Al-burr (gandum). (2) As-sult (jenis sya‘îr = beras Belanda=barli). (3) Asy-sya‘îr (jenis gandum). (4) Adz-dzurrah (jagung). (5) As-sukhn (jenis jagung). (6) Al-aruzz (beras). (7) Al-himmish (kacang putih). (8) Al-mâsy (jenis kacang). (9) Al-‘adas (kacang ‘adas). (10) Al-fûl (kacang fûl). (11) At-tamr (kurma). (12) Az-zabîb (anggur kering). (13) Al-aqith (keju). (14) Al-jubn (susu kering). (Hâsyiyah al-Jamâl ‘alâ asy-Syarh al-Manhaj: 2/283)
Dalam hal ini, Syaikh ar-Ramli dalam an-Nihâyah menerangkan bahawa beras adalah lebih baik daripada kurma kerana beras lebih mengenyangkan berbanding dengan kurma. (3/122).
Ini bermakna beras berada diurutan atau di tangga kedua selepas gandum menurut Syaikh ar- Ramli.
Berkata pengarang kitab Fath al-‘Allâm berhubung dengan perkara empat belas (14) jenis makanan di atas:
Ertinya: Dan tidak berpada mengeluarkan (zakat fitrah) selain jenis makanan yang empat belas yang sudah disebutkan. (Fath al-‘Allâm: 3/429)
Mengikut nash-nash yang terdapat dalam kitab-kitab fiqh mazhab asy-Syafi‘i, sebagaimana sebahagian daripadanya telah disebutkan di atas, yang dipakai dalam menilai makanan yang akan dikeluarkan sebagai zakat fitrah, ialah dari segi harga atau dari segi lebih mengenyangkan dan yang paling ashah ialah menilainya dari segi lebih mengenyangkan daripada salah satu jenis kumpulan dalam senarai makanan yang disebutkan di atas.
Yang menjadi permasalahan sekarang ialah jikalau dalam sesebuah negeri atau kampung itu hanya mempunyai makanan ghâlib daripada satu kumpulan jenis makanan saja, tetapi dalam kumpulan jenis makanan yang satu ini terdapat pula bermacam-macam atau berbilang-bilang kategori.
Sebagai misal: Dalam satu negeri yang menjadi makanan utama atau ghâlib, hanyalah jenis beras. Beras ini ada bermacam-macam atau berbilang-bilang kategori; beras wangi, beras Siam, beras kampung, beras huma dan sebagainya. Di antara ketegori ini ada yang menjadi makanan kebanyakan penduduk, manakala kategori lain hanya dimakan oleh sebahagian kecil daripada mereka. Selain itu, setiap kategori ini mempunyai beberapa perbezaan di antara satu dengan yang lain, seperti daripada segi harga, kesedapan atau dari sudut lebih mengenyangkan dan lain-lain.
Jika hal ini terjadi dalam satu kampung atau negeri, bererti apa yang disenaraikan oleh Ibnu Hajar yang di atas tidak dapat dijadikan sebagai bahan pilihan kecuali beras. Oleh yang demikian, bolehkah dikeluarkan yang satu shâ‘ itu daripada mana-mana macam atau kategori beras yang ada atau separuh daripada macam ini dan separuh daripada macam yang lain, atau perlukah dipakai kaedah makanan ghâlib yang mengenyangkan?
Dalam at-Tuhfah Ibnu Hajar menerangkan bahawa kadar satu shâ‘ itu tidak memadai sebagai zakat fitrah jika sebahagiannya terdiri daripada satu jenis makanan dan sebahagiannya lagi daripada jenis makanan lain, yakni tidak memadai daripada dua jenis untuk satu zakat bagi seorang, walaupun salah satunya lebih baik daripada jenis yang lain. (3/323)
Adapun jika ianya terdiri daripada dua macam atau dua kategori daripada satu jenis, umpamanya beras wangi dan beras Siam adalah harus, kata Ibnu Hajar:
Ertinya: Adapun daripada dua macam daripada satu jenis, adalah harus.
Kata-kata Ibnu Hajar ini diperjelas lagi oleh asy-Syarawani, katanya:
Ertinya: Yakni sekira-kira kedua-dua macam itu daripada makanan ghâlib. (Hawâsyi at- Tuhfah: 3/323)
Syaikh al-‘Abbadi juga memberi keterangan mengenainya, katanya:
Ertinya: Perkaranya ialah harus zakat fitrah itu dua bahagian, seperti sebahagian daripada gandum dan sebahagian daripada ad-dukhn, berdasarkan ad-dukhn adalah salah satu macam (kategori) daripada jenis gandum. (Hawâsyi at-Tuhfah: 3/323)
Berkata al-Asnawi sebagaimana yang dinaqalkan dalam Hawâsyi at-Tuhfah:
Ertinya: Dan difahami daripada kata-kata mereka itu bahawa jikalau satu jenis makanan menjadi makanan ghâlib dan jenis ini pula mempunyai berbagai macam (kategori), maka adalah harus menjadikannya dua bahagian. (Hawâsyi at-Tuhfah: 3/323)
Sehubungan dengan ini pula, satu shâ‘ zakat fitrah yang dikeluarkan daripada salah satu macam atau kategori yang terdapat dalam satu-satu jenis makanan itu, adalah ia harus dan sah.
Misalnya, jenis gandum, ia mempunyai berbagai macam atau kategori, ada gandum merah, ada gandum putih dan sebagainya. Jadi, sekiranya yang dikeluarkan sebagai zakat hanya daripada kategori gandum merah sebagai ganti gandum putih atau sebaliknya, adalah boleh dan sah.
Sah dan boleh perkara ini dilakukan kerana perbezaan di antara satu jenis kumpulan makanan dengan jenis kumpulan makanan yang lain daripada 14 jenis makanan yang telah disebutkan itu tidak sama seperti perbezaan yang terdapat di antara satu macam atau kategori makanan dengan makanan atau kategori makanan lain yang terdapat dalam satu-satu jenis kumpulan makanan tertentu, walaupun sekiranya salah satunya lebih mengenyangkan seperti contoh gandum yang di atas.
Berkata Sayyid Ba ‘Alwi dalam al-Bughyah:
Ertinya: Perbezaan macam (kategori) dalam zakat fitrah tidak sama dengan perbezaan jenis. Maka oleh yang demikian adalah memadai satu macam (kategori) (sebagai ganti) daripada macam (kategori) lain dan walaupun salah satu daripada macam (kategori) ini lebih mengenyangkan, seperti jagung merah bagi pihak jagung putih. Begitulah juga pada macam (kategori) tamar. (Bughyah al-Mustarsyidîn: 103)
Kesimpulan
1. Daripada nash-nash yang di atas dapatlah disimpulkan bahawa harus mengeluarkan zakat fitrah yang terdiri daripada dua macam makanan tetapi semestinya dari satu jenis, seperti setengah shâ‘ beras wangi dan setengah shâ‘ yang lain beras Siam kerana beras wangi dan beras Siam adalah satu jenis, lagipun kedua-dua macam beras ini merupakan makanan utama dan salah satunya adalah makanan ghâlib. Ini sesuai dengan kata-kata Imam asy-Syarwani di atas, sekira-kira kedua-duanya makanan ghâlib yang tidak banyak perbezaan daripada sudut mengenyangkan.
2. Kemudian daripada nash yang dikutip dalam al-Bughyah membuktikan bahawa jika dikeluarkan zakat fitrah yang satu shâ‘ itu daripada macam atau kategori beras wangi sahaja adalah harus atau beras Siam sahaja adalah juga harus kerana kedua-duanya sama-sama di bawah satu jenis.
3. Dalam perkara dua macam daripada satu jenis ini, maka kaedah lebih baik atau lebih mengenyangkan tidaklah menjadi syarat, akan tetapi jika dikeluarkan daripada macam atau kategori yang lebih baik daripada semua segi adalah lebih digalakkan kerana dalam perkara bermacam-macam jenis, adalah penilaian ‘lebih baik’ itu. Di samping ianya dirujukkan kepada lebih mengenyangkan, ia juga dirujuk kepada lebih bermutu yakni lebih tinggi mutunya. Oleh kerana itulah dalam hal berjenis-jenis ini tidak dibenarkan beralih kepada jenis yang lebih rendah.
Untuk membuktikan penilaian ‘lebih bermutu’ itu turut menjadi ukuran, ialah penjelasan pengarang kitab Fath al-‘Allâm seperti di bawah ini:
Ertinya: Penduduk perkampungan yang makan jagung pada kebiasaannya sepanjang tahun dan makan gandum pada malam Hari Raya misalnya, mengikut pendapat yang mu‘tamad yang wajib ke atas mereka ialah jagung kerana itulah makanan kebiasaan mereka sepanjang tahun. Tetapi jika mereka keluarkan gandum, adalah ia lebih utama kerana ia lebih bermutu tinggi.
Lihatlah, ‘jagung’ itu menurut tertib yang disebutkan oleh an-Nawawi ialah nombor 4, sedang ‘gandum’ ialah nombor 1. Jagung menjadi makanan sepanjang tahun, sedangkan gandum hanya dimakan pada malam Hari Raya sahaja. Qaul yang mu‘tamad: Wajib dikeluarkan jagung (No. 4) kerana ia menjadi makanan sepanjang tahun. Tetapi jika dikeluarkan gandum (No. 1) walaupun ia hanya dimakan pada malam Hari Raya sahaja, adalah lebih utama kerana mutunya yang lebih tinggi.
Dalam perkara satu jenis (beras) sahaja, beras wangi adalah lebih mahal harganya, kerana apa? Tentulah kerana mutunya.
Jadi dari segi mutu ini, teranglah beras wangi itu duduknya di atas, yakni lebih utama daripada beras siam kerana mutunya yang lebih tinggi.
Dalam konteks sesebuah negara yang hanya memakan beras dan beras itu pula bermacam-macam, maka bagi Majlis Ugama Islam Brunei, menetapkan beras sahaja sebagai asas zakat fitrah yang juga menjadi asas kepada fidyah puasa seperti berikut:
1. Jenis (makanan) bagi fidyah itu ialah jenis (makanan) bagi fitrah.
2. Harus dan tidak bertentangan dengan hukum mengeluarkan fidyah puasa dengan beras Siam atau beras wangi kerana kedua-duanya itu adalah sama-sama di bawah satu jenis.
3. Sebagai irsyâd bukan fatwa, elok dan afdhal bagi yang mampu, lebih-lebih lagi yang menjadikan makanan ghâlibnya ialah beras wangi, mengeluarkan zakat fitrah dan fidyah dengan beras wangi itu, berdasarkan:
i. Jika makanan ghâlib itu ada bermacam-macam jenisnya, maka yang paling tinggi atau paling baik mutunya dianggap memadai, bukan sebaliknya. Sementara yang ashahnya ialah yang lebih mengenyangkan. Di samping itu,
ii. Ada juga terdapat qaul, daripada jenis makanannya sendiri (yang biasa dimakannya).
iii. Ada pula satu wajh mengatakan, bahawa dii‘tibârkan ukuran mutu itu ialah pada harganya ْي رفقا َِبملساك (sebagai tanda belas kasihan kepada orang-orang miskin), sepertimana disebutkan oleh al-Imam asy-Syarbini dan ulama-ulama mazhab asy- Syafi‘i yang lain.
iv. Perlu diingat, bahawa setakat yang telah diketahui, kadar orang yang makan beras wangi di Negara Brunei Darussalam ialah 76.51% berbanding dengan beras Siam hanya 23.4% sahaja.
v. Sementara itu mustahak diingat bahawa kita di Negara Brunei Darussalam ini mengeluarkan zakat fitrah atau fidyah itu ialah dengan wang, yakni nilai daripada harga beras. Adapun harga bagi 15 tahil = 1 cupak beras Siam ialah $0.48 sen sementara harga bagi beras wangi pula ialah $0.71 sen.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7937
