Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Jual Beli Dalam Masjid dan Wang Tabung Masjid Untuk Menjual Cenderamata

Soalan: Dengan hormatnya sukacita memohon pandangan dan penjelasan Pehin tentang hukum jual beli dalam masjid dan penggunaan wang tabung masjid untuk membiayai cenderamata yang akan dijual. Persoalan yang berhubung dengan perkara berkenaan ialah:

1. Pihak Perpustakaan di Jame‘ ini bercadang untuk memperkenal dan menggunakan mesin penggambar (photocopy) yang menggunakan kad. Kad tersebut perlu dibeli daripada sebuah syarikat dengan harga B$8.50 sekeping (sekeping kad boleh digunakan untuk membuat sebanyak 200 kali atau keping salinan). Pembelian yang minima ialah 200 keping kad. Mesin yang akan digunakan nanti dibekalkan oleh pihak syarikat berkenaan dan segala pemeliharaan serta toner bagi mesin ditanggung oleh mereka. Pihak perpustakaan ini hanya perlu menyediakan kertas. Mesin seperti ini sangat berguna memandangkan para pengguna boleh membuat salinan bagi bahan-bahan yang terdapat di perpustakaan ini dan ia sangat praktikal, mudah dan selamat.

Persoalannya sekarang, pihak perpustakaan akan mengenakan bayaran kepada para pengguna, dengan erti kata lain menjual kad-kad berkenaan kepada mereka yang berhasrat untuk membuat salinan dengan harga B$11.00 atau B$12.00 bagi sekeping kad berkenaan dan wang keuntungan yang diperolehi daripada penjualan kad-kad berkenaan adalah untuk kegunaan perpustakaan sendiri seperti membeli kertas dan sebagainya.

Jadi sekarang bagaimanakah kedudukan hukum dalam perkara ini?

2. Oleh kerana Jame‘ ini merupakan sebuah masjid yang indah dan menarik maka ia telah menjadi salah satu tempat yang tersenarai di dalam tempat yang menarik untuk dilawati dan dikunjungi oleh para pelawat dari luar negeri. Para pelawat yang pernah melawat Jame‘ ini merasa kagum dengan keindahan Jame‘ ini dan mereka sering bertanyakan sesuatu yang boleh dibawa oleh mereka untuk dijadikan tanda kenangan mereka setelah melawat Jame‘ ini.

Dalam perkara ini pihak Jame‘ bercadang untuk membuat cenderahati dengan menggunakan kewangan Jame‘ (tabung masjid) sendiri. Cenderahati berkenaan akan dijual kepada para pelawat berkenaan dan hasil keuntungan penjualan akan dimasukkan semula ke dalam tabung Jame‘.

Apakah perkara ini boleh dilaksanakan dan apakah hukum bagi perkara ini?

Jawapan: Hukum berjual beli di dalam masjid adalah makruh. Demikian pendapat Imam an-Nawawi dalam al-Majmû‘ katanya:

Ertinya: Makruh bertengkar-tengkar dalam masjid, mengangkat suara dan melaungkan suara kerana mencari barang yang hilang dalam masjid, demikian juga (makruh) berjual beli, serta membuat kontrek upah mengupah dan lain-lain seumpamanya dalam perkara ‘aqad (kontrek). Inilah qaul (pendapat) yang shahîh lagi masyhur. (Al-Majmû‘: 2/203)

Adapun dalil makruh berjual beli dalam masjid, berdasarkan hadits menurut riwayat at- Tirmidzi:

Maksudnya: Jika kamu melihat ada orang berjual atau membeli dalam masjid, maka kamu katakan kepadanya: “Allah tidak akan memberi untung ke atas perniagaan kamu”. Dan jika kamu melihat ada orang berteriak-teriak mencari barang tercicir (hilang), maka kamu katakan kepadanya: “Allah tidak akan mengembalikan (atau memulangkan) barang kamu yang hilang itu.” Hadits hasan.

Daripada ‘Amr bin Syu‘ib daripada bapanya daripada datuknya:

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melarang berjual dan membeli dalam masjid, berteriak mencari barang tercicir (hilang) dalam masjid dan melagukan syair. (Hadits riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan an-Nasa’i. Berkata at-Tirmidzi: Hadits hasan)

Berdasarkan keterangan Imam an-Nawawi di atas, makruh menjual kad mesin penggambar dalam masjid kerana perbuatan itu masih dalam lingkungan berjual beli juga.

Mengenai dengan soalan kedua, iaitu menjual cenderamata kepada pelawat Masjid Jame‘ masih berbangkit juga hukum berjual beli di dalam masjid seperti yang dijelaskan di atas.

Adapun cenderamata dengan dimodali atau diambil sumber kewangannya daripada tabung masjid, akan membabitkan hukum menggunakan kewangan tabung masjid berdasarkan ‘urf atau kebiasaan atau peraturan-peraturan yang berjalan mengenai penggunaan wang tabung masjid itu.

Memodali atau menggunakan wang daripada tabung masjid tidaklah akan terlepas daripada risiko untung rugi, yakni kemungkinan untung atau rugi. Sekiranya rugi tentulah akan menjejaskan maksud penderma-penderma yang menderma kepada tabung masjid, iaitu andainya wang tabung masjid itu datangnya daripada orang ramai. Adapun jika sumber kewangan tabung masjid daripada peruntukan Kerajaan, maka tertakluk pula penggunaannya berdasarkan peraturan kewangan Kerajaan.

Memodali atau menggunakan wang tabung masjid hendaklah mengambil kira niat orang-orang yang berderma.

Adalah susah untuk mengetahui niat orang berderma melainkan dirujukkan kepada ‘urf atau kebiasaan. Adapun kebiasaan bagi wang tabung masjid itu tidaklah digunakan untuk sesuatu projek perniagaan atau diperniagakan. Kemungkinan kebiasaan ini berlainan bagi Jame‘ ‘Asr Hassanil Bolkiah, jika dibandingkan dengan lain-lain masjid kerana Jame‘ ‘Asr ini telah menjadi tarikan pelancong dan pelawat.

Melihat kepada ‘urf, bahawa wang-wang yang didermakan kepada masjid-masjid itu pada kebiasaannya tidaklah dijadikan modal bagi sesuatu projek seperti membuat cenderamata. Demikian juga susah untuk dijamin rancangan membuat cenderamata itu tidak berisiko, yakni boleh terdedah kepada kerugian atau lain-lain yang sukar didetilkan berhubung dengan hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan. Jadi berasaskan ini, adalah wang tabung Masjid Jame‘ itu lebih selamat atau diyakini lebih selamat dengan ia tidak diusik untuk digunakan bagi projek membuat cenderamata seperti yang dimusykilkan itu.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7941