Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳العقيدة

Kalimah dan Angka di Bingkai Gambar

Soalan: Unit Kawalan Akidah dan Syar‘iah telah menerima aduan daripada orang awam berhubung dengan frame yang mengandungi kalimah dan angka-angka.

Perkara ini telah dirujukkan kepada Bahagian Penapisan dan Kawalan Terbitan Pusat Dakwah Islamiah. Berdasarkan hasil penyemakan itu didapati kedua-dua buah frame tersebut tiada halangan untuk diluluskan. Walau bagaimanapun bahagian berkenaan mencadangkan agar perkara tersebut dirujukkan ke Jabatan Mufti Kerajaan Brunei Darussalam dari segi penggunaannya.

Sehubungan dengan itu bahagian ini memohon kerjasama daripada Jabatan Tuan untuk meminta pandangan daripada Yang Dimuliakan Pehin Mufti mengenai perkara tersebut.

Jawapan: Dua frame yang diminta pandangan itu:

(i) Mengandungi kalimat basmalah dan nama-nama yang tidak dapat dikenali dan dipastikan secara tepat siapa orangnya, akan tetapi ianya seperti nama-nama sebahagian sahabat, umpamanya سعد dan صفوان dan selepas setiap nama-nama itu, ditulis pula do‘a رضىَللاَعنه seperti سعدَرضىَللاَعنه. Biasanya membubuh رضىَللاَعنه menunjukkan seseorang itu mempunyai kedudukan dan martabat yang mulia. Setelah memerhatikan tulisan ini, maka tidaklah ianya suatu yang dilarang.

(ii) Frame yang satu lagi mengandungi kalimat-kalimat suci dan angka-angka. Ia semacam wafaq. Akan tetapi tidak jelas tujuannya. Wafaq tidak dilarang, jika tujuannya bagi perkara-perkara yang harus, melainkan jika digunakan untuk meminta dengan wafaq itu sesuatu tujuan yang haram, maka haram pula hukumnya kerana wafaq yang sedemikian dianggap sebagai ilmu sihir.

Dalam al-Fatâwâ al-Hadîtsah oleh asy-Syaikh Ibnu Hajar al-Haitami al-Makki, ketika menjawab apakah hukum wafaq itu, beliau berkata: “Bahawa ilmu wafaq dirujukkan kepada munasabah angka-angka tertentu dan menjadikannya bentuk tertentu, seperti dengan bentuk yang terdiri daripada sembilan rumah (ruang). Jumlah angka daripada setiap penjuru pula ada 15. Wafaq seperti ini berguna bagi menyampaikan hajat, membebaskan orang yang terkurung, mudah melahirkan anak dan yang seumpamanya.”

Al-Ghazali Rahimahullâh mengambil berat tentang wafaq sehingga ianya dibangsakan kepada beliau. Wafaq tidak haram jika dipergunakan untuk perkara yang harus, tetapi jika dipergunakan untuk yang haram adalah haram dan pada yang kedua inilah ditanggungkan pendapat al-Qarafi mengatakan wafaq itu sihir.” Tamat katanya.

Oleh kerana wafaq yang dikemukakan sebagaimana yang diminta pandangan itu tidak jelas tujuan dan maksudnya, maka tidaklah dapat diberikan apa-apa pandangan yang tepat mengenainya, namun sesuatu wafaq tidak dilarang, jika tujuannya bagi perkara-perkara yang harus. Tegasnya tujuan wafaq itu menentukan hukum, termasuk juga haram jika tujuannya haram.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7945