Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳المعاملات المالية

Masjid Terima Sumbangan Daripada Bank

Soalan: Bolehkah masjid menerima sumbangan peralatan daripada bank conventional?

Jawapan: Bank-bank conventional pada lazimnya tidak sunyi daripada bermuamalat secara riba, terutama dalam soal pinjam-meminjam. Riba itu haram dalam Islam berdasarkan al-Qur’an dan hadits. Namun demikian bank conventional juga bermuamalat dengan perkara-perkara yang dibenarkan oleh syara‘ seperti mengendalikan tukaran wang asing, perkhidmatan pengiriman wang, upah menyimpan harta benda dan lain-lain seumpamanya.

Apabila kedudukan sesebuah bank conventional seperti di atas, bermakna bank memiliki harta yang bercampur-campur daripada sumber yang haram dan yang halal. Mungkin susah untuk membezakan di antara kedua-duanya.

Mengenai harta yang haram, para jumhûr ulama mengharuskan boleh dibelanjakan wang haram bagi mashlahat umat Islam berdasarkan hadits yang dibawakan oleh al-Ghazali dalam kitabnya Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn di bawah tajuk ‘Halal Haram’ dan al-Iraqi telah mengeluarkan hadits daripada al-Imam Ahmad dengan sanadnya yang bagus, daripada ‘Aisyah Radhiallâhu ‘anhâ katanya:

Maksudnya: Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dihadiahkan seekor kambing panggang. Aku (‘Aisyah) mengatakan kepada Baginda, bahawa daging itu haram, Nabi pun tidak memakannya, (sebaliknya) memerintahkannya supaya diberikan. Baginda bersabda: “Beri makan kambing panggang itu kepada orang-orang tawanan.

Mengenai dengan faedah bank atau wang bunga ada maklumat mengatakan, sebahagian daripada orang-orang Islam yang menyimpan wang di bank conventional tidak mahu mengambil faedahnya (bunganya) untuk diserahkan kepada Baitul-mal, sedangkan bank yang berkenaan ada menyediakan dana khas hasil daripada wang bunga yang tidak diambil itu untuk diberikan atau disumbangkan kepada badan-badan ‘Kebajikan’. Badan-badan kebajikan itu umumnya terdiri daripada badan-badan yang bermatlamat ‘missionary’ atau bermatlamat pengembangan agama Kristian. Badan-badan missionary ini biasanya bergiat di negara Islam atau dalam masyarakat Islam.

Jika dakwaan atau ‘cakap-cakap’ ini benar, di mana wang-wang bunga penyimpan yang terdiri daripada orang Islam diambil bagi maksud pengkristianan atau menyelewengkan aqidah serta memfitnah orang-orang Islam tentang agama mereka, maka tanpa disedari orang-orang Islam yang tidak mahu mengambil bunga atau faedah kerana simpanan mereka itu telah membantu dalam perkara-perkara dosa pengkristianan atau apa jua tujuannya untuk menggugat aqidah orang-orang Islam. Oleh kerana itu, mereka ambil bunga atau faedah simpanan itu dan diserahkan kepada Baitul-mal dan harus diterima sumbangan daripada mana-mana bank conventional untuk kegunaan masjid seperti peralatan hawa dingin dan lain-lain kepentingan masjid dan kepentingan umat Islam secara umumnya.

Khas mengenai wang bunga diberikan kepada masjid, Allahyarham al-‘Allâmah Datuk Sayyid ‘Alwi bin Thahir al-Haddad Mufti Kerajaan Johor telah menjawab:

“Seperti harta yang tersebut itu hendaklah terlebih dahulu diserahkan kepada Baitul-mal atau diserahkan kepada beberapa orang yang amanah dipercayai supaya dibelanjakan untuk mashlahat Islam. Jika wang itu telah diserahkan dan telah diterima penyerahan yang tersebut barulah harta itu jadi halal dan boleh dibelanjakan kerana berbagai-bagai faedah masjid dan lain-lainnya.” [Fatwa Mufti Kerajaan Johor Penggal Pertama: 245]

Allahyarham Yang Dimuliakan Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Awang Ismail bin Umar ‘Abdul Aziz, Mufti Kerajaan Brunei apabila ditanya mengenai dengan bunga daripada bank kerana digunakan bagi mashlahat masjid, Allahyarham Pehin menjawab:

“Kata ulama bahawa bunga bank itu suatu harta yang tiada diketahui pada adat siapa yang punya, dari itu hukum bunga bank itu kembali kepada Baitul-mal orang Islam, dan jika Jawatankuasa Pembinaan Masjid Jame’ Sengkurong itu berhajat pada menunaikan mashlahat-mashlahat masjid itu, bolehlah ia gunakan pada mashlahat-mashlahat masjid itu.”

Adapun Jabatan Hal Ehwal Masjid yang mengendalikan urusan-urusan masjid untuk kepentingan orang Islam boleh dianggap sebagai pihak yang dipercayai dapat menentukan kepentingan atau kemashlahatan sesuatu sumbangan itu, sebagaimana juga kedudukan jawantankuasa masjid yang disebutkan dalam fatwa-fatwa yang berkenaan di atas.

Apabila bank conventional memberikan sumbangan sesuatu kepada masjid seperti peralatan hawa dingin dan seumpamanya bagi kepentingan jemaah masjid, maka tindakan bank berkenaan hanyalah sebagai penyampai atau sebagai penyalur untuk menyerahkan harta yang syubhah tadi kepada pihak orang-orang Islam.

Maka berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas adalah harus bagi Jabatan Hal Ehwal Masjid menerima sumbangan peralatan dan lain-lain seumpamanya daripada mana-mana bank conventional untuk digunakan atau dipakai dan akan dipasang di masjid atau di mana-mana tempat yang mempunyai kepentingan orang-orang Islam.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7949