Pembinaan Bangunan Tambahan Sekolah Misi
Soalan: Dengan penuh hormat dihadapkan satu set pelan diterima daripada pemohon mengenai pembinaan bangunan pentadbiran tambahan sebuah sekolah misi.
Sebelum memberi kebenaran ke atas cadangan membina bangunan tambahan tersebut, dipohonkan pandangan atau hukum-hakam daripada Pehin mengenainya.
Jawapan: Secara umumnya fungsi sekolah ialah tempat untuk belajar dan mengajar atau tempat menerima dan memberi pelajaran dan ilmu pengetahuan.
Sekolah agama atau sekolah misi atau yang seumpamanya mempunyai fungsinya yang khusus di samping mengajarkan mata pelajaran akademik. Di dalam Islam pembahagian ilmu ini disebut ilmu fardhu ‘Ain dan ilmu fardhu Kifayah.
Jadi, apa juga jenis sekolah yang berorientasikan keagamaan atau fahaman ideologi mestilah mempunyai salah satu daripada tujuannya iaitu memperkenal dan menanamkan fahaman keagamaan atau fahaman ideologi itu. Sementara pra-syarat yang lain seperti umur, terpulanglah kepada institusi sekolah atau negara untuk menetapkan tahap umur, bila hendak memulakan pelajaran agama atau fahaman keagamaan itu.
Bagi sekolah agama, sebahagian mata pelajarannya elok diajarkan di peringkat umur kanak-kanak lagi. Umpamanya pelajaran sembahyang yang asas, hendaklah diajarkan untuk dikerjakan pada peringkat umur tujuh tahun kerana kanak-kanak itu disuruh mengerjakan sembahyang ketika peringkat umur itu.
Salah satu tabiat kanak-kanak ialah mudah menerima apa yang dilihat, didengar dan dipelajarinya tanpa menilai di antara yang hak dan bathil. Sebab itu, apabila ibu bapa atau penjaga itu ingin mencorakkan kehidupan dan peribadi anak mereka dengan lebih berkesan, maka masa yang paling sesuai ialah sewaktu kanak-kanak itu masih kecil lagi.
Sebenarnya kanak-kanak dilahirkan dalam keadaan fitrah (bersih) dan menerima segala apa jua bentuk didikan yang didedahkan kepada mereka, walaupun pada dasarnya kanak-kanak itu condong kepada yang hak (Islam). Ini sesuai sebagaimana sabda Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu beliau berkata: “Telah bersabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Setiap anak yang baru dilahirkan itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih dan condong pada agama yang benar iaitu Islam). Maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nashrani atau Majusi sebagaimana seekor binatang ternak yang dilahirkan dalam keadaan sempurna, adakah kamu melihat (dapati) padanya kecacatan?” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Maka dari sini, kita melihat bahawa peranan ibu bapa atau penjaga adalah besar terutama dalam memberikan didikan yang terbaik kepada anak-anak mereka. Buruk dan baik ‘keulahan’ dan peribadi seorang anak itu banyak bergantung kepada bagaimana ibu bapa atau penjaga itu memberikan corak didikan kepada mereka. Tidak dinafikan, jika berlaku kepincangan di dalam diri anak itu, akan kembali sebab utamanya kepada ibu bapa atau penjaga anak itu. Dengan kata lain, para ibu bapa atau penjagalah yang pertama sekali yang harus dipertanggungjawabkan kerana tugas tersebut adalah tanggungjawab utama mereka sebagaimana firman Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dalam surah at-Tahrîm, ayat 6:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu (berhala). (Surah at-Tahrîm: 6)
Menurut para ulama tafsir, bahawa memelihara keluarga daripada api neraka itu ialah dengan cara mengajar dan mendidik mereka dengan perkara-perkara kebajikan serta menyuruh melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah dan menegah apa yang dilarang oleh Allah. (Lihat Tafsîr Ibn Katsir: 7/58, ad-Durr al-Mantsûr fî at-Tafsîr al-Ma’tsûr: 8/224)
Memberi didikan yang formal kepada anak-anak dengan menghantar mereka ke sekolah-sekolah adalah suatu keperluan yang menjadi tanggungjawab ibu bapa atau penjaga. Tetapi perlu diingat, di sekolah manakah mereka itu hendak dipersekolahkan? Lebih-lebih lagi, mereka ini adalah anak kecil yang belum begitu faham dan matang terhadap agama Islam dan juga situasi ibu bapa atau penjaga sekarang yang tidak banyak meluangkan masa bersama anak-anak mereka dengan alasan terlalu sibuk dengan kerjaya mereka.
Sebahagian ibu bapa atau penjaga terlalu mementingkan reputasi akademik sesebuah sekolah dalam memilih sekolah bagi anak-anak mereka, tanpa memikirkan kesan sampingan yang akan dihadapi oleh anak mereka dalam hal aqidah. Akibatnya, anak-anak itu sangat kurang maklumat atau pengetahuan mengenai Islam. Mereka hanya Islam pada nama sahaja tetapi dari segi perbuatan, perkataan, perwatakan dan sikapnya tidak menggambarkan mereka sebagai seorang Muslim yang beriltizâm kepada agamanya.
Jangankan anak yang kecil, orang dewasa pun banyak yang boleh terpesong aqidah tanpa disedari apabila selalu diberi dan ditanamkan dengan fahaman-fahaman yang salah.
Orang Islam mesti berjaga-jaga dalam perkara yang sedemikian kerana ini bukan sahaja akan menjejaskan aqidah anak-anak mereka tetapi juga aqidah ibu bapa atau penjaga. Masalah remaja sekarang mempunyai kaitan dengan pendidikan yang mereka terima, terutama pendidikan dan asuhan rumah tangga.
Kita sebutkan perkara ini supaya akan jelas, apakah peranan atau fungsi sekolah misi itu dan kaitannya dengan hukum menambah bangunan pentadbiran sekolah berkenaan. Sekolah misi itu berorientasikan agama sama ada secara langsung atau tidak. Hukum membangun atau menambah sekolah misi tidak banyak bezanya dengan membangun atau menambah gereja, sebab kedua-dua fungsinya mempunyai banyak persamaan dalam mencapai matlamatnya, hanya bezanya gereja menerapkan ajarannya secara langsung dan sekolah menerapkan ajarannya dengan cara tidak langsung. Tetapi yang jelas kedua-duanya mempunyai hubungan yang rapat, sebab itu terdapat gereja yang dibina berhampiran atau pun di dalam kawasan sekolah. Jika demikian, peranan sekolah misi itu adalah jelas iaitu mengembangkan fahaman agamanya. Dalam memperkatakan sekolah misi ini, Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, Mufti Kerajaan Brunei pernah menulis dalam fatwanya bilangan 40/77, dalam perkara “Membangun Sekolah Mission”, antaranya:
Hukum Orang-orang yang Menolong Pada Mengembangkan Kristian dan Kebudayaan Kristian
Orang-orang yang suka dan redha ajaran Kristian itu diajarkan kepada kanak-kanak dan budak-budak Islam, maka orang itu orang murtad keluar daripada agama Islam, kerana dengan menolong itu maka dia telah membohongkan Allah dan RasulNya yang mengatakan Kristian agama yang salah dan ia mengatakan Kristian itu betul.
Orang-orang yang menolong dan memudahkan dengan menggadaikan tanah walaupun dengan dijual maka orang-orang itu terkeluar daripada agama Islam bagaimana kata Mufti Kerajaan Johor kerana memberi kemudahan itu bahawa agama kufur itu dapat berkembang dan membawa orang-orang pada kufur dan agama Islam menjadi lemah dan Kristian jadi kuat dan orang itu terfasakh nikahnya daripada isterinya. Jika ia tiada balik semula ke dalam Islam dengan mengucap dua kalimah syahadat dengan hatinya ingkarkan apa yang diredhakan itu, jika ia tiada kembali ke dalam Islam maka ia senantiasa berzina dengan isterinya dan anak yang dapat masa murtadnya anak zina. Jika ia mati dalam murtad maka tiada boleh disembahyangkan dan tiada boleh ditanam mayatnya di perkuburan Islam kerana kubur Islam kerana orang Islam kerana waqaf mayat orang Islam, padahal dia bukan orang Islam dan hartanya menjadi fai’ dan harta Baitul-mal dan bangkainya boleh dicampakkan supaya dimakan oleh anjing dan binatang buas tetapi jika bangkainya itu menyusahkan orang Islam dengan baunya maka boleh ditimbus.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Kamu tiada dapati orang-orang Islam yang beriman kepada Allah dan beriman dengan Hari Kiamat sayang dan kasih kepada orang yang menyalahi akan Allah dan rasulNya sekalipun orang-orang yang menyalahi Allah dan rasulNya itu bapa-bapa mereka atau anak-anak laki-laki mereka atau kerabat-kerabat mereka atau bangsa dan kaum mereka. (Surah al-Mujâdalah: 22, dari al-Jalalain,al-Baidhawi dan al-Ashfahani)
Yakni zahir ayat ini Allah telah menyaksikan bahawa orang yang sayang dan kasihkan orang-orang yang menyalahi dan membantah Allah dan RasulNya pada hukum-hukumNya itu maka orang-orang itu bukan orang Islam, mereka orang-orang murtad keluar daripada agama Islam.
Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Barang siapa membuat sesuatu perkara yang baik dalam Islam, maka ia dapat pahala perbuatannya itu dan ia juga dapat pahala orang yang membuat perkara yang baik yang dibuatnya itu kemudian daripadanya, dengan tiada kurang sesuatu pahala yang diuntukkan bagi mereka, dan barang siapa membuat sesuatu perkara yang jahat dalam Islam, maka dia dapat dosa di atas perbuatan jahatnya itu dan ia juga dapat dosa perbuatan orang yang membuat perbuatan jahatnya itu kemudian daripadanya, dengan tiada kurang sesuatu dosa mereka, yakni orang-orang itu menanggung dosa kufur dan fâsiq kanak-kanak Islam itu untuk selama-lamanya. (Hadits riwayat Muslim)
Beliau menulis lagi:
Apa Jua Perbuatan Sekolah Mission Hanya Tujuan Mengembangkan Kristian
Pihak sekolah mission itu dan dengan apa jua ia bernama dan menggelarkan dirinya adalah suatu badan bertujuan mengembangkan agama Kristian dan kebudayaan Kristian di negeri-negeri sebelah timur ini sama ada dengan jalan pelajaran atau ceramah atau risalah atau majalah atau buku atau melalui sekolah-sekolah atau persatuan-persatuan atau rumah-rumah orang tua, rumah-rumah orang cacat atau klinik atau hospital-hospital atau asrama-asrama dan lain-lain macam cara lagi yang mereka fikir sesuai bagi menarik orang-orang jinak ke pihak ajaran Kristian dan kebudayaan Kristian itu menurut keadaan sesuatu tempat dan suasana dan masa. Apa jua rumah atau bangunan didirikan oleh mereka ialah bertujuan mengembangkan Kristian.
Saya tulis ini berdasarkan daripada surat-surat dari sekolah mission itu sendiri dan surat terakhir dari sekolah mission itu bertarikh 25hb. Oktober, 1977 dan dari surat Pesuruhjaya Tanah Brunei dan dari buku bacaan saya dan dari fatwa al-‘Allâmah Mufti Johor dan dari kitab-kitab fiqh Islam, Wallâhu A‘lam. Tamat katanya.”
Manakala dalam fatwa Mufti Kerajaan Johor bilangan 125/11 yang difatwakan oleh al- ‘Allâmah as-Sayyid ‘Alwi bin Thahir al-Haddad sewaktu menjawab pertanyaan Pejabat Ugama Brunei dalam surat bilangan 26 dalam 11/54 bertarikh 13hb. Mac 1958, antara lain beliau berkata:
“Adapun perubahan-perubahan cara setengah-setengah mission pengembang Kristian itu kepada cara-cara pelajaran ilmu pengetahuan dan kebudayaan telah saya dapati rahsia-rahsianya dan keterangan-keterangannya yang sangat mustahak di dalam sebuah buku yang disalin daripada seratus buah buku yang ditulis oleh pakar-pakar pengembang Kristian itu sendiri dan penolong-penolongnya. Setelah diadakan beberapa kongres dan perundingan, semuanya sepakat mengatakan bahawa mengembangkan Kristian dengan cara berterang-terang itu tidak mendatangkan natijah melainkan sangat kecil dalam golongan orang-orang Islam. Dari sebab itu mereka telah menetapkan perubahan cara menyeludupkan ajaran-ajaran Kristian itu dalam buku-buku pelajaran dan ilmu pengetahuan dan didikan hingga dalam buku-buku kedoktoran dan keinjiniaran (engineering) apatah lagi di dalam buku-buku kebudayaan, kesusasteraan dan lain-lain siaran di masa sekarang.
Dalam buku yang telah saya sebutkan itu didapati fikiran-fikiran, syarahan-syarahan, pidato-pidato pengembang Kristian. Mereka sepakat mengubah cara-cara mengembangkan Kristian itu daripada cara berterang-terang dengan cara didikan menyeludupkan ajaran-ajaran itu ke dalam buku-buku pelajaran dan lainnya. Buku yang disebarkan itu saya boleh tunjukkan nama buku itu kepada siapa yang hendak tahu bila-bila masa juga.
Tempat-tempat yang mustahak pengembang-pengembang Kristian itu menaruh racun-racun Kristian itu ialah dalam buku-buku tarikh. Mereka tidak sebutkan dalam buku-buku tarikh itu orang-orang Islam yang masyhur di Timur Jauh dan Tenggara Asia dan begitu juga orang-orang Islam yang masyhur di Timur Tengah, tetapi mereka hanya menyebutkan orang-orang masyhur Barat. Kalau pun mereka sebutkan junjungan kita Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, maka mereka sebutkan tohmah-tohmah dan bidasan-bidasan karut atas Baginda, al-Qur’an dan agama Islam.”
Jika buku-buku yang telah disebutkan itu telah pun sampai kepada anak bangsa kita yang berada di sekolah-sekolah kerajaan atau telah pun termasuk di dalam kurikulum pendidikan negara, apatah lagi akan halnya dengan sekolah-sekolah swasta atau misi yang di bawah pentadbiran mereka di negara ini, maka tentulah lebih mudah lagi bagi mereka menanamkan fahaman-fahaman mereka itu, terutama kepada kanak-kanak kecil yang pergi bersekolah di tempat itu.
Dalam satu lagi fatwa yang dikeluarkan oleh Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz bilangan 41/72 dalam perkara mohon tanah bagi sekolah Cina dan sekolah mission, beliau berkata:
“Tiada harus bagi kita orang Islam menolong orang pada berbuat maksiat dan haram di atas kita berbuat begitu.
Maka tiadalah sunyi di dalam sekolah Cina itu mengajar perkara kufur dan menyekutukan Allah Subhânahu wa Ta‘âlâ dan adab-adab dan perkara yang berlawan dengan ajaran Islam dan menghapuskan Islam.
Sekolah mission tujuannya menyebarkan ajaran Kristian dan adab Kristian dan amal Kristian dan kepercayaan dan agama Kristian, maka semuanya berlawan dengan Islam dan semuanya maksiat pada pandangan Islam dan kufur kepada Allah Ta‘ala.
Orang yang redha dan sukakan kufur dan menyekutukan Allah itu dikerjakan, adalah ia murtad keluar daripada agama Islam, kerana ia redhakan kufur dan bererti ia mendustakan agama Islam dan keesaan Allah Ta‘ala. Dan redhakan sesuatu maksiat yang bukan kufur dan meyekutukan Allah adalah dusta dan maksiat dan derhaka kepada Allah Ta‘ala.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Surah al-Mâ’idah: 2)
Perkara yang telah lepas yang tiada dalam kuasaan kita, tiadalah kita dapat berbuat apa-apa jika kiranya mendatangkan kesusahan dan fitnah kiranya diubah, حافحعَََُِّل اَمَّاحعََحلحفحس.
Diberi kepada mereka layanan biasa yang diberi oleh Islam dan aturan antarabangsa iaitu mereka dibiarkan membuat perkara-perkara yang dipandang mereka halal pada mereka itu seperti menyekutukan Allah, makan babi, minum arak, salib, raya-raya mereka dengan tiada menzahirkan perkara-perkara itu kepada umat Islam.
Mereka boleh beli tanah-tanah dan seumpamanya, tetapi memberi tanah kerajaan atau memberi tanah mawât tiadalah dibenarkan dalam Islam. Wallâhu A‘lam.” Tamat katanya.
Melihat kepada peranan sekolah mission yang telah pun dikenal pasti itu dan hukum yang berkaitan dengannya, maka ia tidak banyak berbeza dengan peranan gereja atau rumah-rumah ibadat yang lain dari segi menyerapkan dan mengembangkan aqidah yang bertentangan dengan ajaran Islam. Sehubungan dengan itu, ada baiknya kita nukilkan secara ringkas, kesimpulan daripada perkataan ulama-ulama mu‘tabar mengenai dengan kedudukan gereja atau rumah-rumah ibadat yang lain di dalam negeri Islam seperti:
1. Abu al-Hasan ‘Ali bin Muhammad bin Habib al-Mawardi al-Bashri. 2. Al-Imam Abu Ishak asy-Syiraji. 3. Al-Imam Abu Zakaria Yahya Syarf an-Nawawi. 4. Asy-Syaikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khathib asy-Syarbini. 5. Al-Imam al-Âlim al-‘Allâmah al-Auhad al-Fahâmah Khâtimah al-Muhaqqiqîn Syihabuddin Ahmad ibnu Hajar al-Haitami asy-Syafi‘i.
Negeri yang di bawah pemerintahan orang Islam itu terbahagi kepada dua:
1. Negeri yang dibangunkan oleh orang Islam seperti Baghdad, Kufah dan Bashrah.
Maka tidak boleh sama sekali bagi ahli dzimmah mendirikan gereja, biara, rumah rahib dan seumpamanya di dalamnya, walaupun telah dibuat perjanjian dengan mereka untuk membenarkan mereka membinanya, perjanjian itu dengan sendirinya terbatal. Akan tetapi jika ianya telah sedia ada sebelum tempat itu dibangunkan oleh orang Islam, tidaklah dirobohkan kerana kemungkinan ia dibina di kawasan mereka dahulu. Tetapi jika diketahui pembinaannya itu berlaku selepas orang Islam membangunkan tempat itu, maka ia boleh dirobohkan.
2. Negeri yang tidak dibangunkan oleh orang Islam tetapi di bawah kekuasaan orang Islam.
Jika penduduknya memeluk agama Islam seperti Madinah dan Yaman, maka hukumnya seperti hukum negara yang dibangunkan oleh orang Islam. Jika penduduk negeri itu tidak memeluk Islam, maka ia terbahagi kepada dua:
i. Kawasan yang dibuka dengan jalan kekerasan:
Jika di kawasan itu tidak terdapat gereja, biara dan yang seumpamanya atau ada terdapat di dalamnya, tetapi telah roboh atau dirobohkan oleh orang Islam sewaktu pembukaan kawasan itu atau selepasnya, maka tidak boleh bagi mereka meng‘imârahkannya semula atau membina gereja, biara dan yang seumpamanya di kawasan itu.
ii. Kawasan yang dibuka dengan jalan perdamaian. Ini terbahagi kepada dua juga:
(a) Kawasan yang tanah itu menjadi milik orang Islam dan mereka (orang-orang dzimmi) tinggal bersama orang-orang Islam di dalamnya dengan dikenakan jizyah.
Maka harus diterima, jika mereka mensyaratkan supaya gereja, biara atau yang seumpamanya dikekalkan seperti jika mereka membuat perjanjian damai dengan mensyaratkan tapak tanah gereja atau biara atau yang seumpamanya adalah milik mereka dan selain daripada itu adalah milik orang Islam.
Begitu juga adalah harus diterima jika mereka mensyaratkan untuk membina gereja atau biara dan seumpamanya. Demikian pendapat ar-Rauyani dan ulama selainnya. Tetapi al-Mawardi menjelaskan adalah ditegah bagi mereka membinanya. Manakala az-Zarkarsyi pula berpendapat bahawa perkara ini tertakluk kepada keperluan. Jika tidak diperlukan maka tidaklah boleh dibenarkan.
Jika di dalam perjanjian damai itu mereka tidak menyebutkan apa-apa yang berkenaan dengan gereja atau yang seumpamanya, maka tidak dikekalkan rumah-rumah ibadat mereka itu mengikut pendapat yang ashah.
(b) Kawasan yang menjadi milik mereka dan mereka membayar jizyah atau kharaj atau kedua-duanya sekali.
Maka ditetapkan gereja, biara atau seumpamanya yang ada di kawasan itu dan tidak ditegah mereka daripada membangun gereja, biara dan seumpamanya di dalamnya menurut pendapat yang ashah kerana kawasan tanah itu menjadi rumah dan milik mereka sendiri.
Untuk lebih jelasnya, kita bawakan dalil-dalil yang melarang pembinaan gereja atau rumah-rumah ibadat di kawasan orang Islam:
i. Diriwayatkan oleh Ahmad bin ‘Adiy daripada ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu, sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tidak dibina gereja di dalam (negara) Islam dan tidak dibangun semula apa yang dirobohkan daripadanya.
ii. Diriwayatkan oleh al-Baihaqi bahawa Sayyidina ‘Umar Radhiallâhu ‘anhu membuat surat perjanjian dengan orang-orang Kristian negeri Syam. Beliau menulis dalam perjanjian itu:
Ertinya: Sesungguhnya mereka tidak akan mendirikan dalam negeri mereka dan sekeliling negeri mereka rumah kediaman paderi dan rahib (convent atau abbey), dan tidak (juga) gereja, dan tidak (juga) tempat pertapaan paderi (cell atau hermitage).
Khabar ini juga telah diriwayatkan oleh Ibnu Abu Syaibah daripada Ibnu ‘Abbas dan tidak ada seorang sahabat pun yang menyalahi kedua-duanya (‘Umar dan Ibnu ‘Abbas Radhiallâhu ‘anhum).
iii. Berkata al-Imam asy-Syafi‘i Rahimahullâhu Ta‘âlâ di dalam kitab Mukhtashar al- Muzani:
Ertinya: Dan jangan mereka membangun di kawasan- kawasan (orang) Islam gereja dan tidak (juga) tempat perkumpulan untuk mereka mengerjakan ibadat dan jangan mereka menzahirkan membawa arak dan memasukkan babi di kawasan orang Islam. [Lihat al-Hâwi al-Kabîr: 14/320, kitab al-Majmû‘ Syarh al-Muhadzdzab li asy-Syiraji: 21/334-336, Raudah ath-Thâlibîn li an-Nawawi: 15/323-324, Mughnî al-Muhtâj li asy- Syarbini: 4/318-319 dan Tuhfah al-Muhtâj li ibn Hajar: 9/293].
Berdasarkan kepada kedudukan Negara Brunei Darussalam dari segi realiti sejarahnya bahawa ia telah dibangun oleh orang-orang Islam dan bukanlah ia negara yang dibuka dengan jalan perdamaian di antara ahli dzimmah atau pendatang Islam dan tidak juga dahulunya ia milik ahli dzimmah lalu dibuka dengan kekerasan, maka atas asas ini tidaklah harus dan tiada tempat bagi gereja dalam negara ini. Namun begitu apabila wujud gereja-gereja di negara ini seperti yang ada sekarang, yang dibangun oleh orang-orang yang terdahulu sama ada kerana tiada kuasa atau ketiadaan authoriti orang-orang Islam pada ketika itu untuk menghalang pembinaan gereja atau kerana taqshîr dan cuai atau lupa kerana kurang penyebaran di kalangan orang-orang Islam pada ketika itu tentang hukum-hakam mengenai pembinaan gereja atau ada sebab-sebab lain, maka saya sependapat dengan Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz bahawa gereja dan sekolah-sekolah misi yang ada setakat sekarang dibiarkan kerana perkara itu telah berlalu dan di luar kekuasaan kita ketika itu. Semoga Allah memaafkan perkara yang telah lalu itu, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Baqarah, ayat 286:
Tafsirnya: (Mereka berdo‘a dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami serta ampunkan dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami. Oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum kafir.”
Sebenarnya apabila orang-orang Islam tidak membenarkan wujud rumah-rumah ‘ibadat’ bukan Islam di negara Islam atau membesarkan rumah-rumah ibadat mereka yang ada sekarang atau yang seumpamanya, tindakan itu semata-mata bersandarkan kepada hukum agama Islam jua. Hukum agama itu suatu tuntutan yang ada nilai dosa dan pahala, bahkan dalam setengah perkara ia menyangkut persoalan aqidah yang boleh menjejaskan keimanan individu itu dalam memberi kebenaran kepada perkara maksiat. Oleh kerana itu, apabila orang-orang Islam tidak membenarkan pembinaan rumah-rumah ibadat bukan Islam, maka itu adalah peraturan bersandarkan hukum. Semestinya tiap-tiap negara ada peraturan-peraturannya yang tertentu. Orang luar tidak boleh menjadikannya sebagai ‘isu’ dengan melemparkan berbagai-bagai tohmahan dan tuduhan, seperti hak sesebuah negara menghukum pesalah dadah dengan hukuman mati. Itu adalah hak negara berkenaan mewujudkan akta atau peraturannya sedemikian. Orang luar tidak boleh mengatakan undang-undang itu sebagai undang-undang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Dalam erti kata lain, bahawa itu adalah urusan dan hak sesebuah negara itu.
Sememangnya di dalam al-Qur’an dan hadits telah memperingatkan supaya orang-orang Islam berhati-hati dengan tindak-tanduk orang-orang bukan Islam sama ada mereka itu orang Nashrani, orang Yahudi, orang yang menyembah api, berhala dan seumpamanya.
Orang-orang Islam semestinya mengambil perhatian terhadap ingatan al-Qur’an dan hadits mengenai penentangan agama lain kepada Islam. Penentangan itu akan terus berjalan sampai bila-bila, sama ada kita sedar atau tidak, cuma taktik atau caranya sahaja yang berubah berdasarkan faktor geografi, tempat, bangsa, masa dan lain-lain. Matlamatnya adalah satu, iaitu bagaimana untuk menghancurkan Islam atau bagaimana memadamkan cahaya Islam.
Orang-orang bukan Islam sungguhpun nampaknya semacam berpecah belah sesama mereka atau di kalangan mereka sendiri, tetapi mereka tetap bersatu-padu dalam memenuhi tuntutan matlamat mereka untuk menghancurkan Islam. Inilah hakikat yang dijelaskan oleh Allah.
Tafsirnya: Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir itu tidak suka (akan yang demikian). (Surah at-Taubah: 32)
Sejarah kebencian dan penentangan orang-orang musyrikin, orang-orang Yahudi dan orang-orang Nashrani terhadap Islam dan umat Islam tidak hanya setakat di zaman Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat sahaja, bahkan akan berterusan sehingga ke akhir zaman. Penentangan ini meliputi semua segi, sama ada lisan, tulisan, kekerasan dan sebagainya. Keganasan orang-orang Yahudi di Palestin adalah satu contoh yang masih aktif. Perang Bosnia baru berakhir, namun bahangnya masih terasa. Mungkin banyak lagi keganasan dilakukan terhadap orang-orang Islam yang tidak sampai ke pengetahuan kita.
Perang Salib sehingga sekarang adalah sebahagian daripada catatan sejarah yang menunjukkan permusuhan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nashrani terhadap Islam dan umat Islam.
Di Spain kita pernah melawat sebuah bangunan besar yang masih terpakai ada menyimpan sebuah lukisan lama ukuran besar di ruang ligarnya yang memaparkan pemandangan seorang Islam (mungkin juga ketua askar atau ketua kerajaan) sedang berlutut menyerahkan sesuatu kepada seorang ketua orang Nashrani dengan disaksikan oleh ramai askar-askarnya. Daripada lukisan ini kita dapat mengagak seperti satu upacara penyerahan kuasa (menyerah kalah) orang-orang Islam kepada orang-orang Nashrani sedang berlangsung, iaitu natîjah daripada peperangan Salib itu.
Gerakan-gerakan untuk menghancurkan Islam oleh Zionis, kelab-kelab di bawahnya seperti kelab Lion, kelab Rottery, Komunis hatta fahaman Kapitalis bukan lagi menjadi rahsia.
Taktik pengkristianan pun sudah berubah. Memang tidak banyak yang dapat mereka harapkan untuk orang-orang Islam masuk Kristian. Namun sudah cukup dan memadai bagi mereka untuk menggoncangkan aqidah umat Islam dan melonggarkan iltizâm umat Islam terhadap ajaran agama mereka dengan berbagai-bagai cara, seperti melalui sukan, hiburan, kegiatan badan-badan yang dicap sebagai ‘kebajikan’, bahkan dalam medan-medan perbincangan ilmiah dan akademik. Begitu juga media-media elektronik, majalah-majalah, filem dan sebagainya cukup berjaya untuk mencapai matlamat mereka bagi menggoncangkan aqidah umat Islam dan meninggalkan ajaran-ajaran Islam yang murni.
Peringatan al-Qur’an dan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bukan hanya terhad di zaman Baginda. Bahkan meliputi seluruh zaman hinggalah ke Hari Kiamat.
Selain ayat di atas (surah at-Taubah: 32) Allah memberi peringatan antaranya:
i. Dalam surah Âli ‘Imran, ayat 75:
Tafsirnya: Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang ummi dan mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).
ii. Dalam surah al-Mâ’idah, ayat 82:
Tafsirnya: Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mendapati bahawa orang yang paling memusuhi orang-orang mu’min itu ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik.
iii. Dalam surah al-Baqarah, ayat 120:
Tafsirnya: Dan orang-orang Yahudi dan Nashrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka hati terhadap engkau wahai Muhammad, sehingga engkau menurut agama mereka (yang terpesong itu).
Sikap Islam terhadap kebebasan beragama adalah jelas. Kebebasan yang dimaksudkan itu adalah seperti firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Kâfirûn:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.” (Surah al-Kâfirûn: 1-6)
Di samping itu juga Islam tidak pernah mengamalkan sikap kekerasan terhadap orang bukan Islam agar memeluk agama Islam sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 256:
Tafsirnya: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur).
Firman Allah lagi:
Tafsirnya: Dan katakanlah (wahai Muhammad): “Kebenaran itu ialah yang datang daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman hendaklah dia beriman dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya.” (Surah al-Kahf: 29)
Agama Islam melindungi orang-orang dzimmi atau orang bukan Islam yang tinggal dengan aman di dalam negara Islam seperti perlindungan yang dini‘mati oleh orang-orang Islam sendiri. Nyawa, harta benda, kehormatan dan keluarga mereka menurut syarat-syarat yang tertentu adalah dilarang berbuat kezaliman terhadap mereka. Ini jelas disabdakan oleh Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam sebuah hadits:
Maksudnya: Sesiapa yang menyakiti seseorang dzimmi maka sayalah pendakwanya dan sesiapa yang telah saya dakwa (di dunia ini) nescaya saya akan mendakwanya pula pada Hari Kiamat nanti. (Hadits riwayat al-Khathib al-Baghdadi daripada Ibnu Mas‘ud, hadits hasan - al-Jâmi‘ ash-Shaghîr li as- Sayuthi)
Sabdanya lagi:
Maksudnya: Ketahuilah! Sesiapa yang menzalimi seorang kafir mu‘âhid atau mengurangi (haknya) atau memaksanya melakukan sesuatu di luar kemampuannya atau mengambil sesuatu daripadanya dengan tidak senang jiwanya (hatinya), maka sayalah pendakwanya pada Hari Kiamat”, (sambil) Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam mengisyaratkan jarinya ke dadanya: “Ketahuilah! Sesiapa membunuh seorang kafir mu‘âhid yang baginya (kafir mu‘âhid itu) perlindungan Allah dan perlindungan RasulNya, Allah mengharamkan ke atasnya bau syurga dan sesungguhnya bau syurga itu boleh didapati (dicium) daripada perjalanan tujuh puluh tahun.” (Hadits riwayat al-Baihaqi)
Cara Islam Menghadapi Tentangan Daripada Agama-agama Lain
Apabila agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam diperkenalkan kepada umat manusia, khasnya bangsa Arab pada ketika itu dan lain-lain bangsa di sekitarnya, tentangan yang dihadapi oleh Nabi adalah hebat sekali. Dalam menghadapi tentangan ini, al-Qur’an telah menunjukkan jalan da‘wah yang bijaksana, di samping melakukan jihâd peperangan jika keadaan menghendaki demikian. Jalan kebijaksanaan yang dimaksudkan itu ialah:
i. Melalui jalan perundingan:
Firman Allah dalam surah Âli ‘Imran, ayat 64:
Tafsirnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan di antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah.” Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam.” (Surah Âli ‘Imran: 64)
Firman Allah lagi dalam surah asy-Syûrâ, ayat 15:
Tafsirnya: Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka - wahai Muhammad - kepada beragama dengan betul) serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, sebaliknya katakanlah: “Aku beriman kepada segala kitab yang diturunkan oleh Allah dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Bagi kami amal kami dan bagi kamu amal kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran di antara kami dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada Hari Kiamat) dan kepadaNyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan).” (Surah asy-Syûrâ: 15)
ii. Melalui perbahasan:
Firman Allah dalam surah al-‘Ankabût, ayat 46:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka. Dan katakanlah (kepada mereka) kami beriman kepada (al-Qur’an) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami juga Tuhan kamu adalah satu dan kepadaNyalah kami patuh dan berserah diri. (Surah al-‘Ankabût: 46)
Daripada nash-nash al-Qur’an di atas, telah jelas menunjukkan sikap toleransi agama Islam dan pendirian Islam terhadap kebebasan beragama.
Sesungguhnya agama yang disampai dan diajarkan oleh para nabi-nabi yang dahulu sejak daripada Nabi Adam hingga Nabi kita, Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam termasuk Nabi Musa dan Nabi ‘Isa ‘Alaihimussalâm pada hakikatnya adalah agama yang satu iaitu Islam yang memerintahkan penganut-penganutnya menyerahkan diri kepada Allah yang Tunggal dan melarang mereka daripada menyekutukanNya dengan yang lain. Tetapi dari apa yang jelas diketahui akan keadaan syariat- syariat yang dibawa oleh Nabi Musa dan Nabi ‘Isa ‘Alaihimassalâm atau lebih dikenali lagi dengan panggilan agama Nashrani dan Yahudi ini telah banyak menyimpang jauh daripada ajaran-ajaran Islam yang sebenar akibat perbuatan ketua-ketua agama mereka yang mengubah, menambah dan mereka-reka ajaran-ajaran baru mengikut hawa nafsu mereka. Apa yang paling jelas ialah kekufuran mereka kepada Allah dan pengingkaran mereka terhadap kenabian Nabi Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir yang diutus oleh Allah kepada sekalian manusia. Firman Allah Ta‘ala di dalam surah Saba’, ayat 28:
Tafsirnya: Dan tidaklah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu). (Surah Saba’: 28)
Firman Allah Ta‘ala lagi dalam surah Âli-‘Imran, ayat 19:
Tafsirnya: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nashrani) yang diberikan kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuam yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesunggguhnya bagi Allah amat segera hitungan hisabNya. (Surah Âli ‘Imran: 19)
Sekolah-sekolah misi dengan sifat tradisinya tidaklah sunyi daripada matlamat untuk mengembangkan Kristian sama ada secara berterangan atau sebaliknya. Tetapi secara berterang-terangan mungkin juga telah berubah kerana hasilnya atau natîjahnya sangat sedikit.
Oleh kerana itu, mereka mengubah haluan melalui pendidikan dengan menyeludupkan ajaran-ajaran tersebut di dalam buku-buku pelajaran. Sekolah adalah sebaik-baik tempat untuk mencapai matlamat ini. Sebagai contohnya, penggunaan watak ‘Santa Claus’ ketika menjelang hari Krismas di dalam perkumpulan sekolah. Santa Claus memberikan hadiah-hadiah kepada penuntut-penuntut termasuklah anak-anak Islam yang belajar di sekolah berkenaan. ‘Santa Claus’ adalah watak khas dalam agama Kristian. Apakah tanggapan kanak-kanak Islam yang masih mentah itu terhadap Santa Claus? Di peringkat awal kanak-kanak Islam itu tentulah akan mengangggap Santa Claus orang yang ‘pemurah’ atau orang yang baik hati.
Jiwa kanak-kanak yang sedang jinak ini jika terus diasuh dan dipupuk melalui program-program pembelajaran dan contoh-contoh yang berunsurkan kufur seperti melalui watak Santa Claus, nyanyian-nyanyian keagamaan, pergaulan dan budaya kufur, maka sudah barang tentu matlamat yang lebih jauh untuk memesongkan aqidah kanak-kanak Islam dan generasi Islam itu akan tercapai juga dan tiada mustahilnya.
Kita janganlah menutup mata hati daripada menerima hakikat, bahawa perkara orang-orang Melayu Muslim yang menukar agama mereka adalah sedang berbangkit di negara-negara jiran. Angka ribuan pernah disebut mengenai orang-orang yang telah murtad atau keluar daripada agama Islam. Angka ini dikhuatiri boleh bertambah dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan-keadaan zahir yang memberangsangkan, seperti adanya sekolah-sekolah misi yang aktif, ditambah lagi dengan minat orang-orang Islam sendiri kepadanya adalah sangat mendalam.
Saya mengulangi lagi penjelasan ulama yang telahpun disebutkan sebelum ini, bahawa suka dan redha kepada kufur adalah kufur, yakni murtad terkeluar daripada agama Islam. Begitu juga menolong seperti memberi kemudahan-kemudahan kepada agama kufur itu sehingga dapat ia berkembang dan menjadi lemah agama Islam kerananya dan kuat agama kufur itu, adalah juga menyebabkan seseorang boleh terkeluar daripada agama Islam dan wajib mengucap dua kalimah syahadat kembali semula kepada Islam.
Inilah perkara yang cukup sulit dan halus, sayugia orang-orang Islam memahaminya. Tiadalah dapat dielak bahawa membenar dan menolong membangunkan sekolah misi itu bererti pula membenar dan menolong penyebaran serta pengembangan ajaran-ajaran kufur, ianya tiada beza dari sudut konsep dan matlamat dengan membina gereja, sedang membina gereja adalah maksiat, tiada harus dilakukan di dalam negeri Islam. Menolong kepada maksiat dan haram adalah maksiat dan haram.
Firman Allah:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu bertolong-tolongan atas perkara dosa (maksiat) dan permusuhan. (Surah al-Mâ’idah: 2)
Al-Imam al-Khathib asy-Syarbini di dalam Mughnî al-Muhtâj telah menegaskan:
Ertinya: Dan adalah sebab dilarang membangun gereja kerana membangunnya itu ialah maksiat. Maka tidak harus membangunnya di dalam negeri Islam. Sekiranya mereka membangun juga, dirobohkan.
Begitulah pula hukum menambah, membangun baharu dan seumpamanya, dikiaskan dengan sekolah misi tadi adalah serupa.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7977
