Penghapusan Anjing-anjing
Soalan: Dengan hormat dimaklumkan bahawa Pejabat Daerah Brunei dan Muara telah menerima banyak permohonan meminta bantuan untuk menghapuskan anjing-anjing liar (anjing-anjing tidak bertuan) daripada orang ramai.
Antara soalan-soalan tersebut itu ialah:
(i) Memohon bantuan untuk memusnahkan anjing liar di kawasan sekolah yang semakin banyak kerana mengotorkan kawasan sekolah dan boleh membahayakan penuntut-penuntut sekolah.
(ii) Anjing berkeliaran pada waktu tengah malam di antara jam 2.00-3.00 pagi serta merosakkan banyak barang termasuk sandle dan kasut serta menyelerakkan sampah sarap di kawasan perpindahan menyebabkan berbau busuk.
(iii) Terlalu banyak anjing liar di kawasan Jalan Simpang 5, Jalan Gadong yang menyebabkan sampah sarap di merata-rata kawasan bangunan dan terlalu bising di waktu malam.
Sehubungan dengan itu, dipohonkan fatwa dan nasihat Pehin bagi menangani masalah berkenaan demi untuk mengelakkan kekeliruan daripada pihak-pihak yang tertentu.
Jawapan: Membunuh binatang dasarnya adalah dilarang, melainkan yang telah ditetapkan atau diharuskan oleh syara‘ boleh dibunuh atau ada sebab-sebab lain yang mengharuskannya. Umpamanya jika binatang itu membahayakan atau memudharatkan sama ada memang tabiat semula jadinya membahayakan seperti binatang-binatang buas, umpama singa dan serigala, atau memang tabiat semula jadinya tidak membahayakan, tetapi kadang-kadang oleh sebab sesuatu ia membahayakan dan menjadi ganas seperti anjing penggigit atau anjing gila. Dalam hal ini, boleh dicegah bahayanya itu menurut kesesuaiannya termasuk dengan membunuhnya.
Cerita-cerita mengenai balasan Allah terhadap orang yang menyeksa binatang sehingga binatang itu mati dapat ditemui dalam hadits seperti bagaimana seorang wanita diseksa pada Hari Kiamat lantaran wanita itu mengurung seekor kucing sehingga kucing itu mati. Disebabkan perbuatan wanita tersebut mengurung kucing itu tanpa diberinya makanan dan minuman, Allah memasukkannya ke dalam neraka. Hadits mengenai perkara ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Imam Muslim juga meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melaknat sesiapa yang menyeksa binatang.
Allah juga menegur perbuatan seorang nabi yang telah menyuruh membakar sarang semut, semata-mata kerana seekor daripada semut-semut itu menggigit nabi tersebut. Lalu Allah mewahyukan kepada nabi tersebut: “Hanya disebabkan seekor semut yang menggigitnya, lalu dia memusnahkan suatu umat yang selalu bertasbîh”. Hadits mengenai cerita ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Inilah ringkasan beberapa petikan peristiwa mengenai balasan atau celaan terhadap orang yang membunuh atau menyeksa binatang.
Imam Muslim juga ada meriwayatkan tentang seorang yang memberi minum air kepada seekor anjing yang kehausan. Bagi mengenangkan jasa orang itu, Allah mengucapkan syukur dan mengampunkan dosanya. Bahkan apabila sahabat-sahabat Rasulullah bertanya:
Maksudnya:... dapat pahalakah kami menyayangi haiwan-haiwan ini? Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam: “Menyayangi setiap makhluk hidup itu adalah berpahala.” (Hadits riwayat Muslim)
Membakar binatang adalah dilarang, berdasarkan hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Adalah kami (ayahanda ‘Abdullah) bersama-sama Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam dalam suatu perjalanan. Lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berangkat kerana suatu keperluan Baginda, maka kami melihat hummarah (sejenis burung), bersamanya dua ekor anaknya, kami pun mengambil dua ekor anak burung itu, maka datanglah hummarah itu mengebas-ngebas kepaknya, lalu Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pun datang dengan bersabda: “Siapa yang menyakiti (menyusahkan) anak-anak burung ini dengan (memisahkan) daripada ibunya? Kembalikan semula anak burung ini kepada ibunya.” Kemudian Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melihat tempat tinggal (sarang) semut yang telah kami bakar, lalu Baginda bersabda: “Siapakah yang membakar semut ini?” Kami menjawab: “Kami.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya tidak patut menyeksa binatang dengan api melainkan Tuhan Api (Allah).” (Hadits riwayat Abu Daud)
Demikianlah sedikit gambaran tentang tidak boleh membunuh atau menyeksa binatang melainkan ada nash khusus mengenai keharusan membunuh binatang-binatang tertentu atau binatang-binatang itu mendatangkan bahaya (memudharatkan) yang tidak boleh dielakkan melainkan dengan membunuhnya.
Antara nash-nash hadits yang menunjukkan boleh membunuh binatang ialah membunuh cicak, bahkan membunuhnya pula mendapat pahala. Bahkan cicak adalah salah satu daripada binatang yang boleh dibunuh di tanah halal dan haram.
Menurut ulama, sebab syara‘ menyuruh membunuh cicak itu, kerana ia setengah daripada binatang yang telah meniup nyalakan api untuk membakar Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihissalâm.
Dalam hadits yang lain Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam menyuruh membunuh ular, burung gagak, burung rajawali, kala jengking dan anjing penggigit. Binatang-bintang ini boleh dibunuh di tanah haram.
Persoalan yang hendak kita huraikan ialah mengenai keharusan membunuh anjing.
Berdasarkan hadits Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari bahawa Baginda bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memerintahkan supaya membunuh anjing-anjing.
Dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim pula menyebutkan:
Maksudnya: Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memerintahkan supaya membunuh anjing-anjing.
Namun para ulama mentafsirkan bahawa:
i. Ada rukhshah (diberi keringanan) supaya tidak dibunuh anjing kerana tujuan perburuan dan menjaga kambing (termasuk anjing menjaga binatang-binatang ternakan).
ii. Para sahabat asy-Syafi‘i mengatakan yang ditanggungkan (dimaksudkan) perintah harus membunuh itu ialah anjing menggigit (anjing gila).
iii. Ulama berbeza pendapat mengenai dengan keharusan membunuh anjing yang tidak mendatangkan mudharat:
(a) Menurut al-Qadhi Husain, Imam al-Haramain, al-Mawardi dalam bab jual beli anjing dan an-Nawawi dalam bab (permulaan) jual beli daripada kitab-kitab Syarh al-Muhadzdzab dan Syarh Muslim: “Tidak harus membunuhnya.” Menurut an- Nawawi lagi dalam bab perkara-perkara yang haram dalam ihrâm: “Itulah pendapat yang al-ashah. Perintah bunuh anjing itu sebenarnya telah pun dimansûkhkan.”
(b) Manakala ar-Rafi‘e pula menghukumkan makruh, bahkan karâhah tanzîh (ini disebut) dalam kitab ar-Raudhah.
(c) Tetapi Imam asy-Syafi‘i dalam kitab al-Umm dalam bab perbezaan (pendapat) mengenai harga anjing, (Imam itu mengatakan): “Bunuhlah anjing-anjing yang tidak bermanfaat di mana sahaja kamu menjumpainya.” Inilah (pendapat) yang râjih dalam kitab al-Muhimmât, dan tidak harus dimiliki anjing yang tidak ada manfaatnya.” (Irsyâd as-Sârî li asy-Syarh Shahîh al-Bukhari: 7/258).
Ketika memberi ulasan mengenai hadits:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam memerintahkan supaya membunuh anjing-anjing. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Pensyarah ‘Umdah al-Qârî mengatakan:
“Imam Malik dan sahabat-sahabatnya serta banyak lagi ulama, menghukumkan harus membunuh anjing-anjing melainkan yang dikecualikan daripadanya dan mereka tidak berpendapat perintah membunuh selain yang dikecualikan mansûkh, akan tetapi perintah tersebut tetap berlaku (berkuat kuasa).
Berdasarkan ijmâ‘, harus membunuh anjing yang menggigit (anjing gila).”
Namun ulama-ulama berbeza pendapat mengenai hukum membunuh anjing yang tidak membahayakan:
“Berkata Imam al-Haramain, bahawa Allah memerintahkan pada peringkat awalnya untuk membunuh semua anjing-anjing, kemudian hukum ini dimansûkhkan, serta melarang membunuhnya melainkan anjing yang hitam legam. Kemudian syara‘ membuat ketetapan menegah membunuh semua anjing-anjing melainkan anjing hitam berdasarkan hadits ‘Abdullah bin Muqhaffal al-Muzani:
Maksudnya: Kalaulah anjing itu bukan daripada salah satu umat (juga), nescaya aku perintahkan kamu untuk membunuhnya. (Hadits riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Adapun maksud al-bahîm itu ialah syaitan yang jauh daripada manfaat, (bahkan) dekat pula kepada mudharat. Namun semuanya itu adalah urusan atau perkara-perkara yang tidak boleh dicapai dengan penglihatan dan tidak pula boleh dihubungkan dengan cara qiyâs. Semuanya terhenti apa yang datang daripada syara‘. ‘Umdah al-Qârî li al-‘Aini: 15/202)
Dalam hadits riwayat at-Tirmidzi menyebutkan:
Maksudnya: Kalaulah anjing-anjing itu bukan daripada salah satu umat (juga) nescaya aku perintahkan kamu membunuh semuanya, maka bunuhlah daripada anjing-anjing itu tiap-tiap yang hitam legam. (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
Mengikut pendapat as-Sayyid Muhammad ‘Abdullah al-Jardani dalam Fath al-‘Allâm, adalah sunat membunuh anjing itu jika ia daripada jenis yang suka menggigit (‘aqûr), tetapi haram membunuhnya jika ia boleh membawa manfaat, iaitu pendapat yang mu‘tamad (dalam mazhab asy-Syafi‘i), begitu juga halnya haram membunuh anjing-anjing yang tidak memberi manfaat dan tidak memudharatkan. Fath al-‘Allâm: 1/473.
Berdasarkan daripada keterangan-keterangan di atas dapat disimpulkan:
i. Anjing-anjing yang ada faedah seperti anjing perburuan, anjing penjaga atau pengawal, seumpama anjing menjaga ternakan, tanaman, menjaga rumah dan anjing polis, tidak boleh dibunuh.
ii. Anjing yang tidak ada faedahnya, bahkan jika membahayakan seperti anjing menggigit (anjing gila), harus dibunuh. Jika anjing-anjing itu tidak membahayakan, ada dua pendapat mengenainya, ada pendapat yang tidak mengharuskan bunuh, bahkan haram membunuhnya atau makruh sehingga karâhah tanzîh. Pendapat yang lain harus membunuhnya.
Ketika menghuraikan tentang dua perkara dharar (perkara-perkara yang memudharatkan atau membahayakan), Imam as-Sayuthi menyatakan:
Ertinya: Apabila bertemuan dua kerosakan, maka yang dijaga ialah kerosakan yang paling banyak membawa mudharat, iaitu dengan melaksanakan penyebab mudharat yang paling ringan.
Kaedah ini membawa pengertian, bahawa harus membunuh anjing kerana ia membawa mudharat atau jika dibiarkan anjing berleluasa begitu sahaja (tanpa dibunuh) juga boleh membawa mudharat.
Jika dibiarkan anjing itu berleluasa boleh membawa mudharat yang besar apabila dibandingkan dengan membunuhnya, maka yang perlu dilakukan ialah membunuh anjing kerana membunuh anjing pada ketika itu lebih ringan mudharatnya daripada membiarkannya yang boleh mendatangkan mudharat yang besar.
Perkara ini termasuk dalam kaedah:
Ertinya: Kemudharatan itu harus dihapuskan.
Namun kemudharatan itu ditolak atau dihapuskan adalah berdasarkan yang perlu sahaja. Seperti jika dahan pokok kayu yang masuk ke dalam kawasan milik orang lain yang boleh membahayakan, maka dipotong dahannya itu sahaja terlebih dahulu sebelum langkah-langkah lain dibuat seperti memotong atau menebang pohonnya.
Maka begitulah juga dengan kemudharatan yang ditimbulkan oleh anjing-anjing berkenaan (yang tidak termasuk dalam jenis anjing yang wajib dibunuh) hendaklah diambil kira sebab dan puncanya, adakah datangnya daripada sebab kecuaian orang ramai atau memang daripada anjing-anjing itu sendiri.
Sebelum langkah-langkah menghapuskan anjing-anjing itu dilakukan maka diikhtiarkan terlebih dahulu untuk mencari sebab-sebab mengapa anjing-anjing itu berkumpul di tempat-tempat itu dan mengusahakannya supaya anjing-anjing tidak datang berkumpul di tempat berkenaan, seperti jangan meletakkan sampah sarap merata-rata atau di tempat yang terdedah yang mudah bagi anjing-anjing itu mendapatkan sisa-sisa makanan berkenaan.
Jika semua langkah dan ikhtiar selain membunuh telahpun dibuat bagi menghalangi kemudharatan yang ditimbulkan oleh anjing-anjing itu, tetapi semuanya tetap sia-sia dan gagal belaka, sedangkan ia (kemudharatan itu) dikhuatiri akan semakin merebak dan membesar, maka pada ketika itu bolehlah dibunuh anjing-anjing itu setakat diperlukan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7981
