Penjualan Kondom di Kedai Runcit
Soalan: Sukacita dipohonkan fatwa mengenai perkara penjualan kondom di kedai-kedai runcit di negara ini.
Jawapan: Pengertian kondom menurut Kamus Dewan ialah sejenis alat atau sarung daripada getah dan sebagainya yang disarungkan pada kemaluan lelaki untuk mencegah daripada sebarang jangkitan atau kehamilan akibat hubungan seks.
Kondom dari sudut kesihatan pada dasarnya digunakan sebagai salah satu cara untuk menjaga keselamatan dan perlindungan kesihatan daripada dijangkiti oleh sebarang penyakit kelamin, di samping juga sebagai salah satu cara penjarakan kelahiran anak bagi kesejahteraan ibu yang tidak boleh kerap melahirkan anak atas nasihat doktor kerana jika sering melahirkan boleh memudharatkan ibu tersebut.
Akan tetapi daripada sudut sosial, - tanpa disedari - ia seolah-olah satu rangsangan untuk melakukan kebebasan seks (perzinaan), iaitu apabila dikatakan fungsinya boleh mencegah penyakit berjangkit itu. Sedangkan perzinaan itu adalah haram yang mesti dijauhi oleh setiap orang. Firman Allah:
Tafsirnya: Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.” (Surah an-Nûr: 30)
Apa yang menjadi kekhuatiran dan kebimbangan ialah kawalan yang bersifat peribadi akan melarat kepada kawalan-kawalan yang bersifat umum.
Maksud kawalan bersifat peribadi itu ialah setakat memberikan kelonggaran dari segi penggunaannya - setelah mendapat nasihat doktor - bagi orang-orang perseorangan yang mempunyai masalah tertentu seperti seorang suami yang mempunyai isteri yang berpenyakit dan tidak boleh kerap melahirkan anak kerana dikhuatiri boleh memudharatkan isteri tersebut.
Maksud kawalan bersifat umum pula ialah penggunaan orang ramai seperti para belia atau para remaja dan lain-lain lagi bagi tujuan mengelakkan penyakit-penyakit berjangkit seperti siplis dan sebagainya.
Khusus bagi maksud kawalan bersifat umum ini, apakah ia tidak mungkin disalahgunakan terutama oleh para belia dan remaja? Apabila pemakaian kondom dianggap satu-satunya cara yang berjaya untuk mengelakkan penyakit, maka secara yang mudah difahamkan tentulah tidak akan ada lagi sebarang halangan atau ketakutan untuk melakukan zina. Pada lazimnya perbuatan zina itu dimomokkan orang dengan penyakit-penyakit yang berjangkit seperti AIDS dan siplis, yang makanya, menjadi rintangan atau halangan bagi orang-orang melakukannya. Tetapi setelah kondom itu diperkenalkan serta diperaku sebagai boleh menghindarkan jangkitan penyakit-penyakit yang berbahaya itu, yakni terdapat jaminan keselamatan bagi pengguna-pengguna kondom, maka apakah lagi yang ada untuk dapat menakut-nakutkan orang supaya tidak melakukan zina? Jika tidak ada, ertinya ia akan meluas dan lebih berkembang lagi.
Adapun amaran-amaran tentang azab dan dosa disebabkan perbuatan yang hina ini bukanlah semua orang mudah tunduk dan menerimanya, sekalipun dia orang Islam apatah lagi bukan. Jadi penjualan kondom secara terbuka dan meluas itu tidak syak lagi meruntuhkan satu benteng yang kuat yang selama ini turut menghalangi perbuatan zina daripada merebak seluas-luasnya.
Ini bukanlah pendapat yang direka-reka, tetapi sudah lumrah diperkatakan orang, sama ada di kalangan orang biasa mahupun di kalangan ahli cerdik pandai. Jika benarlah kondom itu mungkin sahaja disalahgunakan untuk perzinaan, maka penjualannya secara bebas dan meluas tentulah tidak kena.
Mungkin ada anggapan perzinaan itu satu perkara biasa yang tidak mungkin lagi dibendung. Maka kerana itu langkah bagi mencegah penyakit yang disebabkan oleh perzinaan itu perlulah diambil, iaitu salah satunya dengan mencipta kondom. Apabila kondom sudah tercipta, difikirkan pula cara penyebarannya melalui rumah-rumah sakit, klinik-klinik dan sekarang dijual pula di tempat-tempat biasa yang mudah dikunjungi orang, seperti di kaki-kaki lima dan kedai-kedai runcit.
Pada lazimnya ubat-ubatan itu dan segala peralatan yang berkaitan dengannya hanya terdapat di rumah-rumah sakit atau dijual di kedai-kedai ubat dan klinik-klinik di bawah kawalan-kawalan tertentu, tetapi alat (kondom) yang dikatakan dapat mencegah kehamilan dan penyakit itu dijual di kedai-kedai runcit.
Dari segi ukuran moral dan akhlak yang mulia, apakah wajar kita menyamakannya dengan barang-barang seperti asam, garam, gula, kopi, lauk-pauk, keropok, gula-gula dan lain-lain, sehingga ianya boleh dijual beli di pasar-pasar dan kedai-kedai runcit?
Di manakah sifat malu orang-orang Islam pada ketika itu? Di manakah iman?
Nabi kita Sayyidina Muhammad Shallallâhu ‘alaihi wa sallam telah mendidik umatnya dengan membesarkan sifat malu itu, sehingga Baginda bersabda:
Maksudnya: Iman mempunyai lebih daripada enam puluh cabang dan malu adalah salah satu cabang daripadanya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Dalam sebuah hadits lain, Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Bahawasanya setengah yang didapati oleh manusia daripada perkataan nabi yang terdahulu ialah apabila engkau tidak malu maka lakukanlah apa sahaja yang engkau kehendaki. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits ini cukup untuk menjadi sukat-sukat atau pedoman akhlak seseorang dari segi perbuatannya kerana perbuatan itu turut mencerminkan perkara dalaman seperti kesopanan. Orang yang bersopan sudah pasti tidak mahu melakukan sesuatu yang memalukan atau yang mendatangkan cacat, cela atau ‘aib kerana orang yang bersopan itu ialah orang pemalu yang sentiasa mengawal, memelihara dan menjaga gerak-geri serta perilakunya. Malu adalah adab dan tatasusila yang sangat-sangat diagungkan oleh agama semenjak dari syariat para rasul dan nabi-nabi yang terdahulu lagi.
Penjualan dan pembelian kondom di kedai-kedai secara terbuka dan bebas, tidak syak lagi hanya akan sanggup dilakukan oleh orang-orang yang kurang malu sahaja. Jiwa dan perasaan yang sihat pasti tidak akan sanggup melakukannya. Seperti juga kita jarang melihat orang lelaki yang normal sanggup dan tergamak membelek-belek di tempat-tempat terbuka untuk membeli ‘pakaian-pakaian dalam’ perempuan, sekalipun untuk anak isterinya sendiri kerana masih ada segan-silu dan awar-galat serta malu dalam diri lelaki itu. Maklum sahaja ‘pakaian-pakaian dalam’ itu biasanya tersorok dan rahsia orang perempuan semata-mata, serta berkaitan langsung dengan perhiasan-perhiasan sulit orang perempuan itu. Begitulah juga dengan kondom yang bersifat lebih khusus merujuk kepada alat kemaluan lelaki, tidaklah patut diampai-ampaikan (diletakkan ditempat terbuka) untuk dijual atau dibeli oleh sesiapa sahaja, tua, muda, lelaki atau perempuan dengan sebebasnya.
Penjualan kondom di kedai-kedai, dari segi ianya sebagai barang, pada dasarnya tidaklah salah. Ia harus seperti juga penjualan ubat-ubatan biasa dan lain-lain barang. Tetapi soalnya bagaimana penjualan kondom itu dapat dijamin tidak akan jatuh atau dijual kepada orang-orang jahat? Jika tiada jaminan itu, bererti ia mungkin sahaja digunakan bagi tujuan-tujuan jahat. Ini bermakna menggalak dan memudahkan maksiat berlaku kerana apa jua unsur-unsur yang memudahkan maksiat, ianya adalah maksiat. Maksiat itu haram. Jika ini terjadi, penjualan kondom bagi tujuan melakukan maksiat seperti zina adalah haram. Oleh kerana itu, penggunaan kondom juga akan menentukan hukum yang lain, selain yang harus tadi.
Penjualan kondom secara bebas dan tidak terkawal akan membolehkan sesiapa jua membeli dan mendapatkannya dengan mudah bagi sebarang tujuan. Ini sudah pasti akan menimbulkan banyak lagi gejala-gejala yang tidak sihat di negara ini. Yang paling ditakuti ialah sebahagian daripada pelanggan kondom akan terdiri daripada para remaja sekolah.
Menyebut tentang remaja ini, kita di Brunei juga perlu turut bimbang dengan kejadian-kejadian yang sedang berlaku di setengah-setengah negara termasuklah dalam lingkungan rantau kita ini. Menurut laporan akhbar, bahawa masalah sosial di kalangan remaja Malaysia kian membimbangkan. Akhbar itu terus menambah bahawa negara itu baru-baru ini dikejutkan oleh satu laporan yang mendedahkan meluasnya kegiatan seks bebas membabitkan gadis-gadis remaja, terutama pelajar dan kebanyakannya Melayu.
Satu kajian oleh Lembaga Pendudukan dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) antara 1994 dengan 1996 mendedahkan tiap seorang daripada empat gadis remaja berusia 13 hingga 18 tahun mengaku pernah mengadakan persetubuhan haram dengan beberapa lelaki (Berita Harian Singapura, Selasa, 8 April, 1997 bersamaan 30 Zulkaedah, 1417).
Betapa juga dengan negara-negara serantau lain, termasuk juga kita yang belum lagi mengkaji ataupun sudah mengkaji tetapi tidak mendedahkan hasil kajian masing-masing mengenainya.
Sayugia perkara ini akan segera mengetuk pintu kesedaran kita bersama.
Penjualan kondom di kedai-kedai runcit di negara ini adalah fenomena baru. Penjualannya dikatakan ‘berleluasa’ tanpa kawalan.
Penjualan itu khabarnya berdasarkan permintaan. Siapakah yang meminta atau berkehendak itu sehingga ia berleluasa? Kehadiran buruh-buruh asing mungkin menjadi sebab utama larisnya penjualan kondom. Berdasarkan hasil penyiasatan Unit Kawalan Aqidah, Jabatan Hal Ehwal Syara’iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama mengenai ‘Penjualan Kondom Di Kedai- Kedai Runcit Di Negara Ini’ yang mana hasil penyiasatan itu diedarkan kepada Majlis Ugama Islam, menunjukkan:
- Pembeli-pembeli adalah terdiri daripada berbagai bangsa (Melayu, Cina, Filipina, Thailand, Gurkha dan India).
- Peringkat umur pembeli ialah dalam lingkungan 16-40 tahun (tidak diketahui statusnya sama ada kahwin atau bujang).
- Dipercayai pembeli yang terbanyak ialah buruh-buruh pekerja luar negeri iaitu Filipina dan Thailand.
- Sementara bangsa Gurkha biasanya terdiri daripada golongan tua.
Akibat jika tidak ada pengawalan rapi dalam penjualan kondom ini pasti membawa kepada keruntuhan moral, terutama di kalangan para belia yang merupakan aset negara kerana pasangan-pasangan tidak akan perlu khuatir, kerana bagi mereka kondom merupakan ‘tiket’ untuk bebas melakukan hubungan seks dan juga sebagai penyelamat daripada kehamilan dan penyakit berjangkit.
Mula-mula tujuan pemakaian atau penggunaan kondom itu ialah bagi menghadkan pertumbuhan penduduk dengan nama perubatan, untuk kesejahteraan ibu-ibu dan penjagaan anak-anak supaya lebih berkualiti atau lain-lain. Menghadkan penduduk dengan berbagai-bagai kaedah, termasuk pemakaian kondom memang pernah diamalkan di setengah-setengah negara di dunia ini. Tetapi kepada Brunei kita tidaklah nampak penghadan itu sebagai bermanfaat, malahan ia merugikan dan dikira suatu perbuatan yang menyalahi syara‘, iaitu dengan alasan-alasan dan dalil-dalil tertentu lagi kuat (sila rujuk fatwa-fatwa yang berkaitan yang pernah difatwakan mengenainya).
Seorang ulama al-Imam Muhammad Abu Zahrah (beliau itu ialah salah seorang ulama besar di Mesir, dikatakan ‘Imam’ pada zamannya) pernah menulis dalam bukunya Tanzhîm al- Usrah wa Tanzhîm an-Nasl. Beberapa fikirannya kita nukilkan di sini: “Agama Islam menyeru kepada perkahwinan dan menggalakkannya. Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam sendiri menyebutkannya sebagai sunnah Islam. Sabda Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Maka sesiapa yang tidak menyukai sunnahku, maka dia bukanlah daripada kalanganku. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Para belia digalakkan supaya berkahwin, sabdanya:
Maksudnya: Wahai golongan pemuda! Barang siapa di antaramu mampu menikah, hendaklah dia nikah, kerana yang demikian itu amat menundukkan pemandangan dan amat memelihara kehormatan, tetapi barang siapa tidak mampu, maka hendaklah dia puasa, kerana (puasa) itu menahan nafsu baginya. (Hadits riwayat al-Bukhari)
Hadits-hadits shahîh yang menyuruh berkahwin adalah termasuk prasyarat bakal calon suami isteri dilihat daripada berbagai-bagai sudut antaranya ialah agama dan keturunannya yang baik, supaya generasi penyambung akan sihat dan berkualiti.
Tidak syak lagi bahawa antara tujuan daripada perkahwinan itu ialah untuk memperolehi zuriat dan memperbanyak keturunan. Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Kamu kahwinilah keturunan yang ramai anak, kerana sesungguhnya aku akan berbangga dengan kamu kepada nabi-nabi lain pada Hari Kiamat. (Hadits riwayat Ahmad)
Abu Daud dan an-Nasa’i meriwayatkan daripada Ma‘qal bin Yasar: “Seorang lelaki datang menemui Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam, kata lelaki itu: “Saya telah mengahwini seorang perempuan bangsawan lagi cantik, tetapi dia tidak beranak.” Sabda Baginda: “Tidak mengapa.” Kemudian datang lagi untuk kedua kalinya, tetapi dilarang oleh Baginda. Untuk ketiga kalinya lelaki itu datang lagi, maka Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam pun bersabda:
Maksudnya: Berkahwinlah dengan wanita yang penyayang dan peranak, kerana sesungguhnya dengan (banyak bilangan)mu, aku akan mengalahkan (bilangan) umat-umat (yang lain). (Hadits riwayat Abu Daud)
Kedua-dua hadits ini adalah hadits marfû‘ dan para ulama tidak ada yang mempersoalkan riwayat kedua-duanya.
Diriwayatkan, bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Tikar di sudut rumah adalah lebih baik daripada seorang perempuan yang tidak beranak.
Antara ulama ada yang menyebut bahawa hadits ini mauqûf kepada Sayyidina ‘Umar Radiallâhu ‘anhu. Sayyidina ‘Umar itu ialah seorang yang benar lurus lagi dipercayai dan benar-benar faham tentang Islam.
Diriwayatkan bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Sebaik-baik perempuan kamu ialah yang penyayang dan peranak.
Seruan untuk memperbanyak keturunan telah wârid dalam hadits-hadits yang banyak. Ahli hadits menyebutkan bahawa setengah perâwi hadits-hadits itu lemah, akan tetapi kelemahan ini hilang dengan sebab banyak riwayatnya daripada sahabat serta sama maknanya.
Berkata Ibnu Hajar dalam Fath al-Bâri: “Hadits-hadits ini walaupun ada yang lemah, tetapi pada keseluruhannya menunjukkan galakan untuk berkahwin dan bagi orang yang boleh menghasilkan keturunan daripada perkahwinan itu.”
Oleh kerana itu, memperbanyak keturunan adalah dituntut dan itulah matlamat utama perkahwinan dalam Islam. Memperbanyak keturunan itu juga fitrah dan tabiat semula jadi manusia, bahkan tabiat semula jadi binatang.
Tidak syak lagi bahawa menegah atau menghalang adanya keturunan itu adalah bertentangan dengan fitrah, sedangkan Islam sendiri agama fitrah, sebagaimana Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (Surah ar-Rûm: 30)
Dalam perkara rezeki anak-anak, Allah Ta‘ala menyuruh supaya tetap menyerahkannya kepadaNya selepas berusaha secara halal. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kemiskinan. Kami akan memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka. (Surah al-An‘âm: 151)
Firman Allah lagi:
Tafsirnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepada kamu. (Surah al-Isrâ’: 31)
Perancangan keluarga bererti membatasi kelahiran anak atau menghadkan keturunan. Pada waktu ini banyak cara untuk tujuan tersebut antaranya dengan menggunakan kondom yang kita bincangkan ini.
Oleh kerana itu, kita amat bimbang dengan keadaan umat Islam yang sedikit, ditambah lagi dengan adanya rancangan-rancangan yang merugikan seperti rancangan mencegah beranak dan sebagainya.
Oleh sebab itu, hanya rancangan keluarga dengan sebab-sebab dharurat bagi orang perseorangan yang benar-benar memerlukan mengikut kadar kemudharatan sahaja yang harus ditimbangkan.
Untuk tujuan ini, telah dicipta atau direka alat-alat untuk mencegah kelahiran itu. Beberapa kaedah atau teori atau alat diperkenalkan antaranya yang berupa pil dan termasuk juga pemakaian kondom.
Menurut laporan akhbar Berita Harian (Malaysia), 3 Jun 1995, jualan kondom laris seperti pisang goreng panas di negara Asia.
Perkara yang patut ditimbulkan di sini ialah, apakah sikap, dasar atau polisi kita khasnya pihak berkuasa Jabatan Perubatan Kesihatan terhadap penjualan kondom di kedai-kedai runcit di negara ini?
Jika pemakaian kondom itu bagi maksud membenarkan atau menggalakkan pencegahan kelahiran secara menyeluruh atau secara umum bagi suatu tempoh, sama ada jangka pendek atau panjang, seperti menentukan dasar bahawa satu keluarga itu cukup mempunyai had tertentu bilangan anak, maka menghadkan yang demikian ini adalah berlawanan dengan kehendak syara‘, kerana dasar perkahwinan itu untuk membiakkan keturunan.
Atau penggunaan kondom itu bersifat peribadi, bukan atas sebab-sebab dharurat yang wajar seperti semata-mata untuk mencegah pembiakan anak, maka perbuatan ini juga bertentangan dengan maksud al-Qur’an dan hadits-hadits yang menggalakkan keturunan atau zuriat yang banyak.
Jika penggunaan kondom kerana sebab-sebab dharurat dan yang bersifat peribadi disalahgunakan, sedangkan pihak-pihak yang berkenaan yang sepatutnya mesti mengadakan pengawalan, tetapi tidak berbuat demikian itu, maka semua kita yang terlibat tersebut akan bertanggungjawab dengan menurunnya kadar pertumbuhan penduduk.
Jika penggunaan kondom itu bagi tujuan mencegah penyakit kelamin atau lain-lain penyakit berjangkit seperti pencegahan kuman HIV, maka ini biasanya dilakukan oleh pasangan-pasangan bagi tujuan seks bebas atau hubungan dengan perempuan-perempuan lacur. Jika inilah yang berlaku, ia bukan sahaja dosa bagi pasangan Islam malahan juga jika ia dilakukan oleh pasangan bukan Islam, sudah tentu itu juga turut bertentangan dengan agama mereka. Kerana semua agama adalah mengutuk dan tidak membenarkan perbuatan zina itu.
Perbuatan zina adalah bertentangan dengan moral atau akhlak yang mulia. Perbuatan zina menjadi sebab jauhnya rahmat Allah dan turunnya murka serta bala kepada penduduk negeri secara menyeluruh, termasuklah keatas orang-orang yang baik-baik di kalangan mereka.
Bagi mashlahat mendatangkan yang baik dan menolak yang buruk, maka penjualan kondom secara bebas dan mudah itu telahpun nampak keburukannya. Oleh itu perlulah ia dicegah. Setiap jalan yang boleh membawa kepada keburukan mestilah ia dihalang atau disekat, berdasarkan kaedah fiqhiyyah ‘sadd ad-dzarâ’i‘’.
Jika kaedah sadd ad-dzarâ’i‘ ini dibelakangkan bagi mencegah atau menghalangi sesuatu keburukan itu daripada berlaku, kemudian keburukan itu benar-benar berlaku, maka adalah sikap seumpama ini terang-terang berlawanan dengan syara‘ dan mendatangkan dosa.
Cuba kita lihat prinsip ini:
Ertinya: Apa jua yang membawa kepada haram, maka hukumnya adalah haram.
Demikian juga setiap jalan yang membawa kepada wajib adalah ia wajib, berdasarkan prinsip:
Ertinya: Perkara wajib yang tidak akan sempurna, melainkan dengan adanya suatu perkara pula, maka mengadakan perkara yang tersebut itu adalah wajib.
Oleh kerana zina itu haram dan merupakan perkara yang keji, maka setiap apa jua yang mendorong kepadanya ataupun yang memberi jalan mudah untuknya terjadi, adalah ia haram dan wajib dicegah atau dilarang.
Demikian pulalah jika penjualan kondom dengan cara yang mudah dan lumrah di kedai-kedai runcit itu boleh menyebabkan berlakunya zina atau jadi terangsang perbuatan zina itu, maka hukumnya adalah sama sahaja; wajib dicegah atau dilarang.
Adapun penjualan yang lumrah di kedai-kedai runcit itu sama sekali tidak akan mungkin terkawal. Sesiapa sahaja pun boleh membeli atau akan membelinya dengan sewenang-wenang.
Cuba kita lihat, kajian awal telahpun menunjukkan bahawa pembelinya terdiri daripada buruh-buruh dan pekerja-pekerja luar yang pada umumnya tidak beristeri atau tidak membawa isteri-isteri mereka bersama-sama dengan mereka. Untuk apakah kondom-kondom itu bagi mereka jika bukan untuk digunakan dengan tujuan yang tidak senonoh di negara ini? Apa kita masih sahaja mahu tutup mata dengan kemungkinan-kemungkinan negatif ini? Di manakah sensitiviti kita? Mana vision kita untuk menyekat madharrah atau kemudharatan yang mungkin menimpa negara, bangsa dan umat Islam di negara ini?
Di suatu masa dahulu gejala dadah tidak berbangkit di negara ini. Orang hanya tahu dan pandai menyebut ‘candu’ yang dikaitkan dengan apek-apek Cina sahaja. Tetapi sekarang negara sudah turut mengalami jangkitan wabak dadah sehingga memaksa kita mengadakan Rumah al-Islah tempat pemulihan penagih-penagih dadah itu. Peratus penagih semakin bertambah setiap tahun. Dahulu hanya timbul golongan remaja atau belia sahaja, tetapi sekarang sudah turut disebut ialah murid-murid sekolah atau pelajar, dan malahan juga ada daripada kalangan pelajar pusat pengajian agama. Di negara jiran, menurut sebutan akhbar, jumlah rasmi penagih ada sekitar 400,000 (empat ratus ribu) orang dengan 70% lebih terdiri daripada anak-anak Melayu.
Di mana kita sebenarnya dengan perkembangan yang mengerikan ini? Sekarang ditambah lagi dengan satu penemuan yang boleh menjadi laluan kepada berleluasanya zina, di mana dosa zina itu telahpun dikenal pasti sebagai mengakibatkan bermacam-macam bala, antaranya bala penyakit AIDS, sama seperti dadah juga. Wal-‘iyâdzu billâh min dzâlik.
Sekiranya pemakaian kondom itu digunakan oleh pasangan Islam tanpa sebab-sebab yang wajar, akibatnya sudah pasti akan mengurangkan pertumbuhan penduduk yang beragama Islam, iaitu suatu kesan yang amat buruk dari segi jangka pendek mahupun jangka panjang.
Jadi, penjualan kondom di kedai-kedai runcit ternyata tidak wajar dan tidak sopan, serta tidak dapat dijamin ia tidak akan jatuh ke tangan orang-orang jahat atau pengguna-pengguna yang tidak senonoh, sekalipun diadakan undang-undang atau peraturan-peraturan kawalan mengenainya. Di satu segi, untuk mewujudkan undang-undang atau peraturan seperti itu mungkin akan mengambil masa, di samping pelaksanaannya (penguatkuasaan undang-undang itu) pula adalah suatu perkara lain lagi yang sukar diramalkan. Oleh itu, adalah tepat dan wajar serta bersesuaian untuk kita memakai kaedah syara‘ (sadd ad-dzarâ’i‘), iaitu bertindak menutup pintu keburukan itu sebelum ianya terjadi, dengan melarang atau menyekat terus penjualan kondom-kondom itu di kedai-kedai runcit, di kaki-kaki lima dan lain-lain tempat yang biasanya menjadi kemudahan kepada orang ramai.
Dari segi penggunaan, sekiranya pihak-pihak berkenaan kesihatan memandang ada keperluan dari segi perubatan, maka setengah-setengah ubat itu juga ada yang terkawal, tidak didapati melainkan hanya di rumah-rumah sakit kerajaan atau klinik-klinik swasta. Hanya bagi tujuan perubatan serta benar-benar ia diperlukan untuk tujuan itu, maka pihak yang berkenaan kerajaan bolehlah menimbangkannya untuk digunakan oleh pasangan-pasangan yang sah sahaja, tertakluk kepada pengesahan dan nasihat doktor jua.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7985
