Perkataan Allah Tertulis di Lambang Kasut
Soalan: Dengan hormat sukacita dipohonkan pandangan Pehin berhubung dengan sejenis kasut untuk dikenalpasti sama ada ukiran yang tercatat pada bahagian belakang kasut berkenaan itu membentuk perkataan Allah (dalam tulisan jawi) atau sebaliknya.
Jawapan: Sebagaimana pengakuan pihak yang bertanya sendiri kepada jabatan ini melalui susulan suratnya, setelah merujukkan kepada ahli tulisan jawi, bahawa perkataan ‘Air’ yang tertulis di kasut itu, sebenarnya membentuk lafaz ‘Allah’. Maka berdasarkan pandangan ahli tulisan jawi ini, fatwa ini berkaitan.
Oleh kerana perkataaan Allah itu ditulis di kasut, maka tidak syak lagi bahawa perbuatan itu suatu penghinaan terhadap nama yang mulia itu.
Sesiapa sahaja daripada umat Islam yang sengaja mempersenda-sendakan atau menghina sesuatu yang dipandang mulia di dalam Islam sama ada dengan perkataan atau perbuatan, maka ia boleh dihukumkan murtad iaitu keluar daripada agama Islam.
Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullâhu Ta‘âlâ di dalam Minhâj ath-Thâlibîn, kitâb ar-riddah:
Ertinya: Dan perbuatan yang menjadikan kufur itu ialah perbuatan sengaja menghina dengan terang akan agama Islam atau ingkarkan agama Islam seperti mencampakkan Mushhaf ke tempat kotor dan dia sujud kepada patung atau matahari.
Berkata Ibnu Hajar dalam Tuhfah al-Muhtâj pada mensyarahkan matn Minhâj ath-Thâlibîn ini:
Ertinya: Dan perbuatan yang menjadikan kufur itu ialah perbuatan sengaja menghina dengan terang akan agama Islam atau ingkarkannya (dengan mempersenda-sendakan) atau ingkarkannya (sahaja) seperti mencampakkan Mushhaf atau seumpamanya (seperti mencampakkan) sesuatu yang ada mengandungi daripada al-Qur’an, bahkan atau nama yang dimuliakan (dalam Islam) atau daripada hadits. Berkata ar-Rauyani: “Atau daripada ilmu syara‘” ke tempat kotor atau kotoran yang suci seperti hingus, air ludah dan air mani kerana itu (membawa maksud) mempersendakan agama Islam dan maksud kata Imam an- Nawawi (dalam menggunakan perkataan) ‘mencampakkan’, sesungguhnya mencampakkan itu tidaklah menjadi syarat, (bahkan) sesungguhnya menyentuhkan (mengenakan) sesuatu daripada sedemikian itu dengan kotoran, kufur juga.
Manakala di dalam Hâsyiah al-Bajuri disebutkan bahawa termasuk orang yang murtad itu ialah orang yang menghinakan nama Allah seperti di dalam nashnya:
Ertinya: Dan begitu juga (termasuk orang yang murtad itu) ialah siapa yang menghina (mempersenda-sendakan) nama Allah atau perintahNya atau laranganNya atau janjiNya yang baik atau janjiNya yang buruk atau dia ingkarkan satu ayat daripada al-Qur’an yang telah diijmâ‘kan tentang ketetapannya.
Di dalam kitab I‘ânah ath-Thâlibîn tersebut juga:
Ertinya: Dan daripada bahagian yang kedua (yang boleh menyebabkan seseorang itu kufur) selain apa yang terdahulu ialah mencampakkan Mushhaf atau kitab-kitab ilmu syara‘ atau sesuatu yang ada padanya nama yang agung (di dalam agama Islam) pada kotoran walaupun kotoran itu suci.
Maka dalam hubungan ini, mana-mana orang Islam yang melakukan apa jua perbuatan yang membawa kufur seperti contoh-contoh yang disebutkan oleh para ulama di atas dan yang seumpamanya dengan sengaja, maka ia dihukumkan kufur.
Meletakkan atau menulis nama Allah di mana-mana bahagian kasut, tidak syak lagi adalah suatu penghinaan terhadap nama yang sangat mulia itu.
Oleh yang demikian, jika orang Islam yang dengan sengaja mengedar atau menjual atau membeli kasut yang ada nama Allah di kasut itu, hukumnya berdosa dan jika perbuatannya itu dengan sengaja bagi tujuan penghinaan, maka hukumnya pula kufur sebagaimana yang dijelaskan oleh ulama-ulama Rahimahumullâhu Ta‘âlâ di atas.
Oleh yang demikian kasut berkenaan tidak boleh diedarkan untuk pasaran sama ada dalam negeri atau di luar negeri dan kasut-kasut itu tidak boleh dikembalikan semula kepada tuan punya kasut kerana dikhuatiri pengedar atau tuan punya kasut akan mengembalikan semula kasut-kasut itu kepada syarikat pembekal. Ini boleh membawa kepada pengedaran atau pemasaran di tempat lain. Jika ini berlaku, penghinaan terhadap nama yang sangat dimuliakan itu tidak dapat dielakkan.
Mengeji atau menghina Islam dengan perkataan yang diucapkan atau yang bertulis atau dengan kenyataan yang nampak adanya tanda-tanda mengeji atau menghina atau menyebabkan terkeji atau terhina agama Islam atau cuba mengeji atau menghina agama Islam merupakan suatu kesalahan menurut undang-undang, yang jika tsabit, boleh dihukum.
Penguatkuasa undang-undang boleh melihat dengan kebijaksanaannya sejauh mana satu-satu kes berkaitan di atas boleh dibawa ke pengadilan supaya menjadi i‘tibâr kepada sesiapa jua, supaya jangan cuba-cuba menghina perkara-perkara yang mulia di sisi Islam.
Orang-orang bukan Islam yang hidup di negeri ini, lebih-lebih lagi yang mendapat kemudahan meni‘mati atau memperolehi rezeki sama ada dengan cara berniaga atau seumpamanya, hendaklah peka dengan sesuatu yang mulia di sisi Islam.
Orang-orang bukan Islam mustahak tahu tentang perkara-perkara yang sangat sensitif kepada orang-orang Islam supaya jangan nanti, apabila hukuman ta‘zîr dikenakan atau dijatuhkan kepada mereka, mereka tidak akan beranggapan bahawa agama Islam tiada toleransi atau tidak bertimbang rasa terhadap penganut-penganut lain atau lain-lain tohmahan yang tidak berasas.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7989
