Ru’yah di Negeri yang Satu Mathla‘
Soalan: Dengan segala hormatnya sukacita dipohonkan fatwa yang berhubung dengan masalah pemakaian hasil meru’yah yang dijalankan di negara lain yang bersatu mathla‘ dengan Negara Brunei Darussalam untuk dipakai di negara ini pada tarikh selepas negara tersebut meru’yah anak bulan.
Kemusykilannya ialah apabila tarikh meru’yah anak bulan di negara ini tiada sama dengan tarikh meru’yah di negara lain yang bersatu mathla‘ dengan negara ini, umpamanya tarikh meru’yah anak bulan di negara Indonesia, di tempat-tempat yang bersatu mathla‘ dengan negara ini sehari lebih awal daripada tarikh meru’yah di negara ini. Adakah boleh dipakai oleh negara ini jika telah disahkan ada pemakluman bahawa anak bulan telah tsabit kelihatan di negara itu iaitu di tempat yang bersatu mathla‘ dengan negara ini pada tarikh selepas negara tersebut meru’yah anak bulan?
Jawapan: Hitungan hari di dalam bulan Islam (qamariyyah) ialah sama ada 29 hari atau 30 hari sahaja. Ini termasuk bulan Ramadhan sama ada 29 atau 30 hari sahaja, sebagaimana hadits-hadits yang meriwayatkan mengenainya, umpamanya hadits daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu ‘anhumâ berkata:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda: “(Bilangan) satu bulan itu (sebanyak) 29 malam (qamariyyah), maka jangan kamu berpuasa sehingga kamu melihatnya (anak bulan), maka jika terlindung (anak bulan tersebut) ke atas kamu maka kamu sempurnakan bilangan (satu bulan itu) sebanyak 30 hari.” (Hadits riwayat al-Bukhari)
Sebagaimana juga tersebut di dalam hadits yang lain yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallâhu anhumâ:
Maksudnya: Daripada Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam Baginda bersabda: “Sesungguhnya kita adalah umat yang ummi tidak pandai menulis dan tidak pandai menghisab (mengira) bulan, (tetapi) begini dan begini yakni bulan qamariyyah itu sekali 29 hari dan sekali 30 hari.” (Hadits riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan an-Nasa’i)
Berdasarkan apa yang difahami daripada soalan di atas bahawa bolehkah Negara Brunei Darussalam memakai ru’yah negara Indonesia yang bersatu mathla‘ dengan negara ini, padahal tarikh meru’yah anak bulan di negara Indonesia itu di tempat-tempat yang bersatu mathla‘ dengan negara ini sehari lebih awal dari meru’yah di negara ini.
Berdasarkan asy-Syarqawi bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berpuasa sebanyak 9 kali Ramadhan, semuanya 29 hari melainkan sekali sahaja sebulan penuh (30 hari). Ada juga pendapat mengatakan hanya 2 kali atau 5 kali sebulan penuh. (Fath al-‘Allâm: 4/7)
Adapun jika pemakluman oleh negara Indonesia diterima pakai oleh Negara Brunei Darussalam bahawa anak bulan telah tsabit kelihatan di tempat-tempat di Indonesia yang bersatu mathla‘ dengan negara ini, sebagaimana yang dipohonkan fatwa mengenainya, bererti Negara Brunei Darussalam hanya berpuasa Ramadhan 28 hari sahaja, sedangkan hitungan bulan qamariyyah jelas berdasarkan hadits-hadits di atas ialah 29 hari atau 30 hari. Oleh yang demikian pemakluman mengenai anak bulan dari negara Indonesia itu tidak boleh diterima pakai oleh negara ini.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7993
