Sembahyang Jumaat di Brunei Hall, London
Soalan: Untuk menjaga kesejahteraan penuntut-penuntut dan pegawai-pegawai Brunei yang berada di United Kingdom, maka Kementerian Pendidikan memohon nasihat dan pandangan Pehin terhadap cadangan bagi mengadakan sembahyang fardhu Jumaat di Brunei Hall.
Jawapan: Hukum sembahyang Jumaat adalah wajib ke atas setiap orang yang cukup lengkap padanya syarat-syarat mengerjakannya. Dalil wajibnya firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Surah al-Jumu‘ah: 9)
Hadits Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Sembahyang Jumaat itu adalah suatu hak yang wajib ke atas setiap orang Islam dalam berjemaah, melainkan empat iaitu: Hamba sahaya yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak atau orang sakit. (Hadits riwayat Abu Daud dan al-Hakim daripada Thariq bin Syihab)
Selain daripada itu ulama pula telah ijmâ‘ mengatakan tentang wajibnya sembahyang Jumaat itu.
Oleh kerana itu sembahyang Jumaat tidak boleh ditinggalkan. Jika ditinggalkan berdosa besar dan hati jadi gelap tidak dapat menerima nasihat. Sebagaimana sabda Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam:
Maksudnya: Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali tanpa ada uzur, nescaya Allah mengecap hatinya. (Hadits riwayat al-Baihaqi) (Dalam satu riwayat disebutkan)
Maksudnya: Maka sesungguhnya dia telah membuang Islam di belakangnya. (Hadits riwayat al-Baihaqi) Menurut mazhab asy-Syafi‘i Radhiallâhu ‘anhu, sah sembahyang Jumaat itu apabila memenuhi syarat-syarat berikut: (i) Sembahyang Jumaat dilakukan dalam bangunan atau yang seumpamanya dalam lingkungan kampung atau bandar. (ii) Dilakukan oleh 40 orang mukallaf, lelaki, mastautin yang tidak berpindah dari tempat mastautinnya. (iii) Dilakukan dalam waktu Zhuhur. (iv) Dilakukan secara berjemaah, paling tidaknya dalam rakaat pertama. (v) Tidak didahului oleh ucapan takbîratul-ihrâm sembahyang Jumaat lain dalam kawasan di tempat berkenaan, kecuali jika susah berhimpun orang ramai dalam satu tempat bagi mendirikan Jumaat itu. (vi) Didahului oleh dua khutbah. (Tuhfah ath-Thullâb: 31) Mengenai golongan dan kedudukan manusia serta hubungan mereka dengan Jumaat, terbahagi kepada enam bahagian: (i) Mana-mana orang, yang wajib Jumaat ke atasnya dan sah Jumaatnya itu serta terakad Jumaat dengannya dan dia itu daripada ahli Jumaat yang 40 orang. Mereka yang daripada golongan dan bahagian ini ialah setiap yang bermastautin, Muslim, mukallaf, lelaki, merdeka dan tidak mempunyai uzur syar‘i Jumaat. (ii) Mana-mana orang, yang wajib Jumaat ke atasnya dan sah Jumaatnya itu, tetapi tidak terakad Jumaat dengannya dan dia bukan pula daripada ahli Jumaat yang 40 orang yang bermastautin.
Mereka yang terdiri daripada golongan dan bahagian ini ialah setiap orang yang bermuqîm pada sesuatu tempat (bukan mastautin), seperti penuntut luar negeri di Universiti al-Azhar, mereka itu ialah orang bermuqîm (sama keadaan mereka dengan penuntut-penuntut Brunei di United Kingdom dan lain-lain).
Mereka yang tergolong dalam kedudukan ini termasuklah orang yang bermastautin di suatu tempat yang kedengaran azan dari tempat itu, sedangkan ahli Jumaat tidak cukup 40 orang. Begitu juga kumpulan yang sentiasa berpindah rendah.
Mereka ini wajib pergi ke tempat Jumaat itu dan ikut sama mendirikan Jumaat, tetapi tidak dikira tergolong daripada kalangan ahli Jumaat yang 40 orang itu.
(iii) Mana-mana orang, yang wajib Jumaat ke atasnya, tetapi tidak sah Jumaatnya dan tidak terakad Jumaat itu dengannya.
Mereka yang terdiri daripada golongan dan bahagian ini ialah orang-orang murtad.
(iv) Mana-mana orang, yang tidak wajib Jumaat ke atasnya dan tidak sah Jumaatnya serta tidak terakad Jumaat itu dengannya.
Mereka yang terdiri daripada golongan dan bahagian ini ialah orang kafir, kanak-kanak yang belum mumayyiz, orang gila, pengsan dan mabuk.
(v) Mana-mana orang, yang tidak wajib Jumaat ke atasnya dan tidak terakad dengannya tetapi sah Jumaatnya.
Mereka yang terdiri daripada golongan dan bahagian ini ialah kanak-kanak mumayyiz, hamba sahaya, perempuan, musafir dan yang mastautin di suatu tempat yang tidak kedengaran azan ke tempat itu, tidak cukup ahli Jumaat 40 orang, ataupun mereka itu kumpulan yang selalu berpindah rendah.
(vi) Mana-mana orang, yang tidak wajib Jumaat ke atasnya tetapi terakad serta sah Jumaatnya.
Mereka yang terdiri daripada golongan dan bahagian ini ialah orang yang mempunyai uzur atau halangan syara‘ Jumaat. (Fath al-‘Allâm: 3/14-15)
Mengenai syarat bilangan ahli Jumaat mengikut yang mu‘tamad dan yang dipakai dalam mazhab asy-Syafi‘i Radhiallâhu ‘anhu, bahawa sembahyang Jumaat itu hanya akan terakad oleh bilangan 40 orang di samping lain-lain syarat sah Jumaat. Tetapi sesetengah daripada sahabat Imam asy-Syafi‘i telah memilih pendapat bahawa terakad Jumaat dengan bilangan yang kurang daripada 40 orang, kerana bertaqlîd kepada pendapat ulama yang berkata demikian. Perbezaan pendapat mengenai bilangan ini adalah tersebar luas. (Bughyah al-Mustarsyidîn: 81)
Tersebut dalam risalah ‘Allâmah as-Sayyid Abu Bakar Syatha (al-‘Allâmah Abu Bakar yang masyhur juga dengan gelaran as-Sayyid al-Bakri bin as-Sayyid Muhammad Syatha ad- Dumyathi pengarang kitab I‘ânah ath-Thâlibîn)
Ertinya: Bagi Imam asy-Syafi‘i ada dua qaul qadîm tentang bilangan ahli Jumaat:
(1) Empat orang, maka sah Jumaat oleh empat orang sahaja, dan ini lebih kuat dalilnya berbanding dengan qaul yang menyebut 40 orang, oleh itu pakailah pendapat ini tanpa perlu lagi bertaqlîd kepada mazhab lain dan tidak perlu mengulang sembahyang Zhuhur, kerana Allah telah memberi kelapangan kepadamu melalui pendapat imammu. Dalilnya ialah hadits yang dikeluarkan daripada ad-Daraquthni dengan isnâd yang dha‘îf dan munqathi‘ dan oleh al-Baihaqi daripada kalangan ulama besar mazhab asy-Syafi‘i daripada Ummu ‘Abdullah ad-Dausiyyah, katanya: “Bersabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam: “Jumaat itu wajib ke atas setiap penduduk kampung walaupun jika tidak ada padanya melainkan 4 orang.”
(2) 12 orang mengikut satu riwayat daripada Rabi‘ah yang telah diceritakan oleh al- Mutawalli daripada al-Mawardi dan al-Mawardi pula menceritakannya daripada az-Zuhri dan qaul ini telah dipilih oleh an-Nawawi dalam Syarh al-Muhadzdzab dan Syarh Muslim kerana kuatnya.
Al-Imam as-Sayuthi sewaktu memberikan pendapatnya mengenai qaul yang kedua ini (tentang bilangan 12 orang ini) beliau berkata:
Ertinya: Di antara hujah-hujah yang dijadikan dalil oleh al-Imam as-Sayuthi Rahimahullâhu Ta‘âlâ ‘alaih bagi pendapat ini (12 orang) ialah hadits Ummu Ma‘bad ad- Dausiyyah katanya: “Sabda Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam: “Jumaat itu wajib ke atas setiap penduduk kampung walaupun tidak ada padanya melainkan 4 orang.” Seterusnya al-Imam as-Sayuthi menyebutkan tentang hadits ini dengan 4 jalan yang lemah dan katanya selepas menyebutkan 4 jalan itu: Telah hasil dicapai daripada semua jalan-jalan ini sejenis kekuatan bagi hadits kerana sesungguhnya jalan-jalan itu menguatkan di antara satu dengan yang lain, istimewa jika tiada pada sanadnya itu yang boleh ditohmah. [Tuhfah ar-Râghibîn: 7]
Sementara itu Imam an-Nawawi selepas membahaskan tentang hadits yang menyebut mengenai sembahyang Jumaat Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersama sahabat seramai 12 orang, beliau berkata:
Ertinya: Yang masyhûr dalam berbagai riwayat itu, ialah 12 orang. (Al-Majmû‘: 4/372)
Berkata ‘Abdul Rahman Ba al-Faqih: “Di sisi Imam asy-Syafi‘i, tidak sah Jumaat melainkan dengan 40 orang. Sementara pada qaul qadîm Imam asy-Syafi‘i dan Imam Abu Hanifah bahawa Jumaat itu sah dengan empat orang. Ini dikuatkan pula oleh beberapa jemaah daripada ulama dan sesiapa yang mengamalkan qaul ini.”
Tersebut dalam Risâlah al-‘Allâmah as-Sayyid Abu Bakar Syatha Rahimahullâh: “Kesimpulannya mengikut Imam asy-Syafi‘i tentang bilangan ahli Jumaat yang sah dengannya Jumaat itu, ada 4 qaul: Pertama: qaul mu‘tamad iaitu 40 orang dengan segala syarat yang disebutkan. Sementara tiga qaul lagi pada mazhab qadîm yang dha‘îf iaitu:
(i) 4 orang termasuk imam. (ii) 3 orang termasuk imam. (iii) 12 orang termasuk imam.
Kesemua tiap-tiap qaul ini disyaratkan pada mereka itu akan segala syarat yang tersebut pada 40 orang itu jua (Islam, mukallaf, lelaki, merdeka dan mastautin).”
Jadi jika demikian halnya, bagi orang yang berakal lagi mahu mencari pahala di sisi Allah, maka sayugialah jangan sekali-kali ditinggalkan Jumaat itu selama mana dapat dilakukan mengikut salah satu daripada qaul-qaul tersebut. Akan tetapi jika Jumaat tidak mencukupi syarat mengikut qaul yang pertama iaitu qaul jadîd, maka disunatkan sembahyang fardhu Zhuhur selepas Jumaat itu sebagai langkah berjaga-jaga.(Tuhfah al-Ghâribîn: 8).
Bolehkah diikut dan diamalkan qaul qadîm mengenai sah Jumaat yang kurang daripada 40?
Tersebut dalam Risâlah al-‘Allâmah as-Sayyid Abu Bakar Syatha Rahimahullâh:
Ertinya: Dan terlebih utama bagi mereka itu supaya bertaqlîd kepada orang yang berkata terakad Jumaat dengan hanya 12 orang sahaja. Apabila mereka bertaqlîd dan melakukan sembahyang, maka Jumaat mereka itu sah dan apabila selepas itu mereka sembahyang Zhuhur berjemaah maka itu adalah lebih baik. Jika mereka tidak sembahyang Zhuhur selepas itu, (masih) sah Jumaat mereka dan mereka tidak berdosa, bahkan yang berdosa ialah mereka yang tidak turut (hadir) sembahyang Jumaat tanpa keuzuran. Bagi mereka ini harus melakukan Jumaat di awal waktu. Demikian juga sah Jumaat orang luar yang bertaqlîd yang datang kepada mereka apabila dia juga bertaqlîd. Berkata Taqiuddin as-Subki Rahimahullâh: “Apabila bertaqlîd dia akan orang yang berkata daripada ashhâb asy-Syafi‘i Rahimahumullâh dengan sahnya Jumaat dengan 12 orang, nescaya memadailah dengan bilangan itu. [Tuhfah ar-Râghibîn: 5]
Tersebut dalam Risâlah al-‘Allâmah as-Sayyid Abu Bakar Syatha:
“Keterangan mereka tidak ada yang menentang untuk mengamalkan qaul qadîm apabila pada suatu masalah itu terdapat dua qaul, qaul qadîm dan qaul jadîd. Maka yang diamalkan ialah qaul jadîd, bukan qaul qadîm, iaitu selama qaul qadîm itu tidak dirâjihkan (dikuatkan) oleh ashhâb asy-Syafi‘i berdasarkan adanya dalil, jika qaul qadîm itu sudah dirâjihkan oleh sesetengah ashhâb asy-Syafi‘i, (seperti misalnya masalah tersebut ini) nescaya haruslah bertaqlîd kepadanya.” (Tuhfah ar-Râghibîn: 9)
Imam as-Sayuthi dalam Risâlahnya sebagaimana yang tersebut dalam Fatwâ al-Kurdi menyebutkan:
“Ketahuilah bahawa pentarjîhan kami terhadap qaul ini (qaul qadîm), adalah lebih utama daripada pentarjîhan ulama muta’akhirîn tentang harusnya berbilang-bilang Jumaat …...” (Tuhfah ar-Râghibîn: 9)
Berkata Mufti Ba Alawi dalam al-Bughyah: “Ketahuilah bahawa al-Imam as-Sayuthi dan ulama-ulama lain berkata: “Adalah tidak tsabit mana-mana hadits yang menentukan bilangan tertentu pada Jumaat.”
Oleh sebab itu ulama berbeza-beza pendapat tentang berapa orang yang menjadi syarat sah bilangan Jumaat, sebagaimana dalam al-Bughyah. Ibnu Hajar al-‘Asqalani disebutkan sebagai berkata bahawa pendapat ulama mengenai perkara ini ada sebanyak 15 pendapat, ada yang berkata 3, 4, 12, 13, 30, 40 dan sebagainya.....
Al-Imam as-Sayuthi dalam kitabnya al-Hawî li al-Fatâwâ pula sewaktu membahaskan bilangan yang terakad dengannya sembahyang Jumaat, beliau telah menyebutkan bahawa ulama-ulama Islam berbeza pendapat mengenainya sebanyak 14 qaul, antara pendapat itu ialah: “4 orang termasuk Imam. Inilah pendapat yang menjadi pegangan Imam Abu Hanifah, Imam ats-Tsauri, Imam al-Laits,”......... pendapat ini dipilih oleh al-Muzani sebagaimana yang diceritakan oleh al-Azra‘i dalam (al-Qût) dan itulah pilihan saya (as-Sayuthi)” (Al-Hâwî li al- Fatâwâ: 1/99-100).
Di antara persoalan yang berkaitan dengan sah atau tidak sah Jumaat itu ialah tentang orang bermuqîm dan orang yang bermastautin.
Siapakah orang yang bermuqîm itu? Iaitu setiap orang yang tinggal atau berada di suatu tempat yang tempat itu bukanlah tempat tinggalnya buat selama-lamanya dan dia masih berazam akan kembali semula ke tempat tinggal asalnya walaupun selepas jangka masa yang lama, seperti penuntut di luar negeri apabila tamat belajar dia akan kembali ke negeri asalnya, atau seperti peniaga-peniaga yang keluar negeri yang apabila selesai urusan perniagannya akan kembali juga ke negeri asalnya. (Mughnî al-Muhtâj:1/385 dan I‘ânah ath-Thâlibîn: 2/54)
Kedudukan orang yang bermuqîm dalam sembahyang dijelaskan oleh pengarang Fath al- ‘Allâm dengan katanya:
“Jika seseorang bermuqîm di suatu kampung masih berazam untuk kembali semula ke negeri tempat tinggal tetapnya, walaupun selepas jangka masa yang lama, kemudian dia pergi ke masjid menunaikan Jumaat bersama-sama penduduk kampung berkenaan, dan jika bilangan penduduk mastautin kampung itu sudah cukup atau lebih (40) orang selain orang yang bermuqîm itu, maka sahlah sembahyang Jumaat itu, akan tetapi jika bilangan mereka belum cukup (40) orang melainkan dengan orang yang bermuqîm itu, maka Jumaat mereka itu tidak sah.” (Fath al-‘Allâm: 3/27)
Adapun tentang orang-orang yang bermuqîm dalam suatu tempat yang ingin mendirikan sembahyang Jumaat pula, sedangkan tidak ada bersama mereka orang-orang yang bermastautin, atau bersama-sama mereka ada orang-orang yang bermastautin tetapi kurang daripada 40 orang, maka sembahyang Jumaat mereka itu tidak sah mengikut keterangan pengarang Fath al-‘Allâm. Nash penjelasannya adalah seperti berikut:
“Jikalau berhimpun satu kumpulan yang terdiri daripada para peniaga yang sedang pergi ke suatu pasar menjual barang dagangan mereka di pasar berkenaan dalam tempoh tertentu, kemudian mereka bermaksud mendirikan Jumaat di suatu tempat khas bagi mereka, maka Jumaat mereka itu tidak sah, kecuali jika turut berjumaat bersama-sama mereka (40) orang penduduk mastautin kampung berkenaan.” (Fath al-‘Allâm: 3/27)
Pendapat ulama-ulama Hanafi, Maliki dan Hanbali tentang kedudukan orang yang bermastautin yang hendak mendirikan Jumaat adalah hampir dengan pendapat ulama-ulama asy-Syafi‘i seperti yang disebutkan di atas yang dipetik daripada kitab Fath al-‘Allâm itu. Misalnya dalam mazhab Maliki disebutkan seperti berikut:
“Jikalau sekumpulan jemaah dalam jumlah yang ramai singgah di suatu tempat dan mereka berniat tinggal (bermuqîm) di tempat itu selama satu bulan dan mereka bermaksud mendirikan Jumaat di tempat yang berkenaan, maka Jumaat mereka itu tidak sah dan tidak wajib ke atas mereka.” (Al-Fiqh ‘alâ al-Madzâhib al-Arba‘ah: 1/381)
Sekarang dirumuskan setelah mengetahui hukum dan pendapat berhubung dengan syarat sah Jumaat dari segi bilangan 40 orang ke atas mengikut yang mu‘tamad dalam mazhab asy- Syafi‘i dan berhubung dengan pendapat yang kita nukil daripada al-Hawî karangan as- Sayuthi, Tuhfah ar-Râghibîn karangan Husain bin Sulaiman dan lain-lain yang menyebutkan bahawa boleh bertaqlîd kepada qaul qadîm yang sudah ditarjîh, begitu juga berhubung dengan pendapat mazhab Hanafi dalam perkara bilangan ahli Jumaat yang dipilih oleh Imam as-Sayuthi ulama mazhab asy-Syafi‘i, serta setelah kita mengetahui berkenaan dengan kedudukan orang-orang yang bermuqîm dan bermastautin dalam perkara Jumaat, maka penjelasan kita mengenai dengan kemusykilan yang diminta fatwa adalah seperti berikut:
i. Mengikut yang mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘i dan tiga mazhab yang lain, sekumpulan orang yang bermuqîm tidak wajib dan tidak sah mendirikan Jumaat tanpa disertai sama oleh orang yang bermastautin yang jumlahnya 40 orang yang memenuhi syarat-syarat sah Jumaat. Inilah jumlah atau bilangan dalam mazhab asy-Syafi‘i.
ii. Berdasarkan maklumat daripada Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di London melalui Pengarah Pengajian (Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam di London), ada sekurang-kurangnya 50 orang Islam yang bermastautin di sekitar Brunei Hall. Jika bilangan ini memenuhi syarat-syarat sah Jumaat, maka pihak berkuasa Brunei bolehlah mendirikan Jumaat di Brunei Hall yang para jemaahnya terdiri tidak kurang daripada 40 orang Islam yang bermastautin yang tinggal di sekitar Brunei Hall itu. Adapun penuntut-penuntut dan pegawai-pegawai kedutaan sebagai orang-orang yang bermuqîm di Kota London yang sampai seruan Jumaat kepada mereka, wajib ke atas mereka menunaikan fardhu Jumaat bersama-sama dengan orang Islam yang bermastautin di sekitar Brunei Hall itu. Hendaklah diingat bahawa penuntut-penuntut atau sesiapa juga yang bermuqîm, bukanlah mereka itu orang yang mencukupkan bilangan atau jumlah 40 orang itu. iii. Sekiranya orang-orang yang bermastautin yang tinggal di sekitar Brunei Hall itu sudah cukup 40 orang yang memenuhi syarat-syarat sah Jumaat, mendirikan Jumaat, maka tidaklah berbangkit persoalan boleh atau tidak penuntut-penuntut Brunei mendirikan Jumaat di Brunei Hall. Yang berbangkit itu ialah jika ke semua orang yang mendirikan sembahyang Jumaat di Brunei Hall itu, terdiri daripada orang-orang yang bermuqîm sahaja seperti penuntut-penuntut dan pegawai-pegawai Kedutaan Negara Brunei Darussalam, maka sembahyang Jumaat di Brunei Hall itu tidak sah.
iv. Jika ada 4 orang yang bermastautin atau lebih di sekitar Brunei Hall, kemudian turut sama dalam sembahyang Jumaat yang didirikan di Brunei Hall itu, sama ada penuntut-penuntut Brunei atau sesiapa sahaja yang berstatus bermuqîm, maka terakad dan sahlah Jumaat mereka itu walaupun ini bukan qaul mu‘tamad dalam mazhab asy-Syafi‘i, tetapi berdasarkan qaul qadîm yang sudah ditarjîh oleh sebahagian ulama mazhab asy-Syafi‘i, iaitu sah Jumaat dengan hanya 12 orang yang bermastautin bahkan mengikut mazhab Hanafi sah Jumaat dengan 4 orang yang bermastautin sebagaimana menurut Imam as- Sayuthi dalam kitabnya (Al-Hawî li al-Fatâwâ: 1/76) ketika menyebut pendapat mazhab Hanafi itu, beliau berkata: َ لارىحيل َإلخْتحهُوحو “itulah pilihan saya”.
Kita pilih pendapat ini sebagai irsyâd, dengan merujuk apa yang disebutkan oleh al-Imam as- Sayuthi, semata-mata melihat keadaan yang khusus bagi orang-orang Islam yang bermastautin yang kurang daripada bilangan 40 orang yang tinggal di mana-mana tempat di luar Brunei seperti Kota London atau yang seumpamanya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-7996
