Surah Al-‘Alaq di Atas Mercu Tanda
Soalan: Dengan hormat dan takzim, sukacita memaklumkan bahawa Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam akan mengadakan Sambutan Jubli Perak 25 tahun penubuhan Maktab. In syâ’ Allah pada bulan Oktober, 1997 ini. Salah satu sebagai acara untuk kenang-kenangan ialah pihak Maktab akan membuat mercu tanda yang akan dimuatkan dengan ayat-ayat daripada surah al-‘Alaq. Mercu tanda tersebut akan dibina di hadapan bangunan Pentadbiran Maktab iaitu di tempat berhampiran dengan tiang bendera dan tingginya seperti ‘podium’ yang akan ditandatangani oleh tetamu kehormat Yang Berhormat Pehin Menteri Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.
Sehubungan dengan itu pihak Maktab memohon pandangan dan penjelasan daripada pihak Pehin apakah tidak menjadi kesalahan menulis ayat-ayat al-Qur’an di atas mercu tanda yang disebutkan itu atas alasan diletakkan di luar bangunan dan tidak mempunyai atap.
Jawapan: Al-Qur’an ialah Kalâmullâh. Sebagaimana nama al-Qur’an dipakaikan kepada Mushhaf yang ada di tangan kaum Muslimin, nama al-Qur’an juga dipakaikan kepada surah dan ayat-ayatnya. Jika ada orang yang membaca atau menuliskan satu surah atau satu ayat daripadanya, maka dia dikatakan juga membaca atau menuliskan al-Qur’an.
Mushhaf yang mengandungi Kalâmullâh wajib dipelihara dan dihormati dan adalah haram ia dibiarkan tercemar oleh najis atau oleh apa-apa penghinaan, bahkan ia haram disentuh tanpa ada air sembahyang.
Oleh yang demikian, jika al-Qur’an itu ditulis, hendaklah ditulis pada tempat yang selayaknya yang sesuai dengan kemuliaannya dan apabila diyakini ia akan tercemar oleh najis atau penghinaan, bererti ia tidak dibenarkan ditulis pada tempat berkenaan.
Sehubungan dengan perkara menuliskan al-Qur’an ini sama ada keseluruhan atau satu surah atau hanya satu ayat, ulama-ulama Islam telah lama memperkatakannya seperti dalam kitab-kitab fiqh daripada berbagai mazhab.
Dalam kitab al-Majmû‘ karangan Imam an-Nawawi daripada mazhab asy-Syafi‘i, ada disebutkan nash berikut:
Ertinya: Berkata al-Baghawi dan lain-lain: “Adalah makruh diukir dinding dan baju dengan al-Qur’an dan dengan nama-nama Allah Ta‘ala.” [Al-Majmû‘: 2/83]
Dalam Asnâ al-Mathâlib, karangan asy-Syaikh al-Islam Zakaria al-Anshari, juga daripada mazhab asy-Syafi‘i, terdapat nash berikut:
Ertinya: Dan makruh ditulis al-Qur’an di atas tembok, sekalipun tembok (dinding) masjid. [Asnâ al-Mathâlib: 1/62]
Dalam kitab al-Fiqh ‘alâ al-Madzâhib al-Arba‘ah susunan asy-Syaikh ‘Abdul Rahman al- Juzairi pada perkara ‘Hukum menuliskan al-Qur’an di dinding,’ terdapat perkara yang sama yang antara lain berbunyi: “Dinding yang dimaksudkan termasuklah dinding masjid, dinding rumah dan yang sejenisnya. Imam-imam besar telah sepakat mengatakan bahawa adalah makruh hukumnya menulis sesuatu daripada al-Qur’an di dinding masjid.”
Berkata ulama Maliki: “Jika tulisan al-Qur’an itu terletak di arah qiblat, adalah makruh kerana ia boleh mengganggu orang yang sembahyang, sama ada yang ditulis daripada al-Qur’an atau daripada yang lain dan tidak makruh jika yang ditulis itu bukan di arah qiblat.”
Berkata ulama asy-Syafi‘i: “Adalah makruh menuliskan sesuatu daripada al-Qur’an pada dinding masjid dan atapnya dan haram bersandar kepada sesuatu yang tertulis padanya al- Qur’an iaitu dengan menjadikannya di sebelah belakangnya.”
Berkata ulama Hanbali: “Adalah makruh menuliskan sesuatu pada dinding masjid dan atapnya. Jika yang demikian dilakukan daripada harta waqaf, adalah haram.”
Berkata ulama Hanafi: “Adalah tidak selayaknya penulisannya pada dinding masjid kerana ditakuti terjatuh dan akhirnya terpijak.” (1/290)
Imam Muhammad al-Hakim at-Tirmidzi dalam kitab Nawâdir al-Ushûl berkata: “Antara cara menghormati al-Qur’an ialah supaya ia tidak dituliskan di lantai dan juga pada dinding sebagaimana yang dilakukan orang pada dinding masjid-masjid baru.” (334)
Berdasarkan nash-nash ulama asy-Syafi‘i dan ulama-ulama mazhab lain yang disebutkan di atas, maka adalah makruh menuliskan sesuatu daripada al-Qur’an dan mana-mana nama Allah pada tembok (dinding), sekalipun tembok (dinding) masjid.
Jika dinding atau siling masjid, yang merupakan tempat bersih yang sentiasa wajib dipelihara kebersihan dan kehormatannya telah dihukumkan makruh menuliskan al-Qur’an, apahalnya jika berlaku yang demikian pada tempat-tempat lain yang terang-terang terdedah kepada pencemaran. Misalnya ditulis di satu tempat terbuka yang tidak terjamin kesuciannya pada setiap saat?
Jadi selain hukum makruh menulis ayat-ayat al-Qur’an di tempat-tempat tertentu seperti disebutkan oleh para ulama di atas, maka apakah pula jaminan yang dapat kita lakukan supaya penulisan surah al-Qur’an pada mercu tanda yang terbuka dan terdedah seperti contoh lakaran yang disertakan itu, tidak akan tercemar oleh kotoran debu atau najis burung dan lain-lain seumpamanya yang boleh membawa kepada terhina ayat al-Qur’an itu? Melainkan kiranya tempat dan tulisan di mana surah yang mengandungi ayat-ayat al-Qur’an itu tertulis, terselamat daripada sebarang cemar dan najis dan kehinaan.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8000
