Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الصلاة

Surau dan Balai Ibadat untuk Selain Daripada Beramal Ibadat

Soalan: Sebagaimana yang pihak Pehin sedia maklum pada tahun-tahun kebelakangan ini Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama telahpun mendirikan masjid-masjid dengan pesatnya baik di peringkat mukim ataupun kampung.

Dengan terdirinya masjid-masjid ini, beberapa buah surau dan balai ibadat di berapa buah kampung tidak lagi digunakan. Dalam hubungan ini beberapa orang ketua kampung telah mencadangkan supaya surau atau balai ibadat ini dijadikan pejabat mereka, tempat anak-anak kampung bermesyuarat dan seumpamanya.

Oleh yang demikian, dipohonkan penjelasan Pehin mengenai dengan kedudukan perkara tersebut, apakah ia tidak menyalahi sekiranya digunakan bagi maksud-maksud selain daripada tempat beramal ibadat?

Jawapan: Lazimnya surau atau balai ibadat yang didirikan atau dibangunkan di negara ini dibiayai daripada hasil derma orang ramai. Orang ramai yang menyalurkan derma itu dengan niat untuk membangun surau yang tujuannya untuk mendirikan sembahyang dan belajar ilmu-ilmu agama, seperti belajar al-Qur’an, muqaddam, mengadakan kuliah maghrib, kuliah subuh, bertahlîl hatta kerana mesyuarat kebajikan kampung.

Demikianlah fungsi surau, balai ibadat atau masjid bagi tujuan yang disebutkan yang tidak keluar dari makna ibadat. Namun ibadat sembahyang lebih menonjol.

Selain derma-derma itu berbentuk wang ringgit, setengah-setengah penderma akan mewaqafkan sesuatu benda, barang atau peralatan seperti kipas angin, alat penyaman udara, pembesar suara, tikar permaidani dan lain-lain kemudahan surau.

Dengan hal demikian kedudukan benda, barang atau peralatan yang diwaqafkan itu dengan sendirinya berpindah milik peribadi menjadi milik Allah, terlepas atau terkeluar daripada milik atau ikhtishâsh manusia, sama ada orang yang berwaqaf atau menerima waqaf.

Derma yang dihulurkan oleh orang ramai bagi tujuan tertentu atau untuk membuat sesuatu, mestilah ia mengikut niat penderma-penderma itu dan segala syarat-syarat derma yang diberikan itu mestilah dipatuhi dan diikuti selama mana syarat-syarat itu memenuhi kehendak syara‘ atau tidak bercanggah dengan syara‘.

Inilah maksud ibarat:

Ertinya: Apabila disyaratkan oleh pewaqaf dengan sesuatu syarat yang dia maksudkan, seperti mensyaratkan untuk tidak disewakan secara muthlaq, atau melainkan sekian: seperti setahun, atau mensyaratkan dengan memberi keutamaan kepada sebahagian daripada orang yang diwaqafkan (mauqûf ‘alaihi) lebih daripada yang lain, atau mensyaratkan memberi keutamaan kepada perempuan lebih daripada lelaki, atau mensyaratkan disamaratakan (pembahagian) di kalangan mereka atau disyaratkan pengkhususan terhadap masjid, seperti (masjid) ialah madrasah, tanah perkuburan bagi golongan tertentu seperti penganut mazhab asy-Syafi‘i: Hendaklah diikutiََ (atau dipatuhi) syarat-syarat pewaqaf itu, - bukan dalam keadaan dharurat, -ََ demikian juga syarat-syarat lainnya yang tidak bertentangan dengan syara‘. [I‘ânah ath-Thâlibîn: 199- 200]

Adapun cadangan olehََ ketua-ketua kampung supaya surau atau balai ibadat yang dikatakan tidak lagi digunakan itu untuk maksud-maksud selain daripada tempat beramal ibadat, juga untuk dijadikan pejabat, adalah masih umum dan memerlukan penjelasan.

Sebagaimana yang dimaklumi, sebuah surau atau balai ibadat seperti juga masjid, mempunyai ciri-cirinya yang khusus atau ada perlambangan atau tanda-tanda yang menunjukkan ia sebuah surau atau masjid, berbeza dengan lain-lain bangunan biasa.

Perbezaan yang ketara bagi sebuah surau atau balai ibadat ialah sesiapapun boleh memasukinya tanpa sebarang sekatan, melainkan ia akan dikunci pada waktu-waktu tertentu, seperti waktu malam bagi tujuan menjaga atau memelihara keselamatan barang-barang di dalamnya supaya tidak dicuri atau dirosakkan orang.

Menjadikan surau atau balai ibadat itu pejabat, adakah ia tidak akan menghilangkan identiti surau atau balai ibadat itu, yang juga dengan sendirinya akan mengubah tujuan asal orang ramai yang menderma? Kecuali jika pejabat yang hendak dibuat itu ialah bagi tujuan atau mempunyai kepentingan yang berkaitan dengan surau atau balai ibadat itu sendiri.

Cadangan ketua-ketua kampung untuk menjadikan surau atau balai ibadat sebagai pejabat yang tidak mempunyai kaitan atau bukan kerana mashlahat kedua-duanya akan mengubah tujuan surau atau balai ibadat itu didirikan.

Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, Mufti Kerajaan Brunei apabila ditanya mengenai:

“ (1) Dalam kawasan Masjid Sengkurong ada didirikan sebuah bangunan dekat bangunan masjid itu, bangunan tersebut di antaranya digunakan untuk tempat berjamu, seperti berjamu sesudah bertadârus. Bolehkah bangunan itu dijadikan tempat belajar agama yakni untuk kanak-kanak belajar seperti sekolah agama?

(2) Penduduk sebuah kampung memerlukan supaya kanak-kanak mereka belajar agama dan tiada ada tempat untuk itu kerana bangunan sekolah Melayu yang biasa digunakan sebagai sekolah agama telah tidak ada kosong lagi dan ada satu cadangan untuk mendirikan bangunan dalam kawasan masjid di kampung itu bagi maksud tempat belajar agama yakni untukََ kanak-kanak belajar seperti sekolah agama dan juga kegunaan-kegunaan masjid seperti diceraian (1) di atas. Bagaimanakah kedudukan perkara tersebut?”

Allahyarham Pehin memfatwakan:

“(1) Jika bangunan itu tiada dinamakan masjid, maka ia bukan masjid, sekalipun ia diwaqafkan untuk mashlahat masjid.

Adapun jika bangunan itu waqaf bagi mashlahat masjid, kemudian hendak dijadikan dia sebagai sekolah dengan mempunyai bilik-bilik atau bangku-bangku dan meja-meja jadi rupa dan keadaan sekolah, sudah tentu mengubah tujuan bagi mendirikan bangunan itu, kerana sesuatu waqaf mestilah mengikut syarat-syarat waqaf yang ada padanya.

Jika kiranya bangunan itu, bangunan bagi mashlahat masjid dan bukan ia waqaf maka zahirnya juga berkehendakkan kebenaran daripada orang yang berderma itu pada menukarkan tujuan dari mashlahat masjid kepada tujuan menjadikan dia sekolah.

Adapun belajar mengaji al-Qur’an dan ilmu agama dalam bangunan itu adalah harus kiranya tiada mengacau dan mengharu lain orang pada menggunakan ia dengan menyempitkan dia dengan perkakas sekolah.

... derma sesuatu atau membuat sesuatu mestilah ia mengikut niat yang menderma atau yang membuatnya. Dan syarat-syarat waqaf mestilah dipatuhi dan masjid atau bangunan dalam soal ini boleh digunakan tempat mengaji dan mengajar.

Jika tanah itu waqaf masjid, maka tanah itu adalah ia masjid, sekalipun tiada ada bangunan masjid di atasnya. Dan tiadalah dapat dijadikan lain dari masjid.

Adapun jika tanah itu waqaf bagi masjid dan mashlahat masjid, maka tiadalah dapat didirikan sekolah di atas tanah masjid itu, kerana sekolah bukan masjid dan bukan mashlahat masjid.

(2) Jika tanah itu bukan waqaf dan tanah itu diuntukkan masjid dan mashlahat masjid, maka tiada juga boleh didirikan sekolah di atas tanah itu kerana sekolah bukan ia mashlahat masjid.

... maka sekolah bukan dari mashlahat masjid kerana ia tiada ada hubungan dengan bangunan masjid atau tiada ada hubungan dengan meriahkan masjid dan ihyâ’ akannya, Wallâhu A‘lam.”َ (Siri Fatwa 44/75)

Jika melihat kepada dasar fatwa di atas, maka boleh diqiyâskan kepada menjadikan surau atau balai ibadat sebagai pejabat untuk ketua-ketua kampung itu, adalah ia tiada harus kerana tiada kaitannya dengan surau atau balai ibadat atau mashlahat kedua-duanya itu.ََ Apatah lagi jika bangunan surau atau balai ibadat itu ialah waqaf bagi mashlahat kedua-duanya semata-mata sebagai surau atau balai ibadat, maka menjadikannya pejabat dengan mempunyai kerusi meja dan lain-lain kemudahan dan kelengkapan sebagai pejabat, sudah barang tentunya akan mengubah rupa atau keadaan serta tujuan mendirikan bangunan tersebut, sedangkan waqaf sesuatu benda itu mestilah ia mengikutَ syarat-syarat waqaf yang ada padanya.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8004