Cara Penyempurnaan Mayat Yang Tidak Dikenali
Soalan: Dengan penuh hormat sukacita kaola memaklumkan kehadapan majlis Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin, bahawa pada 5hb. September, 1998 jam 9.30 pagi, Balai Polis Seria telah menerima satu laporan daripada orang awam iaitu tentang penemuan mayat seorang lelaki yang tidak dikenali identitinya, di dalam sebuah ‘junjung’ yang terpencil di kawasan Hutan Anduki berdekatan dengan kawasan pembuangan sampah Anduki. Mayat tersebut ketika dijumpai dalam keadaan reput dan bentuk muka yang sukar dikenali.
Bedah siasat telahpun selesai dijalankan dan mayat tersebut adalah mayat seorang lelaki dan tanda-tanda yang ada di tempat kejadian dan tubuh si mati tidak ada menunjukkan sama ada dia seorang yang beragama Islam ataupun sebaliknya.
Mayat tersebut masih disimpan di bilik mayat RIPAS sementara menanti untuk dikebumikan. Pihak pathologist menjangkakan mayat tersebut sudah berusia lima hingga ke enam bulan ketika dijumpai.
Untuk makluman Pehin, pihak polis telahpun berusaha untuk mencari pewaris mayat berkenaan, malangnya sampai masa kini tiada siapa yang mengetahui identiti si mati dan belum ada pewaris atau keluarga si mati yang menuntut.
Pihak polis memohon fatwa dan nasihat dalam masalah pengkebumian mayat si mati.
Jawapan: Agama Islam itu tinggi dan mulia dan tidak ada agama yang mengatasinya.
Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengatasinya.” (Hadis riwayat Al-Daraquthni)
Dengan sebab kemuliaan dan ketinggian agama Islam, orang-orang Islam dan negeri-negeri Islam juga turut menjadi mulia dan mempunyai kehormatan kerana mereka dibangsakan kepadanya. Pada dasarnya apa yang ada dan berlaku di dalam negeri orang-orang Islam ia mesti tertakluk kepada hukum Islam dan adat-adat orang-orang Islam.
Kedudukan seperti ini jika dikaitkan dengan permasalahan “berjumpa mayat yang tidak dikenali” yang dikemukakan oleh pihak Pegawai Pemerintah Polis Daerah Belait, mengikut keterangan ulama-ulama fiqh, kedudukannya adalah seperti berikut:
Sekiranya dijumpai tengkorak atau anggota mayat, atau satu mayat yang lengkap di negeri Islam (negara Islam) yang tidak mempunyai tanda pengenalan secara pasti adakah dia anggota atau mayat orang Islam atau bukan Islam, maka wajiblah disempurnakan secara menyempurnakan anggota atau mayat orang Islam; dimandikan, dibungkus (kafan) disembahyangkan dan ditanam di perkuburan orang Islam.
Perkara ini dapat dirujuk di dalam kitab-kitab fiqh mazhab Syafi‘e, seperti Mughnî Al- Muhtâj 1/474, Tuhfah Al-Muhtâj dan Hâsyiahnya 3/16, Nihâyah Al-Muhtâj 2/495, Asnâ Al-Mathâlib 1/313 dan lain-lain.
Lafaz ibarat kitab-kitab berkenaan ada yang tidak sama, tetapi maksudnya adalah sama.
Di dalam kitab Nihâyah Al-Muhtâj ibaratnya seperti berikut:
Ertinya: “Dan jikalau dijumpai mayat yang tidak dikenali atau sebahagian anggotanya di negeri kita, ia disembahyangkan kerana yang lebih ramai di negeri itu orang-orang Islam.” (Nihâyah Al-Muhtâj 2/495).
Manakala di dalam matan kitab Asnâ Al-Mathâlib iaitu kitab Al-Raudh berbunyi:
Ertinya: “Sesiapa menjumpai mayat yang tidak diketahui identitinya atau anggotanya, di dalam negeri Islam, maka hendaklah dia menyembahyangkannya.” (Asnâ Al-Mathâlib 1/313).
Di antara alasan atau ‘illah yang dikemukakan ulama mengenai perkara ini adalah kerana orang Islam lebih ramai dan kerana kehormatan negeri Islam itu sendiri, bahkan Imam Al-Syabramallisi menyebutkan lagi bahawa tidak ada perbezaan di negeri yang kebanyakannya orang-orang Islam itu - sama ada di situ terdapat tanda-tanda kufur seperti salib atau pun tidak dan hukum seperti ini berlaku kerana kemuliaan dan kehormatan negeri orang-orang Islam itu.
Manakala Syeikh Ahmad Al-Maghribi menyebutkan bahawa jika yang dijumpai itu tergolong di bawah hukum laqîth (kanak-kanak pungut), yang tidak diketahui identitinya dijumpai di negeri orang kafir, tetapi di negeri itu ada orang Islam, adalah disembahyangkan juga.
Katanya:
Ertinya: “Maka hukum mayat yang tidak dikenali atau anggotanya, adalah hukum laqîth, dan permasalahannya ialah: “Apabila ia dijumpai di negeri orang kafir dan di situ ada orang Islam, sesungguhnya dia adalah disembahyangkan.” (Nihâyah Al-Muhtâj dan kedua-dua Hawâsyinya 2/495)
Pihak Pegawai Polis Daerah Belait pada hari Sabtu 7 November, 1998 di bilik Yang Dimuliakan Pehin Timbalan Mufti Kerajaan telah menerangkan secara lisan bahawa di antara barang-barang dan peralatan yang dijumpai di dalam pondok mayat berkenaan ialah:
i. Barang-barang makanan di dalam tin yang dianggap halal.
ii. Minuman di dalam tin yang bukan haram.
iii. Terdapat beberapa akhbar, termasuk Pelita Brunei dan Berita Harian (Malaysia).
iv. Sebuah beg pakaian yang antara lain mengandungi beberapa lembar kertas yang diandaikan sebagai surat.
Catatan yang terdapat di dalam lembaran kertas menunjukkan seakan-akan penulisnya beragama Islam kerana terdapat perkataan:
- Assalamu‘alaikum apa khabar Saari Amri... - Fitnah. - Yang benar daripada Mohammad bin Hamzan dan sebagainya.
Dengan berpandukan keterangan ulama-ulama fiqh dan disokong pula oleh butir-butir yang disebutkan oleh pihak Pegawai Polis Belait itu, maka mayat berkenaan hendaklah dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikuburkan di perkuburan orang-orang Islam.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8036
