Cerai Disebabkan Dharar (Penganiayaan)
Soalan: Dengan segala hormatnya dipohonkan fatwa seperti berikut:
“Apabila seseorang suami telah melakukan sebarang penganiayaan ke atas isterinya atau menyakiti atau melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badan, kehormatan atau harta benda isterinya sama ada dengan perkataan atau perbuatan dan isterinya itu tidak sanggup untuk hidup bersama dan meneruskan perhubungan suami isteri, isterinya itu boleh mengadu menuntut cerai kepada Mahkamah dan manakala sabit aduannya dan mahkamah gagal mendamaikan di antara kedua-duanya, mahkamah boleh menjatuhkan hukum cerai dengan satu talak bâ’in.”
Mengenai perkara yang disebutkan di atas itu, Majlis Ugama Islam telah memutuskan supaya perkara cerai dengan dharar ini akan dirujukkan kepada Jabatan Mufti Kerajaan untuk mendapatkan dalil ataupun hujah yang dharar itu membolehkan mahkamah menceraikan bagi pihak si suami itu.
Jawapan: Syariat Islam telah meletakkan kuasa talak di tangan suami dan tidak meletakkannya di tangan isteri. Akan tetapi sebagai imbalannya, syara‘ juga memberikan kepada isteri suatu hak lain di mana isteri boleh meminta supaya dipisahkan daripada suami apabila suaminya mempunyai cacat atau ‘aib yang boleh memusnahkan hasil atau tujuan perkahwinan, suami tidak berupaya memberi nafkah atau perbelanjaan, suami tidak mahu memberi nafkah mengikut yang selayaknya, suami memudaratkan atau menyakiti isterinya atau si isteri takut menderita kerana suaminya ghaib, hilang atau ditahan.
Perpisahan atau perceraian suami isteri semasa mereka berdua masih hidup dalam ikatan perkahwinan mengikut mazhab Syafi‘e ialah sama ada melalui jalan talak atau jalan fasakh.
Berkata Syeikh Al-Islam Zakaria Al-Anshari dalam kitabnya Tuhfah Al-Thullâb h. 104:
Ertinya: “Pemisah ikatan pernikahan semasa masih hidup ialah melalui talak dan fasakh.”
Adapun talak itu boleh terjadi dengan salah satu sebab daripada perkara yang empat ini:
(i) Talak daripada suami, sama ada secara sharîh atau kinâyah, diucapkan atau diisyaratkan oleh suami sendiri ataupun suami menyerahkan kuasa mentalak kepada isteri supaya mentalak dirinya sendiri.
(ii) Khulu‘ atau tebus talak, di mana si isteri memberi sesuatu kepada suami supaya dia diceraikan, sama ada dengan lafaz talak atau khulu‘.
(iii) Ila‘, iaitu suami bersumpah tidak akan menyetubuhi isterinya dalam tempoh tertentu. Apabila habis tempoh berkenaan, sedangkan suami masih belum mahu menyetubuhi isterinya, maka isteri boleh meminta hakim menceraikan mereka.
(iv) Hakamain, iaitu jika terjadi syiqâq (pertelingkahan) di antara suami isteri, mahkamah akan mengangkat atau melantik hakam (wakil pendamai), satu daripada pihak keluarga suami dan satu lagi daripada pihak keluarga isteri, atau daripada pihak orang lain, selain daripada keluarga masing-masing, supaya kedua-dua hakam akan membuat keputusan sama ada suami isteri berkenaan patut bercerai atau tetap meneruskan ikatan perkahwinan mereka. Jika kedua-dua hakam ini berpendapat mereka mesti bercerai, maka hendaklah keputusan itu diterima.
Dengan yang demikian talak itu boleh terjadi dengan dijatuhkan oleh suami sendiri secara langsung atau berwakil kepada orang lain, termasuk kepada isterinya sendiri dan pihak mahkamah.
Berkata Imam Al-Syirazi dalam Al-Tanbîh h. 112:
Ertinya: “Suami yang merdeka boleh menjatuhkan talak dengan sendirinya dan dia juga boleh mewakilkannya kepada orang lain.”
Selain perpisahan atau perceraian suami isteri seperti yang disebutkan di atas, maka perpisahan atau perceraian juga boleh berlaku melalui fasakh. Fasakh bermakna memutuskan akad pernikahan jika terdapat pada mereka sebab-sebab tertentu. Mengikut Syeikh Al-Islam Zakariya Al-Anshari dalam kitabnya Tuhfah Al-Thullâb h. 104, bahawa sebab-sebab fasakh itu ada sebanyak tujuh belas (17) jenis, iaitu:
(1) Suami tidak berupaya membayar mas kahwin (mahar).
(2) Suami tidak sanggup memberi nafkah atau perbelanjaan kepada isteri, termasuk nafkah untuk membeli pakaian dan tempat tinggal. (3) Li‘ân (suami bersumpah di hadapan hakim bahawa dia berkata benar tentang tuduhannya bahawa isterinya berzina dan isteri pula bersumpah apa-apa yang dituduhkan oleh suaminya itu kepadanya adalah dusta belaka). (4) Merdeka (lepas daripada ikatan perhambaan). (5) Terdapat cacat, seperti penyakit sopak, gila, kusta, penyakit menular dan lain-lain. (6) Terdapat tipu daya dalam perkahwinan. (7) Terjadi wathi’ syubhah seperti menyetubuhi ibu kepada isteri (emak mertua) atau anak kepada isteri (anak tiri). (8) Ditawan musuh. (9) Masuk Islam. (10) Suami atau salah seorang daripada mereka murtad. (11) Suami masuk Islam bersama dua orang isteri yang bersaudara kandung. (12) Suami masuk Islam bersama isterinya seramai lebih empat orang. (13) Suami masuk Islam bersama isterinya seramai lebih daripada dua orang hamba. (14) Tidak sekufu’. (15) Salah seorang suami isteri milik yang lain. (16) Perpindahan daripada agama kepada agama yang lain seperti isterinya berpindah daripada agama Yahudi kepada agama Nashrani. (17) Kerana sesusuan. Dalam hubungan ini Syeikh Al-Malibari menerangkan bahawa pensyariatan fasakh dalam pernikahan ialah untuk mengelakkan mendapat dharar daripada suami. Maka jika terjadi perkara ini, si isteri boleh meminta difasakhkan pernikahannya daripada suami yang tidak berupaya memberi perbelanjaan yang selayaknya bagi isteri. (Lihat Fath Al-Mu‘în bi Syarh Qurrât Al-‘Ain: 126) Jika terdapat salah satu daripada sebab-sebab yang disebutkan di atas, maka bolehlah terjadi talak atau fasakh itu, sama ada oleh suami sendiri atau pihak kedua (mahkamah).
Apa yang disebutkan oleh Al-Malibari, bahawa salah satu dharar atau mudarat yang ada kaitan dengan fasakh ialah dharar atau mudarat akibat tiada upaya suami menyempurnakan nafkah bagi isteri.
Sekiranya isteri mengadu mendapat dharar daripada suami, maka kemudaratan yang dialami isteri, sama ada akibat daripada pertelingkahan suami isteri atau lainnya, perlu kepada penyelidikan sebab-sebab terjadi pertelingkahan itu kerana pertelingkahan sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Mughnî, boleh jadi pada awalnya datang daripada pihak isteri sendiri dan mungkin juga daripada pihak suami dan mungkin daripada kedua-dua pihak. (Mughnî Al-Muhtâj 3/330)
Jika ianya datang daripada pihak isteri, bermakna isteri yang salah, jika daripada pihak suami bermakna suami yang salah dan jika daripada kedua-dua belah pihak bermakna kedua-duanya sama-sama bersalah.
Jika suami berperangai jahat dan menyakiti isteri dengan memukul atau sebagainya tanpa sebab yang dibenarkan syara‘, maka hakim pada peringkat ini cukuplah menegah suami daripada melakukan perkara itu dan hakim tidak perlu menjatuhkan hukum ta‘dzîr.
Akan tetapi jika suami masih kekal berperangai buruk dan mengulangi menyakiti isterinya dan isteri pula memohon hakim supaya menjatuhkan hukuman ta‘dzîr ke atas suaminya, maka hakim boleh menghukumnya dengan hukuman ta‘dzîr yang sesuai dan seimbang dengan kesakitan yang dilakukan oleh suami terhadap isterinya.
Jadi pada awal pertelingkahan, hakim tidak menghukum ta‘dzîr terhadap suami, walaupun pada dasarnya dia boleh dihukum ta‘dzîr jika diminta oleh isteri.
Berkata Imam Nawawi:
“Jika buruk perangai suami dan dia menyakiti isterinya tanpa sebab, hakim mestilah menegah suami daripada melakukan perkara itu, tetapi jika suami masih mengulangi perkara itu, hakim boleh menjatuhkan hukum ta‘dzîr ke atasnya.”
Berkata Al-Syarbini:
“Jika suami berperangai jahat dan dia menyakiti isterinya, dengan memukul dan sebagainya tanpa sebab, maka hakim hendaklah melarangnya melakukan perkara itu dan jangan dulu dihukum ta‘dzîr. Akan tetapi jika dia mengulangi perbuatannya itu, dan isteri meminta hakim supaya suaminya dihukum ta‘dzîr, maka barulah hakim menjatuhkan hukum ta‘dzîr itu.” (Mughnî Al-Muhtâj 3/332)
Jika masing-masing suami isteri saling tuduh menuduh melakukan perkara itu sehingga menimbulkan pertelingkahan sesama mereka, maka hakim hendaklah menyelidiki perkara itu melalui orang yang dipercayai dan hakim hendaklah menghalangi daripada wujudnya penganiayaan.
Kemudian jika pertelingkahan bertambah sengit di antara kedua-dua suami isteri, maka pihak mahkamah hendaklah melantik dua orang hakam, seorang daripada pihak keluarga suami dan seorang lagi daripada pihak keluarga isteri. Kedua-dua hakam atau pendamai ini dianggap sebagai wakil daripada keduanya. Dalam satu pendapat, kedua-dua hakam itu sebagai wakil daripada pihak hakim. Di samping itu hakam berkenaan disyaratkan dipersetujui oleh keduanya.
Berkata Al-Syarbini:
“Jika suami bersetuju, dia boleh berwakil menyerahkan keputusan kepada hakamnya untuk menjatuhkan talak dan menerima ganti rugi (khulu‘) dan isteri pula menyerahkan keputusan kepada hakamnya dengan membayar ganti rugi (khulu‘) dan menerima talaknya.” (Mughnî Al-Muhtâj 3/332-333)
Sekiranya kedua suami isteri ini diceraikan oleh dua hakam berkenaan berdasarkan khulu‘, maka perceraian itu disebut sebagai perceraian bâ’in (talak bâ’in). (Al-Mausû‘ah Al-Fiqhiyyah 29/56)
Sehubungan dengan pertanyaan “apakah hujah dan dalil yang dharar itu membolehkan mahkamah menceraikan bagi pihak si suami,” membawa pemahaman bahawa: “Mahkamah menceraikan seorang isteri yang mendapat dharar daripada suaminya,” ertinya: “Berdasarkan dengan sebab dharar, isteri diceraikan oleh mahkamah daripada suaminya.”
Jadi adakah dharar dikira sebagai sebab mahkamah berhak memisahkan suami isteri dan setakat mana sukatannya?
Jika yang dimaksudkan dengan dharar itu ialah pertelingkahan atau pergaduhan (شقاق), maka mengikut mazhab Syafi‘e, tidaklah boleh dijadikan sebagai alasan atau dasar untuk menceraikan kerana mengikut mazhab Syafi‘e, Hanafi dan Hanbali, menceraikan suami isteri kerana pertelingkahan atau kemudaratan, walaupun betapa beratnya, adalah tidak dibolehkan kerana menolak kemudaratan daripada pihak isteri masih boleh dilakukan tanpa talak, iaitu dengan menghadapkan permasalahan kepada kadi atau mahkamah dan menghukum suami dengan cara ta’dîb sehinggalah suami itu tidak lagi menimbulkan kemudaratan. (Al-Fiqh Al-Islâm wa Adillatuh, Al-Duktur Al-Auhli 7/527)
Akan tetapi jika dharar yang dijadikan oleh mahkamah sebagai alasan untuk menjatuhkan fasakh di antara suami isteri, dengan merujuk kepada salah satu daripada tujuh belas (17) sebab yang disebutkan oleh Syeikh Islam Zakariya Al-Anshari, maka ianya juga masih tertakluk kepada penilaian mahkamah berdasarkan mana-mana daripada yang tujuh belas (17) perkara yang berkaitan itu.
Misalnya isteri mendapat dharar daripada suami sebab tidak menerima sara hidup atau nafkah, maka sukatan sara hidup bagi orang kebanyakan dengan orang kenamaan tidaklah sama. Jadi penilaian dharar di sini tertakluk juga kepada penilaian mahkamah. Atau isteri merasa dirinya mendapat dharar disebabkan suaminya ada cacat tertentu yang boleh membawa fasakh, maka perkara itu juga diteliti oleh mahkamah.
Jadi, jika isteri merasa mendapat dharar daripada suaminya, isteri boleh sahaja mengadu atau mengangkat kesnya kepada kadi atau mahkamah. Kadi akan cuba terlebih dahulu mendamaikan kedua suami isteri yang berkenaan melalui perlantikan dua hakam (wakil pendamai) sebagaimana kehendak ayat 35 daripada surah Al-Nisâ’.
Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan jika kamu khuwatirkan terjadi persengketaan di antara keduanya, maka kirimlah seorang pendamai daripada pihak keluarga suami dan seorang pendamai daripada pihak keluarga isteri. Jika kedua pendamai itu bermaksud mengadakan perbaikan, nescaya Allah memberi taufiq kepada suami isteri itu.” (Surah Al-Nisâ’: 35)
Dalam mazhab Syafi‘e, tidak harus memisahkan suami isteri berkenaan kerana sebab syiqâq (pertelingkahan) atau kerana dharar yang tidak termasuk dalam senarai yang dinukil daripada Tuhfah Al-Thullâb yang di atas. Ini adalah kerana dharar itu boleh dicegah supaya tidak menimpa isteri dengan tidak payah talak. Ini boleh dilakukan dengan jalan mengangkat kes ini kepada mahkamah dan menghukum ke atas suami dengan cara ta’dîb sama ada dalam bentuk nasihat, mendisiplin, irsyâd, atau pimpinan sehingga suami tidak lagi mengulangi dharar itu kepada isterinya.
Untuk memisahkan suami isteri secara fasakh, hendaklah merujuk kepada sebab yang dijelaskan oleh Syeikh Al-Islam Zakariya Al-Anshari di atas.
Akan tetapi jika isteri mengadu menuntut cerai kepada mahkamah dan mahkamah gagal mendamaikan di antara keduanya atau mahkamah tidak dapat mensabitkan atau membuktikan dharar itu daripada suami, maka sebagai irsyâd bukan fatwa, mahkamah hendaklah melantik hakam sebelum menjatuhkan hukum cerai dengan satu talak bâ’in. Ini mengambil kira kepada pendapat mazhab Maliki, dengan berpandukan kepada ayat 35, surah Al-Nisâ’ yang telahpun disebutkan di atas.
Perlantikan hakam akan tertakluk kepada perkara-perkara berikut:
(i) Disyaratkan kedua-dua hakam itu, seberapa yang boleh terdiri daripada dua orang lelaki yang adil, masing-masing daripada ahli keluarga suami dan isteri. Jika bukan daripada keluarga suami dan isteri itu, kepada sesiapa yang mempunyai khibrah (pengalaman atau pengetahuan) tentang suami isteri yang bertelingkah itu dan kedua-dua hakam itu berkebolehan untuk mendamaikan keduanya.
(ii) Kedua-dua hakam mempunyai maklumat sebab-sebab yang membawa kepada syiqâq (pertelingkahan). Kedua-duanya hendaklah berusaha untuk mencari perdamaian bagi suami isteri itu.
(iii) Jika kedua-dua hakam gagal tidak dapat mendamaikan, bahkan keadaan bertambah buruk sama ada daripada pihak suami atau daripada pihak isteri atau tidak dapat diketahui halnya, maka mahkamah akan memisahkan dengan satu talak bâ’in.
(iv) Jika kedua-dua hakam mempunyai pandangan atau keputusan yang berbeza, mahkamah akan memerintahkan kedua-dua hakam mengulang kaji selidik pandangan atau keputusan mereka. Jika ternyata masih wujud perbezaan pendapat di kalangan kedua-dua hakam itu, mahkamah akan menukar atau mengganti dengan hakam yang lain.
(v) Hasil penemuan atau kaji selidik oleh kedua hakam itu diserahkan kepada mahkamah supaya mahkamah akan menghukum atau melaksanakan keputusan kedua-dua hakam berkenaan.
Adapun jika ternyata bahawa keadaan buruk yang menimbulkan syiqâq itu datangnya daripada isteri, mahkamah tidak boleh memisahkan suami isteri berkenaan. Mahkamah akan menolak dakwaan atau aduan isteri itu, di samping mahkamah tidak akan mendengar aduan yang baru daripada isteri melainkan setelah cukup keterangannya.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8040
