Enggan Memberi Jalan Laluan
Soalan: Seperti mana dimaklumi bersama peningkatan pembangunan pada akhir-akhir ini makin terasa dan ketara. Dalam hubungan itu Jabatan Tanah sering mengalami masalah bagi tanah-tanah yang belum ada jalan laluan (lebih dikenali sebagai tanah-tanah tersekat) sama ada letaknya jauh di belakang ataupun berhampiran dengan jalan utama dan seumpamanya.
Setakat ini tindakan-tindakan penyelesaian perkara tersebut telahpun diusahakan di mana jalan laluan tersebut terpaksa melewati dan melibatkan beberapa keping tanah persendirian yang pada hakikatnya pemilik-pemilik tanah yang terlibat enggan berbuat sedemikian. Walau bagaimanapun pada umumnya perkara ini sepatutnya ditangani oleh pemilik-pemilik tanah di persekitaran kawasan tersebut bagi mewujudkan suasana kejiranan.
Dari itu jabatan ini ingin mengetahui daripada sudut pandangan Islam berhubung dengan hukum-hakam atau hadis mengenai dengan masalah yang telah ditimbulkan.
Sukacita kaola pohonkan khidmat nasihat bagi mengatasi masalah tersebut di atas.
Jawapan: Di antara sifat orang mukmin itu ialah sangat menyayangi dan mencintai saudaranya dalam Islam kerana sesiapa yang tidak mencintai saudaranya akan menjadi kuranglah imannya. Cinta yang dimaksudkan ialah cinta yang didasarkan kepada agama, bukan kemanusiaan semata-mata. Inilah cinta yang disebut oleh hadis:
Maksudnya: “Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu Khadam Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sabdanya: “Tiada beriman seseorang kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Berkata Syeikh Hasan Al-Mudabighi: “Ibnu Al-‘Imad sewaktu menghuraikan hadis ini menjelaskan:
“Bahawa adalah lebih utama supaya pengertian ‘mencintai’ itu digunakan dengan seluas-luasnya sehingga meliputi orang yang kafir dan yang Islam. Maka wajiblah seorang Islam mencintai orang kafir seperti dia mencintai dirinya sendiri supaya orang kafir itu memeluk agama Islam sebagaimana dia mencintai saudaranya yang Islam supaya kekal terus dalam agama Islam dan kerana itu - menurut katanya - doa supaya dikurniakan hidayah kepada orang kafir adalah disukai.” (Fath Al-Mubîn li Syarh Al-Arba‘în li Ibn Hajr Al-Haitami h. 146).
Adapun erti tiada beriman pada hadis ini ialah ketiadaan iman yang sempurna. Cinta yang dimaksudkan pula ialah cinta untuk memperolehi kebaikan dan manfaat. Kemudian cinta itu bukanlah cinta kerana tabiat kemanusiaan tetapi kerana roh keagamaan kerana tabiat manusia sememangnya tidak suka melihat orang lain mendapat kebahagiaan atau orang lain itu berbeza keadaan daripadanya.
Seorang manusia wajib menyalahi tabiat kemanusiaannya yang buruk dan berdoa untuk saudaranya serta berharap kebaikan untuknya sebagaimana yang dilakukan untuk dirinya sendiri.
Kita melihat persoalan hadis ini ada kaitan dengan keengganan seseorang yang tidak membenarkan untuk melalui tanahnya daripada sudut bahawa tuan tanah itu kurang perasaan kasih sayang kepada jiran tanahnya yang berhajat. Tafsiran lain ialah kemungkinan tuan tanah itu mempunyai perasaan negatif dan yang paling kita takuti ialah perasaan dengki. Dengki itu menurut kitab Mau‘izhah Al-Mu’minîn min Ihyâ’ ‘Ulûm Al-Dîn bagi Syeikh Muhamamd Jamaluddin Al-Qasim Al-Dawsyiqi, h. 322 ada tafsirannya iaitu:
(i) Merasa benci terhadap nikmat yang diperolehi oleh seseorang dan bercita-cita supaya nikmat itu akan hilang daripada orang itu.
(ii) Tidak bercita-cita supaya nikmat itu hilang daripada orang itu, akan tetapi bercita-cita memperolehi nikmat yang sama. Ini dinamakan ghibtah.
Yang pertama itu adalah haram dalam semua perkara, melainkan nikmat yang diperolehi orang yang derhaka di mana dia menggunakan nikmat itu bagi perkara yang haram seperti membuat bencana kerosakan dan penganiayaan. Maka tidak mengapa seseorang itu bercita-cita supaya nikmat yang diperolehi secara derhaka itu hilang daripada orang itu, ditinjau daripada sudut bahawa nikmat itu sebagai alat perosak.
Sesungguhnya perasaan benci supaya hilangnya nikmat itu bererti tidak rela terhadap qadha Allah yang memberi kelebihan kepada hamba-hambaNya di atas yang lain.
Kebencian yang sedemikian itu tidak ada alasan dan kelonggaran.
Sifat ingin supaya orang lain kehilangan nikmat digambarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Tafsirnya: “Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan, maka yang demikian) menyakitkan hati mereka, dan jika kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya.” (Surah Ali ‘Imran: 120)
Kegembiraan ini disebut sebagai syamâtah ertinya perasaan gembira atas bencana yang menimpa orang lain. Dengki dan syamâtah ini beriringan.
Menurut hadis di atas dan hadis-hadis lain seumpamanya bahawa seseorang yang beriman hendaklah menjadi orang yang sempurna imannya dengan mengasihi saudaranya sama seperti ia mengasihi dirinya sendiri; baik baginya, baik pula untuk saudaranya, buruk baginya, buruk pula untuk saudaranya. Tidak ada baginya perbezaan perasaan bahawa yang baik itu untuknya, sedang yang buruk pula untuk saudaranya.
Orang yang beriman sebenarnya orang yang bertimbang rasa terhadap saudaranya. Gembira dan duka adalah perasaan yang dirasai bersama.
Sifat yang sedemikian digambarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Perumpamaan orang mukmin dalam kasih sayangnya, belas kasihannya dan kemesraannya, laksana sebatang tubuh, bila salah satu anggotanya mengadu sakit, seluruh anggota yang lain sama-sama merasa demamnya dan berjaga malam.” (Hadis riwayat Muslim)
Orang yang beriman di dalam pergaulan, adalah sebagai kata-kata peribahasa: “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, “Mendapat sama berlaba, kehilangan sama berugi”. Semua ini berlaku kalau perasaan mahabbah atau saling cinta mencintai dan kasih sayang itu meresap ke lubuk jiwa sebagai orang mukmin Islam sejati.
Betapa pentingnya perasaan kasih sayang tersebut didasarkan kepada iman untuk menjadi asasnya yang kuat kerana di atas dasar inilah sahaja dapat diletakkan persatuan dan persaudaraan yang bersih, terhindar daripada anasir-anasir perpecahan dan permusuhan. Inilah yang dikehendaki daripada pengajaran Al-Qur’an yang terang-terang menyatakan seperti berikut:
Tafsirnya: “Dan berpeganglah kamu sekalian dengan tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.” (Surah Ali ‘Imran: 103)
Ayat ini bermaksud supaya sekalian orang yang beriman berpegang teguh dengan tali Allah; tali yang dilarang diputuskan oleh perasaan benci membenci dan pandang memandang kerana berlainan kedudukan dan aliran fahaman, yang mana menyebabkan putusnya perasaan cinta di antara sesama sendiri.
Salah satu daripada tuntutan-tuntutan Islam itu ialah perpaduan dan persatuan. Al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam banyak memperkatakan tentang kepentingan perpaduan itu. Perpaduan itu adalah kekuatan.
Tuntutan perpaduan itu adalah dalam semua peringkat; keluarga, masyarakat dan umat Islam keseluruhannya. Sebaliknya perpecahan itu melemahkan, bahkan merugikan sesama sendiri lebih-lebih lagi jika yang menyebabkan perpecahan itu ialah sesuatu yang tidak wajar. Soal permohonan seseorang supaya dia dapat masuk ke tanahnya melalui tanah yang lagi satu adalah persoalan harta. Dalam hubungan ini harta boleh menjadi fitnah. Inilah peringatan Allah:
Tafsirnya: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi fitnah yakni ujian.” (Surah Al-Anfâl: 28)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam memberi peringatan yang sama:
Maksudnya: “Sesungguhnya tiap-tiap umat itu ada fitnahnya, dan fitnah bagi umatku ialah harta.” (Hadis riwayat Ahmad)
Kita senghaja bercakap panjang mengenai kasih sayang dan cinta mencintai sesama Islam kerana ingin menghubungkan persoalan tanah yang dipohonkan fatwa.
Kiranya orang Islam mempunyai perasaan cinta yang mendalam terhadap saudara sesama Islam, tentulah tidak timbul persoalan keengganan pemilik tanah sebagaimana yang dipohonkan fatwa kerana tentunya masing-masing pemilik tanah akan mencari jalan keluar supaya tanah yang tersekat dapat diatasi secara perundingan dan persefahaman. Mencari penyelesaian dengan cara ini boleh dilakukan dengan berbagai jalan, seperti beri-memberi, tukar ganti tanah, menjual tanah yang dikehendaki sebagai laluan itu atau lain-lain cara yang disepakati supaya pemilik tanah yang tersekat dapat menyelesaikan masalahnya. Inilah cara hidup Islam.
Apabila pemilik tanah yang dipohonkan enggan dan tidak bertolak ansur, maka unsur mementingkan diri sendiri sudah berlaku.
Mementingkan diri sendiri sangat tercela kerana ia merupakan suatu unsur yang boleh melemahkan perpaduan. Para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah menunjukkan contoh yang baik tentang prinsip berkorban demi kepentingan umum dan tidak mementingkan diri sendiri. Inilah sifat yang mereka pelajari daripada pendidikan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Al-Qur’an telah merakamkan sifat terpuji para sahabat itu:
Tafsirnya: “Dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat (apa yang mereka berikan itu).” (Surah Al-Hasyr: 9)
Di antara prinsip peribadi muslim yang baik itu tergambar daripada ajaran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam secara umum iaitu:
Maksudnya: “Orang Islam ialah mereka yang sejahtera sekalian orang Islam daripada (bahaya) lidahnya dan tangannya.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Demi nyawaku yang ada dalam tanganNya (Allah), kamu tidak masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak beriman kecuali kamu saling mencintai.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Seorang muslim adalah saudara bagi muslim. Dia tidak boleh menganiaya saudaranya dan tidak boleh pula membiarkan saudaranya teraniaya oleh orang lain. Dan barangsiapa yang membantu (mencukupkan) keperluan atau hajat saudaranya, maka Allah Ta‘ala membantunya pula (mencukupkan) keperluan atau hajatnya. Dan barangsiapa yang melapangkan kesulitan seorang muslim, maka Allah Ta‘ala melapangkan kesulitannya kelak di Hari Kiamat. Dan barangsiapa yang menutup aurat (keburukan) orang muslim, maka Allah menutupi pula keburukannya kelak di Hari Kiamat." (Hadis riwayat Bukhari)
Jika kita lihat kepada hadis Bukhari di atas, terdapat orang yang akan dilapangkan oleh Allah Ta‘ala daripada kesulitannya di akhirat kelak, iaitu siapa yang pada masa di dunia ini melapangkan kesulitan saudaranya yang muslim. Betapa indah dan hebatnya janji Allah ini untuk orang-orang yang melepaskan saudaranya daripada tersepit dalam kesukaran-kesukaran yang dihadapi. Bukankah tersekat jalan untuk sampai ke tanah seseorang itu bermakna kesukaran baginya? Bahkan ia bukanlah kesukaran kecil, malahan kesukaran besar yang menutupi pintu keperluannya. Bayangkan jika itulah sahaja satu-satunya tanahnya, sedang dia memerlukan untuk berumah di situ, atau untuk berkebun mencari nafkah dan lain-lain, tiba-tiba jalannya tersekat, tertutup dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana ketiadaan laluan untuk ke tanahnya itu, jadi betapalah gelap hidup kawan ini. Kalau berat kita memandang berat lagi yang merasakannya.
Tetapi mari bayangkan pula, dalam keadaan jalannya tertutup itu dan dia tidak tahu lagi apa yang hendak dibuat, yakni pendeknya habislah sudah harapannya, tiba-tiba si tuan tanah yang menjadi halangan tadi, terbukalah hatinya ingin memberikan laluan kepadanya. Allahu Akbar! Bayangkan betapa akan lapang dada kawan dan betapa riang hatinya?
Inilah namanya melepaskan saudara muslim daripada kesulitan. Dalam perkara ini, Allah telah berjanji, bahawa sesiapa jua yang berbuat demikian itu, Allah akan melepaskannya daripada kesulitannya di akhirat. Apakah kita tidak teringin untuk menerima ganjaran serupa ini pada hari yang tiada sebarang penolong melainkan amal-amal kebajikan kita jua?
Maksudnya: “Barangsiapa yang mudah, tidak menyusahkan dan ramah, Allah haramkan dirinya daripada api neraka.” (Hadis riwayat Hakim dan Baihaqi)
Apabila pemilik tanah enggan memberi kebenaran tanahnya untuk memberi jalan laluan kepada tanah atau tanah-tanah jirannya yang tersekat itu, sama ada enggan tidak mahu tukar ganti tanah, jual beli, wakaf atau lain-lain, dan jika semua cara penyelesaian tidak mendatangkan faedah dan berkesan, maka pemilik tanah yang sedemikian telah menyusahkan saudaranya, maka kita khuatir dia akan termasuk orang-orang yang diancam dan dikecam oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan sabdanya:
Maksudnya: “Dilaknat orang yang memudaratkan (membahayakan) muslim atau yang menipunya.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Menolong atau mempermudahkan urusan orang-orang Islam akan memperolehi ganjaran pahala, sebaliknya menyusahkan atau menyakiti itu membawa implikasi yang jauh sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Barangsiapa menyakiti orang Islam, sesungguhnya dia telah menyakiti aku, dan barangsiapa menyakiti aku dia telah menyakiti Allah.” (Hadis riwayat Thabarani)
Memberi laluan kepada jalan tersekat bererti juga memudahkan, sedang memudahkan itu ada ganjarannya yang istimewa daripada Allah.
Memanglah agama Islam itu menghormati hak milik individu, tidak sesiapapun boleh mengambil atau merampas hak seseorang tanpa izinnya. Namun, di samping itu Islam juga membuka pintu yang seluas-luasnya untuk pemeluk-pemeluknya mendapat ganjaran lumayan daripada amal jariahnya melalui harta-hartanya itu. Di bawah ini kita sebutkan beberapa dalil tentang hak milik individu itu, firman Allah:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya),
kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara
kamu.” (Surah Al-Nisâ’: 29)
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Setiap muslim ke atas muslim yang lain haram baginya menumpahkan darahnya, mengambil hartanya dan mencabul kehormatannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Sabda Baginda lagi dalam khutbahnya pada hajinya yang penghabisan:
Maksdunya: “Sesungguhnya darah kamu dan harta benda kamu dan kehormatan kamu haram atas kamu seperti haramnya hari kamu ini, pada bulan kamu ini, pada negeri kamu ini.” (Hadis riwayat Muslim)
Asas mengambil harta seorang muslim itu ialah berdasarkan kerelaan hatinya, sabda Baginda:
Maksudnya: “Tidak halal harta seorang melainkan dengan kesukaan hatinya sendiri.” (Hadis riwayat Ahmad)
Berdasarkan ayat dan hadis-hadis di atas adalah haram menceroboh ke atas milik perseorangan selama pemilikan itu sah di sisi syara‘ kerana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa mengambil sesuatu daripada tanah secara zalim, dikalungkan kepadanya daripada tujuh lapis bumi.” (Hadis riwayat Bukhari)
Apabila persoalan untuk mendapatkan laluan itu tidak berjaya di peringkat pemilik-pemilik tanah yang berkaitan, biasanya perkara itu akan diangkat atau diminta penyelesaiannya melalui jabatan yang berkaitan dengan tanah (Jabatan Tanah).
Jabatan Tanah tentunya akan melihat beberapa sudut tertentu seperti penyerahan tanah yang dikehendaki sebagai laluan itu secara sukarela, jual beli, tukar ganti atau lain-lain yang munasabah. Jika semuanya ini gagal, maka Jabatan Tanah akan memikirkan kepentingan-kepentingan awam atau kepentingan orang ramai.
Kaedah-kaedah fiqh berikut ini boleh menjadi asas dalam membuat pertimbangan dalam perkara ini.
Ertinya: “Ditanggung kemudaratan khas untuk menolak kemudaratan yang umum.”
Ertinya: “Tindakan yang merangkumi kepentingan orang ramai lebih utama daripada yang hanya terhad untuk kepentingan sendiri.”
Berdasarkan kaedah-kaedah fiqh di atas, mana-mana rintangan yang didatangkan oleh maslahat peribadi atau kumpulan yang kecil yang menghalang tercapainya kepentingan atau maslahat orang ramai (umum), hendaklah diketepikan maslahat peribadi atau kumpulan yang kecil itu.
Bahkan negara berhak turut campur dalam perkara pemilikan khas yang dibenarkan untuk melaksanakan keadilan dan maslahat umum, sama ada asalnya milik perseorangan, atau negara boleh juga menghalang yang harus dan menghalang pemilikan yang harus itu sekiranya penggunaannya itu mendatangkan mudarat kepada umum.
Oleh itu menjadi hak pemerintah yang adil untuk mewajibkan batas-batas pemilikan itu dalam hal menghidup (mengusahakan) tanah terbiar (احياء املوات), menetapkan pemilikan tanah dengan keluasan tertentu, atau mengambil tanah itu semula daripada tuan-tuan tanah dengan membayar ganti rugi yang adil, jikalau pengambilan tanah itu bertujuan untuk kepentingan umum orang-orang Islam.
Menurut ketetapan ulama-ulama fiqh bahawasanya pemerintah boleh menamatkan tempoh keharusan pemilikan tanah dengan mengeluarkan perintah larangan jikalau ada maslahat menghendaki sedemikian.
Hendaklah perintah menamatkan tempoh keharusan pemilikan tanah itu jangan melampaui batas dalam perkara yang dilarang. Sesungguhnya mentaati pemerintah adalah wajib sebagaimana firman Allah:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘uli al-amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu.” (Surah Al-Nisâ’: 59)
Sebagai contoh campur tangan pemerintah dalam perkara pemilikan:
Maksudnya: “Diriwayatkan oleh Abu Hafsh lagi dengan isnâdnya daripada Muhammad (Al-Baqir) daripada bapanya Ali Zainal ‘Abidin katanya: “Adalah bagi Samrah bin Jundub ada sebatang pokok kurma masuk di kebun seorang lelaki daripada golongan Anshar. Lelaki itu dan keluarganya sewaktu masuk ke kebunnya itu, maka pokok kurma itu telah menyakiti atau mengganggu mereka. Maka lelaki golongan Al-Anshar itu mengadu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu Baginda bersabda kepadanya (Samrah pemilik kebun): “Jualkan (pokok kurma itu) kepadanya (lelaki Al-Anshar).” Dia enggan. Sabda Baginda: “Maka potonglah pokok kurma itu.” Dia enggan juga. Sabda Baginda lagi: “Hadiahkan pokok kurma itu dan bagimu seumpamanya di syurga.” Dia enggan juga. Maka sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada Samrah: “Kamu ini memudaratkan (membahayakan)”. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda memerintahkan kepada lelaki Al-Anshar: “Pergi dan potonglah pokok kurma itu.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Berdasarkan peristiwa ini menunjukkan bahawa Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bertegas atas milik perseorangan yang boleh mendatangkan penganiayaan atau kesusahan kepada orang ramai.
Contoh lain sebagaimana riwayat Al-Imam Malik dalam Al-Muwaththâ’:
Maksudnya: “Bersumber daripada Amr bin Yahya Al-Mazini, daripada ayahnya: “Sesungguhnya Al-Dhahhak bin Khalifah ingin mengalirkan air ladang miliknya dan itu harus melewati tanah Muhammad bin Maslamah. Oleh kerana Muhammad tidak mahu, Al-Dhahhak bertanya kepadanya: “Mengapa kamu menghalangiku? Sesungguhnya kamu juga akan beroleh manfaat. Dengan itu kamu boleh minum terus-terusan. Lagi pula tidak merugikan kamu.” Akan tetapi si Muhammad tetap saja tidak mahu. Al-Dhahhak lalu melaporkan kejadian itu kepada ‘Umar bin Al-Khaththab, maka beliau lalu memanggil Muhammad bin Maslamah dan memerintahkan supaya dia memenuhi keinginan Al-Dhahhak. Namun tetap Muhammad menjawab: “Tidak.” ‘Umar bin Al- Khaththab berkata: “Mengapa kamu halangi kepentingan saudaramu, sedangkan kamu juga akan mendapatkan faedah (keuntungan)? Kamu akan minum dengannya terus-terusan dan itu juga tidak membuatmu rugi.” Tetapi si Muhammad tetap menjawab: “Tidak.” ‘Umar lalu berkata: “Demi Allah, akan aku alirkan juga walaupun akan melewati (melintasi) perutmu.” Maka ‘Umar pun memerintahkan untuk mengalirkan, lalu Al-Dhahhak pun melakukannya.” (Hadis riwayat Malik)
Kemudaratan itu wajib dicegah berdasarkan batas-batas yang telah dipandu oleh syara‘.
Asas atau sandaran menghilangkan mudarat itu ialah berdasarkan kaedah fiqh:
Ertinya: “Dharar (mudarat) itu dihilangkan (dihindarkan).”
Kaedah fiqh di atas berasal daripada sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:
Maksudnya: “Tidak memudaratkan dan tidak dimudaratkan.”
(Hadis dikeluarkan oleh Malik dalam Muwaththâ’ daripada ‘Amr bin Yahya daripada bapanya secara mursal. Hakim mengeluarkan hadis ini dalam kitab Al-Mustadrak, Al- Baihaqi dan Al-Daraquthni mengeluarkannya daripada hadis Abu Sa‘id Al-Khudri, Ibnu Majah mengeluarkannya daripada hadis Ibnu ‘Abbas dan ‘Ubadah bin Al-Shamit). (Al- Imam Al-Suyuthi: Al-Asybâh wa Al-Nazhâ’ir h. 83).
Kaedah ini memberi maklumat hukum, bahawa sesiapa atau mana-mana orang yang membina sesuatu di tengah jalan raya menyebabkan terhalang atau terganggu lalu lalang atau dahan pokok kayu menjuntai atau masuk ke dalam kawasan milik orang lain yang boleh mendatangkan bahaya kepadanya, maka hendaklah disuruh runtuhkan binaan di tengah jalan raya itu dan memotong dahan atau pokok yang mendatangkan bahaya itu.
Berdasarkan kaedah ini juga, adalah haram ke atas seseorang memudaratkan seseorang yang lain sama ada diri (jiwa) atau harta orang itu kerana memudaratkan itu suatu kezaliman. Kezaliman diharamkan oleh syara‘, bahkan oleh seluruh perundangan.
Maka dalam menangani kes memohon laluan jalan ini, perundingan-perundingan di antara pihak-pihak yang terlibat dan berkaitan perlulah diaturkan supaya ada sifat tolak ansur, menawarkan kemungkinan tanah ganti dengan tanah, jual beli, pemilik tanah mewakaf atau menghadiahkan tanah yang dimaksudkan sebagai laluan itu atau apa jua cara yang difikirkan munasabah dan adil bagi semua pihak yang terlibat.
Jika pemilik tanah tetap enggan atau tidak mahu memberikan laluan tanpa sebab-sebab yang wajar, sekalipun setelah usaha-usaha seperti di atas dibuat, maka kerajaan boleh bertindak dengan adil supaya memaksa pemilik tanah membenarkan tanahnya sebagai laluan dengan syarat tindakannya itu tidak bertentangan dengan prinsip ‘kepentingan awam atau maslahat umum’ dan tidak bercanggah dengan kaedah-kaedah:
Ertinya: “Darurat mengharuskan larangan.”
Ertinya: “Tiap-tiap darurat dikira menurut kadarnya.”
Lebih-lebih lagi Jabatan Tanah akan mengamalkan kaedah:
Ertinya: “Tindakan ketua negara ke atas rakyat terikat dengan maslahat.”
Selain hadis-hadis yang telah disebut di atas sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam lagi:
Maksudnya: “Bersumber daripada Al-A‘raj daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda: “Janganlah salah seorang daripada kamu mencegah tetangganya yang akan menancapkan papan di temboknya.” Al-A‘raj berkata: “Kemudian Abu Hurairah berkata: “Mengapa kalian berpaling daripada masalah ini? Demi Allah, aku akan melemparkannya di antara bahu-bahu kamu.” (Hadis riwayat Muslim)
Imam Nawawi ketika menghuraikan perkataan:
Ertinya: “Kenapa kalian berpaling yakni daripada sunnah Nabi, perangai mulia, bimbingan atau kata-kata ini?”
Kesimpulannya bahawa masalah jalan laluan ke tanah yang tersekat yang terpaksa melalui tanah yang lain hendaklah diselesaikan terlebih dahulu secara ukhuwwah Islâmiyyah (persaudaraan Islam) di antara pemilik tanah terbabit, sama ada pemilik dijadikan sebagai penerima wakaf, melalui jual beli, tukar ganti tanah atau sebagainya.
Akan tetapi jikalau pemilik tanah enggan dan tidak rela tanahnya dijadikan sebagai jalan laluan walau dengan apa cara sekalipun, maka pihak berkuasa, mengikut Islam, berhak mengambil tanah yang diperlukan untuk dijadikan jalan laluan itu demi maslahat atau demi kepentingan umum kerana tanpa laluan itu pemilik tanah yang berhajat akan menanggung kesusahan sampai bila-bila. Kesusahan serupa ini mestilah dihindarkan, sama ada dengan cara pihak berkuasa memberikan imbuhan yang selayaknya kepada pemilik tanah yang terlibat dengan menggunakan perbendaharaan kerajaan atau daripada pemilik tanah yang berhajat atau mana-mana jua yang munasabah.
Perlulah diingat untuk masa-masa akan datang, bahawa kerajaan mustahaklah benar-benar memastikan sebarang pembahagian tanah itu tidak akan berlaku sehingga ada tanah-tanah yang tersekat atau terhalang oleh tanah lain sehingga boleh menimbulkan kesusahan apabila tanah yang tersekat atau terhalang itu hendak diguna atau dimanfaatkan. Masalah begini rasanya masih boleh dielakkan jika kerajaan lebih awal menyedari, bahawa setiap tanah yang akan dikeluarkan geran, sama ada geran itu geran baru atau geran lama kerana satu-satu pemecahan atau pembahagian, maka hendaklah dipastikan bahawa tidak akan ada tanah yang boleh menghalangi laluan atau dihalangi laluannya oleh mana-mana tanah lain yang berdekatan atau bersempadan dengannya. Salah satu cara yang boleh dibuat ialah, misalnya, dengan menentukan lebih awal reserve laluan jalan yang sedia ditentukan excess bagi laluan jalan mana-mana tanah yang terlapis.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم efatwa-8044
